Salam,
Penulis kali ini paparkan tulisan Faris Zaini yang patut dibaca oleh pimpinan PAS Negeri, Kawasan dan Cawangan. Sebelum ini penulis ada menulis beberapa N3 yang menekankan kepentingan gerakerja penambahan pengundi baru dan ahli PAS. Bacalah tulisan beliau...
PAS dalam fasa pra PRU 13, pada pandangan saya perlu menyorot kembali sejarah perjuangan untuk memperkukuhkan jamaah dan parti. TG Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS sebelum ini, pernah mengarahkan setiap peringkat dalam PAS menggempur ahli baru untuk memenangkan Islam di Malaysia khususnya.
Ini penting, kerana tanpa ahli yang ramai dan kompeten, bagaimana PAS mahu bergerak dan menyampaikan dakwah di semua kawasan tidak kira di bandar mahupun di kampung-kampung dan taman-taman perumahan. Sasaran dakwah perlu didekati secara berhemah dan berhikmah.
Dengan media utama menjadi kuda tunggangan satu pihak sahaja, PAS dan Pakatan Rakyat perlu ‘berkempen’ melalui ahli-ahlinya, yang mana ‘sentuhan peribadi’ atau personal touch selalunya lebih membekas di hati pengundi atas pagar misalnya.
Mengambil ibrah (pengajaran) dari tokoh gerakan hebat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, beliau seorang pemimpin yang sangat menyantuni ahli-ahli Ikhwan Muslimin dan juga masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.
Beramah mesra dan berdakwah di kedai kopi dan di ceruk-ceruk kampung adalah perkara biasa bagi beliau walaupun beliau seorang pemimpin gerakan terkenal sewaktu itu.
Jika kita betul-betul menyusuri sejarah, betapa ramai tokoh-tokoh hebat yang dicipta Ikhwan Muslimin di Mesir, yang mereka ini asalnya seseorang yang bukannya dari latar belakang agama, namun setelah menyertai Ikhwan, mereka mampu memahami agama dan membahaskannya dalam masyarakat, mendalami isu-isu semasa malah membincangkan isu-isu ekonomi, hasil terpikat dengan peribadi dan karektor yang ada pada diri Imam Hassan Al-Banna pada mulanya.
Betapa luasnya ruang lingkup dakwah dan hasil ledakan tarbiyyah yang melangkaui batas politik dan latar belakang sasaran dakwahnya, mampu membawa kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat dan masyarakat umumnya.
Akhirnya di Mesir ketika itu, ahli-ahli Ikhwan yang ramai inilah yang menjadi agen-agen pendakwah di dalam masyarakat dan di ceruk-ceruk kampung sehingga Ikhwan berjaya menang dalam pilihanraya Mesir beberapa ketika selepas itu.
PAS Pernah Melalui Kempen Menambah 500,000 Ahli
Diungkap dari sejarah, setelah menjadi Presiden PAS, TG Dato’ Hj Fadzil Noor atau lebih mesra di kalangan rakyat Kedah dengan panggilan Ustaz Fadzil Noor, menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.