Masih ramai di kalangan anggota masyarakat yang terbelenggu dengan
kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siyasah, apabila
mereka merasa pelik melihat PAS boleh mengadakan persefahaman kerjasama
politik bersama parti bukan Islam seperti DAP, yang dituduh setengah
pihak sebagai fanatik atau chauvinis.
Seterusnya mereka ini bertanya: Mengapa PAS tidak boleh mengadakan
persefahaman dengan UMNO yang sebangsa dengan PAS? Tidakkah pendekatan
mengadakan persefahaman dengan UMNO akan menjadi lebih mudah berbanding
DAP atau PKR?
Lalu penentang PAS yang tidak faham ini menyimpulkan bahawa PAS telah
menggadaikan prinsip perjuangannya sebaik sahaja mengamalkan pendekatan
Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat!
Persoalan di atas boleh difahami jawapannya dengan mempunyai fikiran yang tenang dan terbuka dalam menekuni tulisan ringkas ini.
Syarat pertamanya ialah kita mestilah memahami kaedah ajaran Islam dalam menangani masyarakat majmuk bersama pendekatannya.
Perlu difahami juga bahawa Islam pula bukannya agama yang terikat dan
terbelenggu dengan semangat kebangsaan, walau pun peranan bangsa tidak
boleh dinafikan wujudnya.
Dalam amalan politik Islam pula terdapat ajaran dan hukum yang
berkait dengan pendekatan yang adil terhadap masyarakat majmuk
termasuklah layanan Islam dalam aspek kepelbagaian agama.
Risalah atau mesej Islam adalah bersifat sejagat, kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa rahmat kepada seluruh alam, manusia dan makhluk yang lain.
Kerasulannya adalah kepada seluruh rumpun manusia, tidak terikat dengan
bangsanya sendiri, tanahair dan zaman. Maka yang dikira termasuk dalam
kerasulannya juga adalah dalam aspek politik menegakkan dan mentadbir
sesebuah negara.
Islam tetap didahulukan, manakala fahaman kebangsaan pula hanyalah satu perasaan yang tidak boleh menjadi akidah. Peranan kebangsaan menjadi baik apabila Islam menjadi akidah dan petunjuknya. Hanya Islam menjadi petunjuk kepada bangsa, hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja boleh menunaikan amanahnya.
Adalah menjadi hikmah terbesar, bahawa musuh pertama Islam di
kalangan Nabi Muhammad SAW di Semananjung Tanah Arab ialah dari kalangan
bangsa Arab Makkah dan yang awal menerima Islam dan memperjuangkannya
pula adalah mereka juga. Rasulullah SAW memulakan kemerdekaan bangsanya
dengan menentang kongkongan jahiliyah daripada bangsanya sendiri, walaupun di masa itu ramai kabilah Arab dan wilayahnya dijajah oleh kuasa besar Rom dan Parsi.
Walaupun mesej Islam itu kepada seluruh manusia, tetapi konsep
berdakwah menekankan bahawa kita sekali-kali tidak boleh memaksa pihak
lain supaya menganut Islam. Dalam masa yang sama Islam menerima konsep
masyarakat majmuk yang menjadi naluri manusia yang menjadikan mereka
wajib bermasyarakat madani, walau pun berbeza bangsa dan agama. Di
sinilah betapa hebatnya firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا
خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ
لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ
اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13) الحجرات
Maksudnya:
Wahai manusia, Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada
seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (hawwaa) dan menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah
orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
mengetahui lagi Maha Meliputi Ilmunya.
Manusia itu wajib bermasyarakat di peringkat setempat dan antara
bangsa, kerana mereka tidak mampu menghasilkan keperluan hidupnya secara
bersendirian atau individu, satu keluarga dan satu bangsa sahaja tanpa
berhubung di antara satu sama lain. Sehelai kain untuk pakaian
memerlukan penanam kapas, pelombong besi dan tukang besi untuk alat
tanaman, penenun kain dan seterusnya. Begitulah juga keperluan makanan,
tempat tinggal dan sebagainya.
Ibnu Khaldun (1332M – 1406M) menyebut manusia itu bersifat dengan
sifat Madani, iaitu kemestian untuk berkumpul dan berhubung secara
berpusat dengan adanya penempatan yang memerlukan pertukaran kemahiran
dan hasil kerja yang berbeza.
Tempat berhimpun itu dinamakan Bandar (Madinah) dan pekerjaan mereka
mestilah dimajukan secara ilmu, menerusi kajian dan pengalaman dengan
menggunakan akal yang berkembang sehingga berlakunya kemajuan dan
pencapaian yang dinamakan sebagai “Tamaddun”. Walau pun mereka berbeza
agama dan bangsa, namun keperluan berhubung tetap wujud secara fitrah.
Dalam masyarakat yang bersifat madani mereka perlu kepada cara hidup
berkonsepkan politik dan berekonomi disemua peringkat, negeri dan
antarabangsa.
Kedua, bagi merealisasikan aspek ini maka Rasulullah
SAW melaksanakan konsep madani dengan mengadakan “tahaluf” atau
kerjasama di kalangan yang boleh bekerjasama dari aspek kemanusiaan
dengan kalangan manusia yang menyedari hakikat ini, dan negara pertama
itu dinamakan Madinah.
Rasulullah SAW melaksanakan tugas serampang dua mata yang ditunjuk
oleh Allah menjadi tujuan kerasulannya untuk seluruh manusia dengan
menyatukan umat manusia yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Pertama - dinamakan ‘umat Ijabah’, mereka ialah penganut Islam yang menyahut seruan menganut agama. Kedua
- umat dakwah, mereka termasuk kalangan bukan Islam berbagai bangsa dan
agama, namun diajak bersama melihat sifat kemanusiaan sejagat yang ada
dalam Islam secara amali (praktikal) bagi menghasilkan keperluan hidup
secara nalurinya.
Pelaksanaan secara amali terhadap manusia majmuk itu ditemukan dengan
menegakkan keadilan mutlak yang diwajibkan oleh Allah mengikut firman
Allah SWT:
Yang bermaksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang
berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di
antara manusia supaya kamu melaksana dan mentadbir dengan adil.
Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.
Diriwayatkan dalam Hadith Qudsi bahawa Allah SWT berfirman:
يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرماً فلا تظالموا
(رواية مسلم ).
Maksudnya: (Wahai hamba-hamba ku , sesungguhnya aku telah
mengharamkan zalim itu berlaku ke atasku dan aku jadikan ia diharamkan
di kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu berlaku zalim).
Dalam pendekatan yang kedua Rasulullah SAW berhubung dengan kalangan
bukan Islam yang ada sifat kemanusiaan, dalam keadaan orang Islam pula
kosisten dan iltizam berpegang kepada prinsip dan konsep Islam.
Pelaksanaanya dilakukan ketika tanpa negara dan bernegara. Ketika di
Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Tholib
yang tidak menganut Islam, dengan konsep yang dinamakan “Himayah”
(perlindungan). Ianya juga dilakukan dengan Mut’im bin Adi iaitu seorang
bukan Islam, ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah daripada Thaif.
Ciri persamaan adalah kebencian terhadap kezaliman.
Rasulullah SAW juga menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit, juga
seorang bukan Islam bagi memandu unta ketika berhijrah dengan penuh
kerahsiaan dan memerintah menantunya Saidina Ali KWJH supaya
memulangkan simpanan amanah kalangan penduduk Makkah daripada kalangan
bukan Islam yang mempercayainya.
Ketika di Madinah pula Rasulullah SAW mengadakan Tahaluf
(persefahaman politik) dengan pihak kalangan bukan Islam dan melakukan
muamalah berhutang dan bergadai dengan mereka, seterusnya menerima
beberapa kabilah musyrikin bernaung di bawahnya dalam perjanjian
Hudaibiyyah. Dalam kedua-kedua keadaan tersebut Rasulullah SAW teguh dengan dasar dan menunjukkan akhlak mulia Islam terhadap bukan Islam yang ada persamaan dari segi kemanusiaan.
Dasar dan konsep ini dilaksanakan oleh sepanjang generasi di zaman
keemasan dan kejayaan, ditinggalkan di zaman kelemahan dan kejatuhan
sehinggalah Negara umat Islam dijajah.
Pendekatan PAS yang berdasarkan Islam, dalam hubungan dengan bukan
Islam sangat berbeza dengan UMNO yang berfahaman kebangsaan mengatasi
Islam secara sekularisme. Di bawah pemerintahan BN, Islam tidak berkuasa
mentadbir tetapi berada di bawah tadbir, dalam keadaan menerima hakikat
yang sama wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak ditangani
secara Islam yang sebenarnya.
Lihat sahajalah contoh kejadian terkini yang berlaku terhadap Encik
Frusis Lebi, seorang OKU yang juga merupakan seorang pekebun dan petani
dari Kampung Entulang Entawa dari Bahagian Sri Aman yang dinafikan
bantuan Kerajaan di atas alasan menyokong pembangkang di Sarawak (rujuk
Surat Menteri Muda Pertanian Sarawak, KPP/MM/31 bertarikh 8 Disember
2011 yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini). Inilah
antara siri ketidakadilan layanan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat,
sedangkan mereka juga adalah rakyat yang turut sama menyumbang kepada
pendapatan Negara. Inikah rupa bentuk kerajaan bertanggungjawab yang mahu ditegakkan?
PAS berpegang dengan konsep yang ditunjuk oleh al-Quran, bahawa bumi
adalah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan mana-mana bangsa. Seluruh
manusia adalah pemegang amanah di mana bumi mereka berpijak, adalah
wajib melaksanakan keadilan Ilahi tanpa mengira bangsa. Apatah lagi,
bagi umat Islam tuntukan melaksanakan keadilan adalah tersangat penting
untuk dilaksankan kepada semua.
Maka PAS berbeza pendekatan dengan UMNO bagi mengolah politik
masyarakat majmuk yang diwujudkan oleh penjajah. Kita mestilah memahami
bahawa penjajah telah melonggokkan berbagai kaum untuk diperhamba bagi
kepentingan mereka dan di adu domba untuk menjadi lemah supaya terus
bernaung di bawah mereka selama-lamanya.
Pendekatan PAS ialah pemimpin Islam teguh berpegang dengan prinsip
dan akhlak contoh dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa memaksa
dalam perkara yang berbeza, serta memanfaatkan kebolehan berbagai kaum
secara bersama dan saksama bagi membina negara. Bangsa Melayu ada
keistimewaannya dari segi kebolehan, begitu juga bangsa Cina, India dan
lain-lain. Kalau diselaras secara saksama nescaya dapat dimanafaatkan
untuk membina negara dengan baik.
PAS tidak berganjak dalam perkara halal dan haram, serta perkara
wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut
agama lain. PAS mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi
pemimpin. Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli PAS yang mengerjakan perkara
haram dipecat daripada parti. PAS pernah memecat ahli Parlimen yang
menari dan sebagainya. Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang
tidak boleh diganggu gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan
masyarakat majmuk . Apabila memerintah kerajaan negeri dan PAS
memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri
dilaksanakan dengan batas hukum Syarak. Penganut agama lain wajib diberi
hak yang adil tanpa fanatik perkauman.
UMNO pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam
secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli UMNO yang
mengerjakan maksiat, kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat
Islamnya. Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam
kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada
sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya kawalan secara hukum Islam
yang sebenar sehingga penganut Islam dalam UMNO tidak mampu menjadi
model Islam dan UMNO gagal mendidik melayu Islam menjadi contoh yang
baik. PAS pernah bersama kerajaan campuran dengan UMNO diawal tahun
tujuh puluhan dan bersama menubuh BN dipertenghannya, dengan syarat PAS
tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.
Presiden MCA secara terbuka dalam debatnya menyatakan kejayaannya
menundukkan UMNO dalam isu pelaksanaan hukum hudud, sebaliknya Sdr. Lim
Guan Eng menegaskan itu adalah hak PAS yang berbeza dengan DAP.
UMNO tidak konsisten dalam mempertahankan kawasan Melayu dan Islam
apabila sanggup menyerahkan kawasan majoriti melayu Islam kepada MCA,
Gerakan dan MIC bagi menyelamatkan rakannya yang kalah di kawasan
majoriti bukan Islam.
PAS telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya
memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam
daripada BN. Contohnya YB Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan
mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan
penyokong UMNO melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi
bermatian mempertahankan MIC. Begitulah juga juga kemenangan Datuk
Kamarul Baharin di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan
majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah.
PAS juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan
bersama Pakatan Rakyat walau pun berdepan dengan layanan tidak
menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan demokrasi.
Dua pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah diberi selama lebih 50 tahun kepada UMNO memimpin negara dengan gagasan Barisan Nasional yang banyak kelemahan dan penyelewengan,
serta mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai
dalam tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut
pegangan agamanya.
Sudah tiba masanya khususnya melayu Islam memberi kepercayaan kepada
PAS menggantikan UMNO dengan konsep Islam menyelesaikan masalah
masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment