Monday, May 31, 2021

Tulahan : Lambang PH semasa PRU 15, logo PH atau PKR?


Assalam,

Penulis ada menerima satu dapatan kajian daripada sebuah pusat kajian di Malaysia berkaitan kecenderungan pengundi terkini . Setakat ini , dapatan kajian masih belum dibentangkan kepada media.

Baru-baru ini , O2 Research Malaysia telah membentangkan kajian yang menunjukkan TS Muhyiddin masih memperolehi 51% sokongan tertinggi berbanding ketua parti lain.

Kajian yang dibuat pada suku pertama tahun 2021 juga menunjukkan bahawa sokongan kepada TS Muhyiddin sebenarnya telah merosot berbanding 66 peratus pada suku kedua tahun 2020

Dapatan kajian O2 Research Malaysia juga menunjukkan PH mendapat sokongan tertinggi 36% dikuti PN 31% , BN 22% dan MUDA 11%

Kajian O2 Research Malaysia telah dikritik oleh pemimpin politik yang tidak dapat menerima hasil kajian kerana didakwa bertujuan menakut-nakutkan Umno yang mahu bertanding di atas nama BN bukan bersama PN.

Pengkritik berpandangan, O2 Research Malaysia sepatutnya hanya menyenaraikan pemimpin utama bagi PN, PH dan BN bukan menyenaraikan ramai pemimpin utama semua parti politik sehingga menyebabkan sokongan kepada pemimpin utama PN, PH dan BN terpecah.

Bagi penulis, kajian ini perlu diterima positif oleh parti-parti politik bagi memperbaiki kelemahan parti politik masing-masing. Kajian ini perlu dianalisis bersama kajian-kajian lain bagi memperoleh kesimpulan yang lebih tepat.

Satu perkara yang tidak boleh disangkal adalah penurunan sokongan terhadap parti-parti dalam PN terutama Pas dan PPBM, penurunan sokongan terhadap Umno dan BN serta peningkatan semula sokongan terhadap PH.

Pada PRU 14, sokongan terhadap PH adalah 49%, BN mendapat 32% dan PAS mendapat 19%. PPBM pada masa itu dalam PH.

Berdasarkan satu kajian lain, selepas PH dijatuhkan dan PN memerintah, tahap sokongan kepada PH pada masa itu menurun kepada 33% , BN meningkat kepada 34% dan PN (PAS dan PPBM) mendapat 27%.

Namun selepas setahun PN memerintah, pada suku pertama 2021 , sokongan kepada PN telah merosot kepada 20% , BN merosot kepada 29% manakala PH meningkat kepada 48% dan 3% dimiliki Muda dan Pejuang.

Dapatan kajian ini lebih menampakkan realiti sebenar yang berlaku pada hari ini. Kegagalan kerajaan PN sehingga menggunakan darurat untuk mengekalkan kuasa menimbulkan tidak puas hati rakyat yang sangat tinggi.

Sokongan kepada PN akan terus menurun jika PN tidak melakukan sesuatu memuaskan hati rakyat yang terkesan dengan tindak tanduk kerajaan PN.

Walaupun Umno cuba menunjukkan parti itu tidak bersama PN, mengkritik kerajaan PN tetapi rakyat melihat Umno yang berada dalam kerajaan turut terlibat bersama PN. Justeru itu, sokongan terhadap BN akan terus merosot selagi parti itu berada dalam kerajaan.

PH pula walaupun sudah mendapat kembali sokongan rakyat sama seperti PRU 14, parti-parti dalam PH tidak boleh bersenang hati kerana bila-bila masa sokongan rakyat ini akan berubah jika PH melakukan kesilapan.

Sejak ketiga-tiga parti mengurangkan keutamaan mendapatkan semula mandat rakyat, mengurangkan keutamaan grand coalition. Sebaliknya menumpukan usaha memperkukuhkan PH dengan perlantikan semua Pengerusi PH negeri dan mengadakan rundingan kerusi bagi ketiga-tiga parti di semua negeri. Keyakinan rakyat terhadap PH sudah kembali , sokongan tehadap PH semakin bertambah.

Penulis melihat satu isu penting yang PH perlu selesaikan segera bagi mengekalkan sokongan rakyat adalah berkaitan penggunaan logo.

Penggunaan logo PH semasa pilihanraya hanya berlaku semasa beberapa pilihanraya kecil . Ada PRK yang dimenangi PH menggunakan logo PH , ada juga yang kalah. Persoalannya, adakah rakyat sudah mengenali logo PH?

Inilah masalah PH, semasa memerintah pemimpin PH tidak mempromosi logo ini secara besar-besaran. Pemimpin PH bila jadi kerajaan memang jadi kerajaan sungguh, semua program adalah program kerajaan. Program politik untuk mempromosi logo PH tidak dibuat, jika ada program politik hanya ditayang logo parti masing-masing.

Cuba lihat bila PN memerintah, logo PN dipromosi secara besar-besaran, dikibar di merata-rata tempat. Semua bungkusan sumbangan rakyat diletakkan logo PN. Akhirnya , logo PN dikenali oleh rakyat walaupun dibenci.

Logo PH pula hanya muncul semasa pilihanraya kecil, hanya ada di kertas kenyataan media PH. Apabila PH jatuh akibat perletakan jawatan Tun M. Tiba-tiba logo PH dijadikan sasaran punca kekalahan PH dalam pilihanraya kecil. Tiba-tiba logo PH dikaitkan dengan Tun M.

Sedangkan logo PH tidak salah, yang salah pemimpin PH tidak berusaha mempromosi logo PH. Boleh lihat di semua tempat di seluruh negara, ada kita lihat logo PH di pasang, ada bendera PH dikibar.

Sekarang masa dah terlalu suntuk , pemimpin PH perlu buat keputusan segera berkaitan logo PH untuk PRU 15.  

Sudah ada cadangan mengekalkan logo PKR sebagai logo PH untuk PRU 15. Logo PKR ini sudah dikenali umum dan tidak perlu lagi hendak mempromosi logo PH.

Sudah tentu ada parti dalam PH yang tidak bersetuju menggunkan logo PKR kerana sudah ada logo PH. Apa guna logo PH jika semasa pilihanraya logo PKR yang digunakan?

Bagi penulis logo PH tidak ada masalah digunakan di kawasan bandar dan separa bandar. Pengundi di kawasan ini mudah mendapat maklumat dan mengenali logo PH.

Maksudnya, kerusi-kerusi di kawasan bandar yang majoritinya ditandingi DAP dan kerusi-kerusi di kawasan separa bandar yang majoritinya ditandingi PKR sesuai menggunakan logo PH.

Masalahnya ialah pengundi di kawasan luar bandar yang majoritinya tidak mengenali logo PH. Kerusi-kerusi di kawasan luar bandar majoritinya ditandingi AMANAH dan PKR.

Pemimpin DAP tentu bersetuju menggunakan logo PH kerana mereka bertanding di kawasan bandar. Pemimpin PKR pula tentu mahu menggunakan logo PKR. Bagaimana pula Pemimpin AMANAH?

Bagi pemimpin yang bertanding di kawasan bandar seperti di Shah Alam, Kota Raja dan Pulai tentunya berkeras mahu menggunakan logo PH. Bagaimana pula dengan majoriti kerusi AMANAH di luar bandar? Setakat mana AMANAH sudah mempromosi logo PH?

Ada yang mengatakan bahawa penggunaan lambang hanya mempengaruhi peratusan kecil pola pengundian. Perlu ingat , walaupun kecil , tetap mempengaruhi kemenangan calon PH. Terlalu banyak kerusi PH di luar bandar yang menang dengan majoriti yang kecil semasa PRU 14.  

Keputusan berkenaan penggunaan logo PH untuk PRU 15 perlu dipercepatkan. Jika keputusannya menggunakan logo PH. Semua parti dalam PH perlu berusaha mempromosi logo ini secara besar-besaran. Bendera PH perlu di perbanyakkan di semua kawasan. Lambang PH diperbanyakkan di setiap entiti parti dalam PH.

Namun, penulis cadangkan pimpinan PH membuat keputusan yang adil kepada semua komponen PH iaitu logo PH digunakan semua parti dalam PH sebagai lambang untuk bertanding pada PRU 15. Namun, kelonggaran diberi kepada semua parti dalam PH menggunakan lambang PKR di kawasan luar bandar.

Maksudnya , calon PH boleh menggunakan lambang PH dikawasan yang mereka tandingi di bandar dan separa bandar.  Manakala, calon PH boleh menggunakan lambang PKR di kawasan luar bandar.

Justeru , pimpinan PH perlu mengkaji perkara ini secara serius. Rugilah PH jika tiba pilihanraya , rakyat tidak mengundi PH bukan sebab mereka suka kepada PN dan BN tapi mereka tidak kenal lambang PH

Parti-parti dalam PH perlu membuang sikap taksub kepada lambang parti dan boleh menggunakan lambang parti lain demi kelangsungan parti-parti dalam PH. Penggunaan lambang parti lain selain lambang PH adalah strategi bukan bermakna ketidaksepakatan.

Jika berlaku sikap taksub kepada lambang sehingga tidak boleh menggunakan lambang parti lain wujud, maka tunggulah peribahasa bertukar dari “kerana pulut santan binasa” kepada “ kerana logo kalah pilihanraya”

 

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...