Kedatangan bulan Ramadhan setiap tahunnya tidak berhenti menjadi penghibur
hati orang mukmin. Bagaimana tidak, beribu keutamaan ditawarkan di
bulan ini. Pahala digandakan, ampunan Allah bertebaran memenuhi setiap
ruang dan waktu.
Seorang yang menyedari kurangnya bekal yang dimiliki
untuk menghadapi hari penghitungan kelak, tidak ada rasa kecuali tersenyum menyambut Ramadhan. Insan yang menyedari betapa dosa melumuri dirinya,
tidak ada rasa kecuali bahagia akan kedatangan bulan Ramadhan.
Mukmin Sejati Itu Dermawan
Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar
dari bulan Ramadhan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan
umatnya untuk banyak bersedekah.
Dan bulan Ramadhan, amalan ini menjadi
lebih dianjurkan lagi. Dan demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin, Iaitu dermawan.
Allah dan Rasul-Nya memerintahkan malah memberi contoh
kepada umat Islam untuk menjadi orang yang dermawan serta pemurah.
Ketahuilah bahawa dermawan adalah salah satu sifat Allah Ta’ala,
sebagaimana hadis:
إن الله تعالى جواد يحب الجود ويحب معالي الأخلاق ويكره سفسافها
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR. Al Baihaqi, di shahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’, 1744)
Dari hadis ini demikian dapat diambil kesimpulan bahawa kedekut dan
bakhil adalah akhlak yang buruk dan bukanlah akhlak seorang mukmin
sejati. Begitu juga, sifat suka meminta-minta, bukanlah ciri seorang
mukmin.
Malah sebaliknya seorang mukmin itu banyak memberi. Sebagaimana
sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:
اليد العليا خير من اليد السفلى واليد العليا هي المنفقة واليد السفلى هي السائلة
“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan
di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang
yang meminta.” (HR. Bukhari no.1429, Muslim no.1033)
Selain itu, sifat dermawan jika di dukung dengan tafaqquh fiddin, dengan ilmu agama dengan baik, sehingga terkumpul dua sifat iaitu alim
dan juud (dermawan), akan dicapai kedudukan hamba Allah yang paling
tinggi. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إنَّما الدنيا لأربعة نفر: عبد رزقه الله مالاً وعلماً فهو يتقي فيه ربه ويصل فيه رحمه، ويعلم لله فيه حقاً فهذا بأفضل المنازل
“Dunia itu untuk 4 jenis hamba: Yang pertama, hamba yang
diberikan rezeki oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Ia
bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan ia gunakan untuk
menyambung silaturahim. Dan ia menyedari terdapat hak Allah pada
hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (HR. Tirmidzi, no.2325, ia berkata: “Hasan shahih”)