Sunday, March 13, 2011

‘Gugurnya’ penakluk gunung ( Zaidi Bidin )


Gunung terakhir yang dijejaki arwah sehingga ke puncak iaitu Gunung Lawu di Jawa Timur, Indonesia pada 12 - 13 Februari 2011.
Salam,

Penulis baru menerima berita sedih dari Malaysia, Abang Zaidi ( Zaidi Bidin) sahabat seperjuangan di kampus telah kembali ke Rahmatullah semasa mendaki sebuah gunung di Sabah.

Terlalu banyak kenangan bersama Abang Zaidi di kampus. Seorang pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam dan aktivis kampus yang gigih, abang Zaidi banyak mengajar penulis berjuang secara tersusun.

Penulis banyak memerhati cara abang Zaidi melaksanakan tugasnya sebagai Setiausaha PMI dan jamaah kampus .

Kerjanya tidak bertangguh, kemas, minit yang tersusun, perancangan yang berstrategi cukup mengajar penulis bekerja dengan cara yang sama sehingga sekarang.

Kerap penulis pergi ke biliknya di asrama Harapan untuk mendapat nasihat dari beliau, meluahkan perasaan dan bertukar pandangan.

Penulis juga selalu meminta tolong beliau menterjemah artikel berbahasa Inggeris kerana beliau berkebolehan dalam bahasa Inggeris.

Pernah penulis , tinggal sebilik dengannya di rumah sewa Taman Brown semasa beliau sudah bekerja dan penulis berada di tahun empat. Masih terbayang senyuman yang sentiasa terukir, masih terkenang pengalaman berjuang bersamanya.
Penulis tahu melalui facebooknya, mengenai hobinya mendaki gunung. Dah banyak gunung ditakluknya di serata dunia. Walaupun begitu, beliau tetap sokongan kepada perjuangan Islam.
Tetap menjaga solat walaupun sesukar mana dalam pendakian. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Ini adalah berita kematiannya yang terpapar dalam akhbar . Bacalah......

LALUAN ke puncak gunung Nambuyukong dekat Pondok Seraya berhampiran sub stesen Serinsim, Kota Marudu, Sabah sunyi sepi seketika. Masing-masing terkesima menyaksikan peristiwa yang telah dicatatkan di dalam Luh Mahfuz.

Tepat pukul 1.10 petang, 4 Mac 2011 lalu, Zaidi Bidin yang terkenal sebagai penakluk gunung pergi buat selama-lamanya.
 

Allahyarham meninggal dunia ketika dalam misi untuk menawan tiga gunung di Sabah.

Berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir ialah pendaki dari Filipina Dr. Gideon Lasco, Zainudin Lot (Deeno), Ayieen Carlos Ng Ismail dan Muhammad Fuad Mohd.

Kesemua mereka bersama 15 pendaki lain sedang menjayakan program mendaki tiga gunung - Nambuyukong, Tambuyukon dan Trusmadi di Sabah pada 3 hingga 9 Mac 2011.

Manusia hanya merancang, Allah SWT menentukan segalanya. Tiada siapa menyangka itu merupakan misi terakhir Zaidi dalam aktiviti yang amat disukainya itu.

Zaidi rebah dekat Pondok Seraya, salah satu pondok rehat yang terdapat di sepanjang laluan ke puncak Nambuyukong.

Meneliti catatan Dr. Gideon yang dipaparkan di facebook arwah, pendakian bermula sekitar pukul 10 pagi. Mereka meninggalkan beg besar di pondok rehat pertama iaitu Pondok Damar untuk mendaki ke puncak. Kemudian turun semula bagi meneruskan pendakian ke gunung Tambuyukon.

Antara Pondok Damar ke Pondok Seraya, arwah mula kelihatan lemah dan meminta untuk berehat seketika.

Perjalanan diteruskan tetapi tidak lama kemudian, arwah meminta untuk berehat lagi. Kali ini lebih panjang dan arwah sempat tertidur.

Selepas 30 minit berehat, arwah meneruskan perjalanan, tetapi tidak lama kemudian, arwah berhenti seketika, sambil berkata: “I’m feeling much better now”.

Namun tidak lama kemudian iaitu kira-kira 200 meter melewati Pondok Seraya, arwah rebah. Melihat situasi itu, Fuad berlari ke arah Deeno dan Ayieen untuk meminta bantuan. Manakala Dr. Gideon melakukan CPR selama 45 minit untuk membantu arwah.

Sebaik sahaja menerima berita kecemasan itu, ketiga-tiga mereka berlari semula ke arah arwah yang ketika itu masih bernafas.

Namun nafas arwah sudah tersekat-sekat dan akhirnya Dr. Gideon berkata: “Biarlah dia pergi, tidak ada apa-apa yang boleh kita lakukan lagi.” Mendengar itu, kalimah syahadah dibisikkan ke telinga arwah, berkali-kali.

Peserta di hadapan diarahkan berpatah balik. Komunikasi melalui radio digunakan. Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, air mata para peserta terbabit tidak dapat ditahan lagi.

Baru sebentar tadi, mereka saling bergurau, ketawa bersama dan berbual mesra antara satu sama lain.

Tanpa melengahkan masa, jenazah diusung keluar secara bergilir-gilir sehingga tiba di pejabat perhutanan - tempat mula mendaki.

Dari situ, jenazah dibawa ke Hospital Kota Marudu, sebelum dipindahkan ke Kota Kinabalu dan terbang ke Kuala Lumpur dengan pesawat MasKargo tengah hari esoknya.

Jenazah tiba di Masjid Bukit Jelutong pada 5 Mac kala azan Asar berkumandang.

Beruntungnya arwah kerana ruang masjid dipenuhi jemaah yang mengerjakan solat Asar yang kemudian menyempurnakan pula solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam untuk disemadikan.

Keluarga angkat arwah yang berketurunan Cina termasuk rakan-rakan arwah dari Penang Adventure Club turut menziarahi.

Saya mengenali arwah pada 2005 ketika arwah mengikuti program anjuran kelab Eco Adventure ke gunung Benum, Pahang. Kemudian bersama-sama menjayakan program Everest Base Camp dan Kalapathar di Banjaran Himalaya, Nepal pada 2006.

Program terakhir bersama arwah adalah pada Mei tahun lalu iaitu ke gunung Mulu di Sarawak.

Pada usia 41 tahun, arwah yang masih bujang meninggalkan keluarga dan rakan-rakan dalam kesedihan yang masih tidak tertanggung.

Sayu hati melihat sekujur tubuh yang ketika hayatnya adalah seorang pemburu, penakluk dan pencinta gunung yang tiada tolok bandingnya.

Setakat yang diketahui, arwah seorang yang sihat. Tetapi dalam khidmat pesanan ringkas (SMS ) kepada rakan pendaki dari Indonesia yang dikenali Reginald Egi’ Rangingisan yang dipaparkan dalam facebook arwah berkata:

“Menurut doktor, x-ray menunjukkan paru-paru saya juga tiada masalah. Blood test juga okey tapi ada infeksi.

“Saya sudah diberi ubat. Hari Jumaat harus datang lagi ke rumah sakit untuk pemeriksaan dada.” Selain itu, ada khabar mengatakan arwah telah lima minggu mengalami batuk yang tidak sembuh walaupun telah menemui doktor.

Pemergian arwah meninggalkan satu legenda tersendiri dalam aktiviti mendaki gunung di negara ini.

Sejak mula mendaki pada 2002 sehingga Februari 2011, arwah telah menakluk 123 puncak gunung.

Bukan saja di negara sendiri, malah melangkau ke banjaran Himalaya; menjejak puncak tertinggi benua Afrika di gunung Kilimanjaro pada 2008; selain gunung-gunung di Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Arwah begitu disayangi rakan taulan kerana sikapnya yang baik, saling menolong dan terkenal sebagai seorang pendaki tegar.

Dalam setiap ekspedisi, dia sentiasa berjalan paling hadapan selain tidak kedekut ilmu tentang selok belok aktiviti mendaki.

Tanyalah apa saja, arwah dengan senang hati akan berkongsi segala rahsia alam termasuk memberi tip mendaki dalam cuaca sejuk membeku di Himalaya, mahupun panas terik di jalur gunung berapi.

Draf stamina dan langkahnya yang panjang membuatkan arwah sentiasa sampai dahulu ke tapak perkhemahan mahupun di puncak.

Di puncak, perkara pertama yang arwah akan lakukan adalah melaungkan azan memuji-muji kebesaran Tuhan. Arwah selalu berkata, diri terasa dekat dengan pencipta tatkala berada di puncak-puncak gunung.

Masih terngiang-ngiang di telinga merdunya suara arwah melaungkan azan di puncak Kalapathar.

Semangat saya yang hampir hilang membara semula sebaik sahaja terdengar laungan azan itu.

Begitu juga di puncak Mulu dan puncak-puncak lain yang dijejakinya. Pasti selepas ini, rakan-rakan akan merindui suara azan arwah.

Coretan ini diakhiri dengan kata-kata kiriman rakan pendaki arwah dari Sulawesi, Indonesia yang dipaparkan di facebook arwah:

“Berjuta air mata tercurah mengenang masa-masa indah, kebersamaan, perhatian dan kasih sayang saat bersamamu...

Kau mengajarkan banyak hal dalam hidup kami... Kami tak kuasa mendengar hal ini, sungguh tak kuasa...”

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my

Akhir sekali, marilah kita sama-sama sedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada Zaidi Bidin. AL-FATIHAH


Wassalam

1 comment:

D'ayo said...
This comment has been removed by the author.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...