Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh
Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan
ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan.
Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari
isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa
tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):
(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي
وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ
الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ
الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa,
ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di
tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah
berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]
Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya
Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih
Al-Bukhari no: 2840]