Adakah Perpaduan Bangsa & Agama
mengatasi Seruan Allah untuk tegakkan Keadilan & Hapuskan Kerajaan Yang
Zalim & Rasuah?
~ Jawapan bagi mereka yang terus
mengatakan undi PR bakal menggadaikan Melayu & Islam.
Oleh Ahmad Sayuti Bashiron
Muqaddimah
"Dan
berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai"
(Ali Imran 103).
"Dan
janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah
datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang
mendapat siksa yang berat" (Ali Imran 105).
"Sesungguhnya
orang yang memecah-belahkan agamanya dan mereka menjadi berpuak-puak, tidak ada
sedikitpun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanya
terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa
yang telah mereka perbuatkan" (Al-An’am 159)
Seruan
Perpaduan Melayu
Pimpinan UMNO
mengajak bangsa Melayu terutama dari PAS bersatu atau setidaknya bekerjasama
dengan UMNO demi menyelamatkan Melayu dan Islam yang sedang ditindas.
UMNO
gemburkan istilah Melayu ditindas hanya selepas 2008. Selepas beberapa negeri
terutamanya Selangor yang menjadi lubuk emas tidak dikuasai oleh mereka.
Bagi
UMNO, tidak mengapa jika PAS tak masuk UMNO sekalipun, teruskanlah dengan kerja
PAS, tetapi yang penting PAS mestilah tinggalkan DAP sebagai parti Cina yang
antikan Islam demi menyelamatkan bangsa Melayu Islam.
Itulah seruan
yang diulang sana-sini. Seruan ini pernah datang dulu sekali tahun 1969.
Kemudian terus senyap. Sempena peristiwa besar 13 Mei 40 tahun lepas yang
berulang kembali kini, saya mengajak mereka yang masih gagal memahami fakta
untuk meneliti angka.
Saya memilih untuk tulis lebih panjang hari ini untuk
anda renungi semula beberapa "persoalan emosi & sentimen" besar
yang dimainkan, yang sebahagiannya amat mencelarukan minda rakyat, Melayu Islam
khususnya.
Walau ada yang mungkin marah melibatkan nama pemimpin tertentu, saya
terpaksa nyatakan dalam penghujjahan agar blok pemisah tersebut dapat
diperbetulkan.
Seruan
Melayu Sepakat
Sebelum saya
pergi lebih jauh, mari beberapa kata-kata semangat lantang mutakhir ini dalam
perbincangan di pelbagai media yang makin dipropagandakan;
"Kemenangan
PR sekarang ini menjadikan suara Melayu hilang di parlimen".
"Jika PR
dalam PRU13, bermakna parlimen akan dikuasai oleh Cina yang mempunyai agenda
anti Islam".
"Kami
hanya mahukan PAS berkuasa, kami tak mahu PAS bersama DAP".
"Kami
sangat sayangkan PAS, tapi kami hanya akan berusaha untuk membantu PAS yang
tulen sahaja".
"Perpaduan
Melayu dan Islam lebih diutamakan dalam negara demi mendaulatkan Islam daripada
menumbangkan pemerintah yang zalim dan perasuah".
Itu
hanya sedikit disalin dari FB atau kata-kata pemimpin tertentu.
Sebaik seruan
itu berkumandang 2008 lepas, berbondonglah NGO Melayu pelbagai nama walau yang
baru ditubuhkan sekalipun bertepuk dengan nada yang sama. Demi menyelamatkan
Malaysia, Melayu wajib bersatu! UMNO gembira "seruan perpaduan"nya
disahut gembira oleh pelbagai NGO Melayu, malah NGO Melayu Islam.
Hebatnya UMNO
sampai sampai dihadiahkan oleh NGO Melayu Islam buat mereka hingga
mengajak seorang pemuka UMNO melancarkan seruan Melayu Islam NGO itu sebelum
PRU13 kelak pada 9-Jun depan demi meraih sokongan pada mereka yang mahu
bersamanya!
Pelik dan
keliru. Berkokok juga NGO itu kononnya sama matlamat dengan Parti Islam PAS,
tetapi mahukan PAS sahut seruan UMNO itu bersama mereka.
Berkocaklah setiap
penjuru pentas ceramah atas platform UMNO, Hasan Ali, JATI, HIMPUN, Ezam,
ZulNordin, atau atas apa pentas sekalipun asal suara didengar. Beriya NGO itu
mahukan bekas naqib dan pemimpin usrah mereka turut dengar sekali bahawa suara
mereka semakin ganas sebenarnya.
Mendabik kamilah ikhwanist, yang lain-lain dah
lari dari landasan Islam. Kamilah yang betul, namun berpecah sakan sesama NGO
Islam lain demi seruan sendiri. Pilihan mereka dibuat untuk terus susuri jalan
yang jelas bertentangan dengan perpaduan sesama persatuan Islam yang
dicanangkan.
Perkiraan
pertama saya; saya tidak kisah jelasnya sokongan
terhadap UMNO yang dinyatakan oleh pelbagai kumpulan NGO Melayu lain itu. Itu
hak mereka. Itu pendirian politik masing-masing.
Masyarakat cerdik menilai dan
kenali akhlaq. Topi sahaja yang berbeza, batang tubuh tetap satu. Yang celaruan
adalah NGO Melayu Islam yang mahu bertapak semakin kuat melaungkan kalimah
"kami sangat sayangkan PAS", namun melaksanakan segala tindak yang
merugikan PAS dan pakatan PAS dalam menumbangkan kezaliman.
Berbisiklah juga
dalam diam-diam oleh mereka "kami sangat bencikan UMNO", kerna UMNO
perasuah dan melakukan kezaliman. Pimpinan UMNO merosakkan negara dan melanggar
Islam. Namun, antara "sayangkan PAS" dan"bencikan UMNO"
yang hanya berani di bibir itu, akhirnya seruan mereka tenggelam untuk terus
menolak Pakatan Rakyat (PR) yang diijtihadkan oleh PAS untuk bersamanya, hanya
dengan mengabil kata UMNO "PR menguntungkan Cina dan bukan Islam".