Thursday, November 17, 2011

Tulahan : Teh Tarik Kurang Manis



Kemenangan parti An-Nahdah di Tunisia disambut gembira pejuang Islam di seluruh dunia. Kempen yang sederhana mencontohi AK Party di Turki menarik minat majoriti umat Islam di Tunisia. Kini kuasa pemerintahan di tangan golongan Islam.

Selepas kemenangan , pimpinan parti An-Nahdah dihujani dengan soalan dari wartawan sekular yang masih berakar di Tunisia , juga dari wartawan Barat. Adakah An-Nahdah akan melaksanakan syariah Islam di Tunisia.

Jawapan Rashid al-Ghannusi pemimpin utama An-Nahdah, An-Nahdah tidak bercadang untuk melaksanakannya pada masa ini. 

Apabila jawapan sedemikian diberikan, maka bisinglah kumpulan sekular menyatakan bahawa An-Nahdah bukan lagi parti Islam . Bukan sahaja di Tunisia tapi juga golongan sekular di Malaysia mempersendakan An-Nahdah yang tempiasnya adalah parti Islam di Malaysia iaitu PAS.

Penulis tidak kisah jika mereka yang tiada fikrah Islam yang mempersenda. Golongan ini seperti ‘Teh Tarik’ tidak ada pendirian. Bila ada kuasa di atas tiada nampak mereka membela Islam, bila di bawah mereka hendak naik ke atas berkuasa mereka bercakap membela Islam . Selepas naik semula mereka akan kembali menekan Islam, dan akan turun ke bawah sehinggalah teh itu sejuk. 

Namun, penulis tidak dapat terima ialah persendaan itu datang dari mereka yang ada fikrah Islam dari jamaah Islam . Ditohmahnya, tindakan An-Nahdah sudah menyeleweng dari Islam, An-Nahdah bukan lagi jamaah Islam, An-Nahdah takut dengan golongan sekular, An-Nandah hanya mahu undi orang Islam untuk menang.

Penulis tidak dapat terima tuduhan yang disalurkan dalam bahasa yang lembut dan disebarkan bukan sahaja ahli jamaah mereka tetapi juga kepada masyarakat Islam. Mustahil Rashid al-Gannusi dan pemimpin An-Nahdah sanggup menjual Islam. Mereka , puluhan tahun merengkok dalam penjara, hidup dalam buangan kerana kezaliman regim Ben Ali. 

Tentulah ada sebab mereka membuat kenyataan sedemikian, mereka tentu mengambil kira apa yang berlaku kepada kemenangan FIS di Algeria. Mereka tentu mendengar pandangan ulama-ulama An-Nahdah yang lebih memahami suasana di Tunisia.

Penulis tidak mahu memberikan alasannya, kerana penulis sendiri tidak tahu. Tapi , penulis berbaik sangka dengan perjuangan Islam yang dipimpin Rashid al-Gannusi yang juga tokoh besar Gerakan Islam dunia.

Stiuasi di Tunisia juga berlaku kepada parti Islam di seluruh dunia. Masalah bukan sahaja ditimbulkan oleh golongan sekular tapi juga mereka yang memimpin jamaah Islam. Kenyataan mereka bukan sahaja mengelirukan orang Islam malah mengelirukan penyokong parti Islam.

Penulis paparkan kenyataan seorang pemimpin sebuah NGO yang mengaku jamaah Islam dalam blognya seperti di bawah:

Kawan-kawan saya ini boleh dikatakan pengundi atas pagar. Mereka tak memihak kepada mana2 parti tetapi lebih melihat kepada siapa yang membawa lebih banyak kebaikkan kepada islam. Mereka tidak terlibat dengan mana2 NGO islam, atau mana2 gerakan islam tetapi sebaliknya mereka ini adalah rakyat biasa yang cintakan islam. Namun apa yang berlaku sejak akhir2 ini memang membingungkan mereka sehingga mereka tidak tahu lagi nak undi siapa. Bagi mereka UMNO bukan pilihan. Namun mereka juga bimbang dengan kedudukan PAS yang bertahaluf dengan DAP yang jelas menentang islam. Sehungga kini mereka masih mencari2 jawapan.


Saya dapat merasakan bahawa ramai diluar sana yang mempunyai perasaan sedemikian. Mereka memang sudah mual dengan UMNO tetapi untuk memilih PAS mereka mula ragu kerana dominasi DAP dalam PR. Semakin hari DAP semakin menguatkan cengkamannnya sehingga semakin ramai orang Melayu, tanpa sedar, telah dipengaruhi oleh DAP. DAP sedang menyediakan bakal2 MB orang Melayu disetiap negeri. Akhir sekali ialah dengan kemasukkan beberapa orang Melayu di N9 yang katanya jika DAP menang banyak kerusi maka mereka akan melantik orang Melayu ini jadi MB sedangkan mereka yang memainkan peranan dibelakang.

Ini membuatkan saya terfikir bagaimana nak tangani isu kekeliruan umat islam ini. Ada beberapa teman yang saya temui ditempat lain sudah menyatakan bahawa mereka mungkin tidak akan keluar mengundi kali ini kerana tak tahu yang mana satu baik untuk islam. Saya sangat bimbang kerana jika suasana ini berlaku maka akan ramai orang Melayu tidak keluar mengundi sedangkan orang Cina secara keseluruhannya sudah bertekad untuk merubah kerajaan. Ertinya kemungkinan kita akan menyaksikan ramai DUN dan MP yang diwakili orang Cina. Blog Suaradarigunung

Kenyataan dalam bentuk cerita sebegini samalah dengan kenyataan pemimpin parti politik bangsa, tapi disampaikan dengan nada yang lebih lembut. Seolah-olah tidak memusuhi PAS tetapi sebenarnya , itulah kenyataan yang memecahkan penyokong PAS dan atas pagar . Mereka menimbulkan keraguan kepada PAS secara halus.

Penyokong PAS dan orang Islam di kampungkah? Tidak ,tapi golongan mahasiwa Islam dan golongan terpelajar. Orang kampung cukup dengan kempen TV3 dan Utusan . Tapi mahasiswa dan golongan terpelajar yang tidak percayakan TV3 dan Utusan menjadi sasarannya.

Penulis pada awalnya tidak menyangka kenyataan ini datangnya dari pemimpin NGO jamaah Islam ini. Kenapa? Kerana kenyataan lebih merujuk kepada ketuanan bangsa bukan ketuanan Islam sama macam kenyataan pemimpin  parti politik bangsa. Sama seperti banner paling besar semasa Himpun ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’

Seperti perjuangan An-Nahdah di Tunisia, PAS sebagai jamaah Islam sudah lama memperjuangkan Islam. PAS sudah lama ditekan, pemimpin dibunuh, ditahan tanpa bicara. Bukan baru perjuangan PAS, justeru setiap tindakan adalah untuk perjuangan Islam jangka panjang.

Mungkin pemimpin ini belum merasa ditekan , dipenjara . NGO jamaah Islamnya pun selesa berjuang tanpa halangan. Bila begitu, dirasakan NGO jamaah Islamnya sudah hebat , sudah banyak sokongan, bukan orang kampung tapi terpelajar.

Bila dah rasa hebat , tindakan NGO jamaah Islamnya yang betul. Bila dah rasa hebat,  tindakan PAS sebagai jamaah Islam mula dipertikai. Mula menimbulkan keraguan orang Islam terpelajar terhadap PAS.Ingatlah , secara tidak sedar mereka membantu parti politik yang menentang PAS.

Fikirkanlah, PAS adalah jamaah Islam berjuang sudah 60 tahun. Fikirkanlah juga, adakah dengan kenyataan mengelirukan orang Islam terhadap PAS akan membantu kemenangan Islam?. Atau, bila PAS sudah kalah, agenda Islam NGO jamaah Islam akan menjadi lebih lancar. 

Seperti , penulis kias di awal tadi ibarat ‘Teh Tarik’. Semasa parti politik bangsa ini tidak kuat, memang nampak mereka seolah-olah membela Islam. Tapi, mesti ingat jika parti politik bangsa ini kuat dan PAS kalah. Silap-silap, NGO jamaah Islam ini pun tidak dapat bergerak seperti sekarang. 

Penulis harap NGO jamaah Islam ini tak perlulah kelirukan orang Islam terpelajar terhadap PAS. Jangan jadi  ‘Teh Tarik’ seperti politik bangsa. Jadilah ‘ Teh Tarik Kurang Manis’ , kenapa ? fikirlah sendiri….

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...