 
 Kisah ini diambil dari blog grenbara.bravejournal. Bacalah dan ambillah peringatan daripada kisah ini.
 Penulis   telah menemu ramah seorang wanita tua yang ingin berkongsi pengalaman   beliau tentang sebuah kisah menyayat hati yang disaksikan suatu ketika   dahulu. 
Tiada  apa yang boleh memadamkan ingatan saya tentang cerita ini.  Aneh dan  menginsafkan jika direnung kembali tentang seksaan Allah  terhadap  seorang anak yang derhaka kepada ibunya sendiri," cerita Nek  Mariam.
Begini   ceritanya: Jamilah 20an, (bukan nama sebenar) adalah seorang isteri   yang malang. Beliau telah ditinggalkan suami sebaik sahaja melahirkan   anak sulung mereka. Jamilah terpaksa akur dengan nasib yang menimpanya   itu. 
Mujurlah  beliau masih mempunyai ibu bapa yang mengambil berat akan  dirinya.  Itulah yang dikata kasih sejati seorang ibu. Tiada tolok  bandingannya  walhal semenjak kita dalam kandungan lagi kasih sayang  sudah dicurahkan  sepenuh jiwa dan raga. 
Setelah  Jamilah bergelar janda,  Jamilah kembali ke rumah ibunya. Walaupun  Jamilah tidak mendapat kasih  sayang seorang suami namun beliau bertuah  kerana masih mendapat kasih  sayang dari ibu sejati.
Jamilah   dan anak kecilnya dijaga dan diberikan kasih sayang dengan sempurna.   Soal makan dan minum Jamilah dan anaknya tidak menjadi masalah kerana   Jamilah masih mempunyai bapa yang masih kuat mengerjakan ladang dan   sawah. 
Bapa  Jamilah keluar bekerja awal pagi dan pulang lewat petang.  Manakala  ibunya tidak banyak aktiviti di rumah hanya memberi makan   haiwan  ternakan sahaja. Adik-beradiknya semua sudah berkahwin dan membawa  haluan masing-masing. 
Jamilah  merupakan anak bongsu dalam keluarga,  mengenangkan nasib malang  Jamilah, sudah tentu perasaan sayu dan kasihan  dari ibunya membuak-buak  bila melihat anak dan cucu kecilnya tidak  terbela.
Usia Jamilah masih remaja walaupun bergelar janda. Zaman remajanya masih lagi belum puas dikecapi tambahan pula  fikirannya   masih belum matang dalam erti hidup. Jamilah terasa dirinya begitu   bebas dan terlepas dari belenggu ketika hidup bersuami dahulu. 
Jamilah   tidak merasa sebarang kekurangan pada dirinya malah bertambah yakin   kerana beliau masih muda dan masih kelihatan cantik. Segala urusan anak   kecilnya diserahkan kepada ibu dengan alasan tidak biasa dengan karenah   anak kecil. 
Sebenarnya  Jamilah malas untuk menguruskan anak kecil yang  merimaskan. Pada  mulanya, ibu Jamilah tidak perasan, maklum sahaja cucu  sendiri, tentu  tidak terasa bebannya. 
Hari berganti hari hidup Jamilah  bertambah selesa. Beliau hidup di bawah jagaan yang sempurna. Semua soal  makan minum,  mengasuh anak kecil dan kerja rumah tangga semuanya diambil alih oleh ibu dan bapanya. Jamilah hanya menolong ala kadar  sahaja agar tabiat malasnya tidak nampak ketara.
Perangai   Jamilah semakin menjadi-jadi. Melaram dengan pakaian-pakaian fesyen   terkini serta bersolek agar sentiasa cantik. Suatu hari, Jamilah  telah  menyampaikan hasratnya ingin ke pekan untuk mendandan rambut dengan  fesyen terkini. 
Namun  ibunya melarang kerana menurut orang ramai,  kandungan bahan mendandan  rambut ketika itu diperbuat dari bahan haram  yakni lemak babi.
"Ala, bukan nak makan babi tu, hanya sapu atas kepala agar rambut lebih hitam dan berkilat...." Jamilah memberi alasan agar permintaannya ditunaikan.
Namun   begitu ibunya tetap melarang. Maka berlakulah satu pertengkaran antara   Jamilah dan ibunya sehingga beliau tergamak mengeluarkan perkataan  kesat  sambil menyumpah-nyumpah ibunya.
"Binatang babi! Binatang anjing!" kata Jamilah semakin berani setelah melihat ibunya mendiamkan diri sambil menitiskan airmata.
Jamilah   masih berdegil, nafsunya untuk kelihatan cantik dan bergaya semakin   meluap-luap hingga tidak kira lagi soal halal dan haram. Matlamatnya   supaya ramai lelaki melihat dirinya cantik macam primadona. Sekaligus   saham dirinya akan naik mengatasi anak-anak dara sunti di kampung itu. 
  Petang itu, bila Jamilah baru pulang dari pekan mendandan rambut,   tiba-tiba beliau terdengar suara anak kecilnya menangis kuat   teresak-esak. Hati Jamilah naik radang kerana beliau sangka ibunya   sengaja membiarkan anaknya begitu kerana ingin membalas dendam.
Dengan   bengis, Jamilah terus naik ke rumah dan jadi seperti orang yang  dirasuk  syaitan, terus meluru ke bilik anaknya yang menangis itu.  Anaknya  diambil dan diletakkan di satu sudut di dapur dan terus menuju  ke bilik  ibunya untuk bertindak sesuatu. 
Mulutnya  tidak henti-henti mengomel  sambil menyumpah-nyumpah. Sebaik sahaja  beliau masuk, kelihatan ibunya  sedang mengerjakan solat. Kerana terlalu  marah, dikala ibunya sedang  sujud, beliau bertindak menendang ibunya  sambil berkata 
"Oi babi, anjing, beruk! Tak boleh harap....menyusahkan orang, celaka!"
Ibunya yang jatuh tersungkur di hadapan sejadah bangun mengaduh dan terpinga-pinga. Beliau tidak tahu apa sebabnya Jamila tiba-tiba naik angin.
  Setelah beberapa lama berlinanganlah airmata ibunya apabila  menyedari  perkara sebenar. Sebenarnya bukan niat ibunya membiarkan  cucunya itu  menangis keseorangan, ketika itu beliau sedang  bersembahyang, maka  terpaksalah membiarkan budak itu sebentar. 
Sudah   seberapa daya beliau menyegerakan solatnya setelah sedar cucunya   menangis kuat, namun belum sempat selesai solat, Jamilah terlebih dahulu   datang menyepak punggungnya.  
Hati   ibu mana yang tak hancur remuk mengenangkan anaknya yang sampai hati   dan tergamak melakukan sebegitu terhadapnya berbanding kasih sayang yang   telah dicurahkan secukupnya demi anak tercinta. 
Ibu  mana yang tidak  sayangkan anak....dalam keadaannya yang sakit seluruh  sendi akibat  tersungkur atas tikar sembahyang tadi, beliau telah berdoa  pada Allah  agar dapat diampun dosa anaknya itu.
Dengan   takdir Allah, tiba-tiba Jamilah berteriak dari arah dapur. Macam   sesuatu yang telah berlaku pada Jamilah mahupun cucunya. Dengan lemah   longlai, tergesa-gesa beliau pergi mendapatkan Jamilah. 
Jeritannya   sungguh kuat hingga jiran berdekatan dapat mendengarnya. Tambah  terkejut  apabila kami semua menyaksikan seutas rantai besi tiba-tiba  sahaja  keluar memecah lantai dapur dan melilit dan merantai kaki  Jamilah dengan  kuat. Jamilah menjerit kesakitan dan anak yang dikendong  terlepas  dalam dakapannya.
Ibu   Jamilah separuh pengsan melihat keadaan Jamilah sebegitu. Jelas Nek   Mariam yang merupakan salah seorang yang menyaksikan keajaiban Allah  Yang Maha Esa itu. 
Maka  berduyun-duyunlah orang kampung datang untuk  membantu melepaskan  cengkaman rantai besi yang melilit kemas di  kedua-dua kaki Jamilah.
  Bertungkus-lumus orang cuba memotong besi itu  namun tidak berjaya.  Jamilah meraung sekuat-kuat hati kerana terlalu  sakit. Akibatnya darah  tidak berhenti mengalir membasahi lantai dapur. 
Setelah  beberapa jam berlalu, rantai besi yang mempunyai kekuatan luar  biasa  itu masih juga tidak boleh dileraikan dari kaki Jamilah. Akibat   pendarahan yang banyak, Jamilah meninggal di situ juga dengan riak muka   yang amat menakutkan.
Ibu Jamilah terpaku tidak mampu melakukan apa-apa.  Beliau sedar itulah  balasan Allah terhadap anaknya, cuma beliau tidak  menyangkakan secepat itu. 
"Anehnya,   sebaik sahaja Jamilah meninggal, rantai itu terurai dengan sendiri  lalu  masuk kembali ke dalam tanah. Kami semua begitu terpegun dan  berasa  insaf dengan apa terjadi. Itulah balasan Allah terhadap seorang  anak  yang derhaka," sambung Nek Mariam sambil menitiskan airmata.
Jenazah   Jamilah diuruskan seperti biasa dan dikebumikan. Upacara membaca ayat   suci Al Quran di atas kubur selama 7 hari memang sering dilakukan oleh   masyarakat di Pantai Timur dan menjadi satu upacara kebiasaan kepada   sesiapa yang baru dikebumikan. Semasa orang-orang kampung bergilir-gilir   membaca Al Quran, maka satu lagi petunjuk dari Allah terjadi.
Pada   waktu hampir subuh, mereka terdengar satu suara yang meraung-raung  dari  arah liang lahat. "Mak ooiii.....!! Ayah ooiii!! Tolonglah...!  Allah  Tuhanku....minta tolong...! Mak ....ayah...tolonglah!" suara   mendayu-dayu itu sungguh menyeramkan dan tidak henti-henti," cerita Nek   Mariam lagi.
Salah   seorang dari mereka bertindak memberitahu pada ibu Jamilah akan suara   itu yang mereka syak datang dari arah liang lahat. Dengan bantuan  jiran-jiran  berdekatan, mereka segera ke kubur Jamilah untuk menggali kubur itu  kerana mereka sangkakan Jamilah masih hidup. 
Setelah  digali, alangkah  terkejutnya bila melihat jasad Jamilah yang kaku dan  berbalut itu telah  bertukar rupa. Kepalanya menjadi kepala seekor babi!  MasyaAllah....  Ramai orang menyaksikannya....satu lagi keajaiban yang  sengaja Allah  ingin memperlihatkan pada hamba-hambanya. 
Bertambah  sedih dan sayu hati  ibu Jamilah melihat keadaan anaknya  begitu....Malam itu beliau bermimpi,  Jamilah datang kepadanya dengan  keadaan yang amat buruk dan daif sambil  berkata:
"Tak payahlah ibu mengadakan kenduri arwah untuk saya, kerana saya telah terkeluar daripada Islam...." menyedari hakikat itu ibunya begitu terkejut dan tak henti-henti menangis sambil berdoa kepada Allah agar mengampuni dosa anaknya itu.
"Maka   tiadalah kenduri arwah dibuat untuk Jamilah. Itulah cerita tentang   balasan Tuhan terhadap hambanya yang berdosa. Dosa pada Tuhan mungkin   dapat diampunkan jika kita bertaubat  nasuha,  tetapi dosa  pada manusia, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu-bapa, harus  kita  sendiri memohon ampun dan maaf....Jika tidak tanggunglah dosa itu  dan  akan dikira dan dibalas setimpal di akhirat kelak..." Nek Mariam   mengakhiri ceritanya yang penuh keinsafan sesuai untuk kita   semua....wallahualam.grenbara.bravejournal
 
No comments:
Post a Comment