Oleh Dr. Ubaidullah Mustaffa
Sudah agak lama Christchurch tidak bergegar. Gempa bumi yang meruntuhkan pusat bandaraya Christchurch telah menyepi hampir sebulan. Barangkali sepi menyambut Ramadan dan Aidil Fitri yang penuh rahmat.
Salji tebal sudah dua kali melitupi bandaraya kedua terbesar di New Zealand ini. Heboh seluruh dunia tentang berita salji tebal melanda New Zealand.
Jabatan kajicuaca New Zealand mengesahkan bahawa kejadian salji tebal pada kali ini bukan perkara biasa. Kali terakhir salji tebal menimpa New Zealand ialah hampir 50 tahun yang lalu.
Seperti biasa salji lebat mula turun pada waktu malam. Angin bertiup sangat kencang sehingga bergegar segala pintu tingkap rumah. Apabila salji putih melitupi bumi, waktu malam menjadi cerah seperti siang.
Kegelapan malam hilang dan saya dapat melihat keindahan malam yang terang benderang. Aneh tapi benar! Malam sepatutnya gelap gelita. Kagum saya dengan kebesaran Allah swt yang telah menunjukkan kebesarannya.
Dengan rasa penuh keinsafan dalam hati dan jiwa saya melangkah keluar rumah untuk melihat sendiri kebesaran Allah swt yang diturunkan dari langit yang tiada bertiang dan tiada sempadan. Apabila saya mendongak ke atas saya dapat melihat awan bergerak tersangat laju kerana ditiup angin kencang.
Alangkah bertuahnya kalau saya dapat merakam kejadian tersebut untuk dikongsi bersama-sama tetapi kamera saya dibasahi salji dan berkabus kerana terlampau sejuk. Di celah-celah awan bergerak laju kelihatan bintang-bintang bertaburan di langit.
Saya terpaksa cepat-cepat masuk semula dalam rumah kerana tidak tahan dengan suhu yang mencecah -12ºC. Pada malam itu saya dan keluarga bersahur dalam kesejukan yang amat sangat walau pun pemanas dipasang maksima.
Salji tebal ini mungkin tidak setebal salji di Kutub Selatan tetapi mengikut Jabatan Kajicuaca New Zealand telah berlaku fenomena polar blast iaitu ribut salji kuat yang berpunca dari Antartika.
Polar Blast di Malaysia
Nak kata terkena demam denggi mungkin tidak, kerana kontrak jutaan ringgit telah dikeluarkan untuk memburu dan membunuh nyamuk aedes. Sekali terfikir kasihan juga dengan nasib nyamuk aedes yang dicipta tuhan boleh membawa penyakit. Kerap kali berlaku nyamuk Aedes tidak mati tapi duit habis dibelanjakan.
Pemerintah yang memerintah tanpa acuan pemikiran yang ikhlas terhadap rakyat bukan sahaja bakal dibekukan polar blast malah boleh juga disalai bakar oleh solar blast menjadi debu.