Thursday, January 20, 2011

Kisah rakyat Australia bersatu hadapi bencana



MALANG sememangnya tidak berbau. Kadangkala malapetaka mahupun bencana menimpa tanpa diundang kedatangannya. Malah hadirnya juga tanpa memberi sebarang bentuk amaran. Ironinya, banyak perkara di dunia ini yang boleh kita rancang akan tetapi perancangan dari Ilahi mengatasi segala-galanya.
Ini yang berlaku di Australia kini. Kalau mengikut pengiraan musim cuaca, kami di selatan benua dunia, ketika ini sepatutnya mengalami musim panas dan selalunya kepanasan boleh mencecah sehingga lebih dari 40 darjah celcius. Namun, lain pula yang berlaku kali ini. Hujan turun tidak menentu lebatnya. Sehinggakan melebihi sukatan keseluruhan ketika musim sejuk yang lepas.
Akhirnya, sesuatu yang tidak pernah diramal oleh akal fikiran terjadi - bah melanda ketika pertengahan musim kemarau. Banjir kali ini bukan sahaja melanda negeri Queensland seperti mana yang digembar-gemburkan oleh berita dunia, akan tetapi melanda 3 buah negeri yang lain juga.
Secara kasarnya, mengikut pengiraan mudah, di Australia, separuh dari keluasan Eropah telah ditenggelami air.


Dan jangan pula terperanjat, ketinggian air di sini boleh mencecah melebihi 20 meter. Tidak hairanlah, beberapa buah bandar yang sebelum ini hidup dan padat dengan penduduk tiba-tiba terus lenyap dari muka bumi selepas air mulai surut.

Cuba bayangkan betapa kuatnya arus aliran banjir ini sehinggakan rumah, kereta mahupun kontena dipukul arus seperti sampah sahaja. Jika diimbau kembali akan catatan sejarah negara ini, kali terakhir banjir sebegini besar berlaku ialah 37 tahun yang lalu - yang menyebabkan hampir separuh dari Australia tenggelam.
Hakikatnya, malapetaka ini amat dahsyat sekali, sehinggakan mendapat perhatian dari seluruh dunia. Bantuan datang mencurah-curah tanda simpati dan prihatin. Bencana ini juga mendapat perhatian khusus daripada Pope di Vatican City, di mana beliau telah mengarahkan satu upacara sembahyang khas untuk penduduk Australia diadakan agar mereka semua tambah kuat menghadapai dugaan yang tidak disangka-sangka ini.
Menariknya di Australia, bila musibah melanda di sesuatu kawasan, keseluruhan negara merasai keperitannya. Seperti mana ramai maklum, sistem pentadbiran di sini merupakan sistem pengasingan iaitu setiap negeri mempunyai kuasa mutlak hampir dalam semua perkara.
Ini bermakna, kekuatan kewangan sesebuah negeri bergantung kepada kekuatan ekonominya sendiri. Bila perkara sebegini berlaku, negeri-negeri lain, tidak loket dalam menghulurkan bantuan.
Bukan setakat bantuan dari negeri-negeri lain, malah dari individu, pertubuhan mahupun syarikat sering berganding bahu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk negeri lain yang dilanda musibah itu.
Dalam masa tidak sampai seminggu, lebih dari AUD15 bilion telah berjaya dikumpulkan untuk diagih-agihkan kepada mangsa-mangsa banjir hanya menerusi derma-derma ikhlas rakyat Australia.
Pemimpin-pemimpin negara tidak kira dari tampuk pusat mahupun negeri, turun padang, sama-sama merasai keperitan mangsa. Di mana-mana sahaja kita akan nampak teraju negara mahupun personaliti terkenal mengangkat barang-barang dari rumah orang yang tidak mereka kenali - berselising lengan, bermandikan lumpur, sama-sama berselut, sama-sama basah kuyup, sama-sama terluka dan sama-sama menangis.
Sehinggakan bekas Perdana Menteri Kevin Rudd, dimasukan ke hospital disebabkan jangkitan kuman ketika sama-sama membantu mangsa banjir. Kerana bagi mereka, inilah yang dikatakan, cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya juga.
Perbezaan ideologi politik mahupun agama, boleh diketepikan buat sementara waktu. Tiada siapa yang mencanangkan kepartisan ketika ini. Yang menariknya, tiada sebarang bentuk bantuan dihulurkan atas nama politik mahupun agama.
Sistem penyampaian juga cukup terpuji, maklumat disalurkan tidak henti-henti, agar semua orang dapat bersiap sedia dalam masa yang begitu kritikal sehinggakan diwujudkan rancangan tv 24 jam khusus untuk melaporkan malapetaka ini.
Tidak hairanlah, walaupun banjir begitu besar, sehingga artikel ini ditulis, hanya 17 kematian sahaja yang berlaku.Tambahan dari itu, terdapat lebih dari 20,000 orang awam yang hadir sebagai sukarelawan membantu meringankan beban mangsa serta pihak berkuasa untuk memulihkan kembali kawasan-kawasan yang terbabit.
Mereka ini diminta untuk mendaftar diri dengan pihak berwajib agar mudah diagih-agihkan tugas secara sistematik dengan tujuan setiap tenaga boleh dimaksimumkan impaknya serta tidak berlaku sebarang kecurigaan.
Walaupun begitu, kita jangan lupa sehingga hari ini, sudah terdapat hampir 40 keluarga rakyat Malaysia hilang tempat tinggal kerana banjir ini. Bantuan yang dihulurkan, kebanyakan adalah untuk rakyat Australia. Jadi, bagaimana pula dengan mereka ini?
Siapa yang akan membantu mereka? Ada dikalangan mereka ini tinggal sehelai sepinggang, tambahan pula kebanyakan mereka adalah pelajar lepasan ijazah. Ke mana mereka boleh mengadu? Bagi mereka yang dewasa, mereka dapat memahami situasi begini, bagaimana pula dengan anak-anak mereka?
Malapetaka ini masih belum sepenuhnya reda. Masih banyak kawasan dijangka akan dilanda banjir dan berapa ramai lagi yang akan menjadi mangsa juga tidak diketahui. Mungkin juga ada lagi rakyat Malaysia yang akan terlibat.
Saya menyeru agar kita di Malaysia, sama-samalah membantu rakyat kita di sini. Hulurkan bantuan, walaupun sedikit, mungkin bantuan ini dapat meringankan beban serta kesengsaraan mereka dalam menghadapi dugaan ini.
Hubungilah Malaysian Student Department di sini untuk mendapat maklumat terperinci.
Bagi pembuat polisi di Malaysia, mereka perlu memikirkan bentuk bantuan jika perkara sebegini berlaku lagi terutama kepada para pelajar di masa mendatang.
Ketenteraman dalam pengajian adalah salah satu faktor utama dalam penghasilan segulung ijazah. Kita juga mengharapkan pelaburan yang kita berikan pada mereka terhasil. Namun kadang-kadang kita terlepas pandang akan sesuatu, dan ia akan nampak hanya bila segala-galanya berlaku.
Isu pasca-traumatik selepas sesuatu kejadian jangan kita pandang sepi. Sudah sampai masanya kerajaan menghantar pakar kaunseling untuk meredakan sedikit tekanan mental yang para pelajar kita hadapi.
Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monah University. Beliau boleh dihubungi menerusi email zaharuddin.sani.sabri@monash.edu.au
mstar.online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...