Salam,
Penulis paparkan satu lagi kisah benar untuk sama-sama diambil iktibar daripada kisah ini.
Sebaik  sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya.  Jeritannya  sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak  mampu  ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah manuju ke katilnya. 
Di   sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis  tersedu-sedu.  Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu  dilakukan, kecuali  melihat Jalal menggelepar kesakitan dan bordoa  semoga Jalal cepat  sembuh.
Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil tangan dan kakinya  terikat kemas di katil.
  “Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu  kami. Saya dah tak tahu  apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam  ni,” kata salah  seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai. 
Sebelum  itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera  datang  untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bungsu mereka itu. 
“Apa  sakitnya ni?”, tanya saya. “Entahlah ustaz, doktor pun tak tau.”
Sedang  kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan.  Kali ini  jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya  menakutkan dan  menyedihkan. 
“Emak,  ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya  sakit mak, sakiiiiittttttt!  Tolonglah emak, ampunkan dosa saya.”  Berserta raungan yang dilepaskan  sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar  seperti dipanggang di dalam api  yang marak.
  Mukanya berkerut sementara  matanya terbelalak akibat azab yang amat  pedih. Semua yang ada di wad  berkenaan memandang ke arah kami.
Jeritan  itu menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan  Jalal  jadi sedemikian rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu  dengan  ibunya? 
“Panggil ibunya segera,” kata saya. 
Namun kata-kata saya  itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka  atau berpandangan sesama sendiri. 
“Kenapa  ni?” tanya saya. Dengan  perlahan abang Jalal bersuara, “Ustaz, ibu  kami baru sahaja meninggal  dunia dua minggu lepas.” “Kalau macam ini  susahlah sikit. Saya rasa  mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar  kepada ibunya, sebab itulah  dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam  keadaan macam ini, cuma  ibunya saja yang dapat membantu,” kata saya  berterus terang. 
Mereka cuma  mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat.
Saya  semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang  itu  insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan   kesakitan Jalal. 
“Ceritakanlah  kepada saya apa yang sebenarnya telah  berlaku.” “Ustaz, sebenarnya  adik saya ini sudah derhaka kepada arwah  ibu kami,” jawab salah seorang  daripada mereka. 
Dengan  tenang, tapi air  mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya  kisah yang  sebenarnya – kisah yang cukup menyayat hati saya.
Menurutnya,  Jalal adalah anak bungsu daripada mereka enam beradik,  empat  perempuan, dua lelaki dan dikalangan mereka, Jalallah yang  mempunyai  kelulusan yang lebih tinggi. 
Bagaimanapun,  sejak kecil  hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal  sentiasa sahaja  melawan dan menyanggah kata-kata ibunya. 
Nasihat  dan teguran ibunya pula  dipandang rendah serta tidak diendahkan.  Syurga anak di bawah telapak  kaki ibunya.Walaupun berpendidikan tinggi,  Jalal sentiasa sahaja  kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati  rezekinya. Berterusanlah  keadaan itu hingga dia berumah-tangga.
Keadaan  menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di  sebuah  syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih   banyak di syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah,   malah menjadi semakin parah. 
Walau  di syarikat mana pun yang Jalal  bekerja, dia akan menghadapi masalah  yang seterusnya membawa kepada dia  meletakkan jawatan. Dalam kegawatan  itulah Jalal mula meminjam wang  daripada sahabat-sahabatnya. 
Selepas  sekian lama hutangnya semakin  banyak, namun dia masih tidak mampu  melunaskannya. Rumah-tangga Jalal  mula kucar-kacir dan akhirnya mereka  bercerai.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya  mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. 
Tanah seluas 12 ekar  itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun  sebelum itu.
  “Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi  RM500,000. Saya nak  duit tu buat berniaga,” katanya kasar. “Jalal,  engkau ni dah melampau.  Itu tanah adik beradik kamu,” jawab si ibu.  “Ahhh, saya tak kira.”  “Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit ti  nanti bukannya engkau  nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang,” jawab  ibunya. 
Bukan  sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak  membenarkannya  mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang  dengan hati  kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah  berkenaan  walau dengan apa cara sekalipun.
Suatu  hari, Jalal datang ke rumah ibunya. Beberapa orang  adik-beradiknya ada  di situ. Sekali lagi pertengkaran berlaku dan  berakhir dengan tragedi  yang amat menyedihkan. 
Ketika kemarahannya  sampai kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan  kepala ibunya terhantuk di pintu. 
Darah  dari luka terpalit di pintu  sedang ibunya terjelopok di lantai-rebah  tidak sedarkan diri. Si ibu  segera dibawa ke hospital sementara Jalal  puas hati kerana dapat  melepaskan kemarahannya. 
Akibat  pendarahan otak yang serius, ibunya  meninggal dunia tanpa sempat  melafazkan keampunan kepada Jalal.  bermulalah azab dalam hidup Jalal.
Kira-kira  seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke  hospital kerana  jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan  ialah doktor gagal  mengesan penyakit yang dihadapinya. 
Jalal  sebaliknya  maraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam  raungannya  itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak  sanggup  menanggung azab yang pedih. 
Berterusanlah  keadaannya selama beberapa  hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu  itu, doktor dan jururawat tidak  dapat berbuat apa-apakecuali mengikat  Jalal di katil dan menyuntiknya  dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
“Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain,” kata saya. 
Di  samping  ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin  untuknya. Namun  apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit  kepanasan. 
Tubuhnya  menggeletik dan menggelepar kesakitan. “Aduh panasnya! Emak,  ampunkanlah saya emak! 
Jangan  bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa  saya ke situ. Saya tak mau,  sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan  saya, saya bersalah.”  Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang  dimaksudkannya dengan  ‘ke situ’? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa ‘ke  situ’ dan apa yang  dilihatnya di situ?
Akibat  tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan. Tangan  dan  kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi keadaan  Jalal  masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang. Satu ingatan  saya  tinggalkan kepada mereka, “Jika Jalal masih hidup selepas zuhur  ini,  insya-allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak…”. 
Ketika  itu lebih  kurang pukul 10 pagi. Saya tinggalkan mereka, namun sedang  saya  memandu, telefon bimbit saya berdering. “Ustaz! Cepat ustaz, adik  saya  dah nazak,” kata si abang. 
Saya  berpatah balik dan apabila sampai di  katilnya, saya lihat Jalal begitu  tenat. Nyawanya seperti sudah di  penghujungan. Keluarganya semakin  cemas sambil air mata tidak  henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah  al-Asr, Sura al-Falaq, Surah  an-Naas serta Asma ul Husna.  Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan  menggelepar.
Keadaan  senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca  ayat-ayat suci  al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba,  ketenangan  itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. 
Dia  mengerang  sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil  seperti hendak  terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga  najisnya terpancut  keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis  menusuk hidung kami. 
Maha  suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat menghenyak   perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ dan   segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara  serentak. 
Di  bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata   Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis   berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil   basah dengan air mata, peluh serta najisnya.
Selepas  ‘rentapan’ itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya  berhenti  dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan  amalannya.  Tamatlah riwayat seorang anak derhaka. 
Saya  cuma mampu  melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham  menangis dan  berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar  kerana tidak  sanggup melihat mayat adik mereka. 
Demikianlah  sakaratulmaut datang  menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam  al-Quran dan Hadis, ia  datang dengan menyentap, merentap dan merenggut  nyawa Jalal tanpa ada  kasihan belas.
Sudah  berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang   menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan sakaratul   maut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya. 
Kesengsaraan  yang  ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan   keaiban yang amat sangat. Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar   sementara giginya menyeringai. 
Dari  kerut wajahnya, jelas sekali  Allahyarham baru sahaja menanggung  kesakitan dan azab yang amat pedih.  Saya cuba pejamkan mata  Allahyarham, namun gagal. 
Kelopak  mata tidak  berupaya untuk menutup biji matanya yang tersembul itu.  Cukup mengerikan  kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan.
Ikatan  di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya  dikiamkan.  Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya  menyaksikan keaiban  kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana  duburnya terpancut  keluar dan membonjol di celah kelengkangnya.
  Saya  menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah   terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa turun   kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah mereka di   salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di Pantai Barat   Semenanjung.
Rupa-rupanya  keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa  Allahyarham  keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat  shock  absorbernya patah secara serentak. 
Van  yang cuma membawa lima  orang-mayat yang badannya sederhana sahaja, dua  orang abang dan  kakaknya, pemandu serta seorang pembantu – boleh patah  shock  absorbernya? Kelendan van bergegas memanggil kami. 
Maha  suci Allah,  Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari  van, jenazah itu  kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat  oleh kira-kira 15  orang.
Selesai  masalah itu, satu lagi masalah timbul – tidak ada van atau  kereta yang  berani untuk mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah  lori kosong  yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di  tempat  kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. 
Apa  yang membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu  berat,  tapi kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah   Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya   dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya.
Namun  diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas   kuburnya tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham   berlubang, tanah lain terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya. 
Tiga   hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga   Allahyarham. “Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada   ustaz.” “Apa masalahnya itu.” tanya saya. “Kubur adik saya berlubang   ustaz.” 
Masya-Allah,  demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada  anak yang derhaka  kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan  lubang itu disedari  sehari selepas Allahyarham dikebumikan. 
Lubang   tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada   papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka   mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut   berlubang semula. 
” Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan  ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi,” kata saya.
Namun  keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya   memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang   membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah,   masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. 
Bukan   itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup  segar  sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. 
Pada  hari  kelima, saya menghubungi abang Allahyarham. “Begini sajalah,”  kata saya.  “Mulai malam ini buatlah majlis Yasin dan tahlil. Panggil 20  orang dan  setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali. Apabila  selesai bacaan  Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan dosa  Allahyarham  kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang doa itu  sebanyak tujuh  kali.”
Seperti  yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka mengadakan  majlis  itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut  menggigil  ketakutan. 
Alhamdulillah,  pada hari ketujuh, kubur berkenaan  tidak lagi berlubang. Peristiwa ini  sudah berlaku empat tahun lepas  namun masih terbayang-bayang di mata  saya. 
Setiap  kali tibanya Hari Raya  Aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa  tersebut menjelma dalam  ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari  selepas kita berhari raya.
   Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang bergembira berhari   raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal   dunia dan anaknya yang derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya. 
Kisah   ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun   keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan   iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah.
  Amin.  ~~ilhamikhlas
OLEH: USTAZ NAHRAWI MARZOKI
 
No comments:
Post a Comment