Salam,
Setelah kemenangan an-Nahdah di Tunisia ,
setiap hari penulis cuba dapat perkembangan terkini Ikhwan melalui Parti Kebebasan
dan Keadilan (FJP) dalam pilihanraya. Penulis
berdoa Ikhwan akan mendapat kemenangan setelah pilihanraya berlangsung secara
adil dan telus.
Menanti pilihanraya di Egypt tiba-tiba berita
parti Islam melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) menang di Morocco,
syukur kepada Allah. Tak tahu pun penulis, bahawa Morocco juga ada pilihanraya
setelah Raja Morocco buat pembaharuan dalam pilihanraya.
Menangnya an-Nahdah di Tunisia, PJD di
Morocco dan kini Ikhwan di Egypt membuktikan parti Islam boleh menang jika
pilihanraya bersih dan adil. Percayalah jika pilihanraya di Malaysia bersih dan
adil dah lama BN dan Umno berkubur.
Bukan hanya Ikhwan sahaja yang menang di
Egypt, parti an-Nour dari pergerakan Salafi juga mendapat undi yang besar. Pergerakan
Salafi setahu penulis tidak mahu sertai pilihanraya semasa Regim Mubarak, tapi
bila Mubarak tumbang pergerakan ini turut mahu sertai pilihanraya.
Memang ada perbezaan antara jamaah Ikhwan
dengan pergerakan Salafi yang mirip fahaman dari Arab Saudi . Terdapat satu
lagi parti Islam iaitu Parti Wafd yang dapat sokongan dari sebahagian kecil
rakyat Egypt. Kewujudan jamaah lain menyaingi jamaah Ikhwan yang sudah 80 tahun
bertapak di Egypt bukanlah satu perkara yang baru dalam perjuangan Islam
melalui jamaah.
Penulis juga tidak terkecuali merasai bahang
berbilang jamaah setelah berada di negara orang putih ini. Persaingan berbilang
jamaah yang penulis tempuhi semasa berada di kampus dalam negara bagi penulis
telah berakhir bila penulis tinggalkan kampus.
Sejak berjuang di medan sebenar dengan
jamaah PAS di kampung-kampung , penulis sudah tidak lalui lagi persaingan
mendapatkan mad’u dengan jamaah lain. Orang kampung pun tak tahu jamaah lain,
yang mereka tahu jamaah PAS dan sekali sekala mereka tahu jamaah Tabligh bila
ada orang Tabligh masuk kampung. Orang kampung tak kenal pun JIM, Ikram, Abim,
Ismar dan lain-lain.
Masih ingat di kampus dulu, semasa penulis
memimpin PMI, Jawatankuasa PMI terdiri dari berbilang jamaah kerana dipilih
melalui syura’ bukan pemilihan biasa secara angkat tangan. Perbezaan pandangan
dan persaingan mendapatkan mad’u membuatkan penulis pada masa itu tidak setuju
dengan kewujudan jamaah lain.
Kenapa begitu? Kerana jamaah ini berjuang tanpa
prinsip yang jelas, kerana pemimpin mereka yang pada masa itu dalam pemimpin No
2 dalam kerajaan.
Bila berhujah tidak lekang di mulut mereka
dakwah bil hal wal hikmah, seolah-olah perjuangan jamaah mereka yang berhikmah.Sertai pilihanraya dikatakan tidak syarie, buat
demontrasi dikatakan tidak berhikmah , macam-macam lagi.
Tup-tup bila pemimpin harapan mereka dalam
kerajaan ditendang keluar, diperlaku zalim regim kerajaan , mereka pula tak
dan-dan nak anjur demontrasi. Hilang dah perkataan tak berhikmah yang dulu
bermain di mulut mereka.
Selepas itu, ramai pemimpin mereka yang
sertai jamaah PAS sertai pilihanraya yang mereka katakan tak syarie. Itu sebabnya ,
penulis anggap mereka tidak berprinsip pada masa tu.
Setelah penulis berjuang di medan sebenar,
penulis tidak ambil kisah sangat persoalan berbilang jamaah. Malah , penulis
sanggup terima saranan sahabat jamaah dalam kawasan untuk terima anak bekas
Mursyidul Am yang merupakan ahli jamaah lain jadi calon Parlimen kawasan
penulis. Sedangkan , jika nak ikut marah masa di kampus mahu ditolak sahaja
kerana penulis pun ada cadangan calon lain.
Sebab itu, bila ada kawan kampus yang
bergurau tentang ketegasan penulis di kampus dengan jamaah lain dikatakan
berubah bila berjuang di medan sebenar. Penulis bagi tahu, itu keputusan jamaah
kawasan penulis bukan keputusan penulis.
Bagi penulis sesiapa sahaja yang jadi calon
atau wakil rakyat hatta asli dari jamaah akan penulis tentang jika menyeleweng, tidak amanah, tidak mahu ikut
arahan jamaah.
Penulis bukanlah berjuang untuk calon atau
wakil rakyat tetapi berjuang untuk jamaah kerana Allah. Jika wakil rakyat
parlimen dari jamaah lain ini pun buat masalah , penulis tidak akan pertahankan
dia. Pernah penulis ditegur oleh seorang Ajk Kawasan kerana ‘belasah’ ahli
parlimen ini teruk dalam mesyuarat jamaah kawasan.
Penulis kata kepada dia, biarlah penulis
jadi ‘kambing hitam’ bercakap kerana benar. Bukan tidak berani walaupun tahu
dengan jelas kesalahan pemimpin. Tidak mahu bercakap kerana mahu jaga hati
pemimpin, tidak mahu bercakap kerana nak tunjuk ‘aku baik ‘ di mata pemimpin.
Berapa ramai ada orang macam tu sehingga perkara yang sepatutnya selesai cepat
berlarutan lama.
Kewujudan berbagai jamaah ada juga baiknya
, hanya dalam keadaan tertentu bila berlaku persaingan yang menyebabkan rasa
tidak senang antara jamaah. Semua jamaah mahu membawa mad’unya kepada Islam ke
arah kebaikan. Yang datang ke kampus
tidak bertudung masuk jamaah dah pakai tudung, yang berakhlak buruk jadi baik,
yang suka bersosial dan bergaul bebas tahu batasan pergaulan.
Lebih baik masuk jamaah di kampus dari ikut
program Kelab Umno kalau di luar negara yang banyaknya ke arah maksiat. Anjur
tari menari, anjur pertandingan fesyen, pesta hiburan dan bergaul bebas.
Cumanya, bila dah dapat mad’u yang ramai
bawalah mereka ke arah keperibadian Islam sebenar. Berjuang untuk Islam bukan
untuk bangsa. Jangan jadi satu jamaah yang dah rasa hebat kerana ahli semakin
ramai bawa Slogan ‘ Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ semasa program Himpun.
Bila ada jamaah lain tak mau sertai
dikatakan jamaah lain tak pertahan aqidah umat Islam. Sedangkan, jamaah lain
dah berjuang lama dah sejak peristiwa murtadnya Natrah. Penulis ada menulisnya
di sini.
Bila berada di negara orang putih ini,
nampaknya penulis tidak boleh lari dari hakikat persaingan berbilang jamaah
ini. Pula tu tanggungjawab penulis di sini semakin berat kerana di tempat
penulis , jamaah masih belum terorganisasi , mad’u pun baru satu batch yang
baru diorganisasi setelah penulis sampai di sini. Sedangkan dua jamaah lain sudah
kukuh dan ramai mad’unya setiap batch.
Apabila penulis fikir balik kenapa penulis
berada di negara orang putih ini. Inilah sebabnya, kenapa bukan UK , US, Eropah
dan bandar-bandar lain dalam negara orang putih ini. Allah Maha Mengetahui,
kelebihan sedikit yang penulis ada diperlukan bagi mengasas dan membina jamaah
di sini.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada
penulis meneruskan perjuangan ini di medan yang berbeza dari medan
sebenar. Tempoh berjuang untuk medan ini
tidak lama hanya dua tahun, tapi dua tahun ini perlu dipastikan jamaah
teroganisasi dan diurus pula oleh mad’u yang dilatih. Selepas itu, penulis akan
kembali semula ke medan sebenar di kawasan penulis.
Wassalam
No comments:
Post a Comment