Thursday, April 12, 2012

Persamaan Para Salafi (The Salafist Equation) - Mengapa Barat tidak tergugat ?

Sementara kita mengikuti perkembangan politik di kedua-dua wilayah Barat dan Utara Afrika dan juga di Timur Tengah, adalah kritikal untuk memberi perincian penuh terhadap “persamaan rangkaian Salafi”, yang mungkin terbukti sebagai salah satu cabaran agama dan politik yang paling signifikan dalam tahun-tahun mendatang. 

Setahun setelah tercetusnya kebangkitan Arab, pertubuhan Salafi dan parti-parti politik Salafi memainkan peranan yang terus meningkat aktif di sepanjang Timur Tengah dan wilayah Utara Afrika.

Pangkalan Salafi di Saudi dan Qatar cukup aktif di peringkat domestik dan antarabangsa. Mereka menyokong kumpulan-kumpulan Salafi yang lain di serata dunia, di Barat Afrika (Senegal, Mali, Niger, Nigeria dan seumpamanya), di Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Tunisia) dan yang  merentasi Timur Tengah dan Asia (Mesir, Lubnan, Indonesia, Malaysia, dan sebagainya) sehingga dan turut meliputi negara-negara di Eropah dan Amerika.
 
Salafi Literalis mencanangkan prinsip hitam dan putihSalafi Literalis mencanangkan prinsip hitam dan putihDukungan mereka yang pokok adalah daripada rangka ideologi dan kewangan, dengan matlamat untuk memperluaskan mesej Islam yang spesifik melalui buku, brosur, syarahan dan pembinaan masjid dan institusi.

Seluruh organisasi Salafi berkongsi pendekatan literalis yang tegas terhadap sumber-sumber kitab, umumnya menfokuskan terhadap dimensi yang zahir daripada rujukan Islam (hukum dan jurispruden atau fikah) dalam kehidupan harian: amalan yang sah atau mungkar (halal dan haram), etika berpakaian, ibadat, dan sebagainya.

Pendekatan literalis salafi meraih sandaran dan tapak yang kukuh di banyak negara (termasuk di Barat) dan di kalangan kelompok muda kerana ia mencanangkan prinsip semudah hitam dan putih (halal-haram) daripada kefahaman Islam. 

Umat Islam, mereka berhujah, harus menjauhkan diri mereka daripada pengaruh masyarakat sekeliling, dan mengelakkan keterlibatan dalam politik

Pandangan dunia yang bersifat dua-pola (binary) ini (yang mana umat Islam menentang yang bukan beragama Islam, kebaikan berbanding keburukan, kesucian agama yang terpelihara berbanding penyertaan politik yang mencemarkan) telah selama bertahun membentuk kerangka fikir agama berlandaskan dasar pemisahan, sikap defensif dan penghukuman yang keras (tentang siapakah kelompok Islam dan siapakah pula para ahli bid‘ah yang merbahaya, malahan yang terkeluar daripada ajaran Tauhid).

Majoriti yang besar daripada para Salafi telah melangkah tidak melangkaui garis ini akan tetapi sejumlah minoriti daripada kalangan mereka (dalam jaringan yang tertutup dan terpinggir), dengan kefahaman dan pandangan dua-pola (binary) yang sama, telah menterbalikkan sikap defensif kepada agresif dan terkadang dalam aktiviti politik yang ganas, mengelarkan diri mereka sebagai gerakan Salafi Jihadi (al-Salafiyya al-Jihadiyya).


Nyata tidak wujud hubungan ideologi mahupun organisasi antara gerombolan Salafi Literalis dan Salafi Jihadi tetapi puak jihadi telah membawa ke dalam kancah aktivis politik kerangka pemikiran yang sama yang digagaskan di kalangan literalis berkait dengan persoalan tentang tata-laku (yang ditambah padanya kesahan mengganas terhadap rejim yang tidak bersandarkan Islam lagi “korup”).

Dalam tahun-tahun dan bulan kebelakangan ini kita telah menyaksikan suatu perubahan dalam kegiatan politik Salafi literalis. Setelah hampir berdekad menolak pembabitan dalam politik – menyamakan demokrasi dengan kufr - mereka kini perlahan-lahan menyertai perjuangan politik.

Afghanistan, dalam dekad sembilan puluh-an, adalah medan ujikaji yang penting di mana Taliban di masa kehadapan (golongan tradisionalis yang pada mulanya membantah peranan parti politik) kemudiannya muncul sebagai kekuatan utama menentang pendudukan Russia, yang didukung oleh kedua-dua  pemerintah Saudi dan Amerika.

Kini kita lihat, khususnya di Mesir dan Tunisia, kebangkitan parti politik dan pertubuhan Salafi literalis yang aktif dan agak berkesan yang memainkan peranan yang substantif dalam menstrukturkan perdebatan dan merangka semula keseimbangan politik di dalam negara-negara berkenaan.

Amerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah tidak mempunyai masalah menangani jenis Islamisme yang dicanangkan oleh gerombolan Salafi literalisAmerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah tidak mempunyai masalah menangani jenis Islamisme yang dicanangkan oleh gerombolan Salafi literalisKepentingan geostrategik

Amerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah tidak mempunyai masalah menangani jenis Islamisme yang dicanangkan oleh gerombolan Salafi literalis yang terdapat di beberapa negara Muslim: regim-regim ini mungkin menentang demokrasi dan pluralisme, tetapi mereka tidak menghalang kepentingan ekonomi Barat dan geostrategik di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Mereka malah bergantung kepada dukungan Barat untuk melanjutkan survival: pergantungan yang berguna ini telah cukup bagi Barat menjustifikasi persyarikatan yang objektif – samada dengan demokrasi atau tanpanya.

Pentadbiran Amerika dan negara-negara Eropah yang lain cukup menyedari bahawa organisasi-organisasi Salafi, yang berpengkalan di Arab Saudi, di Qatar atau di tempat lain di Timur Tengah, sedang mencurahkan berbilion ke kantung “negara-negara yang telah meraih kemerdekaan” dan khususnya akhir-akhir ini di Tunisia, Libya dan Mesir (laporan dari RAND telah menyebut angka yang impresif: $80 million - Dh294 million - yang dilaburkan sebelum pilihanraya di Mesir sahaja). 

Maka pertanyaannya, mengapakah negara-negara Barat menghulurkan sokongan secara langsung dan tidak langsung kepada ideologi Islamis yang kelihatannya sangat terasing dengan keyakinan mereka?

Setelah hampir satu abad mempunyai kehadiran yang aktif di Timur Tengah, dan khususnya setelah Perang Dunia Pertama, penerus pentadbiran Amerika dan rakan-rakan Eropahnya telah memahami dengan lebih baik bagaimana mereka boleh merangka dan meraih faedah daripada perhubungan mereka dengan keduanya - negara pengeluar minyak yang kaya dan ideologi Salafi yang terhasil dan dicanangkan. 

Faedahnya dipecahkan dalam tiga bentuk:
  • Negara-negara ini dan ideologi Salafinya hanya mementingkan kuasa politik dan kredibiliti agama. Mereka menfokuskan – dengan cara yang konservatif dan kaku – terhadap ketrampilan politik, urusan sosial dan undang-undang yang terperinci; akan tetapi dari sudut ekonomi mereka berwatak liberal, penyangak kapitalis yang tidak memperdulikan etika Islam walaupun dalam rangka pandang neo-liberal terhadap aturan ekonomi dunia. Malah, mereka telah memacunya lebih jauh.
  • Mendakyahkan tren Salafi dalam majoriti masyarakat Muslim membantu mencetuskan perpecahan dalam masyarakat ini dan dengan itu menghalang gerakan dan tren reformis yang berpotensi dan kritikal terhadap polisi barat (Islamis Reformis, sayap kiri atau malah beberapa lingkungan Sufi tradisional) daripada meraih kredibiliti agama yang pantas dan alamiah mahupun majoriti yang jelas dalam masyarakat ini. Daripada melahirkan konfrontasi (yang mana, sebaliknya, dapat menyatukan umat Islam), strategi yang paling berkesan bagi Barat adalah untuk memecahkan umat Islam dengan asas agama: dalam perkataan lain untuk merubah kepelbagaian yang lumrah antara umat Islam dengan instrumen yang berdaya dan efektif bagi menjalankan strategi perpecahan.
  • Kebangkitan Salafi telah mencipta permasalahan dan pertelingkahan dalam tradisi Sunni yang berbagai dan diantara Sunni dan Shi’ah Islam juga, kerana Syi’ah dianggap sesat oleh kaum literalis. Pergolakan dan pertembungan antara Sunni-Syi’ah di Timur Tengah adalah faktor yang kritikal di rantau ini khususnya yang menyentuh ancaman Barat dan Israel terhadap Iran dan penindasan yang berterusan di Syria. Perpecahan ini adalah begitu teruk walaupun dalam hal berkaitan resistensi Palestin, yang mana selama bertahun telah menjadi faktor penyatu perjuangan umat Islam yang sah. Kini perpecahan adalah aturan yng menguasai, di dalam dan di luar, sepertimana aktivisme Salafi (yang tidak begitu menghiraukan tentang perjuangan rakyat Palestin) semakin mengakar antara kelompok Sunni yang berbagai dan juga antara Sunni dan Shi’ah.
Hubungan strategik dengan Salafi literalis ini, dengan bersandarkan kedua-dua dasar agama dan politik, adalah kritikal bagi Barat memandangkan ia merupakan jalan yang paling berkesan untuk meneruskan cengkaman ke atas Timur Tengah. 

Melindungi kepentingan negara pengeluar minyak yang kaya dan juga pegangan ideologi agama mereka sambil memecahkan mana-mana kekuatan yang berpotensi menggerakkan kesatuan politik (seperti pakatan antara kelompok Islamis sekular dan reformis atau fron yang popular menyanggah polisi Israel) telah mewajarkan usaha untuk meranapkan majoriti negara umat Islam dari dalam.

Negara-negara dari Timur Tengah yang baru, termasuk juga dari wilayah Utara dan Barat Afrika, berdepan dengan mara bahaya yang serius. Faktor agama telah menjadi sesuatu yang kritikal dan sekiranya umat Islam, para ulama’, pemimpin agama dan politik, tidak bekerja untuk lebih saling menghormati, memupuk kesatuan dan menerima kepelbagaian, maka jelas tidak akan terhasil kebangkitan musim semi Arab atau Afrika. 

Umat Islam dengan kepincangan pengurusan dalaman dan kelemahannya akan dieksploitasi untuk melindungi Israel dari satu pihak dan untuk bersaing dengan China dan India dari sudut yang lain.

Negara majoriti umat Islam harus berusaha untuk wujud sebagai masyarakat yang bebas yang tidak lagi tunduk melayani kepentingan sinis yang terselindung. Umat Islam harus menetapkan keputusan, supaya jangan mereka berakhir bertembung kerana agama yang telah menyeru mereka supaya berpadu.

Tariq Ramadan adalah Profesor Pengajian Islam Kontemporari
di Fakulti Pengajian Ketimuran Universiti Oxford
dan Profesor Pelawat di Fakulti Pengajian Islam di Qatar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...