Wednesday, September 4, 2013

Tulahan : Perwakilan Cawangan calonkan Presiden PAS , ada siapa yang nak marah?


Salam,


Balik hujung minggu lepas , penulis hadir mesyuarat agung pemuda Pas kawasan penulis. Rasanya dah 4 tahun penulis tak dapat hadir. 2 tahun kerana tak kena tarikh penulis balik kawasan , 2 tahun kerana penulis di luar negara.

Mesyuarat agung pemuda tahun ini ada sikit kelainan dari kebiasaan . Kebiasaannya semua pencalonan pemimpin pemuda negeri dan pusat diserah kepada jawatankuasa pemuda kawasan.  Trend ini dah berlaku setiap tahun bukan sahaja untuk mesyuarat agung di kawasan penulis, malah sebahagian besar kawasan lain di Malaysia.

Pada tahun ini, mesyuarat agung menerima cadangan untuk perwakilan cawangan membuat undian bagi pencalonan Ketua,Timbalan dan Naib Ketua pemuda  Pas negeri dan pusat. Bagi jawatan lain diserahkan kepada jawatankuasa pemuda Pas kawasan.

Tiada bantahan untuk cadangan ini, menunjukkan perwakilan cawangan mahu mengambil bahagian dalam menentukan pencalonan pemimpin tertinggi pemuda negeri dan pusat. Lagi pun bukan nak ambil masa yang lama untuk buat pengundian angkat tangan untuk tiga jawatan itu.

Sebelum ini, perwakilan cawangan sentiasa bersetuju apabila dicadangkan pencalonan jawatan ini diserahkan kepada pemuda Pas kawasan. Kenapa bersetuju? Kerana nak cepat tamatkan mesyuarat agung.

Saturday, August 24, 2013

Tulahan : Pemimpin akar umbi dicari-cari, pemimpin tertinggi dilabel-label

Salam,
 Photo: Aku rindu bangat
Dua hari penulis balik raya di kawasan, dapatlah juga penulis pergi beraya ke rumah beberapa orang pimpinan cawangan yang masih belum berupaya buat mesyuarat agung. Tujuannya , nak tunjukkan kesungguhan jamaah kawasan supaya cawangan mengadakan mesyuarat agung.

Sepatutnya  pertengahan Ramadhan lepas dah tamat tempoh cawangan adakan mesyuarat agung. Namun, jamaah kawasan longgarkan sehingga selepas Syawal kerana cawangan sukar cari masa sesuai adakan mesyuarat agung dalam bulan Ramadhan. 


Seminggu selepas penulis balik, dua daripada cawangan ini dapat adakan mesyuarat agung. Lima daripada tujuh yang belum adakan mesyuarat agung penulis yakin mampu adakan mesyuarat agung . 


Cuma dua cawangan yang penulis rasa sukar adakan mesyuarat agung , satu kerana Ketua Cawangannya sakit dan beliaulah selama ini menguruskan cawangan itu. Satu lagi kerana SU cawangannya tinggal di Pulau Pinang ada masalah peribadi , selama ini dia yang uruskan mesyuarat agung.


Inilah masalah jika , jika cawangan gagal sediakan pelapis. Jika berlaku masalah kepada tonggak cawangan , tiada yang mampu menganti kerana selama ini diserah kepada hanya seorang menguruskannya. Kedua-dua cawangan ini setiap tahun adakan mesyuarat agung sebelum ini, harapnya cawangan ini dapat juga adakan mesyuarat agung.


Pun begitu, penulis puas hati kerana tahun ini jumlah cawangan yang gagal adakan mesyuarat agung kecil. Cawangan yang dah bertahun tak mampu adakan mesyuarat agung dah dapat adakan mesyuarat agung. Dua cawangan penaja telah diluluskan pendaftaran jadi dapatlah dua cawangan ini hantar perwakilan ke mesyuarat agung kawasan.

Tuesday, August 20, 2013

Tulahan : Konflik Mesir, ujian keimanan umat Islam

Salam,


Bila melihat kekejaman tentera dan polis Mesir membunuh rakyatnya memang terasa sedih. Rasa tak sanggup lagi melihat gambar dan video kekejaman tentera dan polis Mesir menembak, membelasah rakyat Mesir yang tidak bertindak balas.

Setiap hari bila membuka facebook , paparan berita , gambar dan video terkini dari fb Mesir Kini, Media PMRAM dan terkini Prihatin Mesir sentiasa menyentuh dan mengulang kesedihan , kasihan , simpati kepada rakyat Mesir yang dizalimi.  


Timbul juga rasa marah , geram, tidak puas hati terhadap kerajaan haram Kudeta Mesir yang menjadi firaun moden membunuh pendokong dan penyokong Ikhwan. Perasaan ini samalah juga dengan perasaan pencinta Islam di seluruh dunia yang berjuang menegakkan Islam di tempat masing-masing. 


Konflik di Mesir bagi penulis bukan sahaja menguji keimanan rakyat Mesir tetapi juga menguji keimanan umat Islam di seluruh di dunia. Umat Islam yang imannya nipis dan tidak berpegang teguh kepada ajaran Islam akan kurang simpatinya malah ada yang menyokong tindakan kerajaan haram Kudeta Mesir. 


Bagi yang berpegang teguh mengamalkan ajaran Islam termasuk pejuang Islam seluruh dunia , ingatlah Allah juga menguji keimanan mereka sama ada mereka menerima dengan redha apa yang berlaku di Mesir sebagai satu ketentuan Allah yang ada hikmahnya. 


Apabila setiap hari penyokong Dr Morsi dibunuh, dizalimi maka akan ada umat Islam yang terdetik di hati bertanya bilakah akan sampai pertolongan Allah? .  Melihat kepada penyokong Dr Morsi yang kuat amalan Islamnya, sentiasa membaca al-Quran, setiap malam dalam bulan Ramadhan bangun bermunajat memohon pertolongan Allah. Akan ada yang terdetik di hati, mengapa Allah membiarkan mereka dibunuh kejam?  


Ingatlah inilah hasutan iblis yang menghasut umat Islam seluruh dunia termasuk pejuang Islam. Inilah ujian keimanan hasil dari konflik yang berlaku di Mesir.

Tuesday, August 13, 2013

Tulahan : Cula Ayam

Salam,


Sebelum PRU 13, sahabat bagi tahu JPN dok minta cula kawasan penulis . JPR Kawasan penulis masih tak dapat beri cula kepada JPN tidak seperti JPR dan MTD beberapa kawasan lain yang berjaya menyediakan cula lengkap sebagaimana yang dikehendaki JPN negeri.  

Kata sahabat, JPR Kawasan penulis tidak dapat buat cula yang baik kerana banyak UPU mempunyai jumlah pengundi yang ramai , sukar nak dicula terutama UPU yang ada pengundi bercampur. 

Penulis bagi tahu sahabat, PRU yang lepas pun sama juga cula lengkap memang tak dapat dibuat. UPU yang jumlah pengundi kecil sahaja mampu buat cula 70-80% lengkap, UPU lain sukar dibuat kerana tidak semua pengundi dikenali orang tempatan. 

Cula bukan boleh dibuat secara rambang, sebab tu JPR Kawasan penulis setiap kali pilihanraya hadapi masalah di bahagian penculaan. Pemegang jawatan Bahagian Cula selalu sahaja bertukar tangan kerana gagal laksana tugas.

Pernah dalam PRU 1999, ada seorang yang dilantik bahagian Cula diberi imbuhan jika berjaya dapatkan cula setiap UPU. Pengakhirnya memang cula dapat lengkap, boleh menang lagi. Tapi bila dibuat siasatan, ternyata dia buat cula tanpa dapat semua cula dari UPU. UPU yang dia tak dapat, dia isi borang cula sendiri ikut kepala sendiri.

Sebelum terbang ke luar negara, penulis pernah ajar sahabat bagaimana nak menyediakan cula sebagaimana yang penulis sediakan semasa PRU 12. Namun, mereka tak mampu buat cula macam cara penulis kerana perlu teliti membuat pengiraan.

Penulis tanya sahabat macam mana MTD dan JPR Kawasan yang boleh dapat cula lengkap, bagaimana mereka buat cula? Sahabat bagi tahu, dia pun tak tahu . Sahabat bagi tahu ada MTD yang yakin sekali dengan cula mereka.

Bila PRU 13 selesai, MTD yang beri cula lengkap ini kalah juga. Penulis tanya sahabat sekali lagi, macam mana MTD ini boleh kalah sedangkan jika ikut cula MTD ini yakin sekali. Sahabat pun sebut “ Mereka buat Cula Ayam” . Penulis tanya lagi macam mana buat ‘Cula Ayam’. Sahabat bagi tahu , mereka bagi anak-anak ayam kepada pengundi, pengundi yang terima anak ayam dikira undi bulan.

Sunday, August 4, 2013

Tulahan : Perginya seorang pejuang gigih

Salam,
Hj Tyndareus berbaju gelap di sebelah Allahyarham Tuan Guru Haji Yahya Osman
Saat menulis ini, masih menitis air mata bila mendengar perginya seorang pejuang gigih di kawasan penulis. Menitis air mata kerana penulis tak dapat bersama sahabat lain mengiringi jenazah Allahyarham ke pusara.  

Menitis air mata bila kenangkan pengorbanannya yang sangat besar untuk perjuangan. Betapa banyak harta bendanya disumbangkan kepada jamaah. Betapa banyak masanya diberikan kepada perjuangan.

Kenangkan jati dirinya untuk jamaah walaupun pernah dipecat , beliau tetap istiqomah berjuang untuk jamaah. Sehinggalah diterima semula sebagai ahli dan dilantik menjadi Bendahari jamaah sehinggalah beliau menghembus nafasnya yang terakhir.

Sangat telus menguruskan kewangan jamaah, detailnya sehingga setiap sen kerana takut terguna wang jamaah. Jika jamaah kekurangan dana, wang poketnya yang diinfaqkan untuk jamaah. 

Wednesday, June 26, 2013

Tulahan : 10 malam tanpa kosong

Salam,



Apabila ada sahabat yang bertanya, macam mana jamaah kawasan penulis boleh menang dan tambah majoriti sedangkan kawasan penulis mempunyai pengundi Melayu yang tinggi majoritinya. Penulis bagi tahunya, sebab jamaah kawasan penulis jaga cawangan dan sentiasa tambah ahli. Bila itu dilakukan undi tegar jamaah akan bertambah, undi atas pagar akan mengurang.
Sesetengah kawasan anggap pengurusan cawangan dan penambahan ahli tak penting. Banyak kawasan yang berterabur pengurusan cawangan dan keahliannya. Jika tak percaya, pergilah ke Pejabat Agung kemudian semak pengurusan cawangan dan keahlian setiap kawasan.

Ada kawasan yang memberi penekanan kepada kerja-kerja pilihanraya tetapi terlupa tentang kepentingan menambah cawangan dan ahli. Ada juga kawasan yang banyak program tarbiyahnya tetapi tarbiyahnya itu tidak disertai dengan pengamalan. Tarbiyah ok, cawangan lingkup, ahli tak bertambah.
Bila berakhir pilihanraya , maka semua buat post mortem dan terdengarlah suara-suara pimpinan jamaah menyeru ahli memperkasakan parti.  Sudah ada yang mula bercakap pentingnya penambahan cawangan dan ahli. Baguslah jika disertai dengan tindakan dari pimpinan yang bercakap, malanglah jika hanya bersemangat bercakap tetapi tiada tindakan.

Selepas ini, penulis harap tiada lagi YDP kawasan , pimpinan Negeri dan Pusat cakap berdegar-degar di hadapan pimpinan dan ahli bawahan supaya memperkasakan parti. Namun, bila semak di Pejabat Agung status cawangan dan keahlian di kawasan yang mereka pimpin. Jawapannya, sungguh mengecewakan.

Penulis tidak cakap kosong kerana penulis tahu kawasan mana terutama di Perak yang bermasalah. Jika nak tahu lanjut, pergilah semak di Pejabat Agung.

Thursday, June 20, 2013

Tulahan : Dulu PAS tegas, sekarang ?

Salam,


Pada hari kedua selepas penamaan calon, terdengar sembang seorang aktivis kawasan dengan seorang adik dari jamaah kampus yang datang membantu kempen. Adik ini melahirkan rasa tak puas hati terhadap calon PKR dun Sg Acheh yang katanya mungkir janji. Adik ini bersungguh sokong PAS masuk bertanding di dun Sg Acheh kerana calon PAS layak sebab Ketua Pemuda Negeri.

Semua hujah adik ini sama sahaja dengan hujah PAS tempat lain yang berkrisis pasal calon dengan PKR. PKR tiada petugas, PKR tiada jentera, PAS yang buat kerja , PAS dah buat kerja lama. Jika dengar hujah itu , memang ahli dan petugas PAS di bawah yang dah dok rasa pengalaman dengan PKR akan setuju sangat-sangat. Memang tidak dapat dinafikan.

Penulis pada mulanya senyum mendengar rasa tidak puas hati adik ini. Senyum kerana penulis juga pernah merasai pengalaman kerusi yang PAS dah buat kerja, dah buat daftar pemilih beribu, dah habis puluhan ribu buat program tiba-tiba diserah kepada PKR kerana mahukan gelombang Anwar.

Walaupun dah ditunjukkan bukti kerja buat jentera PAS, yang dun lain di Perak pun tak boleh nak tandingi usaha jentera PAS di dun ini. Kerusi ini tetap juga diserah kepada PKR yang tiada jentera, tiada petugas. 

Bila dah berhenti adik ini meluahkan rasa tak puas hati, penulis tanya adik ini. Siapa yang mungkir janji? Bukankah kerusi dun Sg Acheh diputuskan pada peringkat akhirnya oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diserahkan kepada PKR. Kenapa calon PAS tetap masuk bertanding sedangkan sudah tahu kerusi itu diputuskan milik PKR?

Adik ini bagi tahu calon PAS dapat watikah dari Presiden. Penulis bagi tahu dia, walaupun ada watikah dari Presiden tapi watikah itu diberi sebelum mesyuarat terakhir Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat memutuskan kerusi itu milik PKR. Bila dah dibuat keputusan bersama watikah ini outomatiknya batal.(Pada masa itu, penulis tidak tahu watikah ini dikeluarkan selepas mesyuarat akhir)

Penulis bagi tahu adik ini, tak kira siapa calon PAS . Ketua Pemuda Negeri ka, Pesuruhjaya PAS ka kena patuh kepada keputusan bersama Pakatan Rakyat yang Presiden PAS turut menandatangani sebagai ketua parti. 

Adik ini bagi tahu , calon PAS dun Sg Acheh dah berkempen lama, dah banyak buat kerja. Penulis tanya adik ini, berapa jumlah pemilih baru yang didaftar oleh Pemuda PAS Penang , oleh PAS Penang sejak berakhir PRU 12? Dia tak dapat jawab. 

Penulis minta dia semak dari dapatan jumlah pemilih yang SPR keluarkan setiap kali berakhir setiap suku dari berakhir PRU 12 hingga PRU 13. Bila semak baru akan tahu , Pemuda PAS Penang dan PAS Penang buat kerja atau tidak ?

Friday, June 14, 2013

Tulahan : Sebelah kaki ke Putrajaya ( Akhir )


Salam,


Sebelum PRU 13, sudah dapat diramal kecondongan pengundi Melayu, Cina dan India. Penulis ada membuat analisis ramalan penulis bagi negeri  Johor

Bagi kesemua analisis ini, penulis mengandaikan pengundi Cina akan memberi undi kepada PR sehingga 80 % untuk calon DAP, 60 -70% untuk calon PKR dan PAS.  Pengundi India pula , penulis andaikan akan menurun sokongan kepada PR kepada 50% ke bawah. 

Manakala pengundi Melayu, penulis andaikan sokongan akan menurun sedikit sahaja kepada PR. Kemenangan PR terutamanya PAS , banyak bergantung kepada berapa banyak undi Melayu yang diperolehi. Jika sokongan di atas 40 % , kerusi berkenaan  ada peluang dimenangi jika undi orang Cina tinggi kepada PAS.

Keputusan PRU 13 menunjukkan sokongan orang Cina kepada PR tinggi mencapai 75% ke atas bukan sahaja kepada DAP tetapi untuk PAS dan PKR. Sokongan orang India pula ternyata menurun kepada 55% ke bawah. 

Andaian penulis undi Melayu akan menurun sedikit ternyata tersasar kerana undi Melayu menurun dengan banyak terutama kerusi di luar bandar. Apabila pengundi atas pagar luar bandar telah mengundi BN berlaku lonjakan yang besar pertambahan undi Melayu kepada BN.

Tuesday, June 11, 2013

Tulahan : Sebelah kaki ke Putrajaya ( 2 )


Salam,

 

Dua hari selepas PRU 13, penulis buat analisis keputusan peti undi kampung penulis. Hanya bertambah 1 undi berbanding pilihanraya sebelumnya. Bn tambah majoriti hampir dua kali ganda berbanding pilihanraya sebelumnya.

Bila penulis buat semakan kenalpasti pengundi, didapati ramai pengundi yang undi Pas semasa pilihanraya dulu mengundi bn kali ini. Mereka ini adalah kumpulan pengundi atas pagar yang ada di mana-mana peti undi di seluruh negara. Pengundi India di peti undi kampung penulis juga dikenalpasti mengundi Pas hanya 40 % berbanding 60 % pada pilihanraya lalu.

Penulis bandingkan keputusan di peti undi Melayu kawasan penulis. Keadaannya sama, undi Pas bertambah tapi undi bn bertambah lebih besar dan majoriti undi Pas menurun hampir di semua peti undi Melayu.

Selain Terengganu, jelas di negeri lain pengundi atas pagar Melayu di luar bandar pada PRU 13 telah kembali semula kepada bn setelah memberi undi kepada parti-parti dalam PR pada PRU 12. Itulah sebabnya, ramalan PR akan menang di kerusi majoriti lebih 65% Melayu tidak menjadi kenyataan.

Pas hanya menang jika undi Melayu kepada Pas melebihi bn, bila ditambah undi orang Cina maka Pas menang termasuk di kawasan penulis. Kerusi-kerusi lain yang undi Melayu kepada Pas hanya mencapai 40 % ke bawah, Pas tewas dengan majoriti kecil walaupun undi orang Cina kepada Pas cukup tinggi.

Inilah pentingnya pendaftaran pemilih baru dikalangan anak ahli dan penyokong Pas bagi menambah pengundi tegar Pas. Pas kawasan penulis membuat kerja ini sebaik PRU 12 berakhir, ribuan yang didaftarkan. Pengundi baru inilah yang menampung lompang ditinggalkan pengundi atas pagar yang lari ke bn. 

Ini juga sebabnya, walaupun undi bn bertambah akibat penambahan pengundi atas pagar. Undi Pas setiap peti undi di kawasan penulis juga bertambah kerana daftar pemilih yang dibuat oleh Pas Kawasan.

Saturday, June 8, 2013

Tulahan : Sebelah kaki ke Putrajaya ( 1 )


Salam,


Kemenangan jamaah di dun dan parlimen dalam kawasan penulis cukup bermakna kepada petugas jentera pilihanraya kawasan yang telah bergerak aktif sejak berakhir pilihanraya 2008. 

Walaupun penulis bukanlah di antara mereka sepanjang lima tahun kerana berada di luar negara, namun penulis dapat merasakan kepuasan mereka menerima keputusan ini.

Penulis bersyukur kerana pilihanraya berlaku semasa penulis sudah pulang ke tanah air. Dapatlah penulis bantu jentera kawasan sekadar yang mampu. Bantu mana yang lemah, bagi pandangan yang membantu berdasarkan pengalaman penulis dalam pilihanraya lalu.

Penulis dapat juga bantu jentera UPU kampung penulis yang tak bergerak jika penulis tak balik. Adalah juga pertandingan bendera dan banner di kampung, dapatlah atur petugas untuk PACA di Pusat Mengundi di kampung.

Tak sentiasa berada dalam kawasan kerana terpaksa masuk berkerja semula. Walaupun begitu sepanjang pilihanraya , penulis memang terlibat terus dalam jentera. Ramai yang menyangka penulis berada dalam kawasan sedangkan penulis berada di luar kawasan.

Penulis terima tugas yang diarah menguruskan perjalanan ceramah kelompok di dua lokaliti setiap malam  sepanjang pilihanraya. Penceramah yang diundang pun ada yang tidak tahu , penulis berada di luar kawasan kerana penulis tak bagi tahu.

Ada pandangan yang mengatakan ceramah kelompok tak penting, tapi bagi penulis ceramah kelompok cukup penting jika ceramah berkenaan diadakan di tempat-tempat yang majoritinya pengundi biru dan atas pagar.

Jentera kawasan penulis mengatur ceramah kelompok bukan menyerahkan kepada UPU. Tindakan ini cukup mengaktifkan perjalanan ceramah kelompok setiap malam sepanjang pilihanraya. 

Sesetengah kawasan menyerahkan tugas mengatur ceramah kelompok kepada UPU. Kesannya, hanya UPU yang kuat dan aktif sahaja mampu mengatur ceramah kelompok, UPU yang lemah sepanjang pilihanraya tidak mampu atur walaupun satu ceramah kelompok.

Namun , jentera kawasan penulis bukan hanya aktif mengadakan ceramah kelompok tapi babitkan semua jentera kempen. Malah, cara berkempen kali ini mungkin ada yang berbeza dengan kawasan lain. 

Pembentangan manifesto di pasar awam, pekan sehari dan pasar malam mungkin tidak dilakukan di kawasan lain, tapi cara berkempen sebegini meningkatkan keyakinan pengundi kepada calon jamaah.

Semua peringkat jentera aktif membantu , dari peringkat kawasan, pemuda, muslimat, Unit Amal, Ameerah, Nisa’ hingga ke peringkat UPU.  Walaupun ada yang cuba melemahkan semangat berjuang mereka , namun mereka tidak mudah lemah untuk terus berjuang.

Mengkritik orang politik bukanlah bermaksud mengkritik ulama

Identiti-identiti yang berbeda mestilah dicerakinkan dan berperanan menurut tempatnya - MBH

[Pada menyatakan; "Mengkritik orang politik bukanlah bermaksud mengkritik ulama"]

Shahdan, tuan-tuan sekalian;

1) Jika sebahagian pensyarah dan tokoh ilmuan menduduki sesuatu jawatan dalam pentadbiran, lalu apabila para pelajar mengkritik dan menegur urusan pentadbiran universiti atau pengurusan bahagian pengajian tinggi di dalam atau di luar negara, ia tidak bermaksud para pelajar tersebut sedang melecehkan guru-guru mereka. 


Tugas pensyarah tersebut yang menguruskan hal ehwal pentadbiran dan kesarjanaan seseorang ilmuan mesti dicerakinkan, bukan digeneralisasikan dan menjadikannya bercampur aduk. Justeru sekiranya timbul rungutan tentang urusan pentadbiran, perkara yang mesti dibincangkan ialah tentang masalah pentadbiran, karena ia menimpa semua manusia, melibatkan pula kepentingan mereka. 

Tiadalah wajar diubah topik kepada 'kemuliaan guru', 'usah biadap dengan ilmuan' dan sebagainya. Tuntasnya, identiti yang berbeda mesti dicerakinkan.

2) Demikian juga PAS (Parti Islam Se-Malaysia) sebagai sebuah parti politik, apabila masharakat bercakap tentang idea-idea politik mereka, atau kelemahan pentadbiran di tempat yang diwakili mereka; ia tidak bermaksud melecehkan individu yang dikritik sekiranya individu itu merupakan seorang ustaz, ilmuan atau ulama. 


Saturday, May 25, 2013

Tulahan : 2 tahun 6 bulan


Salam,


Selepas lebih tiga bulan pulang ke tanahair, hari ini baru ambil masa menulis . Bila teringat bersama adik-adik mengerakkan jamaah di luar negara, rasa nak pergi semula ke sana. Namun, cukuplah setakat 2 tahun 6 bulan di sana.

Sebelum berangkat ke luar negara dulu, penulis bayangkan sudah jamaah di sana. Sudah ada tanzim yang kemas dan tersusun, penulis hanya akan ikuti sahaja. 

Bila sampai di sana, barulah penulis tahu bahawa jamaah ada tapi hanya di kalangan postgrad. Itupun bergerak secara diam-diam sehingga adik-adik yang mahu ikut jamaah tak tahu ada jamaah. Sedangkan jamaah lain sudah bertapak menarik adik-adik ikut jamaah mereka.

Terdetik dalam hati, inilah sebabnya Allah hantar ke negara orang putih ini. Penulis ambil inisiatif dengan bantuan dua tiga orang postgrad mulakan usaha menarik adik-adik bersama dengan jamaah.

Pengalaman dari tanahair , penulis terapkan di negara orang putih. Bila menarik adik-adik untuk bersama penulis tidak memilih yang nampak muka ‘baik-baik’ sahaja tapi semua. Yang hisap rokok, yang suka seni, yang suka muzik semua diajak bersama.

Tuesday, January 29, 2013

Dia tidak takut, malu, segan - Vote for her

 
VOTE/LIKE HER FOR THIS VIDEO

 Salam,

untitled-1.jpg picture by paspb

Takut, malu, segan itulah yang terjadi jika berhadapan dengan stiuasi yang memerlukan kita bersuara menyatakan kebenaran, kebaikan , hak kepada orang lain. Ramai umat Islam mempunyai sifat ini sehingga menyebabkan kegagalan menyatakan kebenaran dan kebaikan malah gagal mendapat hak sebagai seorang Islam.

Penulis pernah menulis mengenai takut, malu , segan ini sebelum ini dalam tajuk ada kuasa tapi tak guna di sini. Kali ini penulis ingin berkongsi tentang apa yang penulis lalui apabila berhadapan dengan stiuasi ini semasa berada di negara orang.

Apabila penulis menghantar anak ke sekolah rendah di sini, dua perkara yang melibatkan kewajipan sebagai seorang Islam yang anak2 penulis perlu dapat. Solat dan menutup aurat.

Sekolah rendah di sini, pelajar lelaki berseluar pendek, pelajar perempuan memakai gaun singkat nampak betis. Oleh kerana takut, malu , segan ini ramai anak-anak orang Islam yang bersekolah di sini mengikut sahaja apa yang anak orang putih pakai.

Saturday, January 26, 2013

Tulahan : Calon tapisan parti, pengundi, SPRM


Salam,

PRU 13 sudah terlalu hampir, penulis masih di negara orang putih ini . Jika betul ramalan 22 Februari bubar parlimen, maknanya penulis tiada di Malaysia pada ketika itu.

Bila makin hampir pilihanraya, calon-calonnya untuk setiap dun dan parlimen bagi PR sudah ramai yang tahu. Namun bagi BN, sampai sekarang orang BN sendiri masih tertanya-tanya siapa calon yang mewakili BN.

BN tak umum awal bukan pun sangat sebab strategi pilihanraya tapi takut bergaduh , sabotaj dan boikot sesama sendiri jika calon diketahui awal. 

Bila sudah tahu calon yang wakili PR maka calon berkenaan sudah diperkenalkan kepada pengundi di dun dan parlimen tempat mereka bertanding. 

Bila selesai sahaja penamaan calon, PR tidak perlu lagi ambil masa untuk perkenalkan calon kerana pengundi sudah kenal berbanding BN yang calonnya hanya diketahui pada hari penamaan calon.

Calon dari kalangan orang tempatan tiada masalah tapi calon luar jika tidak diperkenalkan awal tentu ambil masa lama untuk pengundi kenal.

Bila bakal calon sudah ramai yang tahu, maka pengundi sudah menilai awal mereka terutama pengundi muda bawah 40 tahun. Pengundi dari kumpulan ini kritikal dalam menilai calon. Mereka mudah mendapat maklumat tentang bakal calon melalui bacaan facebook dan blog pro PR dan BN.

Monday, December 31, 2012

PRU 13 : Atasi undi tidak normal, PAS menang di Terengganu


Salam, 

Penulis telah membuat analisa di semua negeri di semenanjung yang dimenangi BN dalam PRU 12 kecuali negeri Terengganu.

Analisa pilihanraya negeri Terengganu tidak sama dengan negeri-negeri lain yang mempunyai pengundi bercampur.  Peratus pengundi Melayu secara puratanya di negeri Terengganu adalah 85 %, malah banyak  kerusi yang mempunyai peratus pengundi Melayu melebihi 95 %.

Justeru, slogan ‘PAS ganti Umno’ sememangnya sesuai di negeri Terengganu yang menyaksikan pertembungan sengit antara PAS dan Umno yang mewakili BN.

Hanya dua kerusi dun yang mempunyai pengundi bukan Melayu yang agak ramai iaitu dun Bandar yang mempunyai hampir 39 % pengundi bukan Melayu dan dun Cukai yang mempunyai hampir 15 % pengundi bukan Melayu.

Kedua-dua kerusi ini masih dimenangi calon BN pada PRU 12 kerana sokongan orang Cina masih memihak kepada BN. 

Namun, bagi PRU 13, kedua-dua kerusi ini bakal menjadi milik PAS kerana sokongan pengundi Cina kepada PR sudah melebihi 70 %. Buktinya, undi PAS untuk dun Bandar dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu sudah melebihi undi BN.

Bagi melihat potensi PAS dan Umno bagi PRU 13, Keputusan pilihanraya umum yang lalu perlu dijadikan rujukan. Kawasan kubu PAS dan Umno sebenarnya tidak banyak berubah jika dilihat keputusan pilihanraya sejak tahun 1982.

PAS mempunyai peluang besar  di empat kawasan parlimen iaitu Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Dungun. Kerusi-kerusi dun dalam 4 kawasan parlimen ini silih berganti dimenangi oleh PAS dan BN setiap kali pilihanraya umum.

Malah , jika dilihat kepada keputusan majoritinya juga kecil kecuali kerusi-kerusi yang sememangnya menjadi kubu kuat PAS dan BN.

Kemenangan BN dalam PRU 2004 berlaku kerana pertambahan tidak normal undi untuk BN , sedangkan undi untuk PAS tidak berubah malah lebih daripada undi PAS pada PRU 1999. Mengapa ini berlaku? Sudah banyak analisa tentang perkara ini.

Pada PRU 2008, tidak berlaku pertambahan lagi pertambahan undi tidak normal ini, namun pertambahan undi untuk PAS masih belum dapat mengatasi pertambahan undi tak normal BN pada semasa PRU 2004.

Penulis menjangkakan pada PRU 13, undi PAS akan dapat mengatasi undi BN di banyak kerusi yang mempunyai majoriti undi 1500-1600 ke bawah dan mengekalkan kerusi PAS sedia ada.Kenapa?

1.   Pengundi baru di kalangan anak muda 70% akan memihak kepada PAS walaupun Umno banyak mendaftar pengundi muda ini .

Perlu diingat , Umno memberi ganjaran kepada anak muda yang mendaftar mengundi melalui pendaftar Umno

2.   Pengundi luar Terengganu yang dibawa masuk semasa PRU 2004 masih ada dalam daftar pemilih pada PRU 2008 kerana BN tidak menjangkakan tsunami akan berlaku. Selepas PRU 2008 , BN di negeri asal pengundi ini juga memerlukan  undi pengundi ini.

Oleh itu, urusan pemindahan pengundi dari Terengganu ini sebenarnya telah berlaku . Pertambahan undi yang besar di Selangor juga berpunca dari pengundi dari Terengganu yang dipindahkan semula ke Selangor.

3.   Pergolakan Umno Terenganu yang tidak berkesudahan antara kem Ahmad Said dan kem Idris Jusoh, isu-isu penyelewengan , boros dan tidak telus pentadbiran Terengganu menyebabkan undi atas pagar akan memihak kepada PAS. Suasana lebih memihak kepada PAS dalam setiap isu yang timbul di Terengganu .

4.   Wang ehsan sudah tidak mudah diberikan sebagaimana semasa PRU 2008 kerana menjadi perebutan antara dua kem. Berlaku saringan yang ketat sehingga menyebabkan ramai penerima yang dibuang namanya.

5.   PAS Terengganu di bawah Pesuruhjaya Abdul Wahid Endut dan Jentera Pilihanraya Terengganu di bawah Ariffin Deraman cukup berperanan menjadi tonggak dalam mengaktifkan semua PAS Kawasan dan Jentera MTD setiap Dun. 

Banyak program bercorak kebajikan dan kemasyarakatan di jalankan secara berterusan  terutama melalui MTD setiap dun. Kesan gelombang  sokongan rakyat boleh dilihat semasa himpunan ‘PAS ganti Umno’.

Berdasarkan faktor ini , penulis akan menyorot potensi PAS dan BN di setiap dun mengikut kawasan parlimen di Terengganu

Monday, December 10, 2012

Lajnah Pengkritik buat yang pandai kritik, kerja tak buat


Ketika saat getir begini marilah sama-sama kita menghala muncung senapang kita kepada musuh, bukan sesama sendiri.

Sebagaimana pesanan Imam Hassan al-Banna "Kewajipan lebih banyak daripada waktu".

Sebenarnya kerja di dalam PAS ini banyak, tetapi kita amat kurang amilinnya (petugasnya). Orang hendak mendengar ceramah ramai, tetapi sedikit orang yang hendak mengatur ceramah.

Ramai orang hendak mengundi, tetapi sedikit orang yang bekerja untuk menarik pengundi.

Begitu juga ramai orang yang hendak mengkritik, tetapi sedikit orang yang melaksanakan apa yang dia kritik. Alangkah baiknya jika kritik disusuli dengan tindakan.

Saturday, December 8, 2012

Demo anti Morsi : Aktivis Revolusi Mesir atau pendemostran upahan ?

Aku masuk ke himpunan anti Morsi dan aku tidak rasa mereka ini adalah para aktivis REVOLUSI satu ketika dahulu. Mereka tidak solat dan membuat bising ketika azan. Berbeza dengan aktivis REVOLUSI Mesir tidak lama sebelum ini.

Sebelum ke Masjid Al-Azhar aku singgah di Medan Tahrir untuk melihat sendiri para anti Morsi berkumpul. Aku ingin lihat dan ingin menyelidik apakah benar para anti Morsi ini adalah para penyokong Morsi ketika Revolusi menjatuhkan rejim Mubarak. 
Apakah benar para pemuda berkumpul ini kerana marah dengan tindakan Morsi atau pun mereka ini hanyalah sekadar pendemostran upahan.

Aku berlapang dada dan cuba untuk mencari kebenaran. Aku tidak taksub pada Morsi dan aku hanya mahukan kebenaran. Setibanya aku disana aku lihat beberapa pemuda memegang kayu dan dipercayai ahli keselamatan para pendemostran yang berkhemah disitu.


Dari jauh aku cuba mengira bilangan mereka yang masih menduduki dataran Tahrir itu. Jika sebelum ini para anti Morsi pernah berkumpul sehingga mencecah 100 000 pendemo. Namun para kini para anti Morsi di dataran Tahrir sudah berkurangan. 

Saturday, November 17, 2012

Tulahan : Ketua Pemuda tak perlu berlakon, turun ke medan realiti


Salam,

http://peraktoday.com/wp/wp-content/uploads/2011/05/tantawi.jpgBila penulis menulis tentang anak muda di kawasan penulis, nampak bersifat tempatan. Namun, apa yang berlaku di kawasan itulah juga berlaku di seluruh negara.

Apabila penulis mengikuti secara live perbahasan pemuda jamaah. Pembahas juga menyentuh persoalan mendekati anak muda. Pemuda pusat dilihat tidak mendepani isu, tidak berada di tengah-tengah anak muda, tidak berada di medan realiti.

Anak muda sekarang mahu pemimpin mereka bukan sekadar bercakap tapi berada di depan. Mereka mahu pemimpin yang berani, pemimpin yang menjuarai isu rakyat.

Pada masa sekarang , isu-isu rakyat dibawa dan dijuarai oleh parti lain dalam PR dan NGO tertentu. Tidak ada seperti Mazlan Aliman dalam pemuda dalam isu felda, tidak ada seperti Mahfuz Omar dalam pemuda dalam isu AES. 

Anak muda mahu pemimpin pemuda seperti Cikgu Bard. Anak muda melihat bagaimana Cikgu Bard masuk lokap, dibelasah teruk polis , di maki hamun samseng UMNO. Anak muda mencari siapa pemimpin pemuda pusat yang sama seperti Cikgu Bard.

Apabila Cikgu Bard dan NGO anak muda Samm mendedahkan isu demi isu, berdepan muka dengan pemimpin UMNO menyeleweng. Anak muda bertanya di mana pemuda pusat? Tidak hairanlah ramai anak muda jamaah memilih untuk menyertai Samm.

Friday, November 16, 2012

Tulahan : Jangan selalu negatif, jiwai anak muda



Salam,

Semasa pulang ke Malaysia dua bulan lepas, beberapa orang sahabat jamaah melahirkan tidak puas hati mereka terhadap tindakan YB parti kawan yang telah menarik anak muda jamaah sertai sebuah NGO anak muda.

Kebetulan ada majlis pelancaran NGO anak muda di kawasan penulis dan penulis hadirkan diri pada malam berkenaan. Bila penulis sampai , memang penulis lihat anak muda yang sertai NGO ini sebahagian besarnya anak muda jamaah.

Malah ketua NGO anak muda ini di kawasan penulis ini adalah bekas SU cawangan yang kenal penulis kerana penulis kerap berurusan dengannya semasa penulis pegang jawatan SU kawasan.

Apabila sahabat jamaah bagi tahu penulis mereka tidak puas hati, penulis bagi tahu mereka jangan salahkan YB berkenaan . Salahkan jamaah kerana gagal dekati anak muda jamaah berbeza dengan YB berkenaan.

Memang penulis dapat jawapan bahawa YB berkenaan ada banyak masa untuk turun bertemu anak muda sedangkan pimpinan pemuda jamaah banyak masa untuk buat gerak kerja parti sehingga tiada masa untuk turun seperti YB berkenaan.

Penulis hormati alasan mereka, malah mereka sudah sedaya upaya bersama anak muda cuma pendekatan mereka perlu diubah supaya lebih menjiwai anak muda.

Penulis pun tahu , YB berkenaan pun tidak dekati anak muda di semua kawasan . Hanya beberapa tempat yang ramai anak muda jamaah. Penulis pun tahu , anak muda jamaah ini masih bersama jamaah tidak sertai parti kawan sebab tu YB ini syorkan mereka sertai NGO anak muda yang non partisan.

Pun begitu, penulis akui YB ini bijak menyelami jiwa anak muda sehingga anak muda ini sanggup bersamanya.

Seperti biasa bila penulis balik, penulis akan usaha bantu mana yang mampu. Penulis tahu dari Pengarah Unit Amal kawasan bahawa ramai anak muda di satu tempat yang minat untuk sertai Unit Amal. Katanya, dia dah suruh Ketua Cawangan di situ kutip nama , isi borang. 

Friday, November 9, 2012

Konsep ulama' dan kepimpinannya

“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.

“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan perjawatan dan perlantikan.

Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama, sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.

Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim dengan kepimpinan?

KELUASAN TAKRIF

Mungkin pendapat-pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di dalam al-Quran. 

Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.

Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:

 وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: 28]

Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru kita bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta’aala.

KRITERIA NABI

Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?

Allah Subhanahu wa Ta’aala membantu kita mengungkai persoalan ini melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf ‘alayhima al-Solaatu wa al-Salaam.

Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:

 قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” [al-Qasas 28: 26]
Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan sebagai Qawiyy dan Ameen. 

Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah yang Allah Subhanahu wa Ta’aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan dengan kelayakan dirinya.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.

QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.

AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.
Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama tinggi. 

Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.

Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan oleh Musa ‘alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding sifat AMEEN (integriti).

Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf ‘alayhi al-Salaam meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan perbendaharaan negara, beliau berkata: 

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]
HAFEEZ itu adalah soal integriti manakala ALEEM pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.
Apakah input yang diperlukan untuk mengangkat manusia yang ULAMA berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant Par Excellence di kotak 4?

Monday, November 5, 2012

Rashid Ghannushi dan demokrasi



Apabila Rashid Ghannushi bertemu Zine el-Abidine Ben Ali - sebelum Ghannushi dengan bijaknya membuang dirinya ke London sebagai musuh pemerintahan diktator - satu perkara yang sangat ganjil berlaku. 

"Dia tidak melihat ke mata saya," ujar Ghannouchi. "Dia tidak begitu banyak bercakap. Tetapi apabila saya bersama dengan dia, mereka membawakan kopi untuk kami berdua.”

"Saya bercakap dan dia senyap mendengar, kemudian tiba-tiba dia mengejutkan saya. Dia menukarkan cawan kopi kami berdua. Kopi saya diambil beliau, dan beliau mengambil kopi saya, seraya berkata: 'Adakah kamu berasa sangsi dengan kopi ini?' Tetapi perkara berkenaan tidak pernah terlintas di fikiran saya! Jadi saya menukarkan semula cawan kopi kami dan mengambil semula cawan yang diberikan kepada saya pada awalnya."

Aneh sekali. Semestinya ia adalah kali pertama dalam sejarah bahawa seorang diktator berfikir tetamunya takut diracun. Dan ketika kami sedang berbual, seorang wanita memasuki pejabat Ghannushi dengan membawakan kopi. Jangan tukarkan cawan, ujar saya kepadanya. Unsur lawaknya jelas. Namun Ghannushi bukanlah seorang lelaki yang semula jadi bersikap lucu dan dia banyak menghabiskan masa cuba memujuk lawannya bahawa - sebagai pengasas dan pemimpin parti terbesar di Tunisia, Ennahda - beliau tidak mahu sebuah negara Islam di Tunisia.
Umpan

Hanya 24 jam sebelumnya, seorang profesor undang-undang Tunisia, Jamil Sayah, telah menulis satu artikel panjang yang tidak begitu menyenangkan di La Presse de Tunis, mengatakan perbezaan antara Ghannushi dan majoriti warga Tunisia adalah "Ketua Ennahda mahu mengislamisasikan kemodenan manakala rakyat Tunisia mahu memodenkan Islam". Saya tidak fikir Ghannushi membaca artikel tersebut- yang seperti kebanyakan laporan dalam akhbar Tunisia, panjangnya sekurang-kurang 2,000 patah perkataan - tetapi dia termakan umpannya.

"Dia  (Sayah)  yang mahukan perkara ini," ujar Gannushi. "Saya tidak percaya warga Tunisia mahu mengubah Islam tetapi mereka mahu menjadi moden dan pada masa yang sama menjadi Muslim. Islam adalah agama yang moden, kita tidak memerlukan sebarang pengubahan ke atas Islam untuk menjadikan ia moden. Dari awal, Islam adalah agama yang pluralistik. Dari awal, Islam percaya dengan kebebasan beragama dan hati nurani, dalam kesahan negara berdasarkan kontrak antara rakyat dan pemerintah."

Friday, October 12, 2012

Tulahan : Di sini menanti, di sana menunggu

Salam,

Masa dua minggu penulis di Malaysia sememangnya tidak cukup. Hanya sempat siapkan dokumen 20 cawangan untuk hantar ke pertubuhan . Hanya boleh tolong uruskan permohonan keahlian untuk hantar ke pusat .

Pun begitu penulis bersyukur kerana dapat juga bantu jamaah kawasan . Masa untuk penulis di negara orang putih sepatutnya dah tamat awal Oktober, tapi penulis minta sambung 6 bulan lagi kerana keperluan penulis membantu jamaah di negara orang putih ini.

Memang hati nak balik bantu jamaah kawasan tapi awlawiyatnya penulis kena berada di sini. Jamaah di kawasan boleh digerakkan ramai pengerak lain walaupun penulis tiada. Jamaah di sini terlalu baru perlukan penulis untuk membimbing adik-adik yang baru belajar menjadi pengerak.

Bagi yang tak faham jamaah, penulis bagi tahu penulis sambung 6 bulan lagi kerana nak kerja cari duit . Penulis tak bohong kerana memang penulis kerja di sini cari duit. Bagi yang faham , penulis jelaskan keperluan penulis di sini bukan tak mahu bantu jamaah kawasan terutama dekat dengan pilihanraya.

Tak semua faham bahawa perjuangan penulis dalam jamaah di sini berbeza dengan perjuangan dalam jamaah di kawasan walaupun jamaahnya sama. Jamaah di kawasan ramai yang boleh mengerakkan tapi di sini penulis hanya berdua dengan bekas aktivis jamaah kampus di U tempatan.

Hanya kami berdua merancang dan mengerakkan jamaah yang baru ditubuh. Melatih dan membimbing adik-adik baru yang baru memahami gerakan jamaah. Pulak tu kena berhadapan dengan saingan yang juga menggelarkan mereka sebagai jamaah di kampus.

Kebetulan semasa pulang ke Malaysia baru ini,  penulis dipanggil untuk beri taklimat penubuhan penaja cawangan sebuah taman baru di kawasan. Penulis bagi tahu sepatutnya dekat-dekat dengan pilihanraya inilah jamaah di mana-mana kawasan ambil peluang untuk menarik seramai mungkin ahli baru dan menubuhkan sebanyak mungkin cawangan penaja baru.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...