Salam,
Penulis kerap menerima berita baik buruk berkenaan sahabat dan ahli sejamaah. Berita ini kadang2 mengejutkan kerana penulis tidak sangka akan berlaku kepada mereka yang sama-sama berjuang.
Namun, bila penulis fikirkan kembali dan ingat semula kuliah tok-tok guru mengajar kitab. Penulis dapat katakan bahawa semua ini berkemungkinan adalah kerana perbuatan mereka sendiri yang tidak disedari.
Sebenarnya, dosa dan pahala yang dilakukan mempengaruhi kehidupan. Dosa bukan perkara kecil. Hari ini ramai orang memandang remeh soal dosa. Sesetengah umat Islam termasuk ahli jamaah kini bukan saja tidak takut berbuat dosa malah seronok pula melakukannya.
Menurut Ibnu Qayyim, akibat yang akan menimpa pelaku maksiat antaranya :
1. Maksiat akan menghalang diri daripada mendapat ilmu pengetahuan. Apabila mendengar ada kuliah agama, ada perasaan malas dan terlalu berat untuk menghadirkan diri.
2. Maksiat menghalang rezeki. Rasulullah S.A.W bersabda, " Seseorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang dibuatnya." (HR Ahmad). Justeru, kita perlu menyakini taqwa adalah penyebab datangnya rezeki serta memudahkan rezeki kita.
Jika saat ini kita merasakan betapa sulitnya mendapat rezeki Allah, maka tinggalkan kemaksiatan! Jangan kita penuhi jiwa kita dengan maksiat. Kadang2 kita tidak fikir, kenapa payah nak dapat kerja atau kerja selalu tak berjaya, wang ditangan cepat habis dibelanjakan. Mengapa pula orang lain, yang selalu habiskan duit untuk perjuangan tapi rezekinya sentiasa bertambah.
3. Maksiat membuatkan kita jauh daripada Allah. Diriwayatkan ada seorang lelaki mengeluh kepada yang arif berkenaan kesunyian jiwanya. Arif itu berpesan, ' Jika kegersangan hatimu akibat dosa, maka tinggalkanlah dosa itu." Perasaan menjadi sentiasa berserabut, jiwa selalu kacau, tidak boleh melihat kebaikan yang dilakukan oleh orang lain.
4. Maksiat membuat sulit semua urusan kita. Ibnu Abbas r.a. berkata, " Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.
Sesetengahnya tidak sedar, raut muka mereka sebenarnya dipandang penuh dengan kekusutan dan ketidakceriaan. Kita sendiri boleh melihat raut wajah orang dan boleh tahu siapa yang wajahnya berseri-seri dan ceria serta siapa yang wajahnya kelam dan tidak ceria.
5. Maksiat melemahkan hati dan badan. Kekuatan seorang mukmin terpancar daripada kekuatan hatinya. Jika hati kuat, maka kuatlah badannya. Sentiasa berat hati dan rasa lemah badan terutama untuk melakukan kerja-kerja perjuangan.
6. Maksiat menghalang kita untuk taat. Orang yang melakukan dosa dan maksiat cenderung untuk tidak taat. Sudah mula berani untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam. Sudah berani selewengkan wang jamaah, tidak takut untuk rasuah, tidak takut larangan Allah.
7. Maksiat memendekkan umur dan menghapuskan keberkatan.
8. Maksiat menumbuhkan maksiat lain. Jangan sesekali cuba melakukan maksiat kerana ia akan menyebabkan 'ketagihan' dan sukar untuk berhenti jika ia menjadi satu kebinasaan. Sesiapa yang melakukan maksiat akan sedar tentang perkara ini, bila buat maksiat seronok kemudian rasa bersalah nak bertaubat. Tetapi selepas itu buat maksiat yang sama kerana ketagih.
9 Maksiat mematikan bisikan hati nurani. Maksiat melemahkan hati daripada kebaikan dan menguatkan kehendak melakukan maksiat lain. Itulah akibat maksiat. Keinginan hati untuk melakukan kebaikan lemah, tetapi cenderung melakukan keburukan semakin kuat.
Penulis memperingatkan diri penulis dan sahabat jamaah tinggalkanlah maksiat kerana maksiat yang dilakukan memberi kesan kepada perjuangan. Bertaubatlah dengan sebenar2 taubat.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment