Setahun setelah
tercetusnya kebangkitan Arab, pertubuhan Salafi dan parti-parti politik
Salafi memainkan peranan yang terus meningkat aktif di sepanjang Timur
Tengah dan wilayah Utara Afrika.
Pangkalan
Salafi di Saudi dan Qatar cukup aktif di peringkat domestik dan
antarabangsa. Mereka menyokong kumpulan-kumpulan Salafi yang lain di
serata dunia, di Barat Afrika (Senegal, Mali, Niger, Nigeria dan
seumpamanya), di Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Tunisia) dan yang
merentasi Timur Tengah dan Asia (Mesir, Lubnan, Indonesia, Malaysia,
dan sebagainya) sehingga dan turut meliputi negara-negara di Eropah dan
Amerika.
Dukungan mereka yang pokok adalah daripada rangka ideologi dan kewangan, dengan
matlamat untuk memperluaskan mesej Islam yang spesifik melalui buku,
brosur, syarahan dan pembinaan masjid dan institusi.
Seluruh
organisasi Salafi berkongsi pendekatan literalis yang tegas terhadap
sumber-sumber kitab, umumnya menfokuskan terhadap dimensi yang zahir
daripada rujukan Islam (hukum dan jurispruden atau fikah) dalam
kehidupan harian: amalan yang sah atau mungkar (halal dan haram), etika
berpakaian, ibadat, dan sebagainya.
Pendekatan
literalis salafi meraih sandaran dan tapak yang kukuh di banyak
negara (termasuk di Barat) dan di kalangan kelompok muda kerana ia
mencanangkan prinsip semudah hitam dan putih (halal-haram) daripada
kefahaman Islam.
Umat Islam, mereka berhujah, harus menjauhkan diri
mereka daripada pengaruh masyarakat sekeliling, dan mengelakkan
keterlibatan dalam politik
Pandangan dunia yang bersifat dua-pola (binary)
ini (yang mana umat Islam menentang yang bukan beragama Islam, kebaikan
berbanding keburukan, kesucian agama yang terpelihara berbanding
penyertaan politik yang mencemarkan) telah selama bertahun membentuk
kerangka fikir agama berlandaskan dasar pemisahan, sikap defensif dan
penghukuman yang keras (tentang siapakah kelompok Islam dan siapakah
pula para ahli bid‘ah yang merbahaya, malahan yang terkeluar daripada
ajaran Tauhid).
Majoriti
yang besar daripada para Salafi telah melangkah tidak melangkaui garis
ini akan tetapi sejumlah minoriti daripada kalangan mereka (dalam
jaringan yang tertutup dan terpinggir), dengan kefahaman dan pandangan
dua-pola (binary) yang sama, telah menterbalikkan sikap
defensif kepada agresif dan terkadang dalam aktiviti politik yang ganas,
mengelarkan diri mereka sebagai gerakan Salafi Jihadi (al-Salafiyya al-Jihadiyya).