
Dengan alasan PAS jamaah Islam, tidak payah berbuat sesuatu, serahkan kepada takdir sahaja. Adakah ini menepati dengan sunnah perjuangan Islam yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW. Sedangkan baginda sendiri memberi keutamaan kepada proses perkaderan sebagai usaha dakwah baginda.
Usamah bin Zaid dalam usia muda sudah diberi amanah yang besar, walau pun ada di kalangan pembesar sahabat yang lain untuk mengepalai peperangan untuk melawan Rom. Umurnya baru mencecah 18 tahun. Semuanya hasil tarbiah Rasulullah SAW sejak daripada kecil.
Amat malang kepada PAS sekiranya proses ini tidak diberi keutamaan. Proses perkaderan yang paling mudah sekali ialah dari kalangan orang yang paling rapat sekali dengan kita, iaitu ahli keluarga kita. Allah SWT telah memerintahkan kepada baginda supaya menyeru kepada ahli keluarga yang terdekat untuk menerima Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Berilah peringatan kepada mereka (ahli keluarga) yang hampir dengan kamu".
Apa makna kita berjuang siang malam, tiba-tiba anak kita sendiri yang tercicir di dalam perjuangan. Lebih parah lagi ada yang menentang perjuangan PAS. Semua gara-gara kecuaian ibu bapanya mentarbiah anaknya untuk bersama dengan perjuangan Islam.












