Salam,
Semakin hampir Pilihanraya Umum ke 14 (PRU 14), semakin
banyak analisis tentang PRU 14 yang dibuat. Politik Malaysia semakin bercelaru
sama ada di pihak BN dan parti-parti pembangkang.
BN terutama Umno berhadapan krisis yang bertambah parah
hari demi hari, ditambah pula dengan penubuhan Parti Bersatu dan Parti Warisan
Sabah yang diusahakan Dato’ Shafie Afdal.
Bagaimanapun , perpecahan Umno gagal dimanfaatkan
pembangkang yang masih berharap membentuk kesepakatan bertanding 2 penjuru
namun tetap gagal. Umno dan BN yang sepatutnya boleh dikalahkan masih bernafas
berikutan kegagalan parti-parti pembangkang membentuk gabungan yang kukuh.
Pas masih dengan sikap sombong untuk bersendirian dan
membentuk pakatan baru yang diketuai parti berkenaan. Penubuhan Bersatu yang
diharap dapat menyatukan pembangkang juga gagal memujuk Pas.
Semakin dipujuk , semakin kuat lagak Pas seolah-olah
parti berkenaan sangat diperlukan dalam politik Malaysia. Parti-parti
pembangkang juga terlalu mengharapkan Pas sehingga parti berkenaan semakin
besar kepala.
Ramai pemerhati politik berpandangan dan Pas sendiri
sering menyindir PKR mengharapkan Pas kerana parti berkenaan menghadapi masalah
kurang petugas akar umbi . Mustahil , PKR yang sudah 15 tahun bertapak di
Malaysia, sudahpun memerintah sebuah negeri masih mengharapkan bantuan petugas
Pas untuk menghadapi pilihanraya. Adakah PKR tidak menumpukan kepada
pembentukan akar umbi yang kuat selepas PRU 13?
Bersatu pula memerlukan Pas kerana pengalaman Pas yang
sudah lama di persada politik negara. Berdasarkan sambutan hebat yang diterima
dari parti Bersatu di seluruh negara, parti ini dijangka tidak menghadapi
masalah dengan petugas akar umbi.
Berbeza dengan parti Amanah, pada peringkat awal
penubuhannya, parti ini sangat mengharapkan Pas menyertai gabungan pembangkang
bagi mengelak pertandingan 3 penjuru. Namun , apabila sudah setahun ditubuhkan
harapan Amanah kepada Pas semakin mengurang berikutan penambahan kekuatan parti
berkenaan termasuk di peringkat akar umbi.
Penulis mengambil contoh kawasan penulis, pada
peringkat awal pimpinan Amanah kawasan hanya mahu bertanding parlimen sahaja ,
satu kerusi DUN lagi mahu diserahkan kepada Pas sahaja. Namun, apabila sudah
ramai ahli kawasan, sudah banyak cawangan ditubuhkan . Pimpinan Amanah kawasan
bukan sahaja mahu bertanding parlimen malah kerusi DUN termasuk kerusi DUN
milik PKR jika PKR setuju menyerahkan kepada Amanah.