Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w bersabda:
غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِىٍّ يَلْهَثُ ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا ، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا ، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Kehausan hampir membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
- Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Terasa betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya sekalipun untuk seorang pendosa yang dipandang hina oleh manusia. Betapa luasnya peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNYA. Lantas dengan keampunan itu seorang pendosa itu akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih sehingga kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.
- Malangnya, rahmat Tuhan itu selalu kelihatan suram dan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan wakil rasmi yang memberi kata putus bagi pihak Tuhan dan Nabi s.a.w. Mereka itu sebenarnya tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w. Mereka menggambarkan Allah itu penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan, kasihan dan hanya tahu menghukum dan melaknat hamba-hambaNYA yang berdosa. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah keseimbangan yang terkandung dalam firman Allah:
۞نَبِّئۡ عِبَادِيٓ أَنِّيٓ أَنَا ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ ٱلۡعَذَابُ ٱلۡأَلِيمُ
(maksudnya) “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50).












