Monday, May 31, 2021

Tulahan : Lambang PH semasa PRU 15, logo PH atau PKR?


Assalam,

Penulis ada menerima satu dapatan kajian daripada sebuah pusat kajian di Malaysia berkaitan kecenderungan pengundi terkini . Setakat ini , dapatan kajian masih belum dibentangkan kepada media.

Baru-baru ini , O2 Research Malaysia telah membentangkan kajian yang menunjukkan TS Muhyiddin masih memperolehi 51% sokongan tertinggi berbanding ketua parti lain.

Kajian yang dibuat pada suku pertama tahun 2021 juga menunjukkan bahawa sokongan kepada TS Muhyiddin sebenarnya telah merosot berbanding 66 peratus pada suku kedua tahun 2020

Dapatan kajian O2 Research Malaysia juga menunjukkan PH mendapat sokongan tertinggi 36% dikuti PN 31% , BN 22% dan MUDA 11%

Kajian O2 Research Malaysia telah dikritik oleh pemimpin politik yang tidak dapat menerima hasil kajian kerana didakwa bertujuan menakut-nakutkan Umno yang mahu bertanding di atas nama BN bukan bersama PN.

Pengkritik berpandangan, O2 Research Malaysia sepatutnya hanya menyenaraikan pemimpin utama bagi PN, PH dan BN bukan menyenaraikan ramai pemimpin utama semua parti politik sehingga menyebabkan sokongan kepada pemimpin utama PN, PH dan BN terpecah.

Bagi penulis, kajian ini perlu diterima positif oleh parti-parti politik bagi memperbaiki kelemahan parti politik masing-masing. Kajian ini perlu dianalisis bersama kajian-kajian lain bagi memperoleh kesimpulan yang lebih tepat.

Satu perkara yang tidak boleh disangkal adalah penurunan sokongan terhadap parti-parti dalam PN terutama Pas dan PPBM, penurunan sokongan terhadap Umno dan BN serta peningkatan semula sokongan terhadap PH.

Pada PRU 14, sokongan terhadap PH adalah 49%, BN mendapat 32% dan PAS mendapat 19%. PPBM pada masa itu dalam PH.

Berdasarkan satu kajian lain, selepas PH dijatuhkan dan PN memerintah, tahap sokongan kepada PH pada masa itu menurun kepada 33% , BN meningkat kepada 34% dan PN (PAS dan PPBM) mendapat 27%.

Wednesday, February 10, 2021

Tulahan : Idea ‘grand coalition’ tiada keputusan

Assalam


 

Dua perkara yang penulis sarankan supaya PH segera lakukan untuk memperkukuhkan pakatan politik ini tetapi masih tidak dilakukan.  Pertama, melantik Pengerusi PH di negeri-negeri dan kedua, mengarahkan PH negeri membuat pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam PH.

Apa fokus PH sekarang ini pun kabur kerana masih keluar berita , kenyataan bersama sekelompok ahli-ahli Parlimen tertentu dari PKR, AMANAH dan DAP menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu.

Mereka bukan dari ahli parlimen PH yang biasa tapi memegang jawatan tinggi dalam parti. Mengapa mereka tidak mengambil inisiatif memastikan pendirian yang dibuat adalah dari PH bukan sekelompok ahli parlimen PH.

Mungkin kerana kelompok ahli Parlimen ini juga mengandungi ahli parlimen dari Warisan, Pejuang, Muda dan Bebas. Maka, mereka terpaksa membuat pendirian berasingan daripada pendirian PH.

Atau pun , inilah kelompok yang mahu idea ‘grand coalition’ dilaksanakan tapi masih tercari-cari jalan untuk menjayakan idea ini. Jika benar, mereka hanya membenarkan dakwaan bahawa dalam ketiga-tiga parti dalam PH , terdapat dua kelompok pimpinan yang berbeza pandangan tentang idea ‘grand coalition’

Mengapa Majlis Presiden PH tidak membuat keputusan segera mengenai idea ini? Jika bersetuju, laksanakan segera idea ini. Jika tidak setuju, tinggalkan terus idea berkenaan. Jangan kerana idea ini, PH nampak tidak bersama, hilang arah, tidak konsisten dan berpecah.

Penulis juga tidak bersetuju dengan beberapa pimpinan PH yang berlebih-lebihan mempertahankan Tun M hanya kerana mereka penyokong idea ‘grand coalition’ .

Hakikat bahawa kejatuhan kerajaan PH adalah kerana Tun M harus diakui. Tun M meletak jawatan bukan kerana dia hilang majoriti kerana pada masa itu masih ada 114 ahli parlimen yang mempertahankan kerajaan PH.

Sekiranya, Tun M berbincang dengan pimpinan PH sebelum meletak jawatan. Perletakan jawatan ini akan berlaku sama seperti perletakan jawatan beberapa  PM yang lepas kerana PH masih ada majoriti 114 ahli parlimen.

Sunday, January 31, 2021

Tulahan : Kerana memburu mandat, PH hilang arah

 

Assalam,

Pakatan Harapan menjadi harapan kepada rakyat menggantikan Barisan Nasional pada PRU 14. Harapan itu tercapai apabila PH menjadi kerajaan di bawah Tun M sebagai Perdana Menteri. Namun, belum pun 2 tahun memerintah, Tun M telah meletak jawatan tanpa berbincang dengan pimpinan PH.

Apabila jatuh kerajaan PH, rakyat dan penyokong PH di sajikan dengan pelbagai harapan untuk mendapatkan mandat semula. Namun sehingga kini, harapan itu semuanya tidak menjadi malah PH sendiri seperti tiada kemudi.

Benar , keputusan Majlis Presiden PH adalah mendapatkan mandat semula melalui usaha DSAI . Tapi , Majlis Presiden PH juga membuat keputusan untuk memperkukuhkan PH.

Yang dilihat oleh rakyat dan penyokong PH hanya berita-berita tentang usaha mendapatkan mandat. Tiada pun usaha yang jelas memperkukuhkan PH , hanya kenyataan-kenyataan pimpinan PH bahawa PH akan diperkukuhkan.

Walaupun PH masih wujud, namun pimpinan PH bergerak dengan cara masing-masing. DSAI dengan cerita cukup majoriti, pimpinan AMANAH dan DAP dengan ‘grand coalition’, Ahli Parlimen PH tidak bergerak sekali mendepani satu-satu isu.

Boleh tengok sudah beberapa kali keluar berita ,Ahli-Ahli Parlimen tertentu dari PKR, AMANAH dan DAP bersama untuk satu-satu isu. Sedangkan boleh sahaja mereka semua MP PH membuat kenyataan bersama dalam satu-satu isu.

Penyokong PH di bawah mula berselisih pandangan tanpa hala tuju jelas. Penyokong PKR hentam pemimpin AMANAH dan DAP, penyokong AMANAH belasah pimpinan PKR. Seperti tiada usaha mendamaikan. Sebaliknya dibiarkan penyokong bertelingkah sesama sendiri.

Friday, January 1, 2021

Tulahan : Yang jadi pembangkang jadi pembangkang berkesan, yang jadi kerajaan tak macam kerajaan

Assalam,


Penulis dah lama tak menulis tentang perjuangan , banyak artikel yang ditulis hanya berkaitan analisa tentang politik selepas langkah Sheraton.

Semasa mula-mula PKP  bukan penulis tak ada masa nak menulis tapi banyak dihabiskan membuat analisa secara terperinci peluang parti-parti politik dalam PRU 15. Ada empat artikel yang dapat dikeluarkan berdasarkan analisa yang dibuat.

Hari ini ada masa nak menulis , dah masuk dalam tempoh beberapa kali PKPP. Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan pengkhianat pun dah masuk 10 bulan.

Selepas kerajaan tanpa mandat ini ditubuhkan, penulis kembali kepada pekerjaan asal, gajinya sama dengan jawatan pertukaran sementara. Cuma masa penulis untuk parti terhad tidak sama semasa berjawatan pertukaran sementara.

Agamawan juga masuk neraka


Kita sering merasakan agamawan adalah orang yang sangat mudah masuk ke syurga. Dalam hadis nabi juga ada menyebut bahawa ulama adalah pewaris nabi yang sering di sebut oleh ramai orang. 

Adakah tidak kita terfikir akan ada ulama yang bukan pewaris nabi? Ulama yang tiada akhlaknya? Orang yang alim tapi tiada tawadhu?

Imam Al-Muhasibi (meninggal dua pada 234H) ada menyebut pada zamannya ada golongan agamawan yang gilakan dunia.  Ada juga agamawan yang hanya mencari kehormatan diri. 

Malah ada juga golongan agamawan yang telah hilang sifat wara dan taqwa. Ini menunjukkan bahawa sejak zaman dulu lagi memang wujud agamawan yang bukan pewaris nabi.

Kita tidak pernah membenci agamawan.  Tapi kita membenci agamawan yang tiada akhlaknya. Adakah agamawan tidak pernah dengar tentang hadis supaya menjaga tutur kata mereka?

Friday, June 5, 2020

Tulahan : Psyche mengerunkan orang beragama berselindung di sebalik kedudukan


Assalam,


Penulis mendengar temubual seorang mufti sebelah utara yang memberi ulasan tentang pengkhianatan politik kerajaan baru PN. Bila mendengar ulasan mufti penulis terus teringat satu perkataan iaitu psyche.

Psyche (baca saiki) adalah dari perkataan Greek membawa erti kehidupan dan ruh dalaman yang menggambarkan diri seseorang atau 'self' .

Perkataan ini kemudiannya dipakai untuk menjelaskan keseluruhan keadaan minda manusia secara sedar atau tidak. Ia juga mewakili aspek minda kelompok yang mempunyai kuasa mempengaruhi pemikiran, tingkah laku dan keperibadian seseorang.

Psyche dengan itu boleh dianalisis dari kata-kata, tingkah-laku yang menterjemahkan apa yang didalam diri seseorang hasil minda dalamannya yang berlaku samada secara sedar atau tidak.

Tingkah laku dan pertuturan adalah secara zahir boleh menggambarkan pscyhe individu yang mewakili kelompok yang punya psyche yang sama. Ini adalah Psyche kelompok.

Thursday, May 28, 2020

Tulahan : Maufakat Nasional bukan pilihan terbaik Pas


Assalam,

Serahkan kami kerusi dimenangi Umno, Muhyiddin beritahu PAS | Free ...

Apabila tersebar berita Tun dan PH sudah cukup kerusi mengatasi PN , hanya menunggu parlimen bersidang untuk mengemukakan usul tak percaya kepada TS Muhyiddin. Ramai pemimpin terutama pemimpin Umno meminta TS Muhyiddin segera mengadap Agung membubarkan parlimen.

Mengapa pemimpin Umno sangat berharap parlimen dibubarkan ? kerana Umno sudah berkira akan menang besar apabila dicampur undi BN dan Pas akan memenangi banyak kerusi termasuk mengatasi undi PH di banyak kerusi yang dimenangi PH.

Namun, TS Muhyiddin pasti tidak mengikut mengikut saranan Umno ini memandangkan Umno tidak mahu mengikat perjanjian dengan Bersatu kerana kerusi-kerusi yang ditandingi PPBM adalah kerusi-kerusi yang sama ditandingi Umno dan Pas.

Sekiranya parlimen dibubarkan , Bersatu dan kumpulan Azmin pasti akan kecundang di semua kerusi yang ditandingi. TS Muhyiddin dan Azmin sedang berusaha mempertahankan kerajaan PN . Jika berjaya, mereka akan memperkukuhkan Bersatu dengan membentuk pakatan baru menghadapi PH dan BN dalam PRU 15.

Wednesday, May 27, 2020

Ancaman Allah kepada orang yang khianat

Perbuatan Khianat adalah Penyebab Kesulitan Hidup – Eramuslim

Bahasa dan Istilah

Takrifan khianat membawa maksud perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan pada orang lain, tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia.[1] Semuanya menjurus ke arah perbuatan negatif dan perlu dijadikan sempadan oleh manusia. Perbuatan khianat ini boleh memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang dikhianati tanpa mengira individu ataupun organisasi. Keamanan dan perpaduan yang kukuh pasti akan runtuh apabila terdapat sebarang bentuk khianat dalam masyarakatnya.

Perbuatan khianat kepada orang lain juga sebenarnya adalah perbuatan mengkhianati dirinya sendiri kerana kesan buruk pengkhianatan itu akan dirasakan oleh orang lain yang berkaitan. Di sisi lain pula menunjukkan bahawa sebagai masyarakat seharusnya dianggap seperti satu jasad, setiap keburukan yang dialami oleh orang lain harus dirasakan juga seperti sesuatu yang menimpa ke atas diri sendiri.

Saturday, May 23, 2020

Tulahan : Ke sana ke sini , apa pilihan Muhyiddin?


Assalam,
Tarikh 18 Mei telah berlalu, sidang Dewan Rakyat hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong. Notis baru sidang akan dikeluarkan, mungkin berlaku bulan Julai ini. Mungkin juga akan berlaku bulan Oktober bersekali dengan pembentangan belanjawan
Sidang disingkatkan menggunakan alasan Covid 19, sedangkan di pihak pembangkang mendakwa TS Muhyiddin takut berhadapan dengan usul undi tidak percaya. Namun ,dilihat dari kedudukan kerusi anggota parlimen kerajaan melebihi  anggota parlimen pembangkang. Benarkah TS Muhyiddin tidak berani?
Sebelum Langkah Sheraton
Melihat ke belakang , berlakunya kejatuhan kerajaan PH bukanlah secara kebetulan tapi melalui perancangan sejak awal kerajaan PH ditubuhkan. Wataknya adalah Tun, TS Muhyiddin dan Azmin. Ada yang menafikan penglibatan Tun dan menyatakan bahawa Tun dikhianati.
Benar Tun dikhianati tapi sebelum dikhianati , apakah yang dilakukan oleh Tun dengan kuasa Perdana Menteri yang beliau perolehi. Rakyat boleh menyaksikan sendiri perlantikan Menteri-Menteri yang sebenarnya tidak sepatutnya berada di posisi itu.

Saturday, April 25, 2020

Tulahan : PPBM dalam dilema, Umno dan Pas ke arah mana


Assalam,

Perikatan Nasional (PN) Dijangka Akan Berpecah Sebaik Saja Menteri ...

Timbalan Presiden Umno menyatakan dengan jelas bahawa Umno tidak menyertai Perikatan Nasional kerana Perikatan Nasional bukan satu entiti politik yang berdaftar. Maksudnya, Perikatan Nasional adalah satu entiti poltik yang cukup rapuh dan bila-bila sahaja akan pecah.

Umno nampaknya lebih selesa mengikat kerjasama politik dengan Pas dalam Maufakat Nasional dalam masa yang sama mempunyai kerjasama politik dengan Mca, Mic dan PBRS dalam Barisan Nasional.

Timbalan Presiden Umno ini juga menegaskan, Umno tidak mempunyai apa-apa perjanjian dengan PPBM dan GPS. Justeru, lihatlah betapa tidak kukuhnya , Perikatan Nasional yang diketuai TS Muhyiddin sekarang.

Walaupun TS Muhyiddin cuba menampakkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang kukuh. Namun, banyak tindakan sejak bermula ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional menunjukkan TS Muhyiddin cukup tertekan untuk mempertahankan kerajaan ini.

Terbaru , TS Muhyiddin membahagikan-bahagikan GLC kepada Ahli Parlimen parti-parti dalam Perikatan Nasional yang tidak mendapat jawatan Menteri dan Timbalan Menteri bagi mengelakkan beliau tidak mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi.

Umno memang tidak dalam dilema kerana Umno memang tidak terikat dengan Perikatan Nasional . Apabila berlaku PRU 15, Umno hanya akan bersama Pas dan BN dalam menentukan kerusi-kerusi yang akan ditandingi.

Saturday, April 11, 2020

Tulahan : Kerana Perikatan Nasional, Umno dan Pas kehilangan undi Melayu


Assalam,
Tahun pertama 'ujian' buat Perikatan Nasional bertahan, kata ...

Penulis akan membuat sedikit analisa sokongan pengundi Melayu kepada PH , Umno dan Pas selepas kejatuhan kerajaan PH. Sebelum PRU 14, banyak analisa yang penulis buat menetapi jangkaan yang dibuat berdasarkan suasana yang berlaku pada masa berkenaan .

Semasa pemerintahan PH, serangan terhadap PH menggunakan sentimen kaum dan agama sangat berjaya digunakan pembangkang pada masa itu. Mengapa berjaya? Kerana sememangnya , pembangkang terutama Umno dan Pas mewakili majoriti pengundi Melayu. Manakala PH memenangi PRU 14 berbekal undi Melayu sekitar 30 peratus sahaja

Justeru itu, adakah benar PH tidak mendapat sokongan orang Melayu semasa memerintah? Bukan hanya semasa memerintah , sebelum memerintah pun sokongan Melayu  kepada PH adalah sekitar 30 peratus sahaja.

Pada PRU 14, PH mendapat hanya 15 ke 25 peratus undi Melayu di kawasan luar bandar. Manakala undi Melayu PH di kawasan bandar adalah 25 hingga 35 peratus sahaja. Kemenangan PH pada PRU 14 adalah disebabkan sokongan pengundi Cina adalah 85 peratus dan sokongan pengundi India sebanyak 70 peratus.

Oleh kerana itu, PH memenangi banyak kerusi majoriti Cina dan kerusi campuran. PH telah memenangi sebanyak 113 kerusi berbanding BN sebanyak 79 kerusi selebihnya dimenangi PAS, Warisan dan Bebas. PH membentuk kerajaan dengan sokongan Warisan.

Saturday, January 11, 2020

Kisah Rahmah : Nabi dan jenazah seorang Yahudi

Image result for nabi dan jenazah yahudi


Hadis tersebut adalah sahih, muttafaq alaih. Lafaznya seperti berikut:


Sahl bin Hunaif dan Qees bin Saad melaporkan: Sesungguhnya Nabi SAW dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?”.
Direkod oleh Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961).
– Hadis ini menunjukkan digalakkan berdiri apabila ada jenazah melintasi kita, samada jenazah itu Muslim ataupun kafir. Cuma ada pendapat ulama yang mengatakan ia mansukh.
– Illah berdiri ketika jenazah bukan Islam melintasi, ialah seperti berikut:
a) kerana ia satu jiwa yang diciptakan Allah (sebagaimana di dalam hadis di atas)
b) kerana merasai kegerunan terhadap kematian. Dalilnya: Jabir bin Abdillah melaporkan: Kami dilintasi oleh satu jenazah, lalu Rasulullah SAW berdiri, dan kami berdiri bersamanya. Aku berkata: “Wahai Rasulallah, Ia hanyalah jenazah Yahudi”. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya bagi kematian itu ada kegerunan. Maka apabila kamu melihat jenazah, berdirilah”. Direkod oleh Ahmad (no: 1992) Dinilai Sahih oleh Ibn Hibban (no: 3050)

Sunday, December 29, 2019

Tulahan : Melaksanakan Islam dengan kuasa bukan slogan


Image may contain: text


Salam,

Lagi dua hari masuk tahun 2020, penulis ambil masa untuk menulis berkaitan perjuangan. Baru habis program Tanweer , kehadirannya baik walaupun sekarang musim ambil padi.

Kehadiran yang ramai menambah semangat kepada penulis kerana yang hadir selalunya yang aktif,. Bila ramai ahli yang aktif, bermakna parti akan semakin kuat. Dulu penulis yang anjur program Liqa’ parti lama, kehadirannya kurang sedangkan cawangan dah banyak.

Penulis tertarik ucapan SU Kawasan semasa sesi soal jawab yang penulis akan kongsi di sini. Katanya, parti lama hanya bermegah dengan slogan Islam tapi tidak melaksanakannya. Yang ada hanya fitnah yang ditabur ahli parti lama terhadap kerajaan baru. Sedangkan parti baru tidak bermegah dengan  slogan Islam tetapi melaksanakan Islam dalam pemerintahan.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang Mukmin, maka Allâh melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allâh Azza wa Jalla memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat........(HR. Muslim)

Minggu ini juga baru selesai program back to school. Dulu semasa parti lama dan semasa parti baru belum menjadi kerajaan, jumlah pelajar menerima kelengkapan sekolah paling tinggi 200 orang sahaja. Bila dah memerintah, lebih 2000 pelajar terima manfaat. Bukankah dengan kuasa kita ada telah melapangkan kesusahan 2000 ibu bapa kurang mampu . 

Kisah Rahmah : Seorang pelacur dan seekor anjing

anjing kehausan
Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w bersabda:
غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِىٍّ يَلْهَثُ ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا ، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا ، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Kehausan hampir membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
  1. Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Terasa betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya sekalipun untuk seorang pendosa yang dipandang hina oleh manusia.  Betapa luasnya peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNYA. Lantas dengan keampunan itu seorang pendosa itu akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih sehingga kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.
  1. Malangnya, rahmat Tuhan itu selalu kelihatan suram dan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan wakil rasmi yang memberi kata putus bagi pihak Tuhan dan Nabi s.a.w. Mereka itu sebenarnya tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w. Mereka menggambarkan Allah itu penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan, kasihan dan hanya tahu menghukum dan melaknat hamba-hambaNYA yang berdosa. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah keseimbangan yang terkandung dalam firman Allah:
۞نَبِّئۡ عِبَادِيٓ أَنِّيٓ أَنَا ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ ٱلۡعَذَابُ ٱلۡأَلِيمُ 
(maksudnya) “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50).

Wednesday, June 5, 2019

Tulahan : Baru setahun berkerajaan baru


Salam,

Image result for program kebajikan malaysia baru

Setahun sudah berkerajaan baru, Aidilfitri hari ini baru ada masa untuk menulis. Walaupun sudah berubah posisi kerja, namun hidup berulang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan penulis.

Kali ini berulang dari rumah ke pusat kerajaan dan berulang dari rumah ke Kawasan. Seminggu sekali bertugas di pusat kerajaan , selebihnya balik ke Kawasan. Sibuknya lebih dari dulu, kerana banyak masa terbuang dalam perjalanan.

Sehingga Ramadan tahun ini, penulis hanya sekali dapat berterawih di surau kampung. Pun begitu, penulis tidak risau dengan aktiviti surau kerana dua kawan kampung penulis sudah boleh diharap mengelola aktiviti surau.

Penulis sempat pergi rumah ke rumah di kampung menyampaikan sumbangan Ramadan. Pertama kali , setiap rumah di kampung menerima sumbangan Ramadan. Walaupun nilai bantuan kecil tapi semua dapat merasa. Tak pernah berlaku semasa kerajaan dulu. Dulu bantuan diberi lebih bertumpu kepada penyokong Ubn .

Penulis guna NGO anak kampung yang penulis tubuh bersama kawan-kawan kampung penyokong parti baru untuk mohon dana beri sumbangan kepada orang kampung. Hujung tahun lalu, semua pelajar sekolah rendah di kampung menerima sumbangan pakaian sekolah lengkap. Semua diberi termasuk anak orang kuat Ubn.

Penulis telah usahakan Surau kampung untuk mempunyai akaun bank sendiri bagi membolehkan dan memudahkan sumbangan disalur. Pertama kali juga Surau kampung terima sumbangan kerajaan baru untuk aktiviti mengimarah surau.

Sebarkan Dakwah Dengan Kelembutan




Berdakwah merupakan tanggungjawab setiap muslim. Tugas untuk menyebarkan dakwah itu tergalas di bahu setiap muslim.
Tak perlu menjadi manusia sesempurna kejadian untuk dijadikan syarat untuk berdakwah. Kerana kita manusia yang sifatnya takkan pernah sempurna. Kita semua ada kekurangan masing-masing.
“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran: 110)
Tidak kira apa pun pekerjaan seseorang muslim itu, tugasnya untuk berdakwah tidak boleh ditinggalkan.
Setiap muslim wajib untuk menyampaikan dakwah sesuai dengan kemampuannya. Dakwah adalah jalan hidup yang akan sentiasa mewarnai setiap apa yang kita lakukan setiap hari.
“Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” (Surah Yusuf: 108)

Saturday, June 2, 2018

Tulahan : Menang berstrategi, kalah dicemar akhlak


Salam,
Image result for parti amanah parit buntar

Sudah lama tak menulis, penulis cadang nak menulis sebelum pru 14 tapi tak sempat. Bila ada kesempatan ini, penulis dapatlah menulis sikit tentang perjuangan bersama parti baru.

Sebelum pru 14, parti baru kawasan penulis terus bergerak melaksanakan program. Penambahan ahli baru dan cawangan terus berjalan tapi agak perlahan kerana banyak tumpuan kepada pilihanraya.

Program kebajikan parti baru sama macam parti lama berjalan lancar malah lebih banyak sumbangan kebajikan disampaikan kepada yang memerlukan. Program seumpama cakna rakyat ajuran parti lama turut dapat dijalankan parti baru dengan nama lain iaitu mini karnival harapan.

Setahun sejak tulisan terakhir , tumpuan lebih banyak kepada gerak kerja pilihanraya. Zahir Nampak macam parti baru tak banyak program politik . Dalam masa setahun , program politik terbuka yang dibuat hanya tiga ceramah besar sahaja, ceramah kelompok langsung tiada.

Benarkah tiada program politik ? Inilah yang membezakan parti baru dengan parti lama. Dunia politik sekarang sudah banyak berubah. Pengundi berumur 55 tahun ke atas semakin kurang. Pengundi di bawah umur 55 tahun semakin bertambah.

Justeru, kempen paling berkesan adalh kepada kumpulan umur 55 tahun ke bawah. Pengundi kumpulan umur ini rata-ratanya mempunyai handphone yang boleh akses internet walaupun tinggal di kampung-kampung. Majoritinya mempunyai facebook dan Whats Apps . Selama setahun, kempen melalui media sosial ditumpukan kepada kumpulan umur ini setiap hari.

Balasan untuk orang yang memutuskan Silaturahim


Allah S.W.T mengutuk dan melaknat bagi orang yang memutuskan silaturrahim serta tidak akan dimasukkan ke dalam syurga, sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W maksudnya : 

Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : "Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Al-Imam Muslim) 

Silaturahim adalah kunci terbukanya rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Dengan terhubungnya silaturahim, maka ukhuwah Islamiyah akan terjalin dengan baik di antara sesama muslim. 

Rasulullah S.A.W. bersabda: Rahim (tali persaudaraan) itu digantungkan pada Arsy, ia berkata: "Barang siapa yang menyambungku (berbuat baik kepada kerabat), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memutuskan aku, maka Allah pun akan memutuskannya." (Hadis Shahih Riwayat Muslim) 

Sunday, April 30, 2017

Tulahan : AMANAH , PPBM " Kerana logo kalah pilihanraya"

Salam,


Invoke Malaysia telah selesai menjalankan kaji selidik "Vote Transfer" & Kecenderungan Pengundi Terkini . Dapatan kajian telah dibentangkan oleh Ahli Parlimen Pandan YB Rafizi Ramli.

Seperti biasa kajian ini telah dikritik oleh pemimpin Pas yang tidak dapat menerima hasil kajian. Ada pemimpin Pas yang mendakwa kajian Invoke tak boleh dipercayai, sebaliknya mendabik dada kononnya Pas ada kajian dalaman yang tidak boleh didedahkan.

Dakwa pemimpin Pas itu, Pas ada tiga pusat kajian dan kajian yang Pas lakukan adalah dari rumah ke rumah oleh petugas tanpa gaji hanya mengharap pahala
Bagi yang pernah aktif dalam parti ini pastinya tersenyum membaca kenyataan pemimpin Pas ini. 

Mereka tahu selama dalam parti ini, setiap kali hampir pilihanraya, parti ini akan memanggil NGO-NGO yang membuat kajian seperti Ilham Centre untuk membentang hasil kajian untuk Pas gunakan mengatur strategi.

Jika betul ada kajian oleh tiga pusat kajian Pas , sila bentangkan. Tak perlu hendak mendabik dada jika sebenarnya, Pas tiada kajian pun hendak dibentangkan.

Pemimpin Pas ini juga mendakwa kajian yang dijalankan adalah kajian akar umbi, rumah ke rumah. Mungkin pemimpin Pas ini nak bagi tahu cula yang biasa dilakukan oleh orang-orang Pas atau oleh Ketua 10.

Tak perlulah hendak bermegah-megah dengan culaan ini. Bagi yang tak pernah berada dalam Pas bolehlah nak gebang tapi bagi yang pernah berada dalam Pas , minta maaflah.

Culaan ini hanya berkesan jika petugas Pas benar-benar bersungguh-sungguh melaksanakan culaan ini bukan sekadar mengisi kertas culaan tanpa turun ke medan.

Hanya di kawasan-kawasan yang akar umbi Pas bergerak , culaan ini berhasil diperoleh. Namun, kebanyakan kawasan Pas tidak mempunyai petugas yang benar-benar mampu melaksanakan culaan ini.

Tambahan pula sekarang, orang Pas yang ramai hanya hebat melaungkan ucapan istiqamah , bila diajak buat kerja parti jawapannya ‘isteridirumah

Akhirnya, yang berlaku adalah culaan rambang atau yang paling teruk berlaku ialah cula ayam. Apa dia cula ayam? Cula ayam ialah pengundi yang menerima anak ayam yang Pas sumbang dikira undi bulan.

Bukan Pas sahaja yang melakukan cula , semua parti melakukannya. Umno pun buat kerja cula mengggunakan KEMAS, JASA , JKKK dan sebangainya. Jadi, tak perlulah pemimpin Pas ini menyamakan kerja-kerja cula ini dengan kajian.

Sempurnanya taubat Maiz bin Malik



Maiz bin Malik merupakan seorang lelaki daripada puak Aslam yang bertubuh rendah dan tegap. Dia seorang anak yatim di bawah jagaan Hazzal. 

Pada suatu hari, Maiz bin Malik melakukan zina dengan seorang gadis yang tinggal di persekitaran tempat tinggalnya. 

Lalu, Hazzal menyuruhnya, "Pergi laporkan apa yang engkau lakukan kepada Rasulullah SAW. Semoga Baginda dapat memohon kemaafan buatmu."

Maiz bin Malik pergi bertemu dengan Rasulullah di dalam masjid dan berkata, "Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan zina, sucikanlah diri ini." Rasulullah menjawab, "Kasihannya kamu! Pulanglah, minta ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya."

Belum jauh Maiz bin Malik pergi, dia kembali kepada Rasulullah dan merayu sekali lagi, namun Rasulullah tetap mengarahkan perkara yang sama terhadapnya. 

Monday, March 20, 2017

Tulahan : Kekal berjuang, terus berdakwah tidak menghukum

Salam,
Hari ini dah masuk pertengahan Mac, penulis cuti ada masa nak menulis tentang dakwah di kampung dan perjuangan bersama parti baru.
Sudah hampir tiga tahun penulis berdakwah ajak orang kampung solat, ajak orang kampung solat jamaah di surau. Dalam tempoh itu, ada ketika ramai yang ke surau, ada ketika kurang, paling ramai pun berjamaah di surau hanya 12 orang pada waktu Isyak.
Ada yang kekal solat lima waktu dan kekal solat jamaah di surau, ada yang tidak boleh capai lima waktu tapi masih datang berjamaah di surau. Ada yang kerap datang ke surau kemudian tidak datang dalam tempoh yang lama.
Namun , bila masuk tahun 2017, ada seorang kawan penulis anak arwah imam tua balik duduk di kampung. Kawan ini datang solat di surau dan bagi beberapai dea kepada penulis untuk menarik orang kampung ke surau.
Penulis sokong dan terima idea dia. Walaupun kemampuan agamanya kurang tetapi dia rajin melaksanakan idea ini. Usaha ini dibantu pula dengan seorang kawan yang juga balik duduk di kampung. Kawan ini pula tinggal hampir dengan surau. Jadi surau ini pasti akan sentiasa berjamaah walaupun penulis tiada kerana dia boleh jadi imam jika tiada yang boleh jadi imam.
Akhirnya, usaha kami bertiga ini menampakkan kejayaan yang amat ketara. Orang kampung dan anak muda kampung ramai yang datang ke surau. Jamaah waktu Subuh kadang-kadang capai lebih 12 orang. Paling ramai pada waktu Isyak , jamaah kadang-kadang capai hampIr 30 orang sehingga tak cukup satu saf . Dah jadi macam sembahyang tarawih bulan Ramadhan.
Penulis tetap meneruskan mengajar setiap hari selepas Maghrib dan penulis ulang semula mengajar bab solat kerana yang mendengar sudah ramai. Banyak ilmu yang mereka belajar tentang solat , tentang masbuk , tentang kesalahan solat, tentang solat jamaah, solat-solat sunat. Paling akhir ada kematian di kampung. Sudah ramai yang boleh dan berani solat jenazah.

Sunday, March 19, 2017

Wasiat Rasulullah kepada Abu Zar Al Ghifari

Abu Zar Al Ghifari adalah seorang sahabat Rasulullah yang terdekat dan amat mesra dengan beliau. Ia menyebut Rasulullah lain dari sahabat yang lain, menyebut beliau dengan sebutan "Khalili" (sahabatku yang akrab). Abu Zar menonjol dalam keikhlasannya berjuang, dan ia sangat cinta dan sayang kepada kaum fakir miskin, dan kerana itu ia sering disebut sebagai bapa kaum fakir miskin.


Sikap Abu Zar dalam menyampaikan dakwahnya dengan peringatan-peringatan di masa hidupnya. Beliau tetap bicara di depan umum sesuai dengan fungsinya sebagai ulama, yakni menyatakan kebenaran di mana saja. tidak mengira masa dan terhadap siapa sahaja tanpa mengenal ruang dan waktu, tanpa terpengaruh dengan kondisi dan situasi.

Dan sebagai salah seorang dari Sahabat Rasulullah saw, dengan keberanian dan kejujurannya yang menonjol, Abu Zar berkata kepada para penguasa waktu itu. 

"Sekiranya kamu meletakkan pedang terhunus di leherku untuk mencegah aku dari mengucapkan kata-kata yang pernah aku terima dari Nabi Muhammad saw. Nescaya aku akan terus juga berbicara, walaupun leherku akan putus."

Kalau kita mengikuti bagaimana caranya Rasulullah membina Abu Zar sehingga ia merupakan kader pelapis perjuangan dan sahabat kesayangan Rasulullah berani dan matang, tentulah kita tidak akan merasa hairan bila kita melihat sikap, akhlak dan keberanian Abu Zar.

Pada suatu ketika yang lapang, Rasulullah mengajak Abu Zar berjalan-jalan keluar kota dengan mengenderai unta. Abu Zar membonceng di belakang Rasulullah saw. Di waktu saat yang tenang dan harmoni itulah Rasulullah saw menyampaikan wasiat-wasiat atau beberapan pesanan beliau sambil membina Abu Zar secara khusus itu.

Rasulullah saw membinanya supaya hidup sederhana, yakni di kala keduanya berada di dekat gunung Uhud yang terkenal dalam sejarah Islam itu. Nabi Muhammad saw berkata kepadanya:

"Andaikata gunung Uhud itu menjadi emas dan meminta supaya aku memilikinya, pasti aku menolaknya."

Dan dengarlah selanjutnya keterangan Abu Zar sendiri tentang pesan Rasulullah saw kepadanya. Di antaranya Rasulullah saw telah memerintahkan kepadaku 7 perkara iaitu:-
  1. Ia memerintahkan aku untuk mencintai dan mendekati kaum fakir miskin;
  2. Ia memerintahkan aku untuk memandang kepada orang yang dibawah aku (dalam urusan dunia) dan tidak memandang kepada orang yang diatasku.
  3. Ia memerintahkan aku menghubungkan tali kasih-sayang sekalipun aku telah membelakanginya.
  4. Ia memerintahkan aku untuk tidak meminta sesuatu apapun kepada seseorang.
  5. Ia memerintahkan aku untuk tidak menaruh takut dalam berjuang pada jalan Allah terhadap reaksi celaan kaum reaksioner.
  6. Ia memerintahkan aku untuk menyatakan kebenaran walaupun pahit.
  7. Dan ia memerintahkan aku supaya banyak mengucapkan kalimah "La haula wala quawata illa billah."  Kerana semua itu adalah simpanan yang terletak di bawah arasy.
Demikianlah antara lain pesanan Rasulullah sebelum beliau meninggal dunia, untuk membina para sahabatnya agar berjiwa besar, memiliki iman yang murni, sebersih-bersih tauhid dan keberanian moral yang tinggi dalam melanjutkan dakwah dan jihad beliau.

Abul Aswad Adduali berkata: "Ketika saya tiba di Arrabdzah (tempat pengasingan Abu Zar), maka saya pergi ke tempat Abu Zar (Jundub Bin Junadah), ra. maka ia berkata kepadaku, pada suatu hari saya bertemu dengan Nabi Muhammad saw di Masjid sendirian, tidak ada seorang pun selain Rasulullah maka saya berkata:

"Nasihatilah aku suatu wasiat, semoga Allah menjadikan manfaat bagiku." Jawab Nabi Muhammad, "baiklah dan semoga kau tetap mulia."

"Hai Abu Zar, sesungguhnya kau dari keluargaku, dan aku akan berwasiat kepadamu, maka ingat-ingatlah, kerana wasiat ini menghimpun segala kebaikan dan pelaksanaannya. Apabila kau jaga dan kau perhatikan nescaya kau akan mendapat dua bahagian pahala yang besar."

Cara Beribadah
Hai Abu Zar, sembahlah Allah seolah-olah engkau melihat kepada-Nya. Maka bila nyata engkau tidak melihat Allah, maka yakinlah bahawa Allah melihat engkau.

Sunday, January 1, 2017

Tulahan : Setahun bersama parti baru

Salam,


Hari ini dah masuk 1 Januari 2017, usia sudah semakin bertambah. Semalam baru selesai proses lebih 50 ahli baru parti baru untuk bulan Disember. Sama macam parti lama, penulis urus kemasukan ahli baru dan penubuhan cawangan untuk parti baru.

Berbeza dulu ahli sudah sedia ada, kini kena usaha cari ahli baru untuk tubuh cawangan. Semasa dalam parti lama penulis usaha tubuh dari 30 cawangan sedia ada kepada 54 cawangan dalam masa 7 tahun.

Tak tahulah kini status cawangan-cawangan dalam parti lama. Berjumpa juga dengan beberapa orang ajk cawangan parti lama. Mereka ok ja bersembang walaupun tahu penulis dah masuk parti baru. Mereka bagi tahu masalah cawangan, masalah tiada yang ambil tahu macam yang dibuat penulis dulu.

Penulis bagi tahu, mereka tidak boleh harap semua orang macam penulis. Penulis minta mereka  usaha sendiri jangan terlalu bergantung kepada kawasan. Dalam ramai-ramai yang jumpa hanya ada sorang yang macam nak marah, angkat tangan kepada dia pun buat tak nampak. Penulis tak kisah pun, biarlah dekat dia kerana tanggungjawab penulis dah selesai.

Mungkin selama dia dalam parti lama tak pernah dengar hukum memutuskan silaturahim. Rugilah berjuang dalam parti berjuang agama tapi disaluti dosa besar memutuskan silaturahim. Tidak boleh salah dekat dia sebab ada pemimpin besar mengajar akhlak buruk itu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...