Pertemuan kali pertama penulis dengan anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, langsung tidak menampakkan dirinya seorang mualaf. Ini kerana raut wajah Joannes Lukas, 29, persis jejaka Melayu ditambah pula kelancaran tutur kata tanpa dipengaruhi loghat negeri asalnya.
Malah   menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari  Universiti  Putra  Malaysia (UPM) ini lagi, kalau melihat penampilan  dirinya  sebelum  bergelar Muslim, beliau sendiri tidak menyangka akan  memeluk  agama Islam.
“Jadi   Muslim… memang tidak pernah terlintas dan terbayang. Ini kerana  saya   boleh dikatakan seorang penganut Kristian yang setia serta  terlibat   secara aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.
“Tetapi   semuanya bermula selepas saya berhijrah ke Semenanjung  Malaysia untuk   menyambung pengajian di UPM kira-kira 10 tahun lalu. Pada  masa itu,   saya sedang mengikuti matrikulasi.
“Hakikatnya,   pengislaman saya lebih kepada pengkajian dan  perbandingan agama.   Itupun selepas berhadapan dengan beberapa persoalan  berkaitan agama   anutan saya ketika itu,” cerita anak muda ini yang yang  lebih mesra   dengan panggilan Johan ketika ditemui di pejabat Jemaah  Islah Malaysia   (JIM) di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.
Tambah   Johan yang juga merupakan sukarelawan di Hidayah Centre, minat   membaca  dan menganalisis adalah proses awal sebelum akur akan   ketauhidan Allah  s.w.t., sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa   paksaan.
“Satu   persoalan yang terpacul daripada mulut seorang teman Muslim  tentang   keyakinan saya dengan agama anutan saya, membuatkan saya  sentiasa   memikirkannya berulangkali. Malah ini adalah satu pendorong  untuk saya   mencari apa di sebalik maksud soalannya itu tadi.
“Pada   masa sama, saya ada membaca satu buku perbandingan agama yang  saya   temui di rumah sewaktu pulang bercuti semester. Dalam pembacaan  saya   itulah pelbagai aspek berkaitan agama anutan saya mula  dipersoalkan.   Antaranya peranan Nabi Isa dan konsep Triniti atau  tritunggal.
“Peliknya, sewaktu   meneliti tafsir al-Quran  dari al-Fatihah hinggalah ke surah al-Maidah   ayat 72 dan 73, saya tidak  dapat menahan sebak dan terus menangis. Ayat tersebut menjelaskan  soalan yang saya cari selama ini.
Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.
Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.
Pertemuan   itu, kata Johan menjadi titik perubahan yang menyedarkannya  akan erti   keEsaan Allah. Di samping itu, menerusi pergaulannya dengan   teman-teman  Muslim, mereka bagai dapat menghidu minat Johan tentang   Islam, lantas  memperkenalkannya dengan beberapa orang ustaz di UPM.
“Saya   mula rapat dengan ustaz Haji Azhari Ahmad dan hubungan kami  semakin   rapat kerana dia banyak memberi penerangan yang jelas tentang  banyak   persoalan.
“Alhamdulillah,   dengan sokongan ustaz Azhari yang juga merupakan  abang angkat,   akhirnya saya memeluk Islam iaitu pada 21 Jun 2000 di  Jabatan Agama   Islam Selangor di Subang Jaya, Selangor,” katanya.
Kata   Johan, hanya Allah memahami kegembiraannya kala mengucap dua  kalimah   syahadah. Ia seolah-olah berjumpa dengan sebutir mutiara.  Perasaan   seronok, gembira mengatasi segalanya, waima keputusan yang  diambil itu   membelakangkan keluarga.
“Menyedari   pilihan yang dibuat mengundang kemarahan keluarga, saya  cuba   merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga dengan    pelbagai helah dan lakonan semata-mata jika pulang ke kampung,” cerita    anak ke-10 daripada 12 adik-beradik ini yang mahu kekal dengan nama    sebelum Islamnya kerana ia masih membawa maksud yang baik iaitu, Yahya    Lokman.
Pun   begitu, rahsia yang dipendam selama itu cuba ditamatkan dengan   menulis  sepucuk surat kepada keluarga. Di dalam warkah itu, Johan cuba    menjelaskan kepada keluarganya bahawa pengislamannya bukan kerana    paksaan atau pengaruh sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya    daripada kajian dan berdiskusi untuk mencari kebenaran.
Kata   Johan, perbuatannya itu mengundang kejutan besar kepada keluarga  dan   bermulalah episod penuh mencabar sebaik bergelar Muslim.
“Saya   ada pulang ke kampung sebelum majlis perkahwinan kakak.  Rupa-rupanya,   kepulangan saya tidak diterima mereka sehingga saya  dihalau dan  dipulau  serta disindir. Itu semua tidak saya endahkan kerana  saya  sentiasa  mengatakan bukankah bila saya masuk Islam, saya lebih  baik  dari dahulu?
“Saya   sayangkan keluarga saya. Agama tetap agama dan bangsa tetap  bangsa.   Islam tidak memisahkan hubungan anak dengan ibu bapa mahupun    keluarganya. Di samping itu, saya tidak pernah jemu berdoa dan melakukan    yang terbaik sama ada sebagai anak mahupun adik.
“Alhamdulillah,   kini ibu yang sudah berusia 64 tahun menerima dan  merestui  pengislaman  saya. Saya bersyukur keperibadian Muslim yang cuba  saya  tonjolkan  kepada keluarga berjaya merubah persepsi negatif mereka   terhadap Islam  dan menerima saya sebagai Muslim,” ujar Johan yang terus   berdoa agar  seluruh ahli keluarganya turut menerima hidayah Ilahi.
Mengenai   penglibatannya dengan kerja-kerja sukarelawan di Hidayah  Centre, kata   Johan secara serius ia bermula tahun lalu. Tetapi minatnya  bermula   selepas perkenalan dengan sukarelawan JIM yang turut sama  mengikuti   kursus perkaderan mualaf anjuran Majlis Agama Islam Selangor  (MAIS)   pada 2003.
“Di   hati kecil saya terpanggil untuk memberi satu kemanisan Islam  kepada   bukan Islam apa lagi tugas menyampaikan dakwah Islamiah adalah    tanggungjawab setiap umat Islam yang merupakan khalifah Allah di muka    bumi ini.
“Amatlah   penting untuk kita memberi gambaran jelas tentang agama  Islam. Sebab   itulah, saya selalu terangkan kepada keluarga dan semua  bahawa untuk   kenal Islam kena kenal agamanya. Kesilapan sekarang ini,  orang bukan   Islam melihat dari sudut yang tidak berapa tepat iaitu  orangnya,”   katanya.
Buat masa ini, Johan berusaha memantapkan kecintaan kepada Allah dan sesama makhluk.
“Di samping itu, saya ada menerima undangan membuat perbandingan agama terutamanya untuk agama Kristian,    memandangkan sedikit ilmu yang ada dan saya rasa ia perlu dikongsi    dengan ramai agar syiar Islam terus tersebar dan berkembang serta bebas    daripada persepsi negatif,” kata Johan mengakhiri perbualan kami lewat    petang itu.Malay-bismikallahuma
 
No comments:
Post a Comment