Makam Imam Ali Zainal Abidin
Imam Ali Zainal Abidin adalah cicit 
Rasulullah SAW dan anak Sayyidina Hussain RA (semoga Allah SWT meredhai 
mereka). Beliau diberi julukan ‘Abal Hasan’ atau ‘Abal Hussain’. 
Beliau 
juga mendapat julukan ‘As-Sajjad’ (orang yang ahli sujud). Beliau juga 
merupakan satu-satunya putera Sayyidina Hussain RA yang terselamat 
ketika tragedi Karbala, di mana bapanya, Sayyidina Hussain RA telah 
syahid akibat dipenggal kepalanya oleh tentera Yazid bin Muawiyah 
setelah dikepung dan dizalimi.
Disebabkan bonda beliau wafat ketika 
beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh 
ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti 
Ali bin Abu Talib RA merupakan saudara kandung Sayyidina Hasan RA dan 
Sayyidina Hussain RA. 
Ini bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat 
tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahlul Bait Rasulullah SAW iaitu 
Sayyidina Hassan, Sayyidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali 
radhiallahu ‘anhum. 
Beliau adalah seorang yang ahli ibadah 
dan hamba yang amat taat kepada Allah SWT. Beliau meninggalkan segala 
sesuatu kecuali Tuhannya dan berpaling dari yang selain-Nya, serta yang 
selalu menghadap-Nya. 
Hati dan anggota tubuhnya diliputi ketenangan 
kerana ketinggian makrifahnya kepada Allah SWT, rasa hormatnya dan rasa 
takutnya kepada-Nya. 
Bercerita tentang ketaqwaan beliau, salah seorang 
putera beliau yang bernama Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin 
pernah menceritakan: “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk 
berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina 
berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku 
solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya.”
Beliau dilahirkan di kota Madinah pada 
tahun 33 Hijrah, atau dalam riwayat lain ada yang mengatakan 38 Hijrah. 
Beliau adalah termasuk generasi tabi’in. Beliau juga seorang imam agung. 
Beliau banyak meriwayatkan hadis dari ayahnya (Al-Imam Hussain RA), 
bapa saudaranya Al-Imam Hasan RA, Jabir RA, Ibnu Abbas RA, Al-Musawwir 
bin Makhromah RA, Abu Hurairah RA, Shofiyyah RA, Aisyah RA, Ummu Kalsum 
RA, serta para ummahatul mukminin/isteri-isteri Nabi SAW (semoga Allah 
SWT meredhai mereka semua). Al-Imam Ali Zainal Abidin, mewarisi 
sifat-sifat ayahnya (semoga Allah SWT meredhai keduanya) di dalam ilmu, 
sifat zuhud dan ibadah, serta mengumpulkan keagungan sifatnya pada 
dirinya di dalam setiap sesuatu.
Berkata Yahya Al-Anshari: “Dia (Al-Imam 
Ali) adalah paling mulianya Bani Hasyim yang pernah saya lihat.” Berkata
 Zuhri: “Saya tidak pernah menjumpai di kota Madinah orang yang lebih 
mulia dari beliau.” 
Hammad berkata: “Beliau adalah paling mulianya Bani 
Hasyim yang saya jumpai terakhir di kota Madinah.” Abu Bakar bin Abi 
Syaibah berkata: “Sanad yang paling dapat dipercayai adalah yang berasal
 dari Az-Zuhri dari Ali dari Al-Hussain dari ayahnya, Ali bin Abi 
Talib.”
Kelahiran beliau dan Az-Zuhri terjadi 
pada hari yang sama. Sebelum kelahirannya, Nabi SAW sudah 
menyebutkannya. Beliau solat 1000 rakaat setiap hari dan malamnya. 
Beliau jika berwuduk, pucat wajahnya. Ketika ditanya kenapa demikian, 
beliau menjawab, “Tahukah engkau kepada siapa aku akan menghadap?.” 
Beliau tidak suka seseorang membantunya untuk menyiramkan air ketika 
berwuduk. Beliau tidak pernah meninggalkan qiyamul lail, baik dalam 
keadaan di rumah ataupun berkelana. 
Beliau memuji Sayyidina Abu Bakar, 
Sayyidina Umar dan Sayyidina Usman (semoga Allah SWT meredhai mereka 
semua). Ketika berhaji dan terdengar kalimat “Labbaikallah…”, beliau 
pengsan.
Suatu saat ketika beliau baru saja 
keluar dari masjid, seorang laki-laki menemuinya dan mencacinya dengan 
keras. Spontan orang-orang di sekitarnya, baik budak-budak dan 
tuan-tuannya, bersegera ingin menghukum orang tersebut, akan tetapi 
beliau mencegahnya. 
Beliau hanya berkata: “Tunggulah sebentar orang 
laki-laki ini.” Sesudah itu beliau menghampirinya dan berkata kepadanya:
 “Apa yang engkau tidak ketahui dari diriku lebih banyak lagi. Apakah 
engkau memerlukan sesuatu sehingga saya dapat membantumu?.” 
Orang 
laki-laki itu merasa malu. Beliau lalu memberinya 1000 dirham. Maka 
berkata laki-laki itu: “Saya bersaksi bahawa engkau adalah benar-benar 
cucu Rasulullah.”
Beliau berkata: “Kami ini ahlul bait, 
jika sudah memberi, pantang untuk mengharapkan balasannya.” Beliau 
sempat hidup bersama datuknya Al-Imam Ali bin Abi Talib, selama 2 tahun,
 bersama pakciknya, Al-Imam Hasan, 10 tahun, dan bersama ayahnya, 
Al-Imam Hussain, 11 tahun (semoga Allah SWT meredhai mereka semua).
Beliau setiap malamnya memikul sendiri karung makanan di atas punggungnya dan menyedekahkan kepada para fakir miskin di kota Madinah. Beliau berkata: “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat memadamkan murka Tuhan.”
Muhammad bin Ishaq berkata: “Sebahagian dari orang-orang 
Madinah, mereka hidup tanpa mengetahui dari mana asalnya penghidupan 
mereka. Apabila Ali bin Al-Hussain wafat, mereka tidak lagi mendapatkan 
penghidupan itu.”
Amr bin Tsabit menceritakan, ketika 
jenazah Imam Ali Zainal Abidin dimandikan, kelihatan kulit menebal 
berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya
 sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab: “Itu bekas beban berat yang
 dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang 
dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum fakir miskin dan 
orang-orang yang memerlukan di Madinah!”
Beliau jika meminjamkan wang, tak pernah
 meminta kembali wangnya. Beliau jika meminjamkan pakaian, tak pernah 
meminta kembali pakaiannya. Beliau jika sudah berjanji, tidak mahu makan
 dan minum, sampai beliau dapat melaksanakan janjinya. 
Ketika beliau 
berhaji atau berperang mengenderai tunggangannya, beliau tak pernah 
memukul tunggangannya itu. Manaqib dan keutamaan-keutamaan beliau tak 
dapat dihitung, selalu dikenal dan dikenang. 
Beliau meninggal di kota 
Madinah pada 18 Muharram 94 Hijrah, dan disemayamkan di perkuburan 
Baqi’, dekat makam dari bapa saudaranya, Sayyidina Hasan RA, yang 
disemayamkan di kubah Al-Abbas. 
Beliau meninggal dunia dengan 
meninggalkan 11 orang putera dan 4 orang puteri. Adapun warisan yang 
ditinggalkannya kepada mereka adalah ilmu, kezuhudan dan ibadah.
Wallahua'lam.
One-Ummah 
 
1 comment:
Alhamdulillah, thank you for this post. Hari ni first time saya dengar pasal cicit Rasulullah, ternyata beliau amat memberi inspirasi sama seperti nendanya, atuknya, bapanya dan ahli keluarga yang lain.
Post a Comment