Saturday, November 16, 2013

Cabaran Kepimpinan Pemuda PAS - Bukan untuk dilabel dan melabel


 
Setelah selesai proses pemilihan kepimpinan baru UMNO, tumpuan pemerhati politik pada masa ini beralih kepada pemilihan kepimpinan PAS yang akan dilaksanakan di dalam Muktamar Agung PAS pada minggu hadapan.

Sebagai sebuah parti politik kedua terbesar di negara ini, PAS tidak boleh mengambil ringan soal pengharapan yang diberikan oleh umum, bukan hanya oleh ahli dan penyokongnya sahaja, malahan seluruh rakyat Malaysia yang mengimpikan wajah baru politik negara yang berintipatikan integriti, kejujuran, keadilan sosial, pengukuhan demokrasi, dan pengupayaan warga.

Dengan wujudnya gelombang kesedaran politik yang makin tinggi sejak pasca Reformasi 1998, tahap pengharapan rakyat kepada kerajaan dan parti-parti politik dalam negara semakin mencabar.

Sebagai sebuah negara membangun, rancangan pembangunan samada dari sudut ekonomi dan sosial, serta persoalan hala tuju negara sentiasa menjadi ujian kepada kemampuan kerajaan yang ada, dan parti-parti politik yang menawarkan diri untuk menjadi kerajaan. 
 
Lebih-lebih lagi sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama (dengan tahap integrasi yang relatifnya masih rendah), kerajaan sentiasa berdepan dengan cabaran sukar untuk mencari garis halus penyelesaian polisi dalam banyak perkara yang umumnya berkait dengan sensiviti kaum dan agama.

Sebagai sebuah parti yang berusaha mendapatkan kekuasaan untuk merealisasikan keadilan pentadbiran Islam, PAS harus mampu memahami pengharapan dan tuntutan ini. 
 
Tentunya, bukan semua rakyat boleh tergerak untuk memberi sokongan kalau PAS hanya sekadar menjanjikan keadilan dengan menjaja di bibir semata-mata konsep Negara Islam, bahkan Negara Berkebajikan sekiranya konsep yang dibawa tidak disokong dengan sikap politik yang benar-benar konsisten dengan keadilan konsep seperti dijanjikan.

Rakyat mendamba sebuah kerajaan yang diyakini dan dilihat bukan sahaja tinggi nilai integriti dan ketelusan dalam pentadbiran tapi juga mampu memandu negara untuk terus maju ekonominya dan sejahtera kehidupan di dalamnya.

Kepimpinan baru PAS terutamanya kepimpinan pelapis di kalangan pemimpin muda di dalam PAS harus tampil menyahut cabaran ini. Cabaran untuk mempersembahkan isi keadilan pentadbiran Islam dengan lebih terbuka untuk dicabar dan kemudiannya diterima oleh rakyat Malaysia.

Pemimpin muda PAS mesti berupaya untuk menterjemah prinsip keadilan ini dalam cadangan polisi umum negara dan pendirian parti dalam isu-isu semasa. Biarlah keadilan itu dapat dihidu dan dirasa oleh semua rakyat apabila suara pemimpin-pemimpin muda PAS bercakap memberikan penyelesaian isu negara. 
 
Era semata-mata lantang melaungkan slogan ‘Islam Adalah Penyelesaian’ sudah lama berakhir. Apa yang dituntut rakyat ialah perincian yang spesifik lagi realistik dalam kerangka sistem pemerintahan negara ke atas setiap satu dasar Islam yang dilaungkan PAS.

Atas perkiraan ini, agenda pemilihan terutamanya di dalam Muktamar Pemuda PAS amat penting dalam menentukan kedudukan masa depan PAS. Kumpulan pemimpin-pemimpin muda inilah yang bakal mencorak rentak gerakan politik dan dakwah PAS dalam masa terdekat ini.

PAS bukan sahaja memerlukan pemimpin Pemuda yang memenuhi kriteria-kriteria kelayakan sebagai pemimpin sebuah gerakan Islam. Tetapi PAS turut memerlukan pemimpin Pemuda yang berketerampilan tinggi untuk mencipta lonjakan dalam prestasi PAS sebagai sebuah parti yang bersedia untuk menawan Putrajaya. 
 
PAS memerlukan pemimpin Pemuda yang mampu menggariskan wawasan besar Malaysia dan garis halatuju negara untuk setiap tempoh yang mendatang.

PAS memerlukan pemimpin Pemuda yang menjiwai latar sejarah dan keunikan serta diversiti negara bangsa Malaysia dan mampu menyusun jalur penyelesaian dalam setiap isu polisi dan dasar negara. PAS memerlukan pemimpin Pemuda yang berupaya menjadi suara anak muda Malaysia pelbagai kaum, agama dan latar belakang. 
 
PAS juga memerlukan pemimpin Pemuda yang menghadam konsep dan tuntutan sistem demokrasi, Perlembagaan, hak asasi, hak wanita, masyarakat sivil dan kelompok minoriti. Dan sebagai pemimpin muda PAS, mereka mesti berani mengembangkan dinamika dakwah dengan mencari ruang-ruang baru yang belum diteroka oleh pemimpin sebelumnya.

Pemimpin muda PAS mesti mampu berinteraksi bukan hanya dengan rakyat Melayu dan Islam malah di kalangan rakyat bukan Islam, bukan hanya dengan anak-anak muda Islamis, malah dengan anak-anak muda yang masih mencari-cari penyelesaian yang ditawarkan Islam.

Tidap dapat diselindungi lagi, masalah besar yang dihadapi Pemuda PAS ialah ketandusan figura kepimpinan yang menguasai dengan fasih dan artikulatif menghadam isu-isu besar negara dan perincian polisi yang ditawarkan PAS. 
 
Ketandusan ini bukan kerana PAS tidak mempunyai cukup tenaga muda dari kalangan teknokrat yang mendapat pendidikan dan latihan khusus dalam pelbagai bidang.

Tapi kerana trend penonjolan saf kepimpinan Pemuda samada di peringkat kawasan, negeri atau Pusat adalah sentimen untuk menaikkan kalangan mereka yang berpendidikan agama atau title ‘Ustaz’ semata-mata yang hanya lantang di pentas kuliah dan ceramah. 
 
Kita semua dapat melihat dengan ketara bahawa asas penilaian perwakilan di dalam memilih barisan Exco Pemuda PAS pada setiap kali musim pemilihan bukan melihat calon-calon dari aspek kualiti dan daya kepimpinan, kemahiran pengurusan, latar belakang pendidikan dan kepakaran, prestasi kerja mahupun ketrampilan.

Mindset kalangan Pemuda PAS masih belum terbuka untuk melihat bahawa wajah kepimpinan Pemuda sangat memerlukan kombinasi pelbagai latar belakang untuk membolehkan Pemuda PAS menangani persoalan-persoalan semasa dalam pelbagai bidang dan bukannya sekadar retorika agama semata-mata. 
 
Dewan pemuda PAS sejak dua penggal kebelakangan ini dilihat tidak lebih dari sekadar ‘Dewan Ulamak Muda’ semata-mata.

Inilah punca ramai kalangan di luar PAS yang acapkali membandingkan pemimpin Pemuda PAS dengan pemimpin-pemimpin muda dari komponen PR seperti Nurul Izzah, Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Liew Chin Tong, Dr Ong Kian Ming, N. Surendran dan lain-lain. Itu belum lagi dibandingkan dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin yang semakin menonjol setelah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Apatah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini kelompok yang begitu takut ‘tercicir’ dengan politik baru PAS yang menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat, telah mula menyemaikan budaya takut dan ‘siege mentality’ di kalangan ahli PAS dengan menyebarkan cerita-cerita karut kononnya di dalam PAS terdapat golongan ‘parasit’ dan ‘liberal’ yang lebih mengutamakan agenda Pakatan Rakyat berbanding perjuangan Islam PAS, berkiblatkan Anwar Ibrahim, menolak Kepimpinan Ulamak, menolak perlaksanaan hudud dan hendak menjatuhkan Presiden PAS.

Cerita-cerita karut ini yang penuh dengan fitnah dan pembohongan disambut pula oleh kalangan individu di luar parti yang tidak lebih dari sekadar menjadi ‘mouthpiece’ UMNO seperti Zulkifli Noordin, Ridhuan Tee, Dr Hassan Ali dan beberapa lagi ahli akademik bertaraf ‘profesor kangkung. 
 
Apa yang menyedihkan, mereka yang berada di barisan hadapan menyebarkan dakyah sebegini adalah terdiri dari kalangan ‘ustaz-ustaz’ pelapis yang lantang menyerang pemimpin-pemimpin kanan PAS seperti Mohd Sabu, Husam Musa, Dr Dzulkifly Ahmad, Khalid Samad, Dr. Mujahid Rawa dan Hanipa Maiden.

Tidak terkecuali tokoh-tokoh muda yang dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin kanan tersebut turut menjadi mangsa serangan seperti Raja Ahmad Iskandar, Ramadan Fitri, Abdullah Karim dan lain-lain.

Majlis-majlis rasmi parti seperti liqa tarbawi, usrah, tamrin dan lain-lain disalahgunakan untuk sebagai medan menyerang dan memfitnah sahabat parti sendiri. Mereka puas dan bergembira bila ramai di kalangan Pemuda termakan dengan dakyah ini dan mereka berjaya menanam doktrin bahawa hanya mereka yang berpendidikan agama sahaja yang layak memimpin PAS.

Manakala kelompok profesional cukup sekadar menjadi pengikut yang setia tanpa banyak soal. Mereka gembira bila ramai tokoh-tokoh muda berpotensi berjaya diburukkan dengan label-label ‘fikrah tak jelas’, ‘tak hormat ulamak’ dan sebagainya dan akhirnya hanya kelompok dengan aliran pemikiran yang sama sahaja yang menguasai Pemuda PAS.

Mereka tidak peduli bahawa jika kecenderungan sempit ini berterusan, akhirnya PAS yang akan rugi dan akan ketinggalan dalam perlumbaan politik merebut sokongan rakyat terutama generasi muda. 
 
Jangan cerita dengan pemuda PAS ini tentang evolusi yang dilalui oleh gerakan Islam seluruh dunia kalau istilah ‘Islamic Democrat’ dan ‘Islamist Democrat’ pun mereka tidak dapat bezakan!

Kelompangan kepimpinan di dalam Pemuda PAS ini hanya akan dapat diatasi sekiranya Pemuda memberikan ruang yang lebih besar kepada bakat-bakat kepimpinan dari pebagai latar belakang untuk membarisi kepimpinan di dalam organisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Dalam Pemuda PAS misalnya, terdapat dua jabatan penting yang sepatutnya bertanggungjawab besar untuk menyalurkan tenaga muda terpelajar untuk diserapkan ke dalam organisasi Pemuda PAS iaitu Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) dan Jabatan Perkaderan Graduan (JPG). 
 
Malangnya kedua-dua jabatan ini hanya gah pada nama, tapi tidak kelihatan sebarang blueprint mahupun gerakerja bersepadu untuk menarik sokongan mahasiswa dan graduan-graduan universiti.

Malah JPM disempitkan peranannya untuk sekadar menjadi ‘polis fikrah’ bagi mengawal supaya mahasiswa yang terlibat dengan PAS tidak berinteraksi dan memanggil tokoh-tokoh PAS yang dikategorikan sebagai ‘bermasalah’, terutamanya tokoh-tokoh PAS Pusat yang dinamakan di atas.

Bukan rahsia lagi bahawa ramai tokoh-tokoh pemimpin dan aktivis gerakan mahasiswa yang hebat samada dari kampus tempatan mahupun dari luar negara seperti United Kingdom yang mengikuti program tarbiyah PAS memilih untuk tidak bergiat dengan Pemuda PAS. 
 
Mereka samada langsung tidak menyertai PAS atau mereka lebih selesa terlibat dengan organisasi-organisai lain di dalam PAS. Bahkan ada juga beberapa orang yang menyertai PKR atau NGO-NGO. Bukan kerana mereka bencikan PAS, tetapi mereka benci kepada kejumudan dan kebekuan yang berlaku dalam Pemuda PAS.

Lihat sahaja apa jadi kepada bekas-bekas pemimpin pelajar yang berasal dari Universiti Malaysia (UM), kampus hebat yang konsisten melahirkan pemimpin berwibawa. Kemana pegi bekas-bekas pimpinan PMIUM dan PMUM selepas mereka keluar? Tidak dinafikan ada yang cuba masuk ke dalam Pemuda PAS, tetapi mereka dipinggirkan atau dimusuhi. 
 
Begitu juga dengan bekas pimpinan Hizbi UK. Boleh tanya dengan Wan Saiful Wan Jan (bekas Mursyidul Am Hizbi UK) apa pandangan beliau dan kawan-kawan terhadap Pemuda PAS.

Sekiranya trend begini berterusan, ianya menjanjikan masa depan yang malap kepada Pemuda PAS. Apabila Pemuda PAS yang sepatutnya menjadi kilang ‘membekalkan’ tenaga kepimpinan kepada PAS gagal berfungsi melahirkan pelapis kepimpinan yang berkualiti, maka PAS juga akan suram masa depannya dan mustahil menjadi parti masa depan yang dominan yang berjaya meraih keyakinan rakyat.

Justeru, pemilihan Pemuda PAS bagi sesi 2013-2015 ini sewajibnya menjadi landasan terbaik kepada perwakilan untuk berfikir secara rasional, waras dan matang dengan memilih barisam kepimpinan Pemuda PAS berasaskan kepada kriteria, kelayakan dan kualiti kepimpinan yang sewajarnya. 
 
Saf kepimpinan dengan adunan latar belakang pendidikan dan pendekatan yang pelbagai adalah amat penting untuk mewajahkan Pemuda PAS seiring slogan ‘PAS For All’.

Jangan memilih dengan sentimen dan emosi, apatah lagi jika sentimen itu didasarkan kepada fakta dan persepsi yang palsu yang didasari hasrat serong supaya PAS hanya dikuasai oleh satu kelompok semata-mata. 
 
Hadirlah ke dewan muktamar nanti dengan perasaan dan jiwa yang ikhlas semata-mata untuk melihat harakah PAS ini maju ke hadapan bagi melaksanakan tanggungjawab memperjuangkan kebenaran dan keadilan Islam kepada seluruh warga Malaysia.

Oleh : Dr Ahmad Bukhari Rahim
 
  *Penulis adalah seorang bekas pensyarah universiti dan pernah menjadi aktivis akar umbi Pemuda PAS pada sekitar 1990-an. Sekarang menjadi pemerhati rapat kepada perkembangan PAS dan juga politik negara.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...