“Siapa yang dikatakan Ulama? Siapa yang beri dia pangkat Ulama?” pertanyaan begini sering timbul.
“Kalau kita nak lantik Ulama sebagai ketua, apa kriteria yang 
menentukan seseorang itu Ulama atau tidak?” soalan dikaitkan pula dengan
 perjawatan dan perlantikan.
Apabila seseorang menggali khazanah Islam untuk mencari takrif Ulama,
 sempit pula dada memikirkan bahawa Ulama seperti itu hanya seperti 
sebutir pasir di tepian pantai di hari ini. Terlalu sukar untuk dicari 
calon yang memenuhi kriteria seperti yang dinukilkan.
Kesulitan itu bertambah lagi apabila Ulama mahu diangkat sebagai 
pemimpin. Timbul pula persoalan berkaitan kesarjanaan, apakah ia sinonim
 dengan kepimpinan?
KELUASAN TAKRIF
Mungkin pendapat-pendapat yang pelbagai tentang takrif Ulama itu, 
adalah sebagai petanda kepada luasnya cakupan makna bagi kalimah Ulama, 
yang disebut dua kali di dalam al-Quran, tetapi tidak diperincikan 
seperti Allah memperincikan perihal harta pusaka atau wanita mahram, di 
dalam al-Quran. 
Ruang yang diberikan tanpa perincian itu bertujuan untuk
 menyediakan unsur keanjalan pada mendefinisikan Ulama sesuai dengan 
peredaran zaman, tahap keilmuan dan ketamadunan manusia serta 
keperluan-keperluan yang diperlukan dalam urusan awam merentas masa.
Hanya satu sifat yang melangkaui segala perubahan zaman dan keadaan, bahawa Ulama adalah manusia yang takut kepada Allah:
وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
“Sesungguhnya, yang menaruh bimbang 
dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya 
hanyalah orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha 
Kuasa, lagi Maha Pengampun.” [Faathir 35: 28]
Bagaimanakah soal takut kepada Allah ini dapat diukur untuk 
menentukan siapa yang Ulama dan siapa yang bukan Ulama? Justeru kita 
bertemu dengan himpunan definisi yang pelbagai oleh sarjana Islam 
sepanjang zaman yang kesemuanya menjurus kepada makna komitmen penuh 
seorang hamba kepada segala kehendak, perintah dan larangan Allah 
Subhanahu wa Ta’aala.
KRITERIA NABI
Namun, Ulama sebagai pewaris para Nabi, bagaimanakah kualiti yang ada
 pada seorang Nabi, untuk pewarisan itu menepati kriterianya?
Allah Subhanahu wa Ta’aala membantu kita mengungkai persoalan ini 
melalui dua kisah yang terdapat di dalam al-Quran tentang Musa dan Yusuf
 ‘alayhima al-Solaatu wa al-Salaam.
Tatkala dua orang anak perempuan Nabi Shuaib menemukan Musa dengan 
bapa mereka berdua, salah seorangnya berkata kepada ayahanda mereka 
dengan ungkapan yang diabadikan di dalam al-Quran:
قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
“Salah seorang di antara perempuan 
yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) 
bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah 
orang yang QAWIYY, lagi AMEEN” [al-Qasas 28: 26]
Penjelasan tentang kriteria Musa yang menjadikan beliau sebagai 
manusia yang paling berkelayakan untuk diupah bekerja diungkapkan 
sebagai Qawiyy dan Ameen. 
Pembahagian kualiti Musa kepada dua dimensi 
Qawiyy dan Ameen ini sangat berguna dalam memahamkan kepada kita apakah 
yang Allah Subhanahu wa Ta’aala kehendaki dari seorang hamba berkaitan 
dengan kelayakan dirinya.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.
QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang 
diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. 
Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai 
KOMPETENSI.
AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala 
kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai 
INTEGRITI.
Sudah tentulah di dalam suatu pekerjaan, kelayakan tertinggi ialah 
pada seseorang yang memiliki nilai integriti dan kompetensi yang sama 
tinggi. 
Namun realitinya, manusia ada pasang surutnya pada kedua-dua 
dimensi kelayakan ini. Ada tugasan yang memerlukan keutamaan integriti, 
ada tugasan yang mesti mengutamakan kompetensi.
Bagi tugasan menguruskan gembala kambing seperti yang bakal dilakukan
 oleh Musa ‘alayhi al-Salaam, QAWIYY (kompetensi pada kekuatan fizikal 
dan kemahiran menggembala) disebut dahulu sebagai yang utama, berbanding
 sifat AMEEN (integriti).
Akan tetapi bagi tugasan yang bersangkutan dengan menguruskan harta 
dan wang, integriti dan kompetensi sama penting, dengan keutamaan 
diberikan kepada integriti berbanding kompetensi. Lalu tatkala Yusuf 
‘alayhi al-Salaam meminta agar dirinya diposisikan kepada pengurusan 
perbendaharaan negara, beliau berkata: 
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Yusuf 
berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); 
Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), 
lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]
HAFEEZ itu adalah soal integriti manakala ALEEM pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda.
Apakah input yang diperlukan untuk 
mengangkat manusia yang ULAMA berada dari kotak 2 dan 3 kepada Quadrant 
Par Excellence di kotak 4?
Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria Ulama’ iaitu pada 
keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada Syariatullah dan 
Sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut 
melanggar hukum Syariat malah juga hukum Sunnatullah. 
Bukanlah seorang 
itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang 
halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada 
pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah Sunnatullah 
yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.
Justeru, sebelum Allah Subhanahu wa Ta’aala mengisytiharkan bahawa 
manusia yang paling takut kepada-Nya adalah para Ulama, Allah Subhanahu 
wa Ta’aala menjelaskan terlebih dahulu senario-senario yang tidak 
mungkin difahami kecuali oleh manusia yang menjunjung Syariatullah 
bersama Sunnatullah.
وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالْكِتَابِ الْمُنِيرِ
Dan jika mereka (yang kafir itu) 
mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal) kerana 
sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga 
mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulNya
 dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan 
Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (Syariat) yang terang
 jelas.
ثُمَّ أَخَذْتُ الَّذِينَ كَفَرُوا ۖ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ
Kemudian Aku timpakan orang-orang 
kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka perhatikanlah bagaimana 
buruknya akibat kemurkaanKu.
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا ۚ وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah 
menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu 
buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara 
gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong 
putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga 
yang hitam legam;
وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Dan demikian pula di antara manusia 
dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada 
yang berlainan jenis dan warnanya? Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan
 takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah 
orang-orang yang berilmu (Ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi 
Maha Pengampun. [Faathir 35: 25-28]
Ya…
Keterangan itu menjelaskan bagaimana seluruh hidupan di alam ini 
patuh kepada ketetapan-ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’aala. Itulah cara
 mereka takut dan khusyu’ kepada Allah, iaitu dengan menjalani kehidupan
 ini sesuai dengan hukum alam iaitu hukum Allah ‘Azza wa Jalla yang Maha
 Esa. 
Jika seluruh makhluk di alam ini hidup dengan kepatuhan yang 
sedemikian rupa, bagaimanakah pula dengan manusia? Kemusnahan kaum-kaum 
yang engkar kepada perintah Allah (melanggar Syaritullah) adalah hukum 
Allah ke atas manusia (Sunnatullah).
Mampukah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah 
seorang yang Alim (Ulama), andai dia bersolat khusyu’, menjaga halal dan
 haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam?
Dia Syariatik.
Tetapi dia tidak Saintifik.
Dengan ilmu Syariat, dilabelkannya manusia yang menolak Syariat 
sebagai golongan sekular. Tetapi dalam masa yang sama dia menolak hukum 
Sains (Sunnatullah) yang sebenarnya menjadikan dirinya juga sekular on 
the other side of the same coin.
KESARJANAAN ERA OTHMANIYYAH
Hal ini sangat ketara pada kaedah pembinaan tsaqafah (ilmu dan 
pemikiran) seseorang untuk melayakkan dirinya dianggap sebagai Ulama’ di
 era Othmaniyyah. Taskopruluzade Ahmet(1495 – 1561), seorang 
encyclopaedist Othmaniyyah yang terkenal dengan kitabnya Shakaik 
al-Nu’maniya telah menjelaskan klasifikasi ilmu seorang yang diiktiraf 
sebagai Alim Ulama. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai adalah:
- The calligraphic sciences: writing implements, styles of writing, etc
 - The oral sciences: the Arabic language amd phonetics, lexicography, etymology, grammar and syntax, rhetoric, prosody, poetry, composition, history and other literary sciences.
 - The intellectual sciences: logic and dialectics.
 - The Spiritual sciences:
 - The theoretical rational sciences: general theology, natural sciences, mathematics.
 - The practical rational sciences: ethics, political sciences.
 - the theoretical religious sciences: the Quran and Sunnah, the sciences devoted to their interpretation – Quranic exegesis, the study of prophetic traditions, Islamic theology and the principles of Islamic law and jurisprudence.
 - The practical religious sciences: practical ethics, etiquette, ihtisab, and all subjects relating to Muslim life and worship.
 
The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 -1600 by Halil Inalcik (1997), page 165.
Inilah kriteria individu yang dikenali sebagai kelompok Sarjana atau 
Ulama di era Othmaniyyah. Kriteria inilah yang diletakkan untuk 
kelayakan seseorang itu mengisi jawatan mudarris, kadi, mufti dan 
seterusnya Sheikh ul-Islam.
Kesimpulannya, seorang saintis yang menolak hukum Syariat bukan 
sarjana dan bukan Ulama. Manakala seorang ustaz atau tuan guru yang 
menolak hukum Sains juga bukan sarjana dan bukan Ulama. Kedua-duanya 
adalah kelompok songsang yang tidak takut kepada Allah.
DEWAN ULAMA DAN INTELEKTUAL ISLAM
Al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dalam kenangan. Kembali ke Rahmatullah pada April 2000
Semasa Muktamar PAS berlangsung pada tahun 1983, Ustaz Yusuf Rawa 
yang mempelopori konsep Kepimpinan Ulama sebagai reaksi kepada peralihan
 era Dato’ Asri Muda kepada kepimpinan yang baru, beliau (Ustaz Yusuf 
Rawa) telah menukar nama Dewan Ulama PAS kepada Dewan Ulama dan 
Intelektual Islam.
Katanya:
Pembinaan kembali insan Muslim menerusi program pendidikan dan tarbiyyah akan dikendalikan perlaksanaannya oleh Dewan Ulama dan Intelektual Islam yang akan diberi tugas dan peranan penting dalam penyusunan baru organisasi Parti Islam.
Para Ulama dan intelektual Islam merupakan gabungan tenaga yang penting dalam usaha memupuk dan meningkatkan kesedaran Islam di kalangan ummah. Seluruh tenaga PAS di peringkat ahli-ahli dan pimpinan mestilah turut secara aktif bagi membantu para Ulama dan intelektual Islam itu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dalam suasana baru itu.
Perubahan Dewan Ulama kepada Dewan Ulama dan Intelektual Islam juga bertujuan untuk memadukan Ulama dan intelektual Islam sekali gus menghapuskan jurang perbezaan keilmuan yang wujud di kalangan mereka dan mengadunkan ilmu serta pengalaman masing- masing dalam konsep, matlamat dan peranan ilmu dalam Islam sehingga dualisma yang memisahkan ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu dihapuskan!
-[Kamaruddin Jaafar (ed.) : Memperingati Yusuf Rawa, pp. 55-66]
Sungguh hebat kenyataan Ustaz Yusuf Rawa ini kerana ia sudah pun 
dibentangkan seawal tahun 1983. Gagasan Kepimpinan Ulama yang diusahakan
 beliau bukanlah suatu gerakan untuk menghasilkan para MULLAH 
sebagaimana yang dirisaukan oleh al-Marhum Ustaz Abu Bakar Hamzah. 
Sebaliknya ia adalah gagasan untuk merawat paradigma sekular sama ada 
sekular pada menolak agama, atau sekular pada menolak intelektual sains.
 Ulama yang berkelayakan memimpin ialah ulama yang harmoni pada konsep 
ini.
Apa yang diperlukan oleh PAS untuk memenangkan Islam, adalah para 
ideologue yang pemikirannya telah dirawat daripada dualisma sekularisma 
yang memisahkan di antara ilmu Syariat dan ilmu akliyyah itu tadi.
Tetapi, apa yang berlaku, hanyalah kepada memadukan golongan Ulama 
dan intelektual ini di dalam kebersamaan mereka bekerja di dalam satu 
parti, tetapi memadukan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup 
(worldview) masih belum berlangsung dengan baik. 
Golongan agamawan 
berjaya duduk semeja dengan golongan profesional tetapi proses memadukan
 disiplin dan ilmu masing-masing tidak berlaku. 
Golongan agamawan 
melihat banyaknya bahagian mereka yang perlu dipelajari oleh golongan 
profesional, tetapi tidak pula jelas pada melihat apa yang perlu 
agamawan ini ambil daripada disiplin dan ilmu golongan profesional 
seperjuangannya itu tadi.
Pergeseran di antara golongan Ulama’ dan profesional, dalam 
mendefinisikan kelayakan kepimpinan, menunjukkan bahawa cita-cita 
al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa masih jauh dari realiti yang ada. 
Golongan 
profesional yang sekular mungkin tidak akan mendekatkan diri kepada PAS,
 tetapi masalah yang besar ialah bagaimana pula dengan ustaz sekular 
yang menolak ilmu aqliyyah, Sunnatullah atau ilmu Sains di dalam PAS?
Justeru, dalam suasana PAS sedang bergerak menuju kepada kepimpinan 
negara, keperluan untuk menguasai ilmu secara holistik bagi menghasilkan
 response yang tepat kepada kemajmukan Malaysia, kecamukan 
ideologi di dalam politik, ekonomi dan sosial serta gelombang 
globalisasi yang begitu meruncing, sentimen pergeseran di antara 
golongan agamawan dengan profesional, hanya akan mengheret PAS berpatah 
balik ke belakang, lebih ke belakang daripada 1983 yang telah 
didefiniskan dengan tepat dan jelas oleh al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa.
Sesungguhnya kelayakan memimpin bukanlah pada agamawan atau 
Profesional, tetapi pada kemurnian aqliyyah Islam yang dicernakan di 
dalam kriteria Nabi Musa dan Nabi Yusuf yang kita warisi perjuangannya 
itu. Itulah ULAMA yang HAKIKI.
Kepimpinan Ulama bukan slogan atau retorik, tetapi satu agenda yang 
menuntut perubahan. Mengubah pemikiran agar berubah pendekatan dan 
kaedah perjuangan.
Selamat maju jaya, buat sekalian pejuang agama!
HASRIZAL
43000 BSP
43000 BSP
No comments:
Post a Comment