Kenapa tarikh 12hb Mei setiap tahun disambut sebagai Hari Jururawat Sedunia?
Florence Nightingale – 1820-1910 M (Tokoh Jururawat British)
Dunia barat berjaya mendapatkan tarikh ini sebagai tarikh penting
bagi pengamal kerjaya kejururawatan bersempena dengan tarikh lahir
Florance Nightingale.
Florance Nightingale telah diwarwarkan sebagai
tokoh jururawat dunia yang tersohor dan dikenali di mana-mana. Beliau
telah dilahirkan di Itali pada 12 Mei 1820 sebelum bertugas di England.
Anak warga British kelas atasan ini lebih dikenali sebagai ‘The Lady
with the Lamp’ kerana telah bekerja gigih termasuk di sebelah malam bagi
merawat askar-askar British yang luka ketika perang. Beliau juga telah
mengasaskan Pendidikan Kejururawatan secara professional di St Thomas
Hospital, London pada 1860 sebelum meninggal dunia pada 1910.
Adakan anda pernah dengar nama Rufaidah binti Sa’ad?
Nama Rufaidah Binti Sa’ad mungkin tidak semasyhur seumpama
tokoh-tokoh Muslim yang lain seperti Al-Razi, Ibnu Sina dan Abul Qassim
Az`Zahrawi tetapi Rufaidah sebenarnya memberikan sumbangan yang cukup
besar di dalam dunia perubatan Islam.
Rufaidah Binti Sa’ad adalah merupakan jururawat pertama di dalam
dunia Islam dan dunia perubatan sebenarnya.
Sekiranya dunia moden kini
menyanjungi Florence Nightingale sebagai jururawat tersohor kerana
sumbangannya yang merawat para tentera British, seharusnya kita sebagai
muslim menyanjungi dan menjadikan Rufaidah binti Sa’ad sebagai ikon,
seorang jururawat hebat yang telah mempelopori dunia perawatan ini 1300
tahun lebih awal sebelum Florence Nightingale.
Nama penuhnya ialah Rufaidah binti Sa’ad al Aslami, daripada suku
Khazraj di Madinah. Beliau telah dilahirkan di Yathrib (Madinah) sebelum
tahun hijrah dan merupakan di antara penduduk Madinah yang pertama
memeluk Islam.
Apakah keistimewaan Rufaidah?
Beliau merupakan seorang jururawat cemerlang yang telah dilatih
oleh ayahnya yang merupakan seorang doktor di Madinah pada ketika itu.
Rufaidah menjalani latihan secara praktikal dengan menjadi pembantu
klinikal kepada ayahnya.
Sejarah mencatatkan bahawa Rufaidah adalah seorang jururawat yang
cemerlang yang mempunyai banyak ciri-ciri pengamal perubatan yang sangat
istimewa.
Di antaranya ialah :
1-Seorang yang sangat baik, dedikasi dan mempunyai empati yang tinggi.
2-Seorang pengurus dan ketua yang berkebolehan yang mampu menggerakkan pasukannya untuk menghasilkan tugas yang terbaik.
3-Berkemahiran klinikal tinggi dan tidak kedekut untuk berkongsi ilmu
mengajar dengar jururawat-jururawat lain yang bekerja bersama-samanya.
4-Beliau tidak menghadkan tugasnya di dalam situasi klinikal sahaja,
malah turut turun ke padang melihat sendiri keadaan masyarakat untuk
menyelesaikan masalah sesuatu penyakit dari akar umbi.
5-Sumbangan Rufaidah tidak terhad kepada merawat orang sakit sahaja.
Sifat ‘peduli ummah’ yang dimilikinya membuatkan Rufaidah bukan sekadar
jururawat biasa.
Beliau juga bertindak sebagai seorang aktivis sosial
yang gemar ‘ambil peduli’ dan menyelesaikan masalah masyarakat.
Tenaganya banyak disalurkan kepada kerja-kerja kebajikan dan
tanggungjawab sosial di kalangan masyarakat.
6-Pelbagai golongan muslim telah didekati Rufaidah sama ada yatim
piatu mahupun orang kurang upaya. Mengajar anak-anak yang buta huruf
juga menjadi sebahagian daripada rutin dalam jadual hidup wanita
istimewa ini.
Apakah pengiktirafan Rasulullah kepadanya?
Rufaidah telah mewakafkan dirinya untuk membantu barisan pejuang di
Rasulullah saw.
Ketika Kota Madinah menjadi sebuah Negara Islam yang
mengalami banyak proses perkembangan kemajuan, Rufaidah telah
mengabdikan dirinya untuk merawat orang ramai yang sakit. Sebuah khemah
perubatan telah dibina di luar Masjid Nabawi ketika suasana aman.
Manakala ketika Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar, Rufaidah
sentiasa bersedia di barisan belakang sebagai aktivis perubatan dan
merawat tentera Islam yang tercedera.
Nabi Muhammad s.a.w sendiri
memerintahkan perajurit yang cedera dirawat oleh Rufaidah.
Semasa Perang Khandaq, Panglima Sa’ad bin Mu’adz yang cedera telah
dihantar ke khemah perubatan yang telah dibina dan kemudiannya Pahlawan
yang berani itu kemudiannya telah dirawat oleh Rufaidah.
Dengan
kepakaran yang dimiliki, Rufaidah telah berjaya mencabut anak panah yang
terpacak di lengan Sa’ad Bin Mu’adz.
Rufaidah
juga telah melatih sekumpulan sahabiah sebagai jururawat yang sentiasa
bersedia untuk menghadapi peperangan.
Apabila Rasulullah s.a.w sedang
sedia menuju ke lokasi Perang Khaibar, Rufaidah dan rakan-rakannya pergi
bertemu Rasulullah s.a.w. untuk meminta kebenaran untuk turut serta
menyertai rombongan para mujahidin itu ke medan perang.
Rasulullah s.a.w telah memperkenankan permintaan mereka. Dengan penuh
semangat dan keazaman yang tinggi, kumpulan perubatan yang diketuai
oleh Rufaidah telah menjalankan tugas dengan baik sehinggakan Rasulullah
s.a.w mengurniakan sebahagian harta rampasan kepada mereka.
Bahagian
yang diterima oleh Rufaidah sama banyak jumlahnya dengan seorang mujahid
yang turun berjihad di barisan depan di medan perang.
Adakah pandangan anda terhadap kehebatan Rufaidah Binti Sa’ad ini?
Benarlah bahawa Rufaidah adalah seorang ’Ikon Peduli Ummah’ yang
wajar diteladani kerana beliau adalah tokoh yang telah memenuhi objektif
sabdaan Rasulullah yang bermaksud, ““Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain” (Hadith Riwayat Bukhari)
Peduli Ummah
No comments:
Post a Comment