Tuesday, April 3, 2012

Tulahan : Hargai mereka yang berjuang, bukan timbulkan masalah

Salam,
 
Sudah lama tidak ada kesempatan untuk  menulis berkaitan jamaah di kawasan sejak balik ke Malaysia September tahun lepas. Bukan tak mahu menulis tapi tiada masa yang sesuai kerana kerja tiap-tiap malam sehingga subuh.

Bila malam tak tidur , maka kena tidur siang . Masa yang terhad yang ada pun penulis hanya mampu buat kerja update blog dan FB jamaah kawasan. Blog sendiri pun dah jarang update, web jamaah seminggu sekali baru update.

Dua hari malam cuti pun tidak kosong kerana buat usrah untuk adik-adik . Kena pastikan adik- adik ini faham jamaah sebelum boleh berikan kepercayaan kepada mereka untuk gerakkan jamaah yang baru penulis bentuk setelah sampai di bumi orang putih ni.  Siang hari cuti pula sibuk dengan aktiviti persatuan pelajar yang penulis jadi Ajknya. 

Bila sebut berkaitan beri kepercayaan, penulis bersyukur kerana jamaah kawasan terus bergerak aktif . Orang yang penulis bagi kepercayaan untuk gerakkan jamaah telah laksanakan tugas dengan baik. Walaupun masih ada kelemahan , boleh diperbaiki melalui gerak kerja lengkap melengkapi.

Mesyuarat agung pemuda dan muslimat pun dah berjalan. Muslimat tetap gah dengan kehadiran yang ramai. Pemuda macam dulu juga, tetap aktif dan pemudalah pengerak utama kepada jamaah di kawasan. Kenapa ? kerana beberapa orang Ajk pemuda adalah juga Ajk Kawasan yang mengerakkan jamaah.

Mesyuarat agung cawangan juga masih berjalan , banyak cawangan yang dah buat. Masih banyak juga yang belum buat. Penulis harap Ajk Kawasan kena berusaha pastikan cawangan adakan mesyuarat agung. Akar umbi kena jaga, kerana akar umbi inilah yang jadi bukti jamaah kawasan kuat.

Mesyuarat agung kawasan belum berlangsung. Tahun ini penulis dah tak buat laporan tahunan sebab banyak program penulis tak tahu . Kalau tahu pun tak tahu tarikhnya. Yang ada sehingga penulis balik September tahun lepas . 

Sekiranya, penulis ada di Malaysia. Penulis pastikan semua aktiviti jamaah kawasan ditulis dalam diari aktiviti. Sebab tu , penulis dapat buat laporan lengkap setiap kali mesyuarat agung kawasan. Malah laporan gerak kerja yang negeri minta pun mudah disiapkan sebab semuanya ada dalam diari aktiviti.


Pernah ada yang suruh penulis minta sahaja laporan dari Pengerusi Lujnah untuk dimasukkan dalam laporan tahunan. Jika Pengerusi lujnah tak hantar maka tiadalah laporan lujnah. Bagi yang mahu buat kerja mudah memang boleh buat macam tu, tapi penulis bukan begitu. 

Tak boleh harap semua pengerusi lujnah catat semua aktiviti yang dilakukan. Tak semua pengerusi lujnah yang berkemampuan terutama yang dah berumur. Sebab tu penulis tolong sediakan laporan aktiviti . Nak rai juga pengerusi lujnah yang dah susah payah buat akitiviti. Bila mesyuarat agung , tengok laporan tak ada aktiviti.

InsyaAllah, SU jamaah kawasan akan mampu buat laporan seperti yang penulis buat untuk mesyuarat agung.  Penulis tabik kepada Bendahari jamaah yang mampu buat penyata kewangan yang puratanya puluh ribu dan kadang-kadang capai lebih seratus ribu dengan lengkap sejak mesyuarat agung tahun lepas.

Walaupun boleh dikategori ‘orang lama’ tapi beliau mampu buat penyata kewangan sama macam penyata kewangan yang penulis tolong buat untuknya untuk mesyuarat agung sebelum itu. Penyata kewangan yang terperinci perlu sebagai bukti ketelusan menguruskan kewangan.

Ramai yang ambil mudah buat penyata kewangan. Sedangkan yang diurus itu adalah wang dan harta jamaah. Semuanya bukan sahaja dihitung semasa mesyuarat agung , malah akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak.  

Pernah penulis tegur seorang bendahari yang amaunnya cukup besar hanya untuk satu aktiviti. Sedangkan , perwakilan jamaah dalam mesyurat agung perlu tahu perinciannya. Memang banyak kerja pengiraan perlu dibuat menghasilkan penyata kewangan  terperinci.

Gerak kerja pilihanraya jamaah kawasan juga terus aktif, UPU pun dah semangat gantung bendera bulan sehingga Majlis Daerah keluar arahan hendak turunkan bendera parti. UMNO dah sakit mata lihat kibaran bendera bulan.

Aktiviti kebajikan terus berjalan dengan lujnah kebajikan jadi penyumbang utama. Cakna rakyat , bantuan kerusi roda dan bantuan kebajikan terus berjalan. Ada sahaja aduan, akan ada bantuan dari jamaah kawasan melalui lujnah kebajikan. 

Kerjasama laksana kerja kebajikan lujnah kebajikan, muslimat, pemuda, unit amal dan nisa’ juga telah berjaya hasilkan projek dana besar untuk pasang bumbung rumah orang susah dan bina tandas rumah orang OKU.

Ilham juga akan buka sesi baru setelah sesi lepas jamaah kawasan berjaya hasilkan graduan teramai dengan 39 orang terima Diploma Tasawur Islam. Harapan penulis, graduan Ilham mampu membantu lujnah tarbiyyah melaksanakan lebih banyak aktiviti tarbiyah dalam kawasan.

Mungkin ada yang bertanya kenapa penulis ceritakan kejayaan jamaah kawasan walaupun tahu bukan penulis yang mengerakkannya.  Kerana inilah penghargaan penulis kepada mereka-mereka yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bukan untuk kepentingan peribadi tapi hanya untuk jamaah.

Selepas penulis tiada di kawasan, memang ada yang berharap jamaah kawasan tidak bergerak, tidak aktif. Allah sentiasa menolong mereka yang berjuang untuk agamaNya. Walaupun penulis tiada , jamaah kawasan terus bergerak, malah lebih aktif. Inilah bukti, jamaah bukan bergantung kepada individu . 

Oleh itu, kepada yang kecewa dengan kerana jamaah kawasan masih aktif. Hentikan  melakukan tindakan untuk menunjukkan kekecewaan. Fahamilah jamaah ini bukan semata-mata parti politik tetapi gerakan Islam yang sentiasa mendapat perlindungan Allah. 

Ingatlah dosa kerana memberi masalah kepada perjuangan. Hormatilah dan hargai mereka yang ikhlas berjuang. Banyak kerja jamaah yang perlu diselesaikan dalam keadaan masa yang terhad. Jangan bebankan mereka dengan menimbulkan masalah kerana setiap masalah yang ditimbulkan dengan sengaja, ada hisab yang menunggu.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment