Melaksanakan
misi ini, ianya tidaklah berlaku secara spontan melainkan beberapa
strategi dan langkah bijak telah diambil oleh Rasulullah saw ke arah
pembentukan Daulah Islamiyyah.
Baiatul
Aqabah ( Baiatul Kubra ) adalah merupakan detik akhir dari perancangan
besar Nabi saw untuk membina kedaulatan Islam setelah 12 tahun Baginda
saw bertungkus lumus membentuk syakhsiyyah dan aqidah ummah agar mereka
kembali mentauhidkan Allah dan memakmurkan muka bumi dengan sifat
mahmudah .
Kandungan baiah itu sebagaimana yang diriwayatkan dari Jabir Rha. :
"Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah al Ansori rha kami bertanya : “Wahai
Rasulullah , di atas dasar apakah kami berbaiah ? Sabda Rasulullah saw :
“Di atas dasar mesti dengar dan taat sama ada di masa cergas atau
malas, di atas dasar bernafqah di masa susah atau senang, di atas dasar
menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran. Di atas dasar bangun
kerana menegakkan agama Allah swt dengan tidak memperduli celaan orang
mencela dan di atas dasar memberi pertolongan kepadaku apabila aku tiba
kepadamu, kamu pertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu
dan anak–anak kamu, jika kamu melakukan itu nescaya diberikan untuk
kamu syurga .”
*
Baiah yang dianggotai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan (
Nusaibah bt Kaab dan Asma’ bt Amru ) itu adalah merupakan tunas dan
benih subur untuk Islam bertapak di Madinah ( Yathrib ) . Setelah
selesai mereka berbaiah, satu persatu berjabat tangan dengan Rasulullah
saw maka Rasul saw melantik 12 orang naqib mewakili kaum mereka.
Bermulanya Hijratul Kubra
Setelah
menyaksikan kesempitan ruang untuk Baginda menegakkan Islam di bumi
Makkah sebagai sebuah Negara berpelembagaan dan berdaulat, ditambah pula
dengan tekanan dan ancaman yang kian berlipat ganda dikenakan ke atas
Islam dan perjuangannya, maka Nabi saw mengizinkan para sahabatnya
berhijrah ( keluar ) dari bumi Makkah menuju Yathrib setelah menerima
baiah dari penduduk Yathrib.
Nabi saw. bersabda : "Sesungguhnya
aku telah diberitahu akan negeri hijrah kamu, iaitu Yathrib. Maka
barangsiapa yang mahu keluar ( hijrah ) maka hijrahlah kepadanya (
Yathrib ) ."
Pensyariatan hijrah ini juga boleh dilihat bagaimana Allah menegaskannya di dalam al Quran.
"Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta
benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang
memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang
berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara
satu dengan yang lain. Dan
orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak
bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka
berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara
(menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya,
kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan
mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan." (Surah al Anfaal : Ayat 72)
Hijrah Bukan Takut Melarikan Diri
Rasul
saw dan para sahabat rhm melakukan hijrah adalah untuk mendaulatkan
syariat Ilahi, justeru itu tidak timbul soal takut dan melarikan diri.
Sebaliknya hijrah adalah perintah dari Allah yang diwahyukan kepada Nabi
saw.
Sabda Rasulullah saw.
"Aku
bermimpi bahawa aku berhijrah ke negeri yang banyak pokok tamar, aku
menyangka Yamamah atau Hajar, tiba–tiba tempat itu ialah Yathrib."
Lihat
pula bagaimana Umar al Khattab rha berhijrah. Kenyataannya sangat pasti
bahawa ia bukan hijrah seorang yang penakut yang melarikan diri .
Umar berkata :
"Sesiapa
yang mahu ibunya kehilangan anak, meyatimkan anaknya dan menjandakan
isterinya, maka silalah berjumpa dengan ku di belakang lembah ini."
Hijrah Adalah Perjuangan
Islam
adalah agama yang menuntut supaya syariatnya didaulatkan dan segala
hukum hakamnya dikuatkuasakan sebagai satu perundangan yang mengawal
kehidupan manusia di atas muka bumi.
Al Imamul Ghazali pernah berkata :
"Dunia
adalah ladang akhirat dan tidaklah sempurna agama tanpa dunia sementara
kerajaan dan agama dua perkara yang berkembar. Agama adalah tapak (
asal ) dan kedaulatan ( sultan ) adalah pengawal . Suatu yang tiada
tapak ( asal ) baginya maka pasti ia runtuh ( binasa ) dan suatu yang
tiada pengawal pasti ia hilang ( sia–sia ). Malah tidak sempurna
kerajaan dan pegawainya kecuali dengan kedaulatan."
Kedaulatan
yang dimaksudkan adalah untuk memastikan manusia hidup diatur urus
berasaskan pedoman wahyu ilahi . Firman Allah swt .
"Demi
sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa
bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan
bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca
keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah
menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal
serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan
yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam
kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah
tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak
dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal
balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha
Kuat, lagi Maha Kuasa."
Bertolak
dari kesedaran dan tanggungjawab itulah, maka Nabi saw dan para sahabat
memperjuangkan kedaulatan Islam meskipun mereka terpaksa meninggalkan
tanahair tercinta. Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa
yang keluar ( hijrah ) dari rumahnya sebagai seorang pejuang di jalan
Allah Azza wa jalla kemudian ia berkata ( dengan tiga jarinya ibu jari ,
telunjuk dan jari tengah dihimpunkan ) mana mana mereka yang berjuang
lalu ia jatuh tersungkur dari kenderaannya dan mati maka tetaplah
pahalanya disisi Allah atau ia disengat oleh binatang lalu mati maka
telah tetaplah pahalanya di sisi Allah atau mati biasa maka sesungguhnya
tetaplah pahalanya di sisi Allah Azza wa Jalla."
Firman Allah swt :
"Dan
sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan
Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang
banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya
dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati
(dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di
sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah an Nisaa’: Ayat : 100)
Tegasnya,
perjuangan Rasulullah saw untuk meletakkan Islam mengatasi segala
bentuk fahaman ( ideologi atau berhala ) dan memartabatkan ummahnya
dapat disingkap melalui peristiwa hijrah ini. Justeru itu, kalendar baru
bagi ummat Muhammad saw dikira dari tarikh mula berlakunya hijrah.
Kalendar
tersebut merupakan bermulanya diari baru, bagi ummat Islam muncul
sebagai ummat yang berdaulat dan menjadi kuasa baru buat ummat manusia
seluruhnya ke arah meletakkan mereka sebagai ummat yang bebas dari
perhambaan sesama hamba dan sekaligus memerdekakan manusia dari belenggu
fahaman dan anutan agama ciptaan manusia serta fatamorgana dunia yang
penuh tipu daya.
Agenda Menegakkan Negara Islam
Menegakkan Negara Islam sebagai Baldatun Toiyyibatun wa Rabbun Ghafur dan mendaulatkan syariat Ilahi adalah menjadi asas utama hijrah Rasulullah saw ke Madinah.
Semata–mata
untuk mendirikan solat, puasa, haji dan zakat tidak memerlukan Nabi
saw. berhijrah ke Madinah dan barangkali Makkah adalah tempat yang lebih
sesuai malah Nabi tidak mendapat tentangan hebat dari kuffar Quraisy
andainya perjuangan baginda sekadar untuk solat dan mengerjakan haji.
Baginda
ditentang dan diperangi apabila Baginda saw berjuang untuk mendaulatkan
syariat Ilahi menjadikan Islam sebagai cara atau pedoman dalam segala
aspek hidup ummat manusia. Dari sekecil kecil perkara seperti memakai
sepatu ke tandas hingga kepada sebesar–besar perkara seperti memimpin
dan memerintah Negara, diajar oleh Baginda saw agar ianya dilaksana
berasaskan manhaj Islami dengan sumber asalnya wahyu Ilahi dan sunnah
Baginda saw sendiri.
Hijrah Adalah Pengorbanan
Sebuah
perjuangan pastinya tidak lepas dari pengorbanan sebagai harga
perjuangan tersebut. Semakin penting perjuangan itu, semakin tinggi
nilai pengorbanan yang mesti dibayar oleh para pejuangnya.
Berjuang
menegakkan negara Islam dan mendaulat syariat Ilahi adalah merupakan
sepenting–penting urusan demi meletakkan agama Allah tinggi mengatasi
segalanya dan serentak itu memartabatkan ummahnya agar tidak lagi
menjadi ummat belasahan pula hina di mata dunia.
Pengorbanan Harta
Peristiwa
Suhaib ar-Ruumi yang dihalang oleh kuffar Musyrikin dalam perjalanan
beliau hijrah ke Madinah, Suhaib terpaksa meninggalkan seluruh harta
kekayaan yang diperolehi sewaktu mengurus perniagaannya di Makkah
sebagai 'passport' untuk menjayakan hijrah beliau. (setelah beliau
diletakkan syarat bahawa beliau hanya dibenarkan hijrah selepaskan
meninggalkan seluruh hartanya)
Harta
telah tiada nilainya lagi bagi Suhaib berbanding kepentingan hijrah ke
arah mendaulatkan syariat Allah swt di muka bumi ini. Demi hijrah yang
bermisikan kedaulatan Islam itu, Suhaib memilih untuk tidak bersama
hartanya asal sahaja beliau dibebaskan pergi ke Madinah melepasi
halangan atau sekatan kuffar Musyrikin.
Mendengar berita pengorbanan Suhaib ar Ruumi rha tersebut , Baginda Rasul saw berkata :
“beruntunglah Suhaib , beruntunglah Suhaib“
Pengorbanan
yang dilakukan oleh Suhaib ar Ruumi bukan sahaja mendapat pengiktirafan
dari Rasulullah saw bahkan turut mendapat sanjungan dari Allah swt.
Dengan firman-Nya :
"Dan
di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan
Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan
hamba-hambanya." (Surah al Baqarah .Ayat : 207)
Pengorbanan Perasaan
Pengalaman
yang dialami oleh Abu Salamah rha melakarkan segalanya, bagaimana
perasaan terpaksa diketepikan jua demi mengharapkan agar hijrah berjaya
dilakukan.
Sebagaimana
umum mengetahui bahawa hijrah berhadapan dengan sekatan ( road block )
dan halangan oleh pihak kuffar guna menghalang dan menggagalkan
hijraturrasul saw.
Antara
mereka yang berhadapan dengan sekatan kuffar itu ialah Abu Salamah dan
isterinya Ummu Salamah radiyallahu ‘anhuma. Turut serta dalam sekatan
itu ialah anggota keluarga Abu Salamah dan keluarga isterinya.
Keluarga
isterinya mengambil isterinya ( ummu Salamah rha ) dan keluarganya
mengambil anaknya. Namun Abu Salamah tetap meneruskan hijrah ke Madinah
tanpa anak dan Isterinya.
Sehinggalah
beberapa ketika setelah pemergiaan Abu Salamah, Ummu Salamah hanya
menangis pagi dan petang dan akhirnya menimbulkan rasa simpati dari
sebahagian anggota keluarganya dan Ummu Salamah dan anaknya dibenarkan
kembali ke pangkuan suaminya di Madinah. Ummu Salamah berhijrah bersama
anaknya meredah padang pasir sejarak 500 kilometer .
Ummu
Salamah dibantu oleh Uthman bin Talhah bin Abi Talhah sejurus beliau
tiba bersama anaknya di Tan`im yang membawanya sampai ke Quba’.
Pengorbanan
perasaan yang dilalui oleh para sahabat ini turut dilihat melalui doa
Baginda saw bagi menenangkan perasaan para sahabat yang amat merindui
kampung halaman dan ahli keluarga mereka.
“Ya Allah! campakkan rasa kasih kami kepada Madinah sebagaimana kami kasih kepada Makkah atau lebih kasih daripadanya. “
Hijrah Adalah Penyatuan
Hijraturrasul
saw turut mencatat sejarah bagaimana Baginda saw mempersaudarakan
golongan Ansar ( Madinah ) dengan golongan Muhajirin ( Makkah ) serta
berjaya menamatkan persengketaan kaum antara Aus dan Khazraj yang
berselisih sejak sekian lama.
Hijrah
membuka lembaran baru yang menyatukan mereka sedang penyatuan itu pula
menjanjikan kekuatan dan kehebatan kepada mereka serta mereka mula
digeruni oleh lawan. Malah persaudaraan erat mereka menjadikan mereka mendapat keampunan dan kemuliaan disisi Allah swt . Firman Allah swt :
"Dan
orang-orang yang beriman dan berhijrah ( Muhajirin ) serta berjihad
pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang
memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang
berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan
sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang
mulia." (Surah al Anfaal .Ayat : 74)
Nilai
perpaduan yang diterap dan dididik oleh Rasulullah saw sangat berkesan
dan menyentuh perasaan. Lihat sahaja bagaimana keperihatinan Nabi saw
terhadap nilai persahabatan dan perpaduan ini dalam peristiwa gotong
royong membina Masjid an Nabawi di atas tapak tanah tempat baginda
berhenti dan turun dari unta dalam peristiwa hijrah.
“Ya Allah, tiada kehidupan sebenar kecuali kehidupan di akhirat, maka ampunilah Ansar dan Muhajirin.”
Kemuliaan
dan kehebatan perpaduan mereka sebenar dicerna dari nilai persaudaraan
dan persahabatan yang tiada taranya. Saksikan bagaimana mereka ( Ansar
dan Muhajirin ) mempamerkan nilai ukhuwwah mereka dalam membentuk
perpaduan kental yang tentunya menjadi syarat kekuatan ummat ini.
Tatkala
mereka sampai ke Madinah, Rasulullah saw telah mempersaudarakan di
antara Abdur Rahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’. Saad telah berkata
kepada Abdur Rahman bin Auf : “Saya adalah orang yang paling kaya
dikalangan Ansar, marilah kita bahagi dua hartaku dan saya mempunyai dua
isteri, maka lihatlah yang mana satu kamu suka agar aku ceraikan dia
lalu apabila selesai iddahnya maka kamu kahwinilah ia." Abdur Rahman bin Auf menjawab : "Semoga Allah memberkati kamu dan keluargamu dan hartamu, tunjukkan aku dimanakah pasar kamu." maka ia dibawa ke pasar Bani Qainuqa’.
Hijrah Adalah Kedaulatan
Kemuncak
kejayaan hijrah ialah apabila Baginda meletakkan Piagam Madinah atau
Miithaaqul Maadinah sebagai perlembagaan negara Islam pertama justeru ia
menepati sebuah perjanjian antara kerajaan yang dibentuk dengan rakyat
yang dipimpin.
Asas terpenting di dalam piagam ini ialah:
“Apa jua yang menjadi perselisihan dikalangan kamu maka tempat rujuknya ialah Allah Azza wa Jalla dan Muhammad saw.” Inilah kedaulatan Islam .
Hijrah
Rasul saw membina kedaulatan Islam dan meletakkan ummatnya aman,
harmoni, bahagia, tenang, selamat, bertamaddun, maju, berjaya dan kuat.
Islam menjadi asas dan sumber pedoman atau petunjuk, sementara ummah
pula sebagai khalifah yang mentadbir dan mengurus kehidupan di dunia
berasaskan agama.
Syiar Negara Islam pula sebagaimana ungkapan Ruba`i bin `Amir kepada Rustam Panglima Parsi :
“Sesungguhnya
Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan
sesame hamba kepada menghambakan diri kepada Allah yang maha Esa , (
mengeluarkan manusia ) dari kesempitan dunia kepada keluasannya dan (
mengeluarkan manusia ) dari kedholiman ideology kepada keadilan Islam.”
Hijrah Adalah Kemenangan
Bermula
dengan kejayaan Nabi saw melepasi kepungan rumah baginda oleh 11
mafia yang dilantik mewakili kabilah masing–masing, Nabi saw terus
mencipta kejayaan demi kejayaan sehinggalah tiba di Madinah .
Ancaman pertama ( di rumah Baginda ), Nabi saw berjaya melepasinya dengan menabur pasir ke atas kepala musuh seraya membaca firman Allah swt :
"Dan
Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan
pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang
kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka,
dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada)
di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka;
maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)." (Surah Yaasin Ayat : 9)
Ancaman
kedua ialah sewaktu Baginda Rasul saw bersama Abu Bakar di dalam Gua
Thur. Ianya adalah saat yang paling getir pula terputus hubungan dengan
pihak luar.
Peringkat
awal, Abu Bakar rha telah menunjukkan rasa resah berhadapan dengan
situasi sedemikian, tetapi Nabi saw sangat optimis bahawa hijrahnya
untuk menegakkan Negara Islam dan mendaulatkan syariat Allah pasti tidak
disia–siakan oleh Allah Jalla wa `Ala. Lantas Baginda menegaskan :
“ Jangan bimbang ( berduka cita ) sesungguhnya Allah bersama kita “
Penegasan tersebut telah dirakamkan oleh Allah swt .dalam firman-Nya di surah at-Taubah :
"Kalau
kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun
menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari
negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa
mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya:
"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita".
"Maka
Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan
menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak
melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir
terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam)
ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana." (Surah at Taubah .Ayat : 40)
Ternyata
Allah swt telah menghantar nusrah dan ma`unah-Nya kepada mereka yang
berjuang untuk menegakkan agamaNya. Nabi saw dan Abu Bakar rha selamat
dari kepungan tersebut dan meneruskan hijrahnya ke Madinah.
Ancaman
ketiga, dikala Nabi saw berhadapan dengan Suraqah bin Malik yang begitu
teruja dengan tawaran pembesar Quraisy lalu berhajat benar ia membunuh
Nabi saw. Ternyata Suraqah bukan sahaja tidak berjaya membunuh Nabi saw
malah mencederakan Baginda pun tidak berupaya .
Sebaliknya
Nabi saw penuh bergaya dan hebat, menawarkan hadiah lebih lumayan
mengatasi apa yang ditawarkan oleh pembesar musyrikin. Nabi saw
menawarkan 2 gelang maharaja Farsi. Gelang yang ditawarkan oleh Nabi saw
akhirnya dipakaikan kepada Suraqah bin Malik di zaman pemerintahan
Saiyidina Omar al Khattab rha. setelah amirul mukminin berjaya
mengalahkan Parsi sang kuasa besar dunia dan merampas gelang tersebut.
Saiyidina Omar al Khattab memanggil Suraqah untuk memakai gelang tersebut seraya mengajar Suraqah agar berkata :
“Segala
puji bagi Allah, Tuhan yang telah merampaskan keduanya dari Kisra bin
Hurmuz yang pernah berkata : Akulah tuhan kepada manusia dan Tuhan telah
memakai keduanya kepada Suraqah bin Malik .”
Ketibaan
nabi saw di Madinah disambut penuh gembira dan meyakinkan oleh golongan
Ansar dengan slogan yang menandakan mereka adalah golongan yang menang
dan berjaya malah bakal muncul menjadi ummat yang terbaik memimpin
dunia.
“Bulan
purnama telah terbit menaungi kita, dari arah Tsaniah al Wida’.
Wajiblah ke atas kita bersyukur, apa yang diseru kerana Allah oleh yang
menyeru. Wahai orang yang dibangkitkan dikalangan kita, kamu membawa
perkara yang mesti ditaati.”
Tertegaknya
negara Islam Madinah, Islam tidak lagi diperkotak katik dan dipersenda
melainkan mereka terpaksa menerima tentangan sengit dan akhirnya
terpaksa akur dan tewas kepada Islam. Bermula dari peperangan Badar al
Kubra hinggalah Pembukaan Kota Makkah, nabi saw terus meletakkan Islam
dan ummatnya unggul di pentas antarabangsa sebagai bangsa dan agama yang
merdeka dan menang.Penerangan Dppnk
No comments:
Post a Comment