Sunday, August 21, 2011

Yohanus murtadkan 200 orang Islam, Mohd Farhan Islamkan 4000 orang kristian

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhJMBTaD6slvM8LPmHNUPw2KM5Jaf7CcIKsNwrcREMEmLq7MqEZkg4LQyxSRSgfbnjio3_lzjdxL_2WCXewrljxgOhfxeIE2N-z3HzjtApgs52vEt85YbcgRgAHIXu_Xz8MES7lMm0KSztO/s1600/farhan.jpg
Dulu matlamat hidupnya, adalah memurtadkan seberapa ramai orang Islam.

Sejak usia tujuh tahun lagi, Yohanus sudah dihantar keluarganya untuk bersekolah di gereja bagi melatih dirinya menjadi mubaligh.

“Keluarga saya memang berpegang pada ajaran Kristian yang kuat. Tidak hairanlah, bapa saya ketua gereja Kota Belud (Sabah) pada masa itu,” katanya yang kini dikenali sebagai Ustaz Mohd Farhan Abdullah al-Hafiz.

Dalam usia remaja, mubaligh Yohanus berjaya memurtadkan, lebih 200 orang Islam. Lantaran itu, dia dinaikkan pangkat hingga bergelar pastor.

Ini amat menggembirakan keluarga, terutama bapanya yang menaruh harapan mahu Yohanus menggantikan tempatnya atau mendaki kedudukan lebih tinggi.

“Saya dihantar ke sekolah Kristian di Namous termasuk mendalami kitab Bible di Pusat Gerakan Penginjilan Sidang Injil Borneo (SIB) untuk meningkatkan lagi keupayaan menarik orang mendekati Kristian terutama memurtadkan orang Islam,” katanya.

‘Kejayaan’ dikecapi selain sokongan keluarga membuatkan Pastor Yohanus lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab agamanya.

Bagaimanapun, kehendak ALLAH ternyata mengatasi segalanya.

Atas beberapa insiden, hati Yohanus tiba-tiba berubah menjadi tertarik kepada Islam, satu agama dan umat yang paling dimusuhinya sejak kecil.

“Meskipun saya sering bercerita yang baik dan menarik mengenai Kristian, namun dalam hati saya, tiada siapa yang tahu apa yang saya sendiri rasakan,” katanya.

Farhan berkata, jauh di lubuk hatinya, dia sering diburu perasaan ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya, terutama tentang apa yang dibuatnya selama ini.

“Kepercayaan saya (waktu itu) sering berperang dengan hati sendiri,” katanya.

Namun segala-galanya berubah, sebaik sahaja dia mengucap dua kalimah syahadah pada 1990.

“Segala keraguan dan keluh-kesah itu pergi dengan tiba-tiba. Hingga sekarang, saya berasa amat tenang bersama Islam, sesuatu yang saya tidak pernah rasai dulu,” ujarnya sambil tersenyum.

Farhan berkata, meskipun sudah jadi Islam, dia tidak puas mendalami agama suci ini.

“Semakin hari, saya melihat Islam itu indah, sehinggakan saya nekad mendalami Islam dengan menuntut di Institut Dakwah Islamiyah Perkim di Petaling Jaya dan melanjutkan pelajaran ke Mesir sehingga mendapat ijazah dalam pengajian al-Quran dan Qiraat Shubra Al-Azhar,” katanya.

Setelah 20 tahun memeluk Islam, Farhan telah mengislamkan lebih 4,000 orang Kristian.

Menurutnya, itu adalah usahanya bagi menebus apa dilakukan sebelum ini dan berusaha menarik lebih ramai orang untuk mencintai Islam.

“Walaupun sudah masuk Islam, saya masih lagi mengkaji pergerakan mubaligh Kristian dan melihat perkembangan kitab yang digunakan Kristian.

“Sebagai contoh, banyak gereja hari ini, menyalahgunakan kebebasan beragama, Bible dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris semakin banyak diedarkan. Penyebaran agama dilakukan dengan semakin terbuka apabila kebanyakan hotel di negara ini menyediakan kitab Bible di setiap bilik,” katanya.

Mohd Farhan berkata, penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dalam membendung usaha penyebaran agama lain, terhadap orang Islam masih belum menyeluruh kerana setelah kerajaan membenarkan lebih 35,000 al-Kitab (Bible dalam bahasa Melayu) dibawa masuk ke Malaysia penghujung tahun lalu, kebanyakan penyebar agama Kristian menggunakan kesempatan itu dengan sewenang- wenangnya mencetak dan membawa masuk lebih banyak lagi al-Kitab.

“Terdapat al-Kitab yang ada tidak ditulis ‘hanya untuk penganut Kristian’, malah setiap naskhah yang diedar tidak mempunyai kod atau cop yang mengesahkan kemasukannya.

“Perkara itu berbeza di negara Islam lain, al-Kitab yang dibawa masuk mempunyai kod tersendiri dan dengan jelas dimaklumkan hanya untuk penganut Kristian,” katanya.

“Bagi mengekang penyebaran itu secara lebih berleluasa, pihak kerajaan perlu tegas dalam perkara itu,” katanya. SH

1 comment:

mohd daud yaacob said...

kerajaan tidak langsung mempunyai niat dan perancangan untuk mengekang orang islam terjerumus kepada agama kafir apatah lagi isu murtad tidak ada langsung dalam kotak pemikiran mereka. Tumbangkan kerajaan UBN... takbir............

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...