Sunday, March 25, 2012

kehidupan Al-Hasan Al-Bashri

 

Datanglah seorang pembawa khabar gembira untuk menyampaikan berita gembira kepada isteri Nabi Ummu Salamah, bahawa budak perempuannya “Khairah” telah melahirkan anak laki-laki.

Maka berbunga-bungalah hati Ibu kaum mu’minin RA, dan kegembiraan itu telah membuat wajahnya yang cakap dan wibawa bersinar-sinar.
Beliau segera mengutus utusan supaya ibu dan anaknya dibawa kepadanya untuk mengisi waktu nifas di rumahnya.

Waktu itu Khairah sangat dimuliakan dan dicintai oleh Ummu Salamah. Beliau ingin segera melihat anak yang baru lahir. Tidak lama kemudian datanglah Khairah dengan menggendong anaknya.

Ketika kedua mata Ummu Salamah melihat anak bayi ini, hatinya merasa sayang dan lega. Anak kecil yang baru lahir sangat tampan dan gagah, jauh pandangannya, sempurna ciptaannya, menyenangkan orang yang melihatnya dan memikat orang yang memandangnya.

Kemudian Ummu Salamah mengarahkan pandangannya ke arah budak perempuannya dan berkata, “Apakah kamu telah memberinya nama, wahai Khairah?”

Khairah menjawab, “Belum wahai Ibu. Masalah nama saya serahkan kepada engkau, supaya engkau memilih nama yang engkau sukai.”

Lalu Ummu Salamah berkata, “Kami memberinya nama dengan memohon barakah dari Allah ‘al-Hasan.’”

Kemudian beliau mengangkat kedua tangannya dan berdo’a memohon kebaikan.

Kegembiraan dengan lahirnya Al-Hasan bukan hanya terbatas di rumah Ummul mu’minin Ummu Salamah RA saja, akan tetapi juga sampai ke rumah yang lain di Madinah. Iaitu rumah seorang sahabat besar Zaid bin Tsabit, juru tulis wahyu Rasulullah SAW.

Kaitannya, kerana “Yasar” ayah anak bayi ini adalah budaknya juga dan termasuk orang yang paling dia hormati dan dia cintai.

Al-Hasan bin Yasar yang kemudian dipanggil dengan Al-Hasan Al-Bashri berkembang besar di salah satu rumah Rasulullah SAW. Dia terdidik di pangkuan salah seorang isteri Nabi SAW, iaitu Hindun binti Suhail yang dikenal dengan Ummu Salamah.

Bila anda ingin tahu, ketahuilah bahwa Ummu Salamah adalah perempuan Arab yang paling sempurna akal dan keutamaannya serta paling keras kemauannya.

Selain itu, beliau juga termasuk isteri Rasul yang paling luas ilmunya dan banyak meriwayatkan hadits darinya.

Beliau meriwayatkan dari Nabi SAW kira-kira tiga ratus lapan puluh tujuh hadits.

Hal lainnya, beliau termasuk wanita yang jarang ditemui yang dapat menulis pada zaman jahiliyah.

Hubungan anak bayi ini dengan Ummul mu’minin bukan hanya sampai di sini. Akan tetapi memanjang lebih jauh dari itu. Khairah ibu al-Hasan waktu itu banyak keluar rumah dalam rangka mengerjakan keperluan Ummul mu’minin, dan anak yang masih menyusu ini pernah menangis kerana lapar dan tangisnya semakin keras, maka Ummu Salamah mengambilnya dan memangkunya dan menyuapinya dengan payu daranya, supaya anak itu bersabar dan sibuk dengannya sambil menunggu ibunya.

Sangat cintanya Ummul mu’minin kepadanya, payu daranya malah mengeluarkan air susu dan mengalir ke mulutnya, maka anak itu menyusu dan diam kerananya.

Maka dengan demikian Ummu Salamah menjadi ibu bagi Al-Hasan dari dua arah; beliau adalah Ibunya kerana dia termasuk orang yang beriman (Ummul Mu’minin). Dan beliau adalah Ibunya kerana menyusui juga.

Hubungan Ummahat mu’minin yang akrab dan rumah-rumah mereka yang berdekat-dekatan membuat anak kecil yang bahagia ini dengan bebas dapat berpindah dari satu rumah ke rumah yang lain.

Dia berakhlak dengan akhlak semua para pendidiknya. Mendapatkan petunjuk dari petunjuk yang mereka semua berikan.

Sebagaimana dia mengisahkan tentang dirinya, bahawa dia memenuhi rumah-rumah ini dengan gerakannya yang lincah dan permainannya yang cekap, sehingga dia dapat menyentuh atap rumah-rumah Ummahat mu’minin dengan kedua tangannya sambil melompat.

Al-Hasan terus bermain di udara yang harum dengan wewangian kenabian yang kemilau dengan sinarnya ini. Dia meneguk dari mata air tawar yang memenuhi rumah-rumah Ummahat mu’minin itu dan berguru kepada pembesar-pembesar sahabat di masjid Rasulullah Shalallaahu alaihi wasalam.

Dia meriwayatkan dari Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Abu Musa al-Asy’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan selain mereka.

Akan tetapi dia banyak berganti meneladani Amirul mu’minin Ali bin Abi Thalib RA.

Dia meneladaninya dalam kesalihan agama, kebagusan ibadahnya dan zuhudnya dari dunia dan perhiasannya. Dia terpesona oleh bayannya yang bersinar, hikmahnya yang mengesankan, perkataannya yang padat dan nasihatnya yang menggetarkan hati. 

Maka kemudian terbentuklah pada dirinya gambaran orang yang diteladaninya itu dalam hal ketakwaan, ibadah, retorika dan kefasihan berbicara.

Ketika al-Hasan telah berumur empat belas tahun, dan memasuki usia remaja, dia pindah bersama ayahnya ke Bashrah dan menetap di sana bersama keluarganya.

Dan dari sinilah kemudian kenapa di akhir namanya dicantumkan “al-Bashri”, iaitu nisbah kepada kota Bashrah sehingga dikenali banyak orang dengan sebutan Al-Hasan Al-Bashri.

Waktu al-Hasan pindah ke sana, kota Bashrah merupakan benteng ilmu terbesar di negeri Islam. Dan masjidnya yang agung penuh dengan pembesar-pembesar sahabat dan tabi’in yang pindah ke sana. 

Kajian-kajian ilmu dengan aneka ragamnya meramaikan ruangan masjid dan mushallanya.

Al-Hasan telah menetap di masjid dan mengikuti secara khusus pengajian yang dipandu Abdullah bin Abbas, seorang ‘Alim umat Muhammad. Darinya dia belajar tafsir, hadits dan Qiraa`at kepadanya, plus fiqih, bahasa, sastera dan lain-lainnya baik kepadanya ataupun kepada ulama selainnya.

Sehingga dia menjadi seorang ‘alim yang sempurna, dan ahli fiqih yang tsiqah.

Maka orang-orang bertemu kepadanya dan mengambil ilmunya yang demikian matang.

Mereka berkerumun di sampingnya untuk mendengarkan nasihat-nasihatnya yang dapat melunakkan hati yang keras dan menyucurkan air mata maksiat.
Mereka menghafal hikmahnya yang bak mencengkeram akal.

Mereka mencontoh sirahnya yang aromanya lebih harum daripada minyak kasturi.

Berita tentang al-Hasan al-Bashri telah teryebar di berbagai pelosok negeri, dan namanya demikian agung di kalangan manusia.

Maka para Khalifah dan pejabat mulai bertanya tentangnya dan mengikuti beritanya.

Khalid bin Sufwan bercerita, dia berkata, “Aku telah bertemu dengan Maslamah bin Abdul Malik di Hirah (Negeri tua di Iraq, kurang lebih sejauh tiga mil dari Kufah namun telah musnah dan sekarang tidak ada lagi bekasnya), dia berkata kepadaku:

Khabarilah aku wahai Khalid tentang al-Hasan al-Bashri, kerana aku kira anda mengetahui sesuatu darinya, yang tidak diketahui oleh orang lain.”

Maka aku berkata, “Mudah-mudahan Allah meluuruskan anda wahai tuan pimpinan. Aku adalah orang yang paling baik yang menyampaikan beritanya kepadamu secara yakin. Kerana aku adalah jirannya, teman duduk di majlisnya dan orang Bashrah yang paling mengetahuinya.”

Maka dia berkata, “Cuba ceritakanlah apa yang anda miliki.”
 
Lalu aku berkata,
“Sesungguhnya dia adalah seseorang yang rahsianya seperti zahirnya dan ucapannya seperti perbuatannya. Jika menyuruh yang ma’ruf, maka dia adalah orang pertama yang melakukannya. Jika dia melarang kemungkaran, maka dia adalah orang pertama yang meninggalkannya.

Sungguh, aku melihatnya sebagai orang yang menjaga diri dari pemberian orang, zuhud dari apa yang dimiliki orang-orang.

Aku melihat orang-orang memerlukannya dan meminta apa yang dia miliki.”
 
Lalu Maslamah berkata, “Cukup wahai Khalid, cukup wahai Khalid!! Bagaimana mungkin suatu kaum akan tersesat kalau di antara mereka ada orang seperti ini?!”

Ketika al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi menjawat jawatan gabenur di Iraq dan, seorang yang sangat kejam dan sombong.

Maka al-Hasan al-Bashri adalah termasuk orang jarang yang berani menentang kekejamannya tersebut. Beliau bercakap tentang keburukan perbuatan al-Hajjaj di hadapan orang-orang dan berkata benar di depannya.

Di antara contohnya, al-Hajjaj membina suatu bangunan di daerah Wasith untuk kepentingan peribadinya, dan ketika bangunan tersebut selesai, al-Hajjaj mengajak orang-orang agar keluar untuk bersenang-senang bersamanya dan mendo’akan keberkahan untuknya.

Rupanya, al-Hasan tidak ingin kalau kesempatan berkumpulnya orang-orang ini berlalu begitu saja. Maka dia keluar menemui mereka untuk menasihati, mengingatkan, mengajak zuhud dari gelimang harta dunia dan menganjurkan mereka supaya mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla.

Ketika al-Hasan telah sampai di tempat, dan melihat orang-orang berkumpul mengelilingi istana yang megah, diperbuat dari bahan-bahan yang mahal, dikelilingi halaman yang luas dan sepanjang bangun dihiasi dengan pernik-pernik.

Al-Hasan berdiri di depan mereka dan berceramah banyak, di antara yang beliau ucapkan adalah, “Kita telah melihat apa yang dibina oleh manusia paling keji ini tidak ubahnya seperti apa yang kita temuipada masa Fir’aun yang telah membina bangunan yang besar dan tinggi, kemudian Allah membinasakan Fir’aun dan menghancurkan apa yang dia bina dan dia kukuhkan itu.

Mudah-mudahan al-Hajjaj mengetahui bahawa penduduk langit telah mengutuknya dan bahawa penduduk bumi telah menipunya.”

Al-Hasan terus berbicara dengan gaya seperti ini, sehingga salah seorang yang hadir merasa khawatir kalau al-Hajjaj akan menyiksanya. Kerana itu, orang tadi berkata kepadanya, “Cukup wahai Abu Sa’id! cukup.!”

Lalu Al-Hasan berkata kepadanya, “Allah telah berjanji kepada Ahli ilmu, bahwa Dia akan menjelaskannya kepada manusia dan tidak menyembunyikannya.”

Keesokan harinya, al-Hajjaj memasuki ruangannya dengan menahan amarah, lalu berkata kepada orang-orangnya, “Celakalah kamu! Seorang hamba sahaya milik penduduk Bashrah berdiri dan berkata tentang kita dengan seenaknya, kemudian tidak seorangpun membalasnya atau mengingkarinya!!
Demi Allah, aku akan menyiramkan darahnya kepadamu wahai para pengecut!”


Lalu dia menyuruh supaya pedang dan lemak darah dihadirkan, lalu keduanya dihadirkan. Seterusnya, dia memanggil tukang pukul, lalu tukang pukul itu segera berdiri di depannya.

Kemudian mengirim sebahagian polisnya menemui al-Hasan dan menyuruh mereka supaya membawanya-serta sekembalinya nanti.”

Tidak lama kemudian datanglah al-Hasan, maka seluruh pandangan orang tertumpu padanya. Hati-hati mereka bergetar.
Ketika al-Hasan melihat pedang dan lemak darah, dia menggerakkan kedua bibirnya, kemudian menghadap kepada al-Hajjaj dengan penuh ‘izzah seorang mu’min, kewibawaan Islam dan keteguhan seorang da’i yang menyeru kepada Allah.”

Ketika al-Hajjaj melihatnya dengan keadaan seperti itu, dia menjadi sangat gentar, lalu berkata kepadanya, “Kemari wahai Abu Sa’id! Kemarilah!”, Kemudian terus mempersilakan jalan kepadanya jalan lalu berkata, Kemarilah!.” 

Sementara orang-orang menyaksikan hal itu dengan penuh rasa terkejut dan aneh, hingga akhirnya al-Hajjaj mempersilakannya duduk di atas permadaninya.

Lalu al-Hasan telah duduk, al-Hajjaj menoleh ke arahnya, dan mulai menanyakan berbagai permasalahan agama kepadanya. Sementara al-Hasan menjawab setiap pertanyaan tersebut dengan mantap dan pasti. Penjelasan yang diberikannya demikian memikat, bersumber dari ilmu yang dikuasai.
 
Lalu al-Hajjaj berkata kepadanya, “Engkau adalah tuannya para ulama’ wahai Abu Sa’id.!”

Kemudian dia meminta supaya dibawa ke hadapannya beberapa macam minyak wangi, lalu meminyakinya ke janggut al-Hasan. Setelah itu, dia berpisah dengannya.

Ketika al-Hasan telah keluar, pengawal al-Hajjaj mengikutinya dan berkata kepadanya, “Wahai Abu Sa’id, sungguh, al-Hajjaj memanggil anda bukan untuk tujuan seperti yang baru dilakukannya terhadap anda. Aku melihat anda ketika menghadap dan memandangi pedang dan lemak darah, seakan anda menggerakkan kedua bibir anda, kiranya apa yang anda baca?”

Maka al-Hasan menjawab, “Aku telah membaca (artinya) ‘Wahai Pembelaku ni’matku, dan pelindungku pada saat aku dalam bahaya, jadikanlah siksanya dingin dan keselamatan kepadaku, sebagaimana Engkau telah menjadikan api menjadi dingin dan keselamatan kepada Ibrahim.’”

Sikap al-Hasan al-Bashri seperti ini seringkali terjadi dengan para penguasa dan pejabat, dan dia keluar dari setiap kejadian tersebut dalam keadaan seorang yang agung di mata penguasa, besar hati dengan Allah serta terjaga di bawah naungan perlidungan-Nya.

Contoh lainnya, setelah Khalifah yang zuhud, Umar binAbdul Aziz kembali ke rahmatullah dan kekuasaan berpindah ke tangan Yazid bin Abdul Malik, dia menugaskan Umar bin Hubairah al-Fazari sebagai gabenur Iraq.

Kemudian dia memberinya mandat yang lebih, di samping menjadikan kawasan Khurasan di bawah kekuasaannya.

Cara Yazid memperlakukan rakyatnya tidak sama seperti yang pernah dilakukan pendahulunya yang agung.

Dia sering mengirim surat kepada Umar bin Hubairah dan memerintahkannya supaya melaksanakan apa yang ada di dalamnya, meskipun kadang-kadang harus melanggar hak.

Untuk itu, Umar bin Hubairah mengundang dua orang, iaitu al-Hasan al-Bashri dan Amir bin Syurahbil yang dikenali dengan sebutan “asy-Sya’bi.” 

Dia berkata kepada keduanya, “Sesungguhnya Amirul mu’minin, Yazid bin Abdul Malik telah ditunjuk Allah sebagai khalifah atas hamba-hamba-Nya, dan mewajibkan manusia mentaatinya.

Dia telah menunjukku untuk mengurus wilayah Iraq sebagaimana yang anda lihat, kemudian dia menambahi kekuasaanku hingga kawasan Parsi.

Sedangkan dia kadang-kadang mengirimkan surat kepadaku berisi perintah supaya aku melaksanakan sesuatu yang membuatku ragu terhadap keadilannya.

Kerana itu, apakah anda berdua dapat memberikan jalan keluar di dalam agama sepanjang batas ketaatanku kepadanya di dalam melaksanakan perintahnya?”

Maka asy-Sya’bi menjawab dengan jawaban yang lunak terhadap Khalifah dan memberikan toleransi kepada gabenur.

Sedangkan al-Hasan hanya terdiam. Lalu Umar bin Hubairah menoleh ke arahnya dan berkata, “Apa pendapatmu, wahai Abu Sa’id?”

Maka Al-Hasan menjawab, “Wahai Ibn Hubairah, takutlah kepada Allah dalam masalah Yazid dan janganlah kamu takut Yazid dalam masalah Allah. Dan ketahuilah bahawa Allah Azza wa Jalla dapat melindungimu dari Yazid, sedangkan Yazid tidak dapat melindungimu dari Allah.

Wahai Ibn Hubairah, sesungguhnya dikhuatirkan akan datang padamu malaikat yang kasar lagi keras, yang tidak pernah durhaka terhadap Allah dalam apa yang Dia perintahkan kepadanya, lalu malaikat itu menurunkanmu dari kursimu ini dan memindahkanmu dari istanamu yang luas ke kuburanmu yang sempit.

Bilamana di sana sudah tidak ada Yazid, maka yang ada hanya amalmu yang kamu gunakan untuk menyalahi perintah Tuhannya Yazid.

Wahai Ibn Hubairah, sesungguhnya jika kamu bersama Allah Ta’ala dan mentaati-Nya, maka Allah akan menghindarkanmu dari siksa Yazid bin Abdul Malik di dunia dan akhirat.

Dan jika kamu bersama Yazid dalam bermaksiat kepada Allah Ta’ala, maka sesungguhnya Allah akan menyerahkan kamu kepada Yazid.

Dan ketahuilah wahai Ibn Hubairah, bahawasanya tidak ada ketaatan kepada makhluk manapun dalam bermaksiat kepada Allah Azza wa Jalla.”

Mendengar ucapan al-Hasan tersebut, menangislah Umar bin Hubairah hingga air matanya membasahi janggutnya. Dia berpaling dari pendapat asy-Sya’bi kepada pendapat al-Hasan dan dia sangat mengagungkan serta menghormatinya.

Ketika keduanya telah keluar darinya, keduanya sama-sama menuju ke masjid.

Lalu orang-orang mengerumuninya dan menanyakan tentang apa yang dibicarakan keduanya dengan gabenur Iraq.

Maka asy-Sya’bi menoleh kepada mereka lalu berkata.
“Wahai manusia! Barangsiapa di antara kamu semua ingin mementingkan Allah Azza wa Jalla di atas kepentingan makhluk-Nya dari segala tempat, maka hendaklah dia melakukan hal itu.

Demi Dzat Yang jiwaku berada di tangan-Nya, apa yang dikatakan al-Hasan kepada Umar bin Hubairah adalah perkataan yang keluar lantaran kejahilanku.

Aku menginginkan dari apa yang aku katakan untuk mencari wajah Ibnu Hubairah, sementara al-Hasan menginginkan dari apa yang dia katakan semata untuk mendapatkan wajah Allah. Maka Allah menjauhkan aku dari Ibn Hubairah dan mendekatkan al-Hasan kepadanya dan membuatnya cinta terhadapnya.”

Al-Hasan al-Bashri berumur panjang, iaitu hingga mencapai umur sekitar 80 tahun. Dan, dalam umur yang sepanjang itu dia mengisi kehidupan dunia ini dengan ilmu, hikmah dan fiqih.

Warisan paling besar yang dia wariskan kepada generasi demi generasi adalah nasihat dan wasiatnya yang ikut mengeluncur seiring dengan putaran hari-hari di dalam belahan-belahan hati manusia.

Dan nasihat-nasihatnya yang menggetarkan hati dan terus akan menggetarkannya, membuat air mata bercucuran, menunjukkan si tersesat ke jalan Allah dan mengingatkan si terperdaya dan lalai dengan hakikat dunia serta tujuan kewujudan manusia di dunia ini seakan menjadikan orang tengah hadir bersamanya.

Di antara contohnya, perkataannya kepada orang yang bertanya tentang dunia dan hakikat keberadaannya,

“Kamu bertanya tentang dunia dan akhirat? Sesungguhnya perumpamaan dunia dan akhirat adalah bagaikan timur dan barat.

Setiap salah satunya bertambah dekat, maka yang satunya lagi semakin jauh. Dan kamu berkata kepadaku, Sebutkanlah karateristik dunia ini kepadaku!!

Apa yang harus aku sebutkan kepadamu tentang rumah yang awalnya memenatkan sedangkan akhirnya membinasakan, di dalam kehalalannya ada perhitungan dan di dalam keharamannya ada siksaan.?

Siapa yang tidak memerlukannya terkena fitnah dan siapa yang memerlukannya akan sedih.”

Contoh perkataannya yang lain, iaitu ketika ada orang lain bertanya tentang keadaannya dan keadaan orang-orang,

“Celakalah kita! Apa yang kita perbuat terhadap diri kita sendiri!!

Kita telah merendahkan agama kita dan meninggikan dunia, kita membiarkan akhlak kotor dan memperbarui tempat tidur dan pakaian.

Salah seorang di antara kita bersandar dengan tangan kirinya dan makan dari harta yang bukan miliknya, makanannya di dapat dari hasil mengambil hak, pekerjanya dipaksa tanpa upah, meminta yang manis setelah masam, meminta yang panas setelah sejuk, dan meminta yang basah setelah kering sehingga ketika dia telah kenyang, menguap kerana kekeyangan, kemudian berkata, 

‘Wahai pelayan! ambilkan pengisar makanan! Wahai orang bodoh- Demi Allah- Jangan sekali-kali kamu mengisar kecuali agamamu! Di mana jiranmu yang mengaharap huluran tanganmu?!! 

Di mana anak yatim kaummu yang lapar?!! Di mana orang miskinmu yang melihatmu?!! Di mana wasiat yang Allah Azza wa Jalla sampaikan kepadamu?!!

Barangkali kamu mengetahui bahawa kamu berjumlah banyak. Dan bahawasanya setiap matahari hari ini terbenam, maka berkuranglah jumlahmu sementara sebahagian kamu pergi bersamanya.’”

Pada hari Jum’at bulan Rajab tahun 110 H, al-Hasan al-Bashri memenuhi panggilan Tuhannya. Dan pada pagi harinya, tersebarlah berita wafatnya di kalangan orang-orang sehingga Bashrah bergetar kerana kematiannya.

Dia kemudian dimandikan, dikafani dan disolatkan setelah solat Jum’at di masjid Jami’ yang sepanjang hidupnya dia habiskan waktunya di sana sebagai seorang ‘alim, pendidik dan penyeru kepada Allah.

Kemudian orang-orang semuanya mengiringi janazahnya.

Dan solat ashar pada hari itu tidak dilaksanakan di masjid jami’ Bashrah, kerana di dalamnya tidak ada seorangpun yang melaksanakan solat.

Dan orang-orang tidak mengetahui bahawa solat libur pada hari itu di masjid Bashrah semenjak kaum muslimin mendirikannya kecuali pada hari itu, iaitu hari kepulangan al-Hasan al-Bashri menuju sisi Tuhannya.

Catatan:
Sebagai bahan tambahan biografi Al-hasan Al-bashri, lihatlah:
* Ath-Thabaqat Al-Kubra, oleh Ibnu Sa’d: 7/156, 179, 182, 188, 195, 197, 202, dan halaman-halaman lainnya (Lihat daftar isi di jilid terakhir)
* Shifat Ash-Shafwah, oleh Ibnu Al-Jauzi: 3/233- 237 (Cetakan Dar An-Nashir di Halb)
* Hulliyatu Al-Auliya, oleh Al-Ashfahani: 2/131-161.
* Tarikh Khalifah Ibnu Khayyath: 123, 189, 287, 331, 354, 189.
* Wafayat Al-A’yan, oleh Ibnu Khalkan: 1/354-356.
* Syadzarat Adz-Dzahab: 1/138-139.
* Mizan Al-I’tidal: 1/254 dan setelahnya.
* Amali Al-Murtadla: 1/152, 153, 158, 160.
* Al-bayan wa At-Tabyin: 2/173 dan 3/144.
* Al-Muhabbar, oleh Muhammad bin Habib: 235 dan 378.
* Kitab Al-Wafayat, oleh Ahmad bin Hasan bin Ali bin Al-Khathib: 108-109.
* Al-Hasan Al-Bashri, oleh Ihsan Abbas.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...