Salam,
Penulis paparkan kisah  pemerintahan khalifah Islam ini bila mendengar kenyataan yang cukup  menyedihkan dikeluarkan oleh ahli jamaah. Hanya kerana mempertahankan  pemimpin yang mereka sukai,  contoh terbaik yang ditunjukkan Nabi  Muhammad S.A.W. dan khalifah Islam tidak lagi dijadikan panduan. 
Kita  kerap kali  menyebut berkenaan kehebatan Khalifah Umar bin Abd Aziz  dalam  pentadbirannya sebagai pemerintah, sehinggakan masarakat bukan  Islam  turut mengetahui berkenaannya serba sedikit lalu menjadikannya  role  model dalam ucapan-ucapannya, saya berharap agar ia bukan hanya   terhenti setakat di dalam ucapan sahaja dalam tindakannya. Tidak   dinafikan usaha ke arah itu dapat dilihat sedikit demi sedikit,  tahniah. 
Selain  Umar Abd Aziz, kita juga adakalanya dapat membaca  kehebatan pentadbiran  Islam di bawah khalifah kedua Islam iaitu Umar  Al-Khattab r.a. Dalam  tulisan ringkas ini saya ingin berkongsi beberapa  petikan kisah  ketegasan Umar Al-Khattab semasa pemerintahannya  termasuk semasa  menerima laporan dari rakyat terhadap perilaku  gabenor-gabenor yang  dilantiknya; ia amat baik dijadikan panduan dan  ingatan bagi para  pimpinan pentadbiran korporat, kerajaan negeri dan  pusat dan bagi mereka  yang ingin mengambil pengajaran.
KISAH  1 : KHALIFAH UMAR r.a DAN SA'AD ABI  WAQQAS r.a [1]    
Umar  al-Khattab telah melantik Sa'ad Abi  Waqqas r.a seorang sahabat besar  Nabi s.a.w sebagai gabenor di Kufah,  Iraq. Namun terdapat beberapa  kumpulan munafiq yang amat benci kepada  Sa'ad, lalu membuat aduan palsu  kononnya Sa'ad r.a tidak adil dalam  pembahagian dan tidak memimpin  ketika peperangan. 
Sedangkan  di ketika itu, kerajaan Islam sedang sibuk  membuat persiapan untuk  menuju ke Nahawand. Amat difahami kumpulan ini  ingin mengganggu  kelancaran perancngan kerajaan Islam.
Walaupun  aduan ini sememangnya telah diketahui palsu oleh Umar  Al-Khattab r.a  tetapi beliau masih meraikannya secara SERTA MERTA  dengan menghantar  wakil penyiasat iaitu Muhammad Ibn Maslamah. Umar r.a  seorang yang amat  sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap  gabenor lantikannya. 
Tatkala  proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua yang  berada di  Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakladilan Sa'ad  lalu  semuanya mengkhabarkan kebaikan Sa'ad. 
Tiba-tiba  muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Sa'ad tidak   adil dan  tidak memimpin perang. Sa'ad menafikan dengan sumpah  serta mendoakan  buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah  dunia bagi sesiapa  yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya. 
Hasil  doa individu soleh  seperti Sa'ad, kesemua kumpulan yang meinpu ini  mati . Usamah pula  menjadi buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu  syahwat yang luar biasa. 
Walaupun   Sa'ad terbukti selepas itu tidak bersalah, demi mengelakkan perpecahan   dan menjaga status Sa'ad bin Abi Qaqqas, Umar al-Khattab meminta Sa'ad   untuk menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah Bin   ‘Utban yang merupakan timbalan kepada Sa'ad sebelum ini. 
Manakala  Sa'ad  di bawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah di  Madinah.  [2]
KISAH 2  : UMAR R.A DAN HARTA GABENOR DAN PEGAWAINYA
Umar  al-Khattab begitu tegas dan ketat  dalam urusan kewangan negara, beliau  juga amat ketat dalam meneliti  pendapatan dan harta setiap gabenor dan  pegawainya. Setiap pegawai yang  dilantik akan diminta melakukan  deklarasi harta, dan peningkatan  hartanya akan disemak dengan begitu  kerap. 
Jika  peningkatan berlaku, Umar r.a akan mengambil separuh untuk  baitul Mal  dan dalam beberapa keadaan Umar r.a mengambil semuanya. [3]   Selain itu, Umar r.a turt melakukan lawatan mengejut ke ruamh   pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. [4]
Berikut  beberapa kisah prihatinnya Umar r.a r.a :-
a-   Gabenor  kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu  adalah seorang sahabat bernama  ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan  membuat satu mimbar khas untuk  dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar  al-Khattab menjadi marah lalu  menghantar surat kepada ‘Amru yang  menyebut  
"Aku   mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu   dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di   kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu" [5]
b-   Dalam  satu keadaan lain, Sa'ad juga  dilaporkan membina pagar di sekitar  rumahnya ( di ketika itu amat  jangkal rumah mempunyai pagar kecuali  terlalu kaya), sehingga orang  ramai menggelarkannya "ISTANA SA'AD".  Dinyatakan bahawa Sa'ad membina  agar itu kerana rumahnya berhampiran  degan pasar dan amat bising, lalu  dibinanya agar dapat menghalang  sedikit kebisingan. 
     Apabila berita   sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih   besar dari manfaatnya, lalu  dengan segera menghantar   Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut.[6]
c-   Umar  r.a telah melantik Mujasha' bin  Mas'od untuk beberapa tugasan, dan  kemudiannya mendapat laporan isteri  Mujasha' bernama al-Khudayra kerap  membeli perabot baru dan hiasan  dinding. 
     Lalu Umar r.a  menghantar surat kepada Mujasha' agar mengoyakkan  semua hiasan dinding.  Mujasha' menerima surat itu ketika bersama orang  ramai, lalu dengan  segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta  orang ramai masuk  ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua  hiasan dinding baru  yang dibeli isterinya[7].
     Sebenarnya, Umar r.a tahu ia dibeli  dengan harta syubhah akibat jawatan  Mujasha', kerana itu diarahkan  sedemikian. Anda juga boleh melihat  betapa kuatnya taat dan yakinnya  para pegawai dengan keikhlasan dan  kejujuran Umar r.a.
d-  Umar  r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria,  dan kemudian Yazid Bin  Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika  Umar r.a memasuki  rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding  bergantungan. Umar  r.a mula mengambilnya sambil berkata 
"barang-barang ini boleh  digunakan oleh rakyat jelata  untuk melindungi diri mereka dari  kesejukan dan panas"  [8]
e-  Umar  r.a juga pernah mengambil beberapa bahagian  harta adik beradik  gabenornya dan pegawainya apabila hasil  penyelidikannya mendapati  keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil  sebahgian dari harta Abu  Bakrah. Namun Abu Bakrah cuba membantah dengan  mengatakan 
"aku tidak pernah berkhidmat  denganmu (sebagai  pegawai kerajaan)"  
Umar  r.a menjawab  
"Ya benar, tetapi adikmu  berkhidmat sebagai penyelia  Baitul Mal, dan dia telah memberikan  beberapa pinjaman kepadamu agar  kamu boleh berniaga dengannya"  [9]
Kesimpulannya,  semua tindakan Umar r.a ini  tidaklah diambil secara sembrono, kisah ini  hanyalah ringkasan sahaja,  dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan  jawatan di jadikan PELUANG  UNTUK MERAUT KEKAYAAN. 
Ibn  Taymiah mengulas beberapa tindakan  Umar r.a tadi bagi membuang segala  keraguan rakyat terhadap pendapatan  para gabenor dan pegawainya, yang  mungkin menjadi kebiasaan diberi  hadiah oleh rakyat jelata disebabkan  oleh jawatannya.[10]
KISAH 3 : KHALIFAH UMAR r.a DAN DENDA ANAKNYA    
Abd  Rahman bin Umar Al-Khattab, salah seorang  anak Umar al-Khattab berada  di Mesir dan dilaporkan telah melakukan  kesalahan dengan meminum arak.  Beliau kemudiannya meminta Amru bin  Al-‘As untuk melaksanakan hukuman ke  atasnya. 
Namun  Amru al-‘as r.a merasa serba salah kerana ia adalah anak  khlaifah lalu  menjatuhkan hukuman secara sedikit berbeza iaitu mencukur  kepalanya dan  ia disebat secara tertutup di dalam rumahnya. Sepatutnya  prosedur di  ketika itu adalah hukuman minum arak mestilah dicukur dan  disebat pada  waktu yang sama di hadapan khalayak ramai. 
Peristiwa  ini bocor kepada Umar r.a lalu beliau menghantar  surat yang antara  lainnya menyebut :-
"engkau telah menyebat dan mencukur Abd Rahman di   dalam rumahmu dan KAMU TAHU IA BERTENTANGAN DENGAN APA YANG AKU  HARAPKAN  (hukuman seperti orang lain), ...Abd Rahman adalah salah  seorang warga  di bawah tanggungjawabku (DI AKHIRAT), dan kamu beralasan  dengan  mengatakannya adalah anak Khalifah sedangkan kamu tahu aku  TIDAK  SESEKALI BERKOMPROMI dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah   terhadap Allah swt" [11]
KISAH 4  : KHALIFAH UMAR r.a DAN KHALID IBN WALID r.a
Khalid  Ibn Waled, yang terkenal sebagai  ‘pedang islam' dilucut jawatan  sebanyak dua kali oleh Umar r.a  al-Khattab, iaitu pada tahun 13 Hijrah  sejurus selepas Umar r.a  dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada  17 Hijrah.[12] 
  Namun kedua-dua peristiwa ini bukan kerana Khalid tidak baik dan   bermasalah, Namun ia adalah dari sebab berikut [13]   :-
a-    Menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah, ia  jelas  dari surat umum yang dihantar Umar r.a kepada umat Islam  memberitahu  agar mereka tidak terlalu ‘attached' dengan Khalid  sehingga  tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan  Khalid dan  bukan kerana bantuan Allah swt. 
b-    Pentadbiran  ; iaitu dalam urusan dan keputusan  pembahagian harta.
c-    Pentadbiran  : Umar r.a inginkan keteletian dan  laporan berterusan dari setiap  pegawainya, namun Khalid inginkan  pentabdiran yang bebeas dari  penelitian sentiasa oleh Khalifah.
Di  waktu Khalid dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di  Syria, belia  berkata :-
"Amir   al-Mukminin (Umar r.a) melantik aku sebagai gabenor dan setelah urusan   menjadi licin dan lancer, beliau melucutkan jawatanku"
Lalu  seorang lelaki berkata : "Sabarlah wahai ketua, ia waktu  untuk  bermulanya fitnah"  
Kahlid  membalas : 
"selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu  TIADA  RUANG FITNAH untuk berlaku" [14]
Demikian  hormat dan keyakinan Khalid terhadap  Umar r.a walau dalam keadaan  beliau dilucutkan jawatan, amat  difahaminya tindakan Umar r.a adalah  untuk mengelak fitnah, bukan  mencipta fitnah.
Di  ketika Khalid  r.a hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata  kepada Abu  Darda r.a, 
"Wahai Abu Darda, bila Umar r.a  al-Khattab r.a wafat  kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci  berlaku"
Dan  berkata lagi sambil mengelap air matanya:
"Aku memang merasa sedikit kecewa dengan beliau  dalam  sesetengah isu, tetapi setelah aku fikrikan kembali berkenaannya  di  ketika aku sakit ini, aku menyedari bahawa Umar r.a Al-Khattab r.a   melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah dari   setiap tindakannya"[15]
Khalid  juga melantik Umar r.a sebagai waasi (pengurus  harta pusakanya),  ketika Umar r.a al-Khattab menrima surat wasiat itu,  beliau turut  menangis.
Cuba  kita bayangkan  ketegasan Umar al-Khattab r.a tersebut dan bagaimana  tingginya taqwa  beliau dan juga para sahabat yang bersamanya. Mengapa  mereka tidak  melenting akibat diambil sebahagian harta dan sebagainya?. 
  Kerana Umar sendiri mengambil hartanya untuk umat Islam, dan beliau   tidak makan daging sehingga semua orang miskin di bawah pentadbirannya   makan terlebih dahulu. 
Cuba  pula kita  membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari  ini.  Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar   al-Khattab r.a.. Sesungguhnya wahai Umar al-faruq kami merinduimu   pemerintahanmu.
http://www.zaharuddin.net/
Wassalam. 
 
No comments:
Post a Comment