Bahasa dan Istilah
Takrifan khianat
membawa maksud perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau
mendatangkan kecelakaan pada orang lain, tipu daya, perbuatan belot atau
tidak setia.[1]
Semuanya menjurus ke arah perbuatan negatif dan perlu dijadikan
sempadan oleh manusia. Perbuatan khianat ini boleh memberi kesan kepada
sesiapa sahaja yang dikhianati tanpa mengira individu ataupun
organisasi. Keamanan dan perpaduan yang kukuh pasti akan runtuh apabila
terdapat sebarang bentuk khianat dalam masyarakatnya.
Perbuatan khianat
kepada orang lain juga sebenarnya adalah perbuatan mengkhianati dirinya
sendiri kerana kesan buruk pengkhianatan itu akan dirasakan oleh orang
lain yang berkaitan. Di sisi lain pula menunjukkan bahawa sebagai
masyarakat seharusnya dianggap seperti satu jasad, setiap keburukan yang
dialami oleh orang lain harus dirasakan juga seperti sesuatu yang
menimpa ke atas diri sendiri.
Dalil dan Perbahasan Ulama
Firman Allah swt dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, “Sesungguhnya
Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka
kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.”[2]
Sayyid Quthub
menerangkan bahawa sifat dan sikap khianat mereka (kaum musyrikin)
menjadikan Allah membenci orang-orang kafir yang mengkhianati amanat
keagamaan lagi tidak mensyukuri nikmatNya. Sesungguhnya Allah tidak
menyukai kaum musyrikin Mekkah dan setiap pengkhianat yang kufur nikmat
walau di mana pun mereka berada.[3]
Setelah Allah melarang
perbuatan khianat dan membela orang-orang yang melakukan perbuatan
khianat, maka ayat ini melarang pula berdebat dan membela orang-orang
yang khianat. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan janganlah engkau
berdebat membela orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya
Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang
dosa.” (Surah an-Nisa’: 107)
Dan janganlah engkau,
wahai Muhammad demikian juga umatmu, berdebat untuk membela orang-orang
yang sengaja lagi tekun dan terus-menerus mengkhianati dirinya. Ayat ini
merupakan ancaman yang cukup serius terhadap orang yang berkhianat.
Mengapa tidak, Rasulullah saw yang demikian tinggi kedudukan baginda di
sisi Allah dan yang dalam kehidupan sehariannya terlihat dengan jelas
melaksanakan hak dan menjauhi khianat, walaupun demikian tetap diberi
peringatan. Maka bagaimana dengan selain baginda dan bagaimana pula
dengan yang mengetahui kebenaran tetapi menyembunyikannya serta membantu
kebatilan?[4]
Antara peringatan lain
yang berbentuk ancaman kepada orang yang melakukan khianat ialah
pengkhianatannya akan diketahui oleh orang lain di akhirat kelak melalui
pengibaran panji yang besar tertulis kisah pengkhianatan mereka di atas
badan mereka berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:
Dari Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar dan Anas ra, mereka berkata, Nabi saw bersabda, “Setiap pengkhianat nanti pada hari kiamat mempunyai sebuah bendera yang bertuliskan, ‘Inilah pengkhianatan fulan.”[5] (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sejarah dan Peristiwa
Sejarah awal
perkembangan Islam telah mendapati banyak siri pengkhianatan yang
dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Orang-orang yahudi yang telah diberi
tempat terhormat dalam Konstitusi Madinah, akhirnya, satu persatu
berkhianat. Bermula dengan Bani Qainuqa yang enggan ikut berperang
sepertimana yang telah mereka janjikan dengan menggunakan alasan waktu
berperang jatuh pada hari sabtu.
Oleh sebab keengganan
mereka, maka Nabi saw menghukum mereka setimpal dengan pengkhianatan
mereka iaitu mengeluarkan mereka daripada kota Madinah dengan bebas
membawa apa sahaja yang diinginkan.
Kemudian giliran bani
Nadir yang melakukan khianat dan pengkhianatan mereka lebih berat
daripada apa yang dilakukan oleh bani Qainuqa, hukuman mereka ialah
diusir dari Madinah tanpa membawa harta benda. Dan yang paling
mengerikan dan mencemaskan ialah nasib bani Quraizhah.
Pada waktu itu sebelum
berlakunya perang Ahzab iaitu serangan pakatan suku-suku Arab pimpinan
Quraish Makkah ke Madinah. Setelah mendengar perkhabaran itu, Nabi saw
bermusyawarah dengan para sahabat dan telah menerima usul seorang
berbangsa Parsi, Salman al-Farisi yang mempunyai pengalaman dalam
peperangan. Beliau mengusulkan supaya membuat parit di sekitar kota.
Peperangan kali ini
telah membuatkan pihak kafir Quraish bingung untuk menyerang kerana
pertama kali berhadapan taktik sebegini dan akhirnya hanya mengepung
kota Madinah selama hampir satu bulan. Dalam keadaan terkepung rapat
seperti itu, persedian air tentu sahaja perlu, tiba-tiba bani Quraizhah
menunjukkan indikasi berkhianat. Mereka rupanya berpendapat bahawa
inilah permulaan kehancuran Islam dan oleh kerana itu mereka mengambil
kesempatan dengan memihak kepada pihak yang akan menang. Secara sembunyi
mereka membina hubungan dengan pakatan pimpinan orang-orang Quraish.
Akan tetapi, berita
tersebut telah sampai kepada Nabi sehingga baginda memerintahkan
beberapa sahabat untuk meneliti kebenarannya dengan berpesan jika khabar
itu ternyata benar, maka rahsiakan dan jika salah maka sebarkan. Hal
ini adalah kerangka perang saraf dengan pasukan sekutu bahawa bani
Quraizah tidak berbuat khianat. Tetapi setelah diselidiki maka ternyata
benar pengkhianatan tersebut. Berkat pertolongan Allah swt, perang Ahzab
berakhir dengan kegagalan sekutu, iaitu terjadinya taufan yang
menghancurkan perkhemahan mereka di sekitar Madinah dan selamatlah
masyarakat Madinah pimpinan Nabi.
Masalah pengkhianatan
bani Quraizah kemudian diputuskan oleh hakim yang telah dipilih. Mereka
memilih seorang muslim bekas anggota bani Quraizah dengan harapan orang
tersebut akan simpati kepada suku asalnya. Tetapi ternyata sangkaan
mereka meleset, mereka semua kaum lelaki bani Quraizah harus dibunuh,
isteri-isteri dan anak-anak mereka dijadikan hamba dan dijual.[6]
Bentuk Ancaman.
Antara perbuatan yang tidak disukai Allah swt dan tiada limpah rahmat kasih sayang kepada mereka.
Tertulis setiap perbuatan khianat mereka di atas bendera yang di
pegang sendiri agar dapat dilihat ketika di padang masyhar kelak.
- [1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=khianat
- [2] Sheikh Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan ar-Rahman (Kepada Pengertian al-Quran). 2000. Darul Fikir: Kuala Lumpur. MS 850
- [3] M. Quraish Shihab. Tafsir al-Misbah (Pesan, Kesan dan Keserasian al-Quran). Jilid 8. 2009. Penerbit Lentera Hati: Jakarta. MS 218
- [4] Ibid. Jilid 2. MS 704
- [5] Dr. Musthafa Dib al-Bugha. Syarah Riyadhush Shalihin Imam an-Nawawi. Jilid 3. 2010. Gema Insani: Jakarta. MS 419
- [6] Budhy Munawar-Rachman. Ensiklopedia Nurcholish Madjid (Pemikiran Islam di Kanvas Peradaban). 2006. Yayasan Wakaf Paramadina-Penerbit Mizan: Jakarta. MS 2476
Abu Fattah
No comments:
Post a Comment