Syaikh Rashid Ghannoushi
Bagi
ramai umat Islam negara ini yang terbiasa dengan model ‘politik Islam’
Parti Islam SeMalaysia (PAS), ‘penampilan’ parti berteraskan Islam di
Tunisia, Ennahda (An-Nahdhah), di pentas politik negara itu, tentu
begitu ‘mengejutkan’ dan sangat ‘janggal’.
Pada
22 Januari 2011, iaitu 8 hari selepas kejatuhan Ben Ali yang
digulingkan pada 14 Januari 2011, pemimpin utama Ennahda, Syaikh Rashid
Ghannoushi telah memberikan satu kenyataan kepada sebuah akhbar Jerman,
Der Spiegel, bahawa partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan
Syariat Islam di Tunisia, jika berpeluang memerintah negara itu.
Apa
yang menjadi objektif partinya, jelas beliau, ialah membebaskan Tunisia
daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk sekalipun. (Rujukan : onislam.net)
Jika
sikap ‘dingin’ Ennahda terhadap perlaksanaan Syariat Islam ini
diteropong melalui jendela ‘politik Islam’ versi PAS, adalah sesuatu
yang sangat janggal, bahkan tidak boleh diterima langsung, sebuah parti
Islam mengumumkan, ia tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam
dalam sebuah negara yang dikuasainya!
Dalam
persekitaran ‘politik Islam’ versi PAS, tindakan sesebuah parti Islam
tidak menyebut sebarang sikap atau pendirian berhubung perlaksanaan
Syariat Islam, masih boleh diterima, walaupun dengan ‘berat hati’.
Namun,
tindakan mana-mana parti Islam mengisytiharkan bahawa ia tidak akan
berusaha melaksanakan Syariat Islam dalam negara yang diterajuinya,
adalah sangat ‘mengejutkan’, begitu ‘janggal’ dan tidak boleh diterima
sama sekali.
Lebih
‘parah’ lagi, Ennahda bukannya mengumumkan ia tidak akan melaksanakan
hudud-yang merupakan satu juzuk yang kecil dalam Syariat
Islam-sebaliknya mengumumkan tidak akan berusaha melaksanakan Syariat
Islam itu sendiri!
Andainya
pengumuman serupa-disebabkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang
wajar-dilakukan oleh parti Islam di Malaysia, barangkali ramai ahli akan
keluar meninggalkan parti, atau paling kurang, parti akan dituduh
sebagai mengorbankan perjuangan menegakkan agama Allah dan mencari
keredhaanNya, semata-mata kerana kuasa politik dan keredhaan para
pengundi (terutamanya pengundi bukan Islam)!
Jika
pengumuman seperti itu dibuat oleh parti lain yang bukan dari aliran
Islam, akidah pemimpinnya akan segera diragui, dan dengan pantas dilabel
sebagai menolak hukum Allah, serta lebih mengutamakan sokongan dan
kehendak para pengundi, berbanding keredhaan Allah.
Negara Sekular
Bergerak
sejajar dengan pengumuman ‘mengejutkan’ dan ‘janggal’ itu, persoalan
perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud dan qisas, tidak didendangkan
langsung oleh Ennahda dalam kempen pilihanraya Tunisia yang berlangsung
pada 23 Oktober 2011 yang lalu.
Ennahda
yang diasaskan pada tahun 1981 itu terus membuat 'kejutan', apabila
tidak hanya berpada setakat pengumuman bahawa ia tidak berusaha
melaksanakan Syariat Islam di Tunisia.
Lebih
daripada itu, kepimpinan parti Islam itu mengumumkan akan berusaha
membentuk sebuah masyarakat sekular pelbagai parti, yang menghormati
hak-hak manusia! (Rujukan :onislam.net )