Wujudnya Lailatul Qadar apabila Rasulullah berdoa kepada Allah
setelah melihat kehebatan seorang lelaki Bani Israil yang sentiasa
menghunuskan pedang (berperang) membela agama Allah selama 1000 bulan
(lebih kurang 83 tahun). Disebabkan terpegun akan kehebatan lelaki itu
lalu baginda berdoa :
"Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya dan lebih
sedikit amalnya (amal yang sedikit, tetapi ganjarannya besar."
Kemudian Allah memakbulkan doa baginda dengan memberikan Lailatul
Qadar kepada umat Nabi Muhammad S.A.W yang mana jika seseorang
menghidupkan satu malam itu sahaja, ganjarannya lebih baik dari lelaki
Bani Israil yang berjihad selama 1000 bulan itu.
Siapakah lelaki Bani Israil itu?
Dikatakan bahawa nama lelaki itu ialah Syam'un, berperang dengan
musuh selama 1000 bulan, tidak pernah kering bulu tengkuk kudanya dan
sememangnya orang-orang kafir gerun untuk menghadapinya.
Sehinggalah
tiba satu pengkhianatan dari isteri beliau apabila ditawarkan oleh orang
kafir sebuah bejana yang dipenuhi dengan emas jika berjaya mengikat
suaminya itu.
Pada satu malam, niat isterinya yang khianat itu untuk mengikat
suaminya dengan tali berjaya dilaksanakan. Namun, ketika Sya'mun sedar
daripada tidur dan menggerakkan badannya semua tali itu putus dengan
mudah.
Lalu beliau bertanya kepada isterinya : "Mengapa kau berbuat sedemikian?"
Lalu isterinya yang jahat itu menjawab: "Aku hanya ingin menguji kekuatanmu sahaja."
Isterinya menceritakan hal itu kepada orang-orang kafir. Segeralah
mereka memberi rantai besi kepada isteri yang jahat itu untuk
mengikatnya sekali lagi. Namun, ikatan besi pada badan Syam'un
diputuskan dengan amat mudah sahaja. Apabila isteri beliau ditanya,
dijawabnya jawapan yang sama.
Lalu menyamarlah Iblis sebagai manusia dan mendatangi orang-orang
kafir dan isteri Syam'un yang sedang melaporkan gerak kerja yang gagal
tersebut.
Maka Iblis tersebut memberi cadangan agar isteri Syam'un
bertanya kepada suaminya apakah benda yang mampu mengikatnya. "Helaian
rambut yang tumbuh di dagu ku ini," jawab Syam'un dengan jujur kepada
isterinya apabila ditanya.
Memang tidak dinafikan bahawa Syam'un mempunyai lapan helai janggut
yang amat panjang hingga ke tanah. Ketika beliau tidur, si isteri
mengikat kaki dan tangannya dengan kelapan-lapan janggutnya tersebut.
Kemudian orang-orang kafir membawanya ke tempat penyeksaan dan
penyembelihan yang amat luas dan tingginya 400 hasta dengan satu tiang.
Maka bermulalah penyeksaan mereka dengan memotong kedua telinganya dan
bibirnya.
Kemudian Syam'un memohon kepada Allah S.W.T agar memberinya kekuatan
untuk memutuskan ikatan dan dapat merobohkan tempat penyeksaan
tersebut.
Allah mengkabulkan doanya dengan berjayanya Syam'un
melepaskan diri dari ikatan itu dan berjaya merobohkan tempat itu dengan
menolak tiang yang membuatkan tempat itu tidak stabil lalu runtuh
menghempap semua orang kafir kecuali Syam'un sahaja yang terselamat.
[Kisah ini diambil dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas]
Akhir kalam, adakah saudara tahu sejarah ini? Malulah kita beribadah
kepada Allah tanpa mengetahui sejarahnya. Seperti ibadah solat, kita
tahu sejarah baginda mendapat perintah solat pada malam Isra' Mikraj
yang asalnya 50 waktu ditukar kepada lima.
Semoga dengan tahunya sejarah
Lailatul Qadar membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk mencari malam
yang lebih baik dari 1000 bulan tersebut.
Kisah ini diambil dari kitab Mukashafah al-Qulub (Penenang Jiwa) bab 103 karangan Imam al-Ghazali.
No comments:
Post a Comment