Oleh Dr. Ubaidullah Mustaffa
(Waktu malam di bandaraya Christchurch, New Zealand)
SAYA amat terkejut apabila mendapati email saya dipenuhi dengan mesej dari pembaca artikel bertajuk New Zealand sebagai model Negara Kebajikan.
Tidak mungkin saya dapat membalas semua mesej tersebut tetapi saya akan cuba membalas dalam penulisan saya seterusnya.
Apa yang menarik ialah mesej diterima dari pelbagai bangsa Malaysia termasuk dari Sabah, Sarawak dan juga dari rakyat Malaysia yang sedang merantau di seluruh dunia tanpa mengira sempadan fahaman politik.
Setelah
meneliti semua mesej pembaca saya membuat kesimpulan bahawa rakyat
mahukan Malaysia mengamalkan konsep negara kebajikan secara ikhlas
serta disuntik dengan sifat kasih sayang di antara kerajaan dengan
rakyat.
Gempa bumi di Christchurch masih belum reda. Setiap hari
bumi Christchurch bergegar di antara 2 -3 kali. Saya dapat mengecam
gempa bumi akan berlaku apabila terdengar bunyi yang menakutkan
memenuhi atmosfera bumi.
Bunyi seperti benda berat lagi besar bergerak
di perut bumi dan benda itu rasanya amat dekat dengan tapak kaki saya.
Beberapa saat selepas bunyi itu kedengaran maka bergegar dan bergoyang
semua yang ada di sekeliling saya.
Kejadian
gempa bumi selalunya tidak lama. Ada yang tidak sampai 5 saat dan yang
paling lama saya rasai ialah lebih kurang 15 saat. Selepas gempa bumi
kuat, air bawah tanah akan melimpah keluar bersama-sama lumpur.
Kadang-kadang mengakibatkan banjir lumpur. Bekalan letrik dan bekalan
air akan terputus. Namun begitu pihak kerajaan New Zealand pantas
bertindak. Bekalan letrik dan air dapat disambungkan semula dalam
tempoh beberapa jam sahaja kecuali dalam kes-kes teruk terpaksa
mengambil masa melebihi 24 jam untuk dipulihkan.
Gempa bumi tapi air percuma
Walau
pun dilanda gempa bumi bekalan air bersih di New Zealand adalah
percuma. Salah seorang petugas gempa bumi memberitahu saya bahawa air
adalah keperluan asas rakyat dan segala kehidupan di muka bumi ini.
Berasaskan fakta itu, kerajaan dan rakyat New Zealand bersetuju bahawa
air perlu diberi percuma kepada rakyat. Pihak kerajaan menggunakan dana
negara yang dikutip melalui sistem pencukaian negara untuk menyediakan
bekalan air percuma.
Satu penyelesaian yang amat mudah
difahami kerana dilakukan atas dasar kasih sayang antara kerajaan dan
rakyat. Semua rakyat termasuk anggota kerajaan sendiri akan mendapat
manfaat dari niat baik yang diterjemahkan dalam bentuk perbuatan.
Terkenang
saya di negara sendiri tentang isu air. Hujan di negara kita jauh
lebih lebat dan lebih banyak dari New Zealand kerana negara kita adalah
negara di zon tropika. Tambahan lagi negara kita tidak ada masalah
gempa bumi seperti New Zealand.
Tapi malangnya air di negara kita
terpaksa dibayar. Lebih ironi lagi harga air boleh diumumkan naik oleh
pihak tertentu jika perlu mengikut kontrak perjanjian tertentu.
Terdapat
usaha kebajikan beberapa kerajaan negeri untuk memberi air percuma
kepada rakyat tapi dihalang oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai
cara.
Jika Kerajaan Persekutuan tidak mahu mengamalkan konsep negara
kebajikan jangan pula menghalang Kerajaan Negeri untuk berbuat
kebajikan. Kerajaan Pusat tidak bersetuju memberi air percuma pada
rakyat kononnya bimbang negara akan bankrupt.
Apa yang dapat kita
perhatikan bahawa negara New Zealand tidak menjadi bankrupt kerana
memberi air percuma kepada rakyatnya.
Jelas sekali isu negara
kebajikan berkaitan air telah dipolitikkan dan diniagakan sehingga
menyebabkan rakyat dinafikan hak kebajikan mereka. Di New Zealand tidak
ada pengerusi bekalan air yang dibayar gaji ratusan ribu sebulan atau
jutaan ringgit setahun.
Malah tidak ada negara di dunia ini yang
membayar gaji pengerusi bekalan air beratus-ratus ribu sebulan dan
apabila dicampur untuk setahun akan menjadi jutaan ringgit. Rakyat
bukan membayar kos rawatan air tetapi membayar gaji pengerusi bekalan
air.
Rakyat perlu ingat bahawa negara kebajikan adalah hak
rakyat yang perlu ditunaikan tanggungjawab tersebut oleh kerajaan yang
dipilih oleh rakyat.
Jikalau makanan ruji rakyat New Zealand ialah
beras, saya yakin kerajaan New Zealand akan memberi beras percuma
kepada rakyatnya atau harga beras yang paling rendah supaya tidak
menjadi beban pada rakyatnya.
Sangkaan saya tidak meleset kerana pada
hari ini tanggal 22/7/2011 kerajaan New Zealand telah mengumumkan harga
susu segar dan cheese diturunkan di antara NZD$0.50 sehingga NZD$1.00
mengikut gred tertentu. Sudah tentu rakyat New Zealand sayang pada
kerajaan mereka kerana menjaga kebajikan mereka.
(Masjid An-Nur yang terletak di Deans Avenue, Christchurch, New Zealand)
Mari kita bandingkan dengan negara kita. Harga barangan di negara kita selalu naik dan tidak pernah turun.
Kerajaan
kita sibuk bermain politik, sibuk berada di mercu kuasa, sibuk menapis
video lucah, sibuk mencari saksi dan bukti kes peguam, sibuk dengan
publisiti memuji diri sendiri sehingga lupa kebajikan rakyat yang telah
mereka janjikan dalam manifesto mereka dulu. Sudah tentu timbul
perasaan benci rakyat terhadap kerajaan.
Perasaan benci
tersebut bukan kerana dihasut fahaman politik dan bukan benci bersifat
peribadi, Perasaan benci rakyat terhadap kerajaan ialah kerana mereka
gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.
Apabila
kerajaan sibuk berada di mercu kuasa maka kelemahan diri tidak dapat
dilihat lagi. Segala cermin yang ada di hadapan mereka tidak
menunjukkan cacat cela.
Segala teguran rakyat terhadap mereka
dianggap permusuhan. Mereka lupa bahawa cermin sebenar mereka ialah
rakyat kerana mereka juga adalah rakyat. Jangan dikasari cermin itu
kerana bimbang cermin itu akan pecah di mana kaca cermin itu akan
melukakan diri sendiri.
Salah seorang rakan saya telah meninggal dunia
kerana menumbuk cermin dan urat darah dipergelangan tangan putus
semasa ia menarik tumbukan keluar dari serpihan kaca yang pecah.
Aku Tuan Kamu Hamba
Semua
rakyat menolak pelaksanaan negara kebajikan yang berasaskan semangat
tuan dengan hamba di mana kerajaan mahu dihormati sebagai tuan serba
pandai dan rakyat dilayan sebagai hamba serba bodoh dan jahil.
Rakyat
dilayan kerajaan seperti hamba di mana mereka dinafikan hak-hak yang
dibenarkan Perlembagaan serta menganggap diri mereka mengetahui
segala-galanya. Hanya mereka tidak mengaku diri mereka sebagai tuhan
sahaja.
Tindak tanduk serta percakapan mereka menunjukkan hati
dan jiwa mereka tidak ada sifat kasih sayang terhadap rakyat. Tidak
mungkin seorang tuan akan memberi kasih sayang kepada seorang hamba.
Mereka hanya mengaku bahawa mereka adalah hamba rakyat semasa kempen
pilihanraya sahaja. Apabila telah menang pilihanraya dan diberi kuasa
oleh rakyat maka pada waktu itu mereka akan memperhambakan rakyat demi
kepentingan peribadi dan politik mereka.
Apabila kerajaan
berjanji akan melaksanakan negara kebajikan atau telah melaksanakan
negara kebajikan maka ingatlah bahawa lidah tidak bertulang. Negara
kebajikan tidak akan wujud tanpa diiringi oleh perasaan kasih sayang di
antara kerajaan dengan rakyat.
Publisiti: Kerajaan jadi macam artis
Apa
yang menarik hati saya ialah kerajaan New Zealand tidak pernah membuat
publisiti pada dunia tentang pelaksanaan dasar sebuah negara
kebajikan.
Mereka tidak bercakap banyak tapi bekerja memenuhi
tanggungjawab terhadap rakyat sebagai sebuah kerajaan yang dipilih
rakyat. Mereka bekerja memenuhi janji-janji dalam manifesto mereka. Masa
bercakap telah tamat. Tiba pula masa bekerja.
Terbalik dengan
negara kita di mana banyak bercakap kurang bekerja. Masa bercakap tidak
ada titik tamat. Sangat rajin membuat publisiti seperti artis
mempromosi album untuk meningkatkan jualan dan menang anugerah.
Dunia
tidak sedar pun bahawa kerajaan New Zealand sangat menjaga kebajikan
rakyatnya serta sesiapa sahaja yang diterima sebagai pemastatutin di
New Zealand.
Kerajaan New Zealand tidak membuat publisiti kerana mereka
sedar melaksanakan dasar negara kebajikan adalah tanggungjawab
kerajaan.
Semasa pilihanraya kerajaan membentangkan manifesto
sebagai janji untuk memenuhi tanggungjawab. Setelah dipilih menjadi
kerajaan, maka menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan manifesto
tersebut.
Sebagai contoh, tidak ada ibu-bapa yang membuat publisiti
apabila melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.
Tidak ada
anak-anak yang membuat publisiti apabila melaksanakan tanggungjawab
terhadap ibu-bapa. Begitu juga dengan suami yang melaksanakan
tanggungjawab terhadap isteri atau sebaliknya.
Publisiti tidak sesuai
dalam urusan tanggungjawab. Malangnya, terdapat kerajaan yang tidak
memahami konsep tanggungjawab.terhadap rakyat termasuk di negara kita
sendiri.
Tanggungjawab mesti ditunaikan sama ada suka atau tidak.
Tidak ada pilihan dalam menunaikan tanggungjawab. Tidak perlu buat
publisiti dan tidak perlu minta dipuji. Kalau tidak mahu melaksanakan
tanggungjawab terhadap rakyat maka tidak perlu menjadi kerajaan.
Mesej
ini amat difahami oleh ahli-ahli politik di New Zealand tetapi mungkin
tidak begitu dihayati oleh ahli-ahli politik di tanahair.
Kerajaan bukan maharaja
Kerajaan
juga adalah golongan rakyat yang dipilih rakyat dalam sistem
pilihanraya. Maka rakyat yang telah dipilih menjadi kerajaan jangan
lupa diri tentang status rakyat mereka dan tanggungjawab yang telah
dijanjikan semasa berkempen.
Rakyat memberi mereka undi kerana percaya
mereka akan melaksanakan tanggungjawab bukan kerana suka-suka. Jangan
pula lupa diri dan menganggap diri mereka sebagai maharaja paling
berkuasa, membuat tafsiran hukum undang-undang demi kepentingan politik
sendiri, menyalah guna instrument kuasa yang diberi rakyat kepada
mereka atau menyakiti rakyat yang lain dengan apa jua cara sekali pun.
Kini
negara kita telah dipalit noda dosa antara kerajaan dengan rakyat.
Mereka lupa asal-usul bahawa mereka juga adalah rakyat dan bukannya
maharaja berkuasa atau raja Bersiong.
Cerita Raja Bersiong pun
sebenarnya adalah sindiran rakyat kepada pemimpin yang lupa diri,
menindas rakyat, mencederakan dan membunuh rakyat sendiri, Kalau
kerajaan sudah menjadi seperti Raja Bersiong maka rakyat akan berada
dalam kepayahan dan darurat.
Wujudnya Keturunan Raja Bersiong
Mengikut
cerita hikayat, Raja Bersiong lupa diri dan lupa tanggungjawab
terhadap rakyat sampai ke akhir hayatnya. Beliau tidak mahu mendengar
nasihat rakyat kerana beliau menganggap rakyat adalah hamba yang bodoh
lagi jahil.
Raja Bersiong menangkap rakyatnya beramai-ramai untuk
diambil darah sebagai hidangan istimewa. Ada yang cedera, ada yang
separuh mati dan ada juga yang mati.
Raja Bersiong melanggar hak asasi
manusia tetapi pada zaman itu tidak ada undang-undang memelihara hak
asasi manusia.
Pada zaman moden ini pun terdapat kerajaan yang
mempunyai perangai sama seperti Raja Bersiong. Mereka melanggar hak
asasi manusia di atas nama undang-undang.
Kerajaan mencedera rakyat dan
membunuh rakyat di atas nama perlembagaan dan perundangan. Mereka
menghalalkan pertumpahan darah, bertindak kejam pada rakyat sendiri dan
mengistihar perang ke atas rakyat sendiri.
Barangkali keturunan
Raja Bersiong masih ada di negara kita kerana Raja Bersiong adalah
cerita dari negara kita sendiri. Mungkin Raja Bersiong pun akan guna
senapang, gas pemedih mata atau water cannon sekiranya teknologi
tersebut ada pada waktu itu untuk memberhentikan kebangkitan dan
kemarahan rakyat terhadapnya.
Kalau Raja Bersiong ada mahkamah pada
waktu itu mungkin dia akan menggunakan instrument perundangan untuk
mengajar rakyat supaya takut untuk melawannya. Mungkin mahkamah Raja
Bersiong akan dipenuhi kes-kes politik yang bertangguh kerana mencari
bukti yang direkacipta olehnya sendiri.
Tidak mungkin kerajaan
seperti Raja Bersiong akan berjaya melaksanakan negara kebajikan kerana
dalam jiwanya tiada perasaan kasih sayang terhadap rakyat tetapi
menganggap dirinya tuan yang serba pandai dan rakyat sebagai hamba
bodoh lagi jahil.
Akhirnya rakyat menghalau Raja Bersiong yang sempat
melarikan diri entah ke mana. Jikalau negara kita terdapat kerajaan
keturunan Raja Bersiong maka menjadi tanggungjawab kita semua untuk
menghalau keturunan Raja Bersiong tersebut. Raja Bersiong dan
keturunannya tidak layak menjadi kerajaan untuk negara kita yang
tercinta.
Kebajikan Misi Nombor wahid kerajaan
Melaksanakan
negara kebajikan adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih rakyat.
Rakyat memilih kerajaan bukan untuk menembak gas pemedih mata ke arah
mereka atau water cannon atau dibelasah dengan belantan atau disepak
terajang atau di tampar tumbuk tetapi untuk menjaga kebajikan rakyat.
Pada
kerajaan New Zealand kebajikan rakyat adalah misi nombor wahid mereka.
Mereka menganggap kebajikan bukan sekadar memberi bantuan material
tetapi merangkumi perlindungan, memberi promosi dan peningkatan taraf
ekonomi serta kebahagiaan sosial setiap warga negara termasuk juga
pelarian yang telah diberi status mastatutin atau sesiapa sahaja yang
telah dianugerah status mastautin.
Kerajaan New
Zealand percaya bahawa negara kebajikan mesti berasaskan prinsip
peluang yang sama rata (equality of opportunity), agihan kekayaan
negara secara sama rata (equitable distribution of wealth) dan tanggungjawab awam terhadap ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
(Hagley
Park adalah taman rekreasi yang luas di tengah bandaraya
Christchurch, New Zealand. Masjid An-Nur terletak di hadapan Hagley
Park)
Proses kebajikan mungkin melibatkan sumber
kewangan secara langsung dari tabung kewangan negara atau melalui
perkhidmatan yang diberikan seperti perkhidmatan kesihatan dan
pendidikan atau kedua-dua sekali.
Kebajikan di New Zealand melibatkan pemberian bantuan kewangan kepada individu yang memerlukan melalui sistem agihan cukai.
Menurut
undang-undang sosial New Zealand, ibu-bapa mesti meluangkan masa untuk
membawa anak-anak beriadah pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Jika tidak
membawa anak-anak beriadah merupakan satu kesalahan di sisi
undang-undang.
Pihak kerajaan tidak terus menguatkuasa undang-undang
tersebut. Mereka memperkenalkan skim basikal percuma kepada setiap
keluarga yang mempunyai anak-anak.
New Zealand beri basikal percuma
Pada
mulanya agensi kebajikan kerajaan menghantar dua buah basikal percuma
lengkap dengan helmet ke rumah saya untuk dua orang anak lelaki saya
yang berusia 12 tahun dan 13 tahun.
Basikal dan helmet untuk lelaki
berbeza dengan basikal dan helmet untuk perempuan. Menjadi kesalahan
jika lelaki mengguna basikal perempuan dan begitu juga sebaliknya. Dua
hari kemudian mereka menghantar dua buah basikal lagi ke rumah saya.
Rupa-rupanya mereka memberi basikal itu satu untuk saya sendiri dan satu
lagi untuk isteri saya supaya dapat beriadah bersama-sama dengan
anak-anak. Saya rasa terharu sangat menerima semua basikal percuma
tersebut.
Setiap hari waktu subuh saya akan menaiki basikal
tersebut ke masjid untuk berjemaah subuh. Saya tidak lagi menaiki
kereta ke pusat bandar kerana lebih gemar menaiki basikal kesayangan
saya itu.
Setiap hari Sabtu dan Ahad seluruh ahli famili saya pasti ke
Hagley Park untuk beriadah. Jikalau kerajaan New Zealand tidak memberi
saya dan isteri basikal tentu kami tidak dapat mengejar kelajuan
basikal tunggangan anak-anak.
Jangan kedekut dengan rakyat
Pemikiran
kerajaan New Zealand tentang negara kebajikan melampau batas pemikiran
kita kerana pemikiran mereka berasaskan kasih sayang dan bukannya
publisiti politik semata-mata. Terkenang saya pada negara sendiri.
Semenjak zaman YM Tunku Abdul Rahman sehingga zaman YAB Dato’ Seri
Najib Tun Razak, saya tidak pernah menerima sebuah basikal percuma pun
dari kerajaan. Famili saya pun tidak pernah menerima basikal percuma
dari mereka.
Mungkin zaman YM Tunku Abdul Rahman adalah zaman
kemiskinan. Kerajaan tidak mampu untuk menghadiah basikal kerana basikal
pun mungkin tidak banyak pada waktu itu.
Zaman kebangkitan
industri dan kekayaan ekonomi semasa era pemerintahan Dr. Mahathir pun
saya tidak menerima basikal untuk tujuan kebajikan dan memupuk kasih
sayang keluarga secara beriadah bersama-sama. Tidak ada sebuah basikal
pun yang saya terima di zaman pemerintahan Tun Hussein Onn dan Pak Lah.
Barangkali
idea memberi basikal kepada rakyat tidak pernah timbul dalam benak
pemikiran mereka sebagai salah satu langkah kebajikan yang dapat
memupuk perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga sebagai unit penting
dalam sebuah Negara yang mahu maju di masa hadapan.
Saya pernah
menderma basikal sebanyak 20 buah sempena Hari Keluarga Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) dahulu apabila diminta berbuat demikian oleh
kakitangan DBKL.
Mungkin kakitangan DBKL tersebut tersalah tempat
meminta derma basikal untuk ahli keluarga kakitangannya kerana saya
bukan badan kebajikan kerajaan dan saya bukan wakil rakyat kerajaan.
Barangkali
Visi 2020 kerajaan dipenuhi publisiti minta dipuji dan angan-angan
yang tidak realistik sehingga perkara yang realistik pun tidak mampu
dilaksanakan demi kebajikan rakyat, Jika negara mampu membina kilang
kereta sudah tentu negara mampu membina kilang basikal untuk rakyat.
Isu basikal adalah isu kecil tetapi isu memupuk perasaan kasih sayang
dalam keluarga adalah isu besar. Perasaan kasih sayang keluarga tidak
cukup sekadar mendengar ceramah di RTM1 atau RTM2.
Lagi pun
siaran-siaran yang dipaparkan di RTM1 dan RTM2 tidak diminati rakyat
kerana dipenuhi propaganda dan publisiti. Propaganda dan publisiti
membuatkan rakyat muak untuk menonton rancangan di RTM1 dan RTM2.
Lagi
pun kualiti penerbitan rancangan di RTM perlu diperbaiki jika mahu
berperanan secara berkesan dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.
Lebih
memeranjatkan saya lagi ialah setiap tiga bulan agensi kebajikan New
Zealand akan menghantar beberapa orang mekanik basikal untuk
memperbaiki basikal rosak secara percuma.
Alat ganti basikal yang rosak
ditukar secara percuma. Kita boleh menukar basikal lain jika kita
mahu. Agensi kebajikan akan memilih satu pusat komuniti untuk tujuan
servis basikal.
Maka pada hari tersebut ibu-bapa akan menjadi sibuk
membawa basikal masing-masing untuk diperbaiki atau ditukar. Satu pesta
yang sangat unik di Christchurch walau pun dilanda gempa bumi setiap
hari.
Ternakan pastoral di Amberly
Musim
sejuk New Zealand datang lagi. Pada waktu malam suhu boleh jatuh
sehingga paras negatif tetapi yang anehnya tidak ada salji yang turun.
(Salji di Mt. Hutt dalam daerah Canterbury, New Zealand merupakan tempat tumpuan pelancong dari luar dan dalam negara)
Bumbung
dan cermin kereta yang diletakkan dibahu jalan terdapat ais membeku
tetapi bukan salji yang biasa saya lihat di benua Eropah. Barangkali
musim sejuk di hemisfera selatan agak berbeza dari benua Eropah di
hemisfera utara.
Saya memang suka melihat salji turun kerana ia
membuat jiwa saya tenang memikirkan kebesaran Allah swt yang
menurunkannya dari langit luas tiada bertiang tiada sempadan.
Kerinduan
saya terhadap salji terubat jua apabila kelihatan salji putih melitupi
puncak-puncak gunung semasa saya dalam perjalanan ke Amberly di utara
daerah Caterbury di New Zealand.
Saya ke Amberly untuk meninjau
sistem ternakan ruminen iaitu haiwan ternakan makan rumput seperti
kambing, lembu dan rusa. Ladang Amberly terbentang luas, indah dan
kemas ditanam rumput berkualiti tinggi sebagai padang ragut ternakan
ruminen.
Penternak ruminen memberitahu saya bahawa rumput adalah
makanan murah untuk ternakan ruminen. Menanam rumput sebagai sumber
makanan ruminen hanya tinggi pada peringkat awalan tetapi akan menjadi
semakin ekonomik pada jangka masa panjang.
Menanam rumput berkualiti
tinggi (pastoral) sebenarnya adalah input pertanian yang ekonomik untuk
ternakan ruminen jangka panjang berbanding dengan sistem feedlot.
Kesannya
ialah kos output pertanian akan menjadi rendah. Maka petani dapat
menjual hasil pertanian di pasaran dengan harga yang rendah juga.
Mekanisme inilah yang membuatkan bahan mentah makanan di New Zealand
lebih murah dari Malaysia serta lebih segar dan berkualiti tinggi
bertaraf dunia.
Apa yang menghairankan saya ialah negara kita
mahu berjaya dalam industri ternakan dengan cara sistem feedlot. Lembu
diberi makan dedak sawit dan daun sawit.
Oleh kerana tidak ada pilihan
maka lembu terpaksa makan dedak sawit atau daun sawit yang dihancurkan.
Kaedah feedlot tidak sesuai dengan sifat lembu yang suka ragut rumput
segar.
Dalam konteks ini semua jenis ruminen gemar meragut rumput segar
bukan makan dedak sawit, atau daun sawit yang dikisar atau rumput yang
dipotong. Rumput yang dipotong cepat layu dan hilang kandungan airnya.
Jangan jadi hamba lembu kambing
Lagi
pun haiwan ternakan kuat makan rumput. Setakat mana manusia mampu
untuk melayan haiwan ternakan dengan memotong rumput setiap hari untuk
dihidangkan pada ternakan di feedlot.
Lebih baik membiarkan haiwan
meragut sendiri rumput dari dihidang oleh penternak. Jangan jadi hamba
lembu dan jangan jadi hamba kambing.
Feedlot digunakan semasa peringkat
akhir penternakan iaitu sebelum disembelih atau sebelum dijual.
Kesimpulan
Sebelum
kerajaan memberi basikal percuma kepada rakyat untuk beriadah adalah
lebih baik jika kerajaan membasmi masalah anjing liar dahulu. Rakyat
New Zealand yang pernah melancong ke Malaysia kehairanan melihat begitu
banyak anjing liar di Malaysia. Rakyat New Zealand memang suka anjing
tetapi mereka tidak suka anjing liar.
Mereka kehairanan mengapa Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) menternak begitu banyak anjing liar. Salah
seorang pelancong yang baru kembali dari Kuala Lumpur ingin kepastian
dari saya adakah ternakan anjing liar di Malaysia termasuk dalam Wawasan
2020.
Dalam nada seloka saya memberitahu bahawa anjing-anjing
tersebut akan digunakan oleh Kementerian Pertanian Malaysia untuk
menjaga kambing, lembu dan rusa yang akan penuh di ladang-ladang
Malaysia dalam masa terdekat.
Barangkali rakan saya itu percaya kerana
anjing memang digunakan di New Zealand untuk membantu petani mengawal
haiwan ternakan.
---------------------------------------
Penulis
kini tinggal di Chrischurch, New Zealand. Ini adalah tulisan kedua
beliau tentang negara kebajikan ekoran tema muktamar PAS ke 57 Kearah
Negara Berkebajikan. Beliau boleh dihubungi melalui ubaidi_script@yahoo.com.my
No comments:
Post a Comment