Friday, June 5, 2020

Tulahan : Psyche mengerunkan orang beragama berselindung di sebalik kedudukan


Assalam,


Penulis mendengar temubual seorang mufti sebelah utara yang memberi ulasan tentang pengkhianatan politik kerajaan baru PN. Bila mendengar ulasan mufti penulis terus teringat satu perkataan iaitu psyche.

Psyche (baca saiki) adalah dari perkataan Greek membawa erti kehidupan dan ruh dalaman yang menggambarkan diri seseorang atau 'self' .

Perkataan ini kemudiannya dipakai untuk menjelaskan keseluruhan keadaan minda manusia secara sedar atau tidak. Ia juga mewakili aspek minda kelompok yang mempunyai kuasa mempengaruhi pemikiran, tingkah laku dan keperibadian seseorang.

Psyche dengan itu boleh dianalisis dari kata-kata, tingkah-laku yang menterjemahkan apa yang didalam diri seseorang hasil minda dalamannya yang berlaku samada secara sedar atau tidak.

Tingkah laku dan pertuturan adalah secara zahir boleh menggambarkan pscyhe individu yang mewakili kelompok yang punya psyche yang sama. Ini adalah Psyche kelompok.


Menilai psyche sesetengah kelompok kepada respons politik tanahair boleh menggerunkan kita. Tutur kata, tingkah laku adalah terjemahan dari satu minda yang terpahat secara sedar dan tidak sedar berpotensi menyebabkan keseimbangan sosial dan nilai kepelbagaian masyarakat terjejas.

Pschye bahaya ini bukan datang dari calang-calang orang. Ia mewakili kelompok yang berpengaruh dalam masyarakat dan dipandang tinggi mewakili keperluan agama dalam masyarakat Melayu.

Apabila ia berbicara seolah bicaranya mewakili psyche yang terpendam dan corak berfikirnya seolah senada dengan pihak yang bertindak tanpa berfikir panjang.

Pscyche individu ini menterjemahkan satu set pemikiran yang terlalu simplistik berbeza dengan karakter luarannya yang kononnya dari latar akademik yang tinggi dan kompleks.

Hujahannya tentang politik semasa betul-betul atas permukaan malah tak berpijak pun atas permukaan langsung, malah mungkin khayalan yang diciptanya sendiri.

Individu yang tak sepatutnya mewakili set pemikiran yang simplistik membuat rumusan tentang hubungan antara agama di negara ini berpandukan teori-teori konspirasi 'Islam terancam' tanpa apa-apa bukti substantif malah itu lah satu-satunya alasan dia menolak Pakatan Harapan.

Amat menggerunkan lagi diwajarkan hanya dengan satu ayat Al Quran tanpa memberi keadilan kepada keseluruhan konsep kemanusiaan dan kedamaian yang lebih besar yang menjadi agenda utama Pakatan Harapan.

Menggerunkan juga psyche ini meletakkan gaya selektif (memilih mana yang sesuai dengan kehendaknya) dalam membuat rumusan-rumusan penting negara untuk mewajarkan sikapnya.

 Segala episod 'mungkir perjanjian' , penipuan dan masalah moral lain digelapkan dalam mindanya walaupun dia tahu hakikat sebenarnya.

Membuat satu penilaian 'murahan' kepada parti-parti tertentu sebagai sebab Islam terancam dan menuduh tunduk kepada parti lain yang 'berleluasa' menghina Islam' adalah satu lagi yang menggerunkan kita .

Betapa simplistiknya minda yang sepatutnya lebih berstruktur dalam berfikir daripada individu yang menjadi rujukan dalam kehidupan beragama masyarakat.

Ia bukan sahaja simplistik tetapi andaian 'plastik' yang tiada kebenaran untuk membuat satu rumusan besar dan membabitkan kepentingan kepimpinan parti tersebut dan seluruh anggotanya.

Menggerunkan apabila psyche ini lahir dari individu berpengaruh dengan label agama, ia menjadi ikutan kepada satu fahaman sempit yang boleh mencetuskan kebencian sesama kaum muslimin apatah lagi permusuhan antara kaum dalam negara ini.

Inilah psyche sebahagian kelompok di timur tengah yang membawa kepada peperangan dan permusuhan tidak kesudahan. Menggerunkan jika psyche ini sudah menular di kalangan individu yang menjadi ikutan ramai.

Mungkin ada yang mengatakan, itu sekadar pandangannya dan tak perlu kita terlalu emosional. Pandangan bagi penulis hanyalah luaran, tetapi jika diteliti apa yang terkandung dari psyche pandangan itu, kita akan temui sisi gelap dan sikap kepuraan orang beragama yang berselindung di sebalik kedudukan hanya untuk menjadi macai politik murahan. Gerun lagi menggerunkan!

Wassalam

1 comment:

Ted said...

As Technology has come to the forefront of everything from business, education, and healthcare to how we live our personal lives, there are many publications that cover the industry but few with a focus on future technologies.
Homepage for Article writer services

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...