Tuesday, May 5, 2009

Tulahan : Pemimpin ulama pandanglah sama ke bawah

Salam,


Penulis pada awalnya tidak mahu menulis berkaitan kepimpinan ulama yang menjadi mainan media pengampu BN. Namun, bila penulis terbaca tulisan di sini  dan di sini . Penulis rasa perlu beri sikit pandangan berkaitan kepimpinan ulama.

Keghairahan pemimpin ulama dan pemimpin tertentu dalam jamaah menekan kepentingan kepimpinan ulama semasa musim pemilihan semakin ketara sekarang ini. Bagi pemimpin ini, Presiden dan Timbalan Presiden mestilah ulama. Barulah jamaah boleh dianggap berada di bawah kepimpinan ulama.

Penulis tidak mahu menyangkal kerana mereka ada hujah tersendiri dan penulis pun bukan ulama nak menentukan Presiden dan Timbalan Presiden mesti di kalangan ulama.

Hanya sikit nasihat penulis nak beri kepada pemimpin ini, berhati-hatilah membuat kenyataan terutama kepada media pengampu BN yang seolah-olah sangat prihatin kepada kepimpinan ulama. Sedangkan media ini ada maksud memecahbelahkan perpaduan dalam jamaah.

Penulis cuma nak minta pemimpin ini merenung sejenak. Kenapa pemimpin ulama ditentang oleh pemimpin bukan ulama untuk jawatan tertinggi jamaah?.

Jawapannya, kerana mereka mendapat sokongan dan pencalonan dari Kawasan dan mereka yakin akan mendapat undi dari perwakilan Kawasan semasa Muktamar Pusat. Mengapa Kawasan mencalonkan pemimpin bukan ulama?.


Jawapannya, kerana ramai kepimpinan Kawasan disandang oleh pemimpin bukan ulama. Ke mana pemimpin ulama di Kawasan?. Inilah isu yang penulis hendak utarakan dalam penulisan ini.

Penulis berharap pemimpin ulama supaya turun ke Kawasan dan Cawangan, kemudian kira berapa orang ustaz/ustazah yang bergiat dalam jamaah?.

Tolak Kelantan dan Terengganu, realitinya ialah kurangnya ustaz/ustazah yang mereka ini ulama memegang jawatan dalam jamaah di Cawangan dan Kawasan. Mengapa begitu?

Bukan kerana tidak ditawarkan jawatan atau dihalang memegang jawatan oleh pemimpin bukan ulama. Tetapi kerana ustaz/ustazah ini tidak mahu memegang jawatan dalam jamaah. Ramaikah ulama dalam satu-satu Kawasan?.

Lulusan agama universiti tempatan dari UM,UKM,UIA dan Kolej Islam swasta. Lulusan agama universiti luar negara dari Mesir, Jordan, Madinah, India dan Indonesia. Lulusan Sekolah Agama Rakyat dan Pondok. Mereka ini ada di mana-mana dalam Kawasan.

Terdapat tidak kurang 10 sekolah menengah dan 30 sekolah rendah dalam satu-satu Kawasan. Sebuah sekolah mesti ada tidak kurang 2 orang ustaz/ustazah, tak termasuk ustaz/ustazah J-Qaf. Kiralah berapa orang ulama dalam satu Kawasan?.

Tak kira lagi ustaz/ustazah yang bekerja di Pejabat Agama. Tak kira lagi, lulusan SAR dan pondok yang menjadi pendakwah bebas. Walaupun ada juga yang terlibat, tetapi lebih memberatkan kuliahnya dari program jamaah. Ramai rupanya ulama dalam Kawasan.

Dari jumlah yang ramai itu, berapa yang terlibat dengan jamaah di Kawasan. Penulis tak boleh nak letak jumlah. Kiralah dalam Kawasan sendiri. Jawapannya, tentu mengecewakan.

Sehinggakan bila ada Mesyuarat Agung Dewan Ulama Negeri, ada Kawasan yang terpaksa kutip yang bukan ulama untuk hadir kerana tidak ada ustaz di Kawasan yang mahu hadir.

Malah kerana ketandusan ulama, pemimpin yang bukan ulama mengambil peranan mengajar di markas dan surau. Di Perak contohnya, munculnya 'Ustaz' Nazri Din lulusan ekonomi dari Larut. 'Ustaz' Radhi Zainon lulusan kejuruteraan di Gopeng dan ramai lagi. 

Semasa DS Ir. Nizar belum menjadi MB Perak, beliau juga dipanggil 'Ustaz' Mohd Nizar kerana berkemampuan mengajar di markas dan surau. Adakah mereka ini layak sebagai ulama profesional?

Mengapakah ustaz/ustazah tidak mahu terlibat dengan jamaah?. Jika tanya mereka pelbagai alasan diberi. Sibuk, anak tak sihat, kerja sekolah banyak, sokong kot belakang ja, nak berjuang lepas pencen dan macam2 lagi.

Hakikatnya, mereka takut sebab kerja kerajaan dan dah tandatangan aku janji. Jika berjuang nanti kena tukar, tak naik pangkat, kena black list. Ada yang dulu semasa mengajar SAR aktif jamaah, bila jadi  SABK dengar ceramah pun takut.

Peliknya, yang bukan ulama dan kerja kerajaan ramai yang boleh aktif. Inilah yang perlu difikirkan oleh pemimpin ulama. Kenapa ustaz/ustazah yang penuh di dada ilmu agama takut berjuang dibanding dengan mereka yang bukan ulama?.

Apabila kurangnya ulama muda aktif di Kawasan, di sesetengah Kawasan Ketua urusan ulama dan Lajnah Tarbiyah dipegang oleh ulama yang dah berumur. Ulama berumur dipilih kerana warak dan dihormati, tetapi tidak mampu menyusun gerak kerja tarbiyah.

Kesannya, program pentarbiyahan kepada ahli tidak berjalan, usrah dan tamrin kurang dilaksanakan. Masalah kurang tarbiyah di Cawangan dan Kawasan banyak berpunca kerana tiada pengerak dikalangan ulama.

Apabila program tarbiyah kurang di Kawasan, sudah tentu ramai ahli dan pimpinan di Kawasan tidak hadam tentang konsep kepimpinan ulama. Ramai yang keliru dan tidak faham.

Fenomena ini akan berterusan jika dibiarkan. Penulis mohon pemimpin ulama mengambil serius masalah ini. Jangan biarkan ketandusan ulama di Cawangan dan Kawasan berlarutan.

Ramai yang mahu kepimpinan ulama dikekalkan. Namun sekiranya ulama2 muda terus takut untuk ke hadapan, ruang kosong ini akan diisi oleh pemimpin bukan ulama.

Sehinggalah sampai satu masa, tidak boleh ditahan lagi jamaah akan dipimpin oleh pemimpin bukan ulama. Bukan sahaja di Cawangan dan Kawasan, malah sehingga ke peringkat kepimpinan tertinggi jamaah.

Masanya masih belum terlewat untuk pemimpin ulama berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini. Program pentarbiyahan dari kampus perlu dipertingkatkan supaya pemimpin ulama muda dari jamaah kampus tidak lari dan takut walaupun bekerja dengan kerajaan.

Pemimpin ulama perlu memikirkan usaha mengumpul ulama muda di Kawasan. Memberi motivasi dan bimbingan supaya mereka tidak takut melibatkan diri dengan jamaah di Kawasan.

Jika masalah ini dibiarkan, pemimpin ulama jangan terkejut jika suatu masa nanti ketua urusan ulama tidak ada penjawatnya dan Lajnah Tarbiyah dipengerusikan pemimpin bukan ulama di Kawasan.

Dalam keghairahan dan ketegasan pemimpin ulama mahu Presiden dan Timbalan Presiden dipegang ulama. Haruslah diingat, jika masih tandus ulama di Kawasan dan perwakilan mewakili Kawasan 90 peratus bukan ulama. Pada masa itu, mampukah lagi pemimpin ulama mempertahankan lagi Presiden dan Timbalan Presiden dipegang oleh ulama.

Fikirkanlah.

Wasalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...