Wednesday, May 27, 2020

Ancaman Allah kepada orang yang khianat

Perbuatan Khianat adalah Penyebab Kesulitan Hidup – Eramuslim

Bahasa dan Istilah

Takrifan khianat membawa maksud perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan pada orang lain, tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia.[1] Semuanya menjurus ke arah perbuatan negatif dan perlu dijadikan sempadan oleh manusia. Perbuatan khianat ini boleh memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang dikhianati tanpa mengira individu ataupun organisasi. Keamanan dan perpaduan yang kukuh pasti akan runtuh apabila terdapat sebarang bentuk khianat dalam masyarakatnya.

Perbuatan khianat kepada orang lain juga sebenarnya adalah perbuatan mengkhianati dirinya sendiri kerana kesan buruk pengkhianatan itu akan dirasakan oleh orang lain yang berkaitan. Di sisi lain pula menunjukkan bahawa sebagai masyarakat seharusnya dianggap seperti satu jasad, setiap keburukan yang dialami oleh orang lain harus dirasakan juga seperti sesuatu yang menimpa ke atas diri sendiri.

Dalil dan Perbahasan Ulama

Firman Allah swt dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.”[2]

Sayyid Quthub menerangkan bahawa sifat dan sikap khianat mereka (kaum musyrikin) menjadikan Allah membenci orang-orang kafir yang mengkhianati amanat keagamaan lagi tidak mensyukuri nikmatNya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai kaum musyrikin Mekkah dan setiap pengkhianat yang kufur nikmat walau di mana pun mereka berada.[3]

Setelah Allah melarang perbuatan khianat dan membela orang-orang yang melakukan perbuatan khianat, maka ayat ini melarang pula berdebat dan membela orang-orang yang khianat. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berdebat membela orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.”      (Surah an-Nisa’: 107)

Dan janganlah engkau, wahai Muhammad demikian juga umatmu, berdebat untuk membela orang-orang yang sengaja lagi tekun dan terus-menerus mengkhianati dirinya. Ayat ini merupakan ancaman yang cukup serius terhadap orang yang berkhianat. Mengapa tidak, Rasulullah saw yang demikian tinggi kedudukan baginda di sisi Allah dan yang dalam kehidupan sehariannya terlihat dengan jelas melaksanakan hak dan menjauhi khianat, walaupun demikian tetap diberi peringatan. Maka bagaimana dengan selain baginda dan bagaimana pula dengan yang mengetahui kebenaran tetapi menyembunyikannya serta membantu kebatilan?[4]

Antara peringatan lain yang berbentuk ancaman kepada orang yang melakukan khianat ialah pengkhianatannya akan diketahui oleh orang lain di akhirat kelak melalui pengibaran panji yang besar tertulis kisah pengkhianatan mereka di atas badan mereka berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:

Dari Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar dan Anas ra, mereka berkata, Nabi saw bersabda, “Setiap pengkhianat nanti pada hari kiamat mempunyai sebuah bendera yang bertuliskan, ‘Inilah pengkhianatan fulan.”[5]                                    (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejarah dan Peristiwa

Sejarah awal perkembangan Islam telah mendapati banyak siri pengkhianatan yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Orang-orang yahudi yang telah diberi tempat terhormat dalam Konstitusi Madinah, akhirnya, satu persatu berkhianat. Bermula dengan Bani Qainuqa yang enggan ikut berperang sepertimana yang telah mereka janjikan dengan menggunakan alasan waktu berperang jatuh pada hari sabtu.

Oleh sebab keengganan mereka, maka Nabi saw menghukum mereka setimpal dengan pengkhianatan mereka iaitu mengeluarkan mereka daripada kota Madinah dengan bebas membawa apa sahaja yang diinginkan.

Kemudian giliran bani Nadir yang melakukan khianat dan pengkhianatan mereka lebih berat daripada apa yang dilakukan oleh bani Qainuqa, hukuman mereka ialah diusir dari Madinah tanpa membawa harta benda. Dan yang paling mengerikan dan mencemaskan ialah nasib bani Quraizhah.

Pada waktu itu sebelum berlakunya perang Ahzab iaitu serangan pakatan suku-suku Arab pimpinan Quraish Makkah ke Madinah. Setelah mendengar perkhabaran itu, Nabi saw bermusyawarah dengan para sahabat dan telah menerima usul seorang berbangsa Parsi, Salman al-Farisi yang mempunyai pengalaman dalam peperangan. Beliau mengusulkan supaya membuat parit di sekitar kota.

Peperangan kali ini telah membuatkan pihak kafir Quraish bingung untuk menyerang kerana pertama kali berhadapan taktik sebegini dan akhirnya hanya mengepung kota Madinah selama hampir satu bulan. Dalam keadaan terkepung rapat seperti itu, persedian air tentu sahaja perlu, tiba-tiba bani Quraizhah menunjukkan indikasi berkhianat. Mereka rupanya berpendapat bahawa inilah permulaan kehancuran Islam dan oleh kerana itu mereka mengambil kesempatan dengan memihak kepada pihak yang akan menang. Secara sembunyi mereka membina hubungan dengan pakatan pimpinan orang-orang Quraish.

Akan tetapi, berita tersebut telah sampai kepada Nabi sehingga baginda memerintahkan beberapa sahabat untuk meneliti kebenarannya dengan berpesan jika khabar itu ternyata benar, maka rahsiakan dan jika salah maka sebarkan. Hal ini adalah kerangka perang saraf dengan pasukan sekutu bahawa bani Quraizah tidak berbuat khianat. Tetapi setelah diselidiki maka ternyata benar pengkhianatan tersebut. Berkat pertolongan Allah swt, perang Ahzab berakhir dengan kegagalan sekutu, iaitu terjadinya taufan yang menghancurkan perkhemahan mereka di sekitar Madinah dan selamatlah masyarakat Madinah pimpinan Nabi.

Masalah pengkhianatan bani Quraizah kemudian diputuskan oleh hakim yang telah dipilih. Mereka memilih seorang muslim bekas anggota bani Quraizah dengan harapan orang tersebut akan simpati kepada suku asalnya. Tetapi ternyata sangkaan mereka meleset, mereka semua kaum lelaki bani Quraizah harus dibunuh, isteri-isteri dan anak-anak mereka dijadikan hamba dan dijual.[6]

Bentuk Ancaman.

Antara perbuatan yang tidak disukai Allah swt dan tiada limpah rahmat kasih sayang kepada mereka.

Tertulis setiap perbuatan khianat mereka di atas bendera yang di pegang sendiri agar dapat dilihat ketika di padang masyhar kelak.

  1. [1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=khianat
  2. [2] Sheikh Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan ar-Rahman (Kepada Pengertian al-Quran). 2000. Darul Fikir: Kuala Lumpur. MS 850
  3. [3] M. Quraish Shihab. Tafsir al-Misbah (Pesan, Kesan dan Keserasian al-Quran). Jilid 8. 2009. Penerbit Lentera Hati: Jakarta. MS 218
  4. [4] Ibid. Jilid 2. MS 704
  5. [5] Dr. Musthafa Dib al-Bugha. Syarah Riyadhush Shalihin Imam an-Nawawi. Jilid 3. 2010. Gema Insani: Jakarta. MS 419
  6. [6] Budhy Munawar-Rachman. Ensiklopedia Nurcholish Madjid (Pemikiran Islam di Kanvas Peradaban). 2006. Yayasan Wakaf Paramadina-Penerbit Mizan: Jakarta. MS 2476
Abu Fattah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...