Alhamdulillah,
 Allah menjadikan proses melarikan diri daripada lensa itu mudah buat 
saya. Dia yang memudahkan. Mungkin kerana saya sendiri,  juga masih 
kelam-kelam di pinggiran disimbah cahaya studio dan gemerlapan pentas. 
Belum jadi bintang. Belum jadi purnama. Keberagamaan hari ini amat membingungkan.
 
Bagi
 mahasiswa dan mahasiswi sarjana  muda Pengajian Islam semasa, 
jauhkanlah diri daripada menjadi selebriti  sebelum habis mengaji. 
Jangan sekali-kali mencita-citakannya. Lebih  baik, hindari lensa, 
hindari publisiti sebelum usia mencecah 30′an.  Sibukkan diri dengan 
mengaji.
Menjadi selebriti itu 
bererti, di alam  realiti pendapatmu dinilai berdasarkan populariti. 
Jarang kerana hujah  dan ilmu. Maka, kukuhkan dulu ilmu dan pengalaman, 
sebelum engkau  menyerah leher kepada kehidupan yang berisiko tinggi 
itu. 
Hakikat  menjadi selebriti agamawan, kesilapanmu dipertahankan 
peminat,  kebenaranmu dicemburui lawan. Selamatkah dirimu, tanpa ilmu yang
 jitu?
Justeru, dalam banyak keadaan, rebutlah kelebihan menjadi insan bertaqwa yang tidak dikenali. Viral, trend,
  populariti, ia adalah ujian yg berat. Mengapa engkau dengan sengaja  
menempa susah? Apatah lagi kesusahannya adalah beban yang jauh dari  
berbaloi.
Setiap kali berpendapat, 
engkau boleh  melapikkan ‘fatwa’mu dengan permohonan maaf dan meminta 
nasihat jua  teguran. Tetapi agama mengkehendaki kita tawadhu’ dengan 
ilmu mendahului  tawadhu’ dengan mad’u. Tawadhu’ dengan ilmu bererti 
kita membataskan  diri daripada berkata-kata pada perkara yang kita 
tiada pengetahuan  mengenainya.
Pengetahuan
 ialah apa yang kita  pelajari, kita dalami, kita fahami. Bukan apa yang
 kita dengar, tidak  sekali-kali sekadar meminjam apa yang orang kata. 
Jika salah, salah yang  berkata, bukan salah kita yang meminjamnya.
Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berpesan di dalam Majmū’ al-Fatāwā beliau:
‘Barangsiapa
 yang berbicara tentang  hal-ehwal agama tanpa ilmu maka dia dikira 
berdusta sekali pun dia tidak  berniat untuk berdusta.’
Dek
 kerana bahayanya perbuatan memetik  buah sebelum ranum, 
rancangan-rancangan realiti keagamaan itu berbahaya.  Jika dalam dunia 
masakan, Chef Wan risaukan chef segera melalui  rancangan realiti 
masakan, kita pula risaukan ulama segera yang  dihasilkan oleh rancangan
 realiti di kaca televisyen. 
Mendengar  ceramah-ceramah alumni program 
realiti televisyen yang banyak itu,  sungguh dukacita hati saya 
dibuatnya. Demikianlah akibat mensesiakan  usia muda yang sepatutnya 
diisi dengan belajar, bukan mengajar, biar pun  berdakwah masih fardhu 
ain dalam rutin seharian masing-masing.
Al-Imam al-Shāfi’ī rahimahullāh berpesan, seperti yang ternukil di dalam Fath al-Bārī, syarah kepada Sahih al-Bukhārī:
“Apabila
 seseorang yang baru belajar  tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu 
menjadi tokoh), maka akan terluput  daripadanya ilmu yang banyak”
Mengapa
 tergesa-gesa beraksi di lensa,  sebelum ilmu secara amanah disemat di 
dada? Lidah tidak bercabang,  lancar berkata-kata, tidak selancar mata 
membaca dan akal memikirkannya. 
 Jika televisyen mensyaratkan ada ASAS 
agama, maka ASAS itulah racunnya,  kerana pada usia yang begitu muda, 
kalian sudah sibuk ke sana sini  mengajar (kalau boleh dikatakan 
mengajar), bila masanya yang ASAS itu  hendak ditambah, diperbaiki dan 
ditingkatkan?
Jika zaman belajar 
tidak rancak belajar,  mustahil zaman mengajar boleh rancak mengajar. 
Kecuali ada penyakit  yang direstui penyebarannya.
Dek
 besarnya bebanan berkata-kata di  pentas ceramah, apatah lagi di depan 
lensa, saya sendiri lebih tenang  menulis berbanding berceramah. Sebelum
 menulis, saya kena membaca dan  punya ruang berfikir sebelum 
menyebarkannya.
Ceramah, mudah benar kemalangan ilmu berlaku.
Semoga
 Allah ampunkan saya, bekas orang  muda yang banyak bercakap, bakal 
orang tua yang kurang beramal. Sekadar  berkongsi nasihat buat yang 
sudi.
(Dan amaran buat yang enggan bermuhasabah diri)
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
43000 BSP
 
No comments:
Post a Comment