Setahun setelah
tercetusnya kebangkitan Arab, pertubuhan Salafi dan parti-parti politik
Salafi memainkan peranan yang terus meningkat aktif di sepanjang Timur
Tengah dan wilayah Utara Afrika.
Pangkalan
Salafi di Saudi dan Qatar cukup aktif di peringkat domestik dan
antarabangsa. Mereka menyokong kumpulan-kumpulan Salafi yang lain di
serata dunia, di Barat Afrika (Senegal, Mali, Niger, Nigeria dan
seumpamanya), di Afrika Utara (Maghribi, Algeria, Tunisia) dan yang
merentasi Timur Tengah dan Asia (Mesir, Lubnan, Indonesia, Malaysia,
dan sebagainya) sehingga dan turut meliputi negara-negara di Eropah dan
Amerika.
Dukungan mereka yang pokok adalah daripada rangka ideologi dan kewangan, dengan
matlamat untuk memperluaskan mesej Islam yang spesifik melalui buku,
brosur, syarahan dan pembinaan masjid dan institusi.
Seluruh
organisasi Salafi berkongsi pendekatan literalis yang tegas terhadap
sumber-sumber kitab, umumnya menfokuskan terhadap dimensi yang zahir
daripada rujukan Islam (hukum dan jurispruden atau fikah) dalam
kehidupan harian: amalan yang sah atau mungkar (halal dan haram), etika
berpakaian, ibadat, dan sebagainya.
Pendekatan
literalis salafi meraih sandaran dan tapak yang kukuh di banyak
negara (termasuk di Barat) dan di kalangan kelompok muda kerana ia
mencanangkan prinsip semudah hitam dan putih (halal-haram) daripada
kefahaman Islam.
Umat Islam, mereka berhujah, harus menjauhkan diri
mereka daripada pengaruh masyarakat sekeliling, dan mengelakkan
keterlibatan dalam politik
Pandangan dunia yang bersifat dua-pola (binary)
ini (yang mana umat Islam menentang yang bukan beragama Islam, kebaikan
berbanding keburukan, kesucian agama yang terpelihara berbanding
penyertaan politik yang mencemarkan) telah selama bertahun membentuk
kerangka fikir agama berlandaskan dasar pemisahan, sikap defensif dan
penghukuman yang keras (tentang siapakah kelompok Islam dan siapakah
pula para ahli bid‘ah yang merbahaya, malahan yang terkeluar daripada
ajaran Tauhid).
Majoriti
yang besar daripada para Salafi telah melangkah tidak melangkaui garis
ini akan tetapi sejumlah minoriti daripada kalangan mereka (dalam
jaringan yang tertutup dan terpinggir), dengan kefahaman dan pandangan
dua-pola (binary) yang sama, telah menterbalikkan sikap
defensif kepada agresif dan terkadang dalam aktiviti politik yang ganas,
mengelarkan diri mereka sebagai gerakan Salafi Jihadi (al-Salafiyya al-Jihadiyya).
Nyata
tidak wujud hubungan ideologi mahupun organisasi antara gerombolan
Salafi Literalis dan Salafi Jihadi tetapi puak jihadi telah membawa ke
dalam kancah aktivis politik kerangka pemikiran yang sama yang
digagaskan di kalangan literalis berkait dengan persoalan tentang
tata-laku (yang ditambah padanya kesahan mengganas terhadap rejim yang
tidak bersandarkan Islam lagi “korup”).
Dalam
tahun-tahun dan bulan kebelakangan ini kita telah menyaksikan suatu
perubahan dalam kegiatan politik Salafi literalis. Setelah hampir
berdekad menolak pembabitan dalam politik – menyamakan demokrasi dengan kufr - mereka kini perlahan-lahan menyertai perjuangan politik.
Afghanistan,
dalam dekad sembilan puluh-an, adalah medan ujikaji yang penting di
mana Taliban di masa kehadapan (golongan tradisionalis yang pada mulanya
membantah peranan parti politik) kemudiannya muncul sebagai kekuatan
utama menentang pendudukan Russia, yang didukung oleh kedua-dua
pemerintah Saudi dan Amerika.
Kini
kita lihat, khususnya di Mesir dan Tunisia, kebangkitan parti politik
dan pertubuhan Salafi literalis yang aktif dan agak berkesan yang
memainkan peranan yang substantif dalam menstrukturkan perdebatan dan
merangka semula keseimbangan politik di dalam negara-negara berkenaan.
Kepentingan geostrategik
Amerika
Syarikat dan juga negara-negara Eropah tidak mempunyai masalah
menangani jenis Islamisme yang dicanangkan oleh gerombolan Salafi
literalis yang terdapat di beberapa negara Muslim: regim-regim ini
mungkin menentang demokrasi dan pluralisme, tetapi mereka tidak
menghalang kepentingan ekonomi Barat dan geostrategik di peringkat
tempatan dan antarabangsa.
Mereka
malah bergantung kepada dukungan Barat untuk melanjutkan survival:
pergantungan yang berguna ini telah cukup bagi Barat menjustifikasi
persyarikatan yang objektif – samada dengan demokrasi atau tanpanya.
Pentadbiran
Amerika dan negara-negara Eropah yang lain cukup menyedari bahawa
organisasi-organisasi Salafi, yang berpengkalan di Arab Saudi, di Qatar
atau di tempat lain di Timur Tengah, sedang mencurahkan berbilion ke
kantung “negara-negara yang telah meraih kemerdekaan” dan khususnya
akhir-akhir ini di Tunisia, Libya dan Mesir (laporan dari RAND telah
menyebut angka yang impresif: $80 million - Dh294 million - yang
dilaburkan sebelum pilihanraya di Mesir sahaja).
Maka pertanyaannya,
mengapakah negara-negara Barat menghulurkan sokongan secara langsung dan
tidak langsung kepada ideologi Islamis yang kelihatannya sangat
terasing dengan keyakinan mereka?
Setelah
hampir satu abad mempunyai kehadiran yang aktif di Timur Tengah, dan
khususnya setelah Perang Dunia Pertama, penerus pentadbiran Amerika dan
rakan-rakan Eropahnya telah memahami dengan lebih baik bagaimana mereka
boleh merangka dan meraih faedah daripada perhubungan mereka dengan
keduanya - negara pengeluar minyak yang kaya dan ideologi Salafi yang
terhasil dan dicanangkan.
Faedahnya dipecahkan dalam tiga bentuk:
- Negara-negara ini dan ideologi Salafinya hanya mementingkan kuasa politik dan kredibiliti agama. Mereka menfokuskan – dengan cara yang konservatif dan kaku – terhadap ketrampilan politik, urusan sosial dan undang-undang yang terperinci; akan tetapi dari sudut ekonomi mereka berwatak liberal, penyangak kapitalis yang tidak memperdulikan etika Islam walaupun dalam rangka pandang neo-liberal terhadap aturan ekonomi dunia. Malah, mereka telah memacunya lebih jauh.
- Mendakyahkan tren Salafi dalam majoriti masyarakat Muslim membantu mencetuskan perpecahan dalam masyarakat ini dan dengan itu menghalang gerakan dan tren reformis yang berpotensi dan kritikal terhadap polisi barat (Islamis Reformis, sayap kiri atau malah beberapa lingkungan Sufi tradisional) daripada meraih kredibiliti agama yang pantas dan alamiah mahupun majoriti yang jelas dalam masyarakat ini. Daripada melahirkan konfrontasi (yang mana, sebaliknya, dapat menyatukan umat Islam), strategi yang paling berkesan bagi Barat adalah untuk memecahkan umat Islam dengan asas agama: dalam perkataan lain untuk merubah kepelbagaian yang lumrah antara umat Islam dengan instrumen yang berdaya dan efektif bagi menjalankan strategi perpecahan.
- Kebangkitan Salafi telah mencipta permasalahan dan pertelingkahan dalam tradisi Sunni yang berbagai dan diantara Sunni dan Shi’ah Islam juga, kerana Syi’ah dianggap sesat oleh kaum literalis. Pergolakan dan pertembungan antara Sunni-Syi’ah di Timur Tengah adalah faktor yang kritikal di rantau ini khususnya yang menyentuh ancaman Barat dan Israel terhadap Iran dan penindasan yang berterusan di Syria. Perpecahan ini adalah begitu teruk walaupun dalam hal berkaitan resistensi Palestin, yang mana selama bertahun telah menjadi faktor penyatu perjuangan umat Islam yang sah. Kini perpecahan adalah aturan yng menguasai, di dalam dan di luar, sepertimana aktivisme Salafi (yang tidak begitu menghiraukan tentang perjuangan rakyat Palestin) semakin mengakar antara kelompok Sunni yang berbagai dan juga antara Sunni dan Shi’ah.
Hubungan
strategik dengan Salafi literalis ini, dengan bersandarkan kedua-dua
dasar agama dan politik, adalah kritikal bagi Barat memandangkan ia
merupakan jalan yang paling berkesan untuk meneruskan cengkaman ke atas
Timur Tengah.
Melindungi kepentingan negara pengeluar minyak yang kaya
dan juga pegangan ideologi agama mereka sambil memecahkan mana-mana
kekuatan yang berpotensi menggerakkan kesatuan politik (seperti pakatan
antara kelompok Islamis sekular dan reformis atau fron yang popular
menyanggah polisi Israel) telah mewajarkan usaha untuk meranapkan
majoriti negara umat Islam dari dalam.
Negara-negara
dari Timur Tengah yang baru, termasuk juga dari wilayah Utara dan Barat
Afrika, berdepan dengan mara bahaya yang serius. Faktor agama telah
menjadi sesuatu yang kritikal dan sekiranya umat Islam, para ulama’,
pemimpin agama dan politik, tidak bekerja untuk lebih saling
menghormati, memupuk kesatuan dan menerima kepelbagaian, maka jelas
tidak akan terhasil kebangkitan musim semi Arab atau Afrika.
Umat Islam
dengan kepincangan pengurusan dalaman dan kelemahannya akan
dieksploitasi untuk melindungi Israel dari satu pihak dan untuk bersaing
dengan China dan India dari sudut yang lain.
Negara
majoriti umat Islam harus berusaha untuk wujud sebagai masyarakat yang
bebas yang tidak lagi tunduk melayani kepentingan sinis yang
terselindung. Umat Islam harus menetapkan keputusan, supaya jangan
mereka berakhir bertembung kerana agama yang telah menyeru mereka supaya
berpadu.
di Fakulti Pengajian Ketimuran Universiti Oxford
dan Profesor Pelawat di Fakulti Pengajian Islam di Qatar.
No comments:
Post a Comment