Seorang
yang tenang, berjambang lebat dan sedikit beruban dijanggutnya,
bertanda hitam di dahi, mulutnya kumat-kamit membaca potongan ayat
Al-Quran sebelum memulakan bicaranya. Muhammad Fisol bin Ansan, 52,
kini dikenali sebagai ustaz, bukanlah sembarangan orang.
Beliau pernah
didera, diugut, ditawarkan wang RM50,000 supaya beliau membuat
pengakuan palsu di televisyen memuji dasar-dasar kerajaan pemerintah
semasa menjadi tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) ketika era
Dr. Mahathir suatu ketika dahulu.
Beliau yang sesekali
berjenaka, adalah antara ramai di kalangan ahli PAS yang ditahan
dalam usaha kerajaan pemerintah mengekang gerakan pro-Islam yang
dianggap oleh Mahathir sebagai ancaman yang cuba menjatuhkan kerajaan
pemerintah kononnya melalui gerakan “revolusi bersenjata” pada masa
itu.
Akta Keselamatan Dalam Negeri digunakan untuk menahan
orang-orang yang disyaki tanpa dibicarakan dan tanpa sebarang bukti
yang boleh dikaitkan dengan tuduhan yang dikenakan.
Selain
itu, beliau turut didera dengan dicabut misai, merangkak di bawah
meja, dikapit kuku serta berdiri sebelah kaki hingga peluh menitis dan
juga dilarang mengerjakan solat.
Beliau juga menerima bermacam-macam
jenis ugutan seperti membuatkan isterinya meminta cerai, ditarik
balik biasiswa pengajian, dibuang kerja dan juga ditahan tanpa
tempoh.
Kebanyakan masanya, beliau dikenakan hukuman kediaman
terhad, dengan anggota polis sentiasa membuat kawalan ketat di
hadapan rumahnya 24 jam sehari, dan setiap aktivitinya dipantau oleh
pihak berkuasa.
Semua jenis tawaran, deraan dan ugutan itu tidak
sedikitpun melemahkan imannya untuk terus mempertahankan prinsip
perjuangan yang telah sebati dalam dirinya dan sudah tertanam jauh di
dalam lubuk hatinya iaitu mahu hidup dan mati bersama-sama Islam,
agama Tauhid.
Biar sebesar mana sekalipun jumlah wang ditawarkan,
beliau bukanlah mengejar kesenangan dan kemewahan hidup di dunia
sebaliknya beliau hanya mahukan keredhaan Allah semata-mata. Biar
sehebat mana ugutan diterima, beliau hanya takut kepada Allah sahaja.
Penerapan
dasar sekular yang semakin meluas didokongi oleh Mahathir ketika itu
membuatkan PAS menentang sekeras-kerasnya ideologi terbaru ini.
Dasar
sekularisme meletakkan agama di suatu sudut, memisahkan
perkara-perkara ibadah dan kepercayaan kepada Tuhan dari
amalan-amalan kehidupan, malah Islam dibuang jauh-jauh dari
nilai-nilai kehidupan.
Apa yang kita lihat hari ini, sistem kehidupan
kita sudahpun diterapkan dengan unsur-unsur sekularisme. Sistem
pinjaman berbentuk riba yang tidak lagi boleh diamalkan oleh umat
Islam kerana hukumnya tetap haram.
Sistem pendidikan yang
mengkesampingkan pendidikan kerohanian sebaliknya menjurus kepada
kemajuan sains ciptaan dan inovasi. Sistem urusniaga yang berdasarkan
spekulasi tidak lagi memandang sesuatu barangan itu berdasarkan
nilainya.
Ditambah pula dengan kempen propaganda melalui media
cetak dan elektronik yang hanya membodek dan menjilat pemimpin
pemerintah diserap ke dalam minda masyarakat, kebebasan bersuara
disekat, pada masa itu teknologi internet belum ada, rakyat tidak
mempunyai alternatif lain selain hanya menerima apa saja yang
disogokkan di televisyen, radio dan akhbar yang dikongkong oleh
kerajaan pemerintah.
Menurut Fisol yang begitu senang sekali
berbicara, semua tuduhan yang dikenakan ke atas beliau adalah rekaan
semata-mata dan tidak pernah dibuktikan. Malah beliau sendiri tidak
pernah melihat mahupun memegang apa-apa jenis senjata yang dikatakan.
Suasana
politik di negara ini tidak sama seperti apa yang sedang berlaku di
Afghanistan ketika itu. Negara para pejuang Mujahid itu sedang
menghadapi tentera kafir yang memiliki kelengkapan senjata moden dan
terhebat mengebom kampung halaman mereka, membunuh wanita, kanak-kanak
dan orang-orang tua serta sedang menghancurkan sebuah negara yang
majoritinya adalah orang Islam. Mereka layak dibantu dan mereka juga
amat memerlukan bantuan dari saudara seMuslim yang berada di seluruh
dunia.
Sedih dan kecewa melihat nyawa saudara-saudara Islam sedang
melayang di Afghanistan, pemuda-pemuda bangkit untuk menentang
kezaliman yang sedang dilakukan oleh orang kafir.
Pemuda-pemuda PAS
juga tidak terkecuali untuk turut menyertai perjuangan mempertahankan
kesucian Islam maka mereka berhijrah ke negara yang sedang dihancurkan
itu demi mempertahankan maruah dan kesucian Islam.
Ini adalah ujian
yang terhebat, berkorban jiwa demi agama adalah pengorbanan yang amat
besar kerana itu Allah menjanjikan syurga kepada para syuhada.
Disebabkan
itu juga, PAS dituduh sedang merancang suatu gerakan revolusi
mengangkat senjata untuk menjatuhkan kerajaan pemerintah serta
melancarkan operasi assasin untuk membunuh pemimpin yang mengamalkan
dasar sekularisme.
Operasi kerajaan pemerintah menangkap
individu-individu yang disyaki untuk membendung gerakan yang kononnya
membawa negara menuju ke arah revolusi ini.
Oleh kerana terlalu takut
dengan kemungkinan gerakan revolusi pro-Islam bertapak di negara ini,
ISA digunakan dengan tidak perlu mencari bukti yang nyata untuk
mendakwa orang-orang ini.
Tidak cukup dengan tekanan ke atas individu
yang ditahan, ahli keluarga tahanan turut menjadi mangsa disekat dari
menikmati kehidupan seperti rakyat biasa, antaranya sukar mendapat
pekerjaan, tidak berpeluang belajar di universiti, tidak dibenarkan
lulus dalam peperiksaan dan sebagainya.
“ISA sepatutnya sudah
lama dihapuskan. Ia adalah undang-undang ‘draconian’ yang menahan
individu tanpa bicara. Mereka boleh menuduh sesuka-hati demi mengekang
perkembangan Islam di negara ini,” menurut Fisol.
Menurutnya
lagi, apa saja undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara
termasuk OSA juga patut dihapuskan. Undang-undang sebegini menafikan
hak individu dalam menyuarakan pendapat.
“Undang-undang yang
bercanggah dengan Islam patut diubah, hanya satu saja undang-undang
yang wajib kita laksanakan iaitu undang-undang Al-Quran.
“Mereka
yang suka kepada maksiat, suka melakukan jenayah, rasuah, pecah
amanah, salah guna kuasa, kerana itu mereka takut kepada Islam. Mereka
terang-terang menolak hukum Allah. Menolak hukum Allah bererti
berperang dengan Allah,” jelas Fisol lagi.
Beliau yang masih
terus bersama PAS sehingga hari ini tetap yakin dengan perjuangan parti
itu biarpun senario politik hari ini jauh berbeza dari dahulu di mana
PAS kini sudahpun mempunyai sekutu parti politik bukan Islam iaitu
DAP dan parti latar belakang berbilang kaum PKR.
“Biarpun PAS kini
bekerjasama dengan parti-parti lain, apa yang paling penting, PAS tidak
berganjak dari dasar perjuangan yang asal iaitu meletakkan Islam
sebagai teras dalam perjuangan,” ujarnya.
PAS sebagai sebuah
parti politik yang memperjuangkan Islam tidak pernah menggunakan
pendekatan keganasan revolusi, sebaliknya menggunakan pendekatan aman
tanpa senjata, mengembangkan dakwah serta berpegang kepada prinsip
demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Walaupun dasar perjuangan
menegakkan sebuah negara Islam yang mengamalkan ajaran-ajaran dari
Al-Quran dan Hadis, menurut hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh
Allah S.W.T, perjuangan parti politik di negara ini perlu
diterjemahkan melalui kertas undi. Itu yang telah diputuskan dan
disepakati bersama oleh setiap anggota parti.
Ini bercanggah
sekali dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pemerintah.
Ketakutan Mahathir ke atas gerakan pro-Islam dengan membanteras,
menangkap dan memenjarakan orang-orang yang disyaki tanpa dibenarkan
membela diri tidak ubah seperti ketakutan Raja Firaun.
Firaun raja
zalim memerintahkan setiap bayi lelaki yang baru lahir mesti dibunuh
kerana menurut kepercayaannya, akan lahir seorang lelaki dari kalangan
rakyatnya yang akan menjadi orang yang menentangnya suatu hari nanti.
Akhirnya Allah mengutuskan bayi lelaki yang dipelihara oleh
permaisurinya yang satu-satunya tidak dibunuh oleh Firaun, bayi itulah
yang membesar sehingga apabila dewasa menjadi utusanNya menyampaikan
dakwah dan membawa kebenaran kepada Raja Firaun itu.
Kerana
keangkuhan Firaun, Allah menenggelamkannya di Laut Merah dan jasadnya
sehingga hari ini menjadi tatapan dan bukti kebesaran Allah. Mungkin
kerana itulah, Mahathir dahulunya digelar Mahafiraun – gabungan
namanya dengan nama Firaun, kerana tindak-tanduknya serupa dengan Raja
Firaun.
Bahawa sesungguhnya jalan kebenaran itu tetap berada
pada tempatnya yang paling tinggi, ia tidak dapat ditandingi oleh
kebathilan. Kerana itu, setiap orang Muslim berdoa di setiap rakaat
dalam sembahyangnya “ihdinas siratal mustaqim” – tunjukilah aku ke
jalan yang benar!
perakitedaily
No comments:
Post a Comment