Seorang pemuda dari kaum Anshar yang bernama Tsa'labah bin Abdurrahman telah masuk Islam. Dia sangat setia melayani Rasulullah SAW. Suatu ketika Rasulullah SAW mengutusnya untuk suatu keperluan.
Dalam perjalanannya dia melalui rumah salah seorang dari Anshar, maka terlihat dirinya seorang wanita Anshar yang sedang mandi.
Dia takut akan turun wahyu kepada Rasulullah SAW berhubung perbuatannya itu. Maka dia pun pergi jauh. Dia menuju ke sebuah gunung yang berada di antara Mekah dan Madinah dan terus mendakinya.
Selama empat puluh hari Rasulullah SAW kehilangan dia. Lalu Jibril AS turun kepada Nabi SAW dan berkata, "Wahai Muhammad! Sesungguhnya Tuhanmu menyampaikan salam buatmu dan berfirman kepadamu, "Sesungguhnya seorang lelaki dari umatmu berada di gunung ini sedang memohon perlindungan kepada-Ku.""
Maka Nabi SAW berkata, "Wahai Umar dan Salman! Pergilah cari Tsa'laba bin Aburrahman, lalu bawa kemari." Keduanya pun lalu pergi menyusuri perbukitan Madinah.
Dalam pencariannya itu mereka bertemu dengan salah seorang penggembala Madinah yang bernama Dzufafah. Umar bertanya kepadanya, "Apakah engkau tahu seorang pemuda di antara perbukitan ini?"
Penggembala itu menjawab, "Jangan-jangan yang engkau maksud seorang lelaki yang lari dari neraka Jahanam?" "Bagaimana engkau tahu bahawa dia lari dari neraka Jahanam?" tanya Umar.
Dzaufafah menjawab, "kerana, apabila malam telah tiba, dia keluar kepada kami dari perbukitan ini dengan meletakkan tangannya di atas kepalanya sambil berkata, "Mengapa tidak cabut saja nyawaku dan Engkau binasakan tubuhku, dan tidak membiarkan aku menanti keputusan!"
"Ya, dialah yang kami maksud," tegas Umar. Akhirnya mereka bertiga pergi bersama-sama.
Ketika malam menjelang, keluarlah dia dari antara perbukitan itu dengan meletakkan tangannya di atas kepalanya sambil berkata, "Wahai, seandainya saja Engkau cabut nyawaku dan Engkau binasakan tubuhku, dan tidak membiarkan aku menanti-nanti keputusan!"
Lalu Umar menghampirinya dan mendakapnya. Tsa'labah berkata, "Wahai Umar! Apakah Rasulullah telah mengetahui dosaku?" "Aku tidak tahu, yang jelas kemarin beliau menyebut-nyebut namamu lalu mengutus aku dan Salman untuk mencarimu."
Tsa'labah berkata, "Wahai Umar! Jangan kau bawa aku menghadap beliau kecuali dia dalam keadaan solat"
Ketika mereka menemui Rasulullah SAW sedang melakukan solat, Umar dan Salman segera mengisi shaf. Tatkala Tsa'labah mendengar bacaan Nabi saw, dia tersungkur pengsan.
Setelah Nabi mengucapkan salam, beliau bersabda, "Wahai Umar! Salman! Apakah yang telah kau lakukan Tsa'labah?"
Keduanya menjawab, "Ini dia, wahai Rasulullah saw!" Maka Rasulullah berdiri dan menggerak-gerakkan Tsa'labah yang membuatnya tersedar.
Rasulullah SAW berkata kepadanya, "Mengapa engkau menghilang dariku?" Tsa'labah menjawab, "Dosaku, ya Rasulullah!"
Beliau mengatakan, "Bukankah telah kuajarkan kepadamu suatu ayat yang dapat menghapus dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan?" "Benar, wahai Rasulullah."
Rasulullah SAW bersabda, "Katakan•Ya Tuhan kami, berilah kami sebahagian di dunia dan di akhirat serta peliharalah kami dari azab neraka." (QS Al-Baqarah:201)
Tsa'labah berkata, "Dosaku, wahai Rasulullah, sangat besar." Beliau bersabda,"Akan tetapi kalamullah lebih besar."
Kemudian Rasulullah memintanya agar pulang ke rumahnya. Di rumah dia jatuh sakit selama lapan hari.
Mendengar Tsa'labah sakit, Salman pun datang menghadap Rasulullah SAW lalu berkata, "Wahai Rasulullah! Masihkah engkau mengingat Tsa'labah? Dia sekarang sedang sakit kuat."
Maka Rasulullah SAW datang menemuinya dan meletakkan kepala Tsa'labah di atas pangkuan beliau. Akan tetapi Tsa'labah mengelakkan kepalanya dari pangkuan beliau.
"Mengapa engkau elakkan kepalamu dari pangkuanku?" tanya Rasulullah SAW. "Kerana penuh dengan dosa." Jawabnya.
Beliau bertanya lagi, "Bagaimana yang engkau rasakan?" "Seperti dimasuki semut pada tulang, daging, dan kulitku." Jawab Tsa'labah.
Beliau bertanya, "Apa yang kau inginkan?" "Ampunan Tuhanku," Jawabnya.
Maka turunlah Jibril as. dan berkata, "Wahai Muhammad! Sesungguhnya Tuhanmu mengucapkan salam untukmu dan berfirman kepadamu,
"Kalau sahaja hamba-Ku ini menemui Aku dengan membawa sepenuh bumi kesalahan, niscaya Aku akan temui dia dengan ampunan sepenuh itu pula.
" Maka segera Rasulullah SAW memberitahukan hal itu kepadanya. Mendengar berita itu, terpekiklah Tsa'labah dan terus ia meninggal dunia.
Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar Tsa'labah segera dimandikan dan dikafani. Ketika telah selesai disolatkan, Rasulullah SAW berjalan sambil berjengket-jengket.
Setelah selesai pemakamannya, para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah! Kami lihat engkau berjalan sambil berjengket-jengket."
Beliau bersabda, "Demi Zat yang telah mengutus aku sebagai seorang nabi yang sebenarnya! kerana, banyaknya malaikat yang turut menziarahi Tsa'labah."
Kisah Sa'labah bin Hatib
Pada zaman Rasulullah, ada seorang lelaki bernama Sa’labah bin Hatib. Pekerjaannya ialah mengembala kambing. Kehidupannya cukup sederhana dan beliau seorang yang taat menunaikan ibadah dan selalu solat berjemaah bersama Rasulullah.
Namun demikian, Rasulullah amat hairan melihat kelakuan Sa’labah. Setiap kali selesai solat dia segera bangkit dan pulang ke rumahnya. Padahal jemaah lain masih duduk berzikir dan berdoa bersama Rasulullah.
Pada suatu hari, Rasulullah bertanya kepada Sa’labah."Hai Sa’labah, mengapa engkau sangat cepat bangkit dari dudukmu apabila selesai menunaikan solat bersama kami?".
Sa’labah menjelaskan kepada Rasulullah, bahawa beliau hanya mempunyai sehelai kain sahaja untuk solat. Oleh itu beliau perlu cepat kembali kerumah supaya kain yang dipakainya itu pula dipakai pula oleh isterinya untuk solat.
Walau bagaimanapun, di sebalik ketaatannya itu, Sa’labah ada menyimpan sedikit perasaan ingin menjadi kaya. Perasaan ingin kaya ini telah lama dipendam oleh Sa’labah didalam hatinya.
Maka pada suatu hari, Sa’labah berjumpa Rasulullah dan beliau mangharapkan agar Rasulullah mendoakan kepada Allah supaya beliau beroleh kekayaan atau rezeki yang banyak.
Mendengar permintaan Sa’labah itu, Rasulullah memandangnya dengan penuh kehairanan, lalu baginda bertanya, "untuk apa rezeki yang banyak itu wahai Sa’labah? Menurut pendapatku, lebih baik rezeki sederhana yang diberikan Allah daripada rezeki yang banyak tetapi menyusahkan kita kelak!", hujah Rasulullah. Sa’labah terdiam.
Dia tidak menjawab pertanyaan Rasulullah itu. Dalam diamnya itu nafsu ingin kaya yang sudah lama tertanam dihatinya bukan semakin berkurang, tetapi semakin menjadi-jadi.
Tidak lama selepas itu, Sa’labah menyampaikan permohonannya lagi kepada Rasulullah.
Permintaannya kali ini disertai dengan alasan yang lebih kuat, antara lain Sa’labah berkata; "Kalau aku kaya kelak, kaum miskin dan melarat akan kuberi bantuan secukupnya, akan ku dirikan hospital, membangunkan rumah-rumah ibadah. Pendek kata, segala harta yang dikurniakan akan digunakan sebaik-baiknya demi keredhaan Allah,"
Mendengar ucapan Sa’labah yang bersunguh-sunguh itu maka Rasulullah mendoakan kepada Allah agar Sa’labah dikurniakan-Nya dengan harta yang banyak.
Allah memakbulkan permintaan hamba dan Rasul-Nya. Rezeki Sa’labah makin bertambah. Kambing Sa’labah makin membiak dengan banyaknya. Semenjak kekayaanya bertambah, ibadatnya pun semakin berkurangan.
Solat berjemaah tidak lagi dihadirinya. Ini disebabkan ia terlalu sibuk menguruskan kambing-kambingnya yang sudah ribuan banyaknya.
Dulu sebelum beroleh harta kekayaan Sa’labah pernah berjanji kepada Rasulullah bahawa dia ingin menggunakan segala kekayaanya itu untuk berjuang ke jalan Allah tetapi dia tidak menepati janji.
Rasulullah sering juga bertanya akan perihal Sa’labah kepada kawan-kawannya. Orang ramai menerangkan kepada Rasulullah bahawa Sa’labah keadaannya semakin teruk kerana beliau amat kedekut, bukan sahaja kedekut kepada orang lain bahkan kedekut kepada dirinya sendiri.
Pada suatu hari turunlah ayat mewajibkan zakat kepada Nabi Muhammad S.A.W. Maka perintah zakat itu segera disampaikan oleh Rasulullah kepada segenap umat islam yang mampu tidak terkecuali Sa’labah.
Ketika utusan Rasulullah sampai ke rumah Sa’labah, beliau tidak mempercayai utusan itu bahkan mencurigai Rasulullah sendiri.
Padanya itu hanya peraturan Rasullullah kerana cemburu disebabkan kambingnya yang banyak yang mesti dizakatkan dan bukannya perintah Allah.
Sa’labah tidak memperdulikan kata-kata utusan Rasulullah. Dia masih juga tidak mahu membayar zakatnya kerana disangkanya perintah menunaikan zakat itu adalah ciptaan Rasullullah sendiri.
Maka utusan Rasullullah itu keluar dari rumah Sa’labah dengan perasaan hampa. Sedangkan apabila meminta pada orang kaya yang lain, mereka (orang kaya) memberikan zakat ternakan mereka dengan senang hati.
Begitulah sifat Sa’labah setiap kali utusan Rasulullah datang. Ada-ada sahaja helah dan alasan yang dikemukakannya untuk mengelakkan dari membayar zakat.
Pada masa itu, turunlah Firman Allah dan akhirnya dimaktubkan di dalam surah Al-Baqarah, ayat 75-78 yang bermaksud:
"Diantara mereka, ada yang berjanji kepad Allah. Sekiranya aku diberi rezeki yang banyak, aku akan banyak memberi sedekah, aku akan menjadi orang yang soleh. Tetapi, setelah mereka memperolehi rezeki yang berlimpah ruah lalu mereka menjadi orang yang bakhil dan berpaling dari janjinya. Akhirnya mereka ditimpa penyakit munafik pada hari di mana mereka itu kembali kepada Allah disebabkan mereka mengingkari janjinya sendiri dan disebabkan
kebohongan mereka. Apakah mereka tidak tahu, bahawa Allah itu Maha Mengetahui segala rahsia dan apa yang tersirat dalam hati mereka dan bahawa Allah itu mengetahui segala perkara ghaib?"
Salah seorang daripada sahabat Sa’labah yang mengetahui turunnya ayat itu segera memberitahunya. Kata sahabat Sa’labah tersebut: "Berhati-hatilah engkau. Apakah kambing-kambingmu yang banyak itu akan engkau bawa kemati? Dahulu engkau telah berjanji kepada Allah dan bukan hanya kepada Nabi Muhammad! Sa’labah sahabatku, zakat yang diminta oleh utusan Rasulullah itu bukanlah untuk baginda dan bukan pula baginda yang mengadakan hukum zakat itu".
Mendengar penjelasan sahabatnya itu, membuatkan Sa’labah menjadi sedar akan kesalahan dan keangkuhannya selama ini. Sa’labah bukan sahaja insaf, malah dia merasa takut yang amat sangat.
Tanpa berfikir panjang lagi. Sa’labah pergi kepada Rasulullah dengan membawa berpuluh-puluh ekor kambing untuk dizakatkannya.
Tetapi Rasulullah hanya menggelengkan kepala sambil mengatakan bahawa baginda tidak menerima zakat itu, bahkan pintu zakat sudah tertutup bagi Sa’labah.
Mendengar jawapan tersebut Sa’labah menangis sekuat-kuat hatinya. Dia memukul-mukul kepalanya seperti perbuatan orang gila.
Dengan perasaan yang amat kecewa, takut dan malu yang amat sangat. Sa’labah kembali ke rumahnya dengan membawa kambing-kambingnya itu.
Dalam hatinya penuh dengan penyesalan. Usaha sa’labah hendak menyerahkan zakat ternakannya tetap gagal. Hinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Osman bin Affan iaitu selepas kewafatan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar.
Beliau tetap dalam keadaan takut, kecewa dan menyesal kerana zakatnya tidak diterima lagi sedangkan ancaman Allah sudah turun yang ditujukan kepada orang-orang yang enggan membayar zakat.
Peristiwa keingkaran Sa’labah ini menjadi sebab turunnya salah satu ayat Al-Quran untuk mengingatkan manusia dan sebagai pengajaran kepada umat di akhir zaman, supaya jangan menjadi orang kaya kedekut seperti Sa’labah.
Ingatlah, segala kekayaan yang dipinjamkan kepada kita di dunia adalah dari ehsan Allah. Jadi apalah salahnya kita menyalurkan pula kepada mereka yang amat memerlukannya.
No comments:
Post a Comment