Bulan
Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya
terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik
dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu syurga, menutup
pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada
manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya.
Amal-amal ibadah
dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala
wajib/fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang
lain. Amat banyak kelebihan bulan Ramadhan yang kesemuanya insya Allah
akan kita bentangkan satu persatu dalam risalah kecil ini.
Sekarang
ini kita berada di bulan Sya'ban. Inilah masanya kita menanam azam
untuk kita merebut segala kelebihan Ramadhan yang dijanjikan Allah. Jika
Ramadhan tahun lalu kita lalai dan leka sehingga tanpa disedari
Ramadhan telahpun berlalu dan kita ketinggalan merebut kelebihannya,
maka pada tahun ini kita diberi peluang sekali lagi oleh Allah.
Maka
janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan
terakhir buat kita. Mati datang tidak menentu. Oleh itu, hendaklah kita
sentiasa bersedia. Rebutlah peluang semasa hayat masih ada ini supaya
di akhirat kita tidak menyesal dengan sesalan yang tiada gunanya lagi.
Membuat persiapan untuk memasuki Ramadhan
Bulan
yang besar dan penuh keberkatan serta banyak kelebihannya haruslah
disambut dengan penuh perasaan ta'zim (membesarkan) dan
mengalu-alukannya. Antara persiapan yang dapat kita lakukan –malah perlu
kita lakukan- sebelum menjelang Ramadhan ialah:
- Dengan banyak berpuasa dalam bulan Sya'ban.
- Mengulangkaji ilmu tentang puasa
- Membaca kembali hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang fadhilat (kelebihan) puasa dan bulan Ramadhan.
- Mengetahui amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan.
Pertama: Banyak berpuasa di bulan Sya'ban bermula dari awal bulan lagi
Diriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;
كَانَ
رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَصُومُ حَتَّىَ نَقُولَ:
لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، وَمَا رَأَيْتُ
رَسُولَ اللهِ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- اسْتَكْمَلَ صِيَامَ
شَهْرٍ قَطُّ إِلاَّ رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ
مِنْهُ صِيَاماً فِي شَعْبَانَ
"Adalah
Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami
menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau
terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa
langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa
sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah
melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di
bulan Sya'ban". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Usamah
bin Zaid r.a. menceritakan; "Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; 'Ya
Rasulullah, mengapakah aku tidak melihat kamu banyak berpuasa di
bulan-bulan lain sebagaimana kamu berpuasa di bulan Sya'ban'. Jawab
Rasulullah; 'Bulan Sya'ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh
manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun
ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam.
Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa". (Riwayat Imam
an-Nasai)
Namun
demikian, bagi orang yang tidak berpuasa langsung di awal Sya'ban
(yakni dalam masa 15 hari awal Sya'ban), maka ia dilarang berpuasa
selepas nisfu Sya'ban (yakni pertengahan Sya'ban). Ini sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w.;
إِذَا بقي نصفٌ من شَعبَانَ فَلاَ تصُومُوا
"Apabila berbaki separuh dari bulan Sya'ban maka janganlah kamu berpuasa". (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut
ulama', hadis ini merujuk kepada orang yang tidak berpuasa di bahagian
awal Sya'ban sekalipun pada 15 Sya'ban (yakni hari nisfu Sya'ban) atau
orang yang sengaja memilih hari-hari di hujung Sya'ban untuk berpuasa,
bukan kerana puasa itu berkebetulan dengan kebiasaannya (seperti puasa
Isnin dan Kamis atau puasa selang sehari) atau bukan kerana puasa
Qadha', Nazar dan Kafarah.
Maka mereka dilarang berpuasa selepas bulan
Sya'ban menjangkau pertengahannya. Adapun jika mereka telah memulai
puasa sebelumnya sekurang-kurangnya berpuasa pada hari nisfu Sya'ban,
maka harus untuk mereka meneruskan puasa selepas nisfu Sya'ban.
Secara
amnya –menurut ulama'- berpuasa selepas nisfu Sya'ban (kecuali dengan
syarat-syarat yang disebutkan tadi) hukumnya adalah makruh. Namun hukum
ini berubah kepada haram apabila Sya'ban masih tinggal sehari atau dua
hari lagi sebelum Ramadhan, terutamanya yaumu asy-Syak (hari ragu iaitu
hari 30 Sya'ban apabila orang ramai bercakap-cakap bahawa anak bulan
kelihatan, namun tidak ada saksi yang mengukuhkannya).
Menurut ulama'
mazhab Syafi'ie, berpuasa pada hari Syak hukumnya haram sama ada dengan
niat puasa Ramadhan (kerana berhati-hati) atau puasa sunat. Namun
dikecualikan bagi orang yang mempunyai kebiasaan berpuasa dan hari Syak
itu jatuh pada hari ia berpuasa atau orang yang meneruskan puasa Sya'ban
yang ia mulai sebelum bulan Sya'ban menjangkau pertengahannya, maka
haruslah bagi mereka puasa pada hari-hari tersebut. Sabda Rasulullah
s.a.w.;
لا تَقَدَّمُوا شَهرَ رَمضَانَ بصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمََيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
"Janganlah
engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari
sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia
berpuasa". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Berkata sahabat Nabi s.a.w. 'Ammar bin Yasir r.a.;
من صَامَ اليومَ الَّذِي شُكَّ فِيهِ فقد عصَى أَبا القاسمِ
"Sesiapa
berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim
(gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)". (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Begitu
juga, dikecualikan jika puasa itu dikerjakan kerana ada sesuatu sebab
seperti puasa Nazar atau puasa Qadha', maka sahlah puasa dan tidak
diharamkan puasa pada hari Syak itu.
(Rujukan
mengenai puasa Sya'ban di atas; at-Tajul Jami' lil-Ushul, Matn
al-Ghayah wa at-Taqrieb (tahqiq dan ta'liq oleh Syeikh Majid al-Hamawi),
Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 585, dan al-Fiqh al-Manhaji)
Mengenai kelebihan malam nisfu Sya'ban (yakni malam ke 15 Sya'ban), terdapat hadis di mana Rasulullah bersabda;
يَطَّلِعُ
اللهُ عز وجل عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النـِّصْفِ مِنْ شَعْبَاْن
فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِهِ إِلاَّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاْحِنٍ
"Pada
malam nisfu Sya'ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya, lalu Ia
mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang
bermusuh dengan saudara seagama". (Riwayat Imam at-Thabrani dan Ibnu
Hibban dari Mu'az bin Jabal r.a.)
Kedua: Mengulangkaji kembali ilmu atau pengetahuan tentang puasa
Amalan
yang paling utama di bulan Ramadhan ialah puasa. Puasa difardhukan pada
siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Untuk mencapai puasa yang sempurna
kita hendaklah memiliki ilmu tentang bagaimana melaksanakan puasa yang
sebenarnya sebagaimana yang dituntut oleh Syara'. Oleh itu, ada baiknya
sebelum menjelang Ramadhan kita mengulangkaji ilmu-ilmu tentang puasa
merangkumi;