Friday, November 9, 2012

Konsep ulama' dan kepimpinannya

“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.

“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.

Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.

Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?

KELUASAN TAKRIF

Mungkin pendapat-pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. 

Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.

Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

 وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: 28]

Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’aala.

KRITERIA NABI

Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?

Allah Subhanahu wa Ta’aala membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf ‘alayhima al-Solaatu wa al-Salaam.

Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

 قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” [al-Qasas 28: 26]
Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. 

Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah Subhanahu wa Ta’aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.

AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.
Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. 

Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa ‘alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat AMEEN (integriti).

Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf ‘alayhi al-Salaam meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata: 

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]
HAFEEZ itu adalah soal integriti manakala ALEEM pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.
Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang ULAMA berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?

Monday, November 5, 2012

Rashid Ghannushi dan demokrasi



Apabila Rashid Ghannushi bertemu Zine el-Abidine Ben Ali - sebelum Ghannushi dengan bijaknya membuang dirinya ke London sebagai musuh pemerintahan diktator - satu perkara yang sangat ganjil berlaku. 

"Dia tidak melihat ke mata saya," ujar Ghannouchi. "Dia tidak begitu banyak bercakap. Tetapi apabila saya bersama dengan dia, mereka membawakan kopi untuk kami berdua.”

"Saya bercakap dan dia senyap mendengar, kemudian tiba-tiba dia mengejutkan saya. Dia menukarkan cawan kopi kami berdua. Kopi saya diambil beliau, dan beliau mengambil kopi saya, seraya berkata: 'Adakah kamu berasa sangsi dengan kopi ini?' Tetapi perkara berkenaan tidak pernah terlintas di fikiran saya! Jadi saya menukarkan semula cawan kopi kami dan mengambil semula cawan yang diberikan kepada saya pada awalnya."

Aneh sekali. Semestinya ia adalah kali pertama dalam sejarah bahawa seorang diktator berfikir tetamunya takut diracun. Dan ketika kami sedang berbual, seorang wanita memasuki pejabat Ghannushi dengan membawakan kopi. Jangan tukarkan cawan, ujar saya kepadanya. Unsur lawaknya jelas. Namun Ghannushi bukanlah seorang lelaki yang semula jadi bersikap lucu dan dia banyak menghabiskan masa cuba memujuk lawannya bahawa - sebagai pengasas dan pemimpin parti terbesar di Tunisia, Ennahda - beliau tidak mahu sebuah negara Islam di Tunisia.
Umpan

Hanya 24 jam sebelumnya, seorang profesor undang-undang Tunisia, Jamil Sayah, telah menulis satu artikel panjang yang tidak begitu menyenangkan di La Presse de Tunis, mengatakan perbezaan antara Ghannushi dan majoriti warga Tunisia adalah "Ketua Ennahda mahu mengislamisasikan kemodenan manakala rakyat Tunisia mahu memodenkan Islam". Saya tidak fikir Ghannushi membaca artikel tersebut- yang seperti kebanyakan laporan dalam akhbar Tunisia, panjangnya sekurang-kurang 2,000 patah perkataan - tetapi dia termakan umpannya.

"Dia  (Sayah)  yang mahukan perkara ini," ujar Gannushi. "Saya tidak percaya warga Tunisia mahu mengubah Islam tetapi mereka mahu menjadi moden dan pada masa yang sama menjadi Muslim. Islam adalah agama yang moden, kita tidak memerlukan sebarang pengubahan ke atas Islam untuk menjadikan ia moden. Dari awal, Islam adalah agama yang pluralistik. Dari awal, Islam percaya dengan kebebasan beragama dan hati nurani, dalam kesahan negara berdasarkan kontrak antara rakyat dan pemerintah."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...