Monday, December 19, 2011

Syahidnya Seorang Ulama' Ummah: As-Syahid As-Syeikh 'Imad 'Effat Rahimahullah


Hubungan Anak & Ayah: Mufti Mesir bersama murid kesayangannya As-Syahid Syeikh 'Imad 'Effat Rahimahullah

Sebelum syahidnya Al-Marhum Syeikh 'Imad 'Effat, ramai yang tidak tahu bahawa beliau adalah antara aktivis revolusi 25 Januari. 


Pemergian beliau turun ke medan Tahrir pada himpunan dan protes sebelum dan selepas jatuhnya Mubarak, tidak ramai yang menyedari kerana As-Syahid akan mengenakan pakaian biasa, tanpa pakaian jubah Al-Azhar dan serban Al-Azhar-seperti kebiasaan yang beliau pakai pada hari-hari menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar.

Saat menemui ajal, beliau turun sekali lagi bersama-sama rakyat pada Jumaat lalu bersamaan 16 Disember bagi menuntut agar tentera melaksanakan janjinya menyerahkan kerajaan Mesir kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada masa yang disepakati sebelum ini iaitu sebelum Jun 2012 selain menuntut agar pilihanraya Mesir yang berbaki dua pusingan akan datang, berlangsung dengan penuh telus dan bersih.

Turun Membanteras Kezaliman (Klik Untuk Tonton Video as-Syahid)

Ini kerana pada pusingan pertama dan kedua yang berlangsung pada 14 dan 15 Disember lepas, menyaksikan saki-baki golongan 'FULUL' atau calon-calon bekas parti Mubarak yang dibubarkan (NDP) melakukan pembelian undi dan menyogok para pengundi dengan wang. 


Ada beberapa daerah mengundi, calon 'jahat' ini telah mengupah para perusuh untuk melarikan kertas dan peti undi seperti yang berlaku di daerah Gamaliya, bahagian Kaherah apabila calon bekas parti NDP yang juga bekas wakil rakyat kawasan tersebut, Haidar Baghdadi. 

Namun, pihak keselamatan berjaya mendapatkan semula kertas dan peti undi yang cuba dilarikan. Begitu juga pada pusingan kedua baru-baru ini, pihak calon 'jahat' ini mengupah perusuh untuk melakukan kekacauan di pusat-pusat mengundi antaranya melepaskan tembakan ke udara yang menyebabkan ada pengundi yang takut untuk mengundi. 

Pelbagai penipuan yang berleluasa ini, sekalipun berjaya diatasi tetapi ia tiada kerjasama baik yang diberikan oleh pihak tentera sebagai pemerintah sementara ketika ini. Itu belum dikira lagi poster dan kain rentang yang dikoyak dan dirosakkan. 


Malah terdapat beberapa daerah, pihak musuh menggunakan samseng-samseng bagi menghalang calon kempen Parti Kebebasan dan Keadilan masuk ke kampung bagi merayu undi. Terdapat juga laporan beberapa penyokong parti dibelasah dan dikasari.

Wajah Penuh Bercahaya.. Doanya Untuk Syahid Dimakbulkan Allah

Yang banyak menentang penipuan pilihanraya ini ialah individu calon atau wakil mereka atau parti yang bertanding khasnya Parti Kebebasan dan Keadilan (Parti di bawah Ikhwan Muslimin), satu-satunya parti setakat ini yang dilihat mahu pilihanraya berjalan dengan penuh adil dan telus.

Adapun selainnya, banyak melakukan dakyah dan politik kotor. Termasuklah parti Salafi yang kononnya mahu kepada pelaksanaan syariat Islam seperti Parti Nur yang banyak memberikan saingan sengit kepada Parti kebebasan dan Keadilan di semua daerah. 


Antara kempen kotor Parti Nur apabila menggunakan nama seorang syeikh Wahabi yang terkenal di Mesir iaitu Syeikh Muhammad Hisan. Parti Nur menggunakan kalam ucapan dan gambar beliau bahawa Syeikh Hisan menyokong Parti Nur. 

Tetapi dalam satu wawancara televisyen, Syeikh Hisan terang-terang meminta nama dan gambar beliau tidak digunakan untuk kempen mana-mana parti politik. 

Bahkan pada pusingan kedua lepas, terdapat calon dari Parti Nur adalah dari kalangan 'FULUL' iaitu calon bekas NDP pada zaman Mubarak. Parti Nur sanggup mengambil mereka sebagai calon mereka demi untuk kepentingan politik.

Semua perjalanan pilihanraya yang walaupun zahirnya dilihat lebih adil berbanding zaman Mubarak, tetapi beberapa perkara yang mencacatkan keadilannya harus dibantah. 


Maka golongan rakyat yang prihatin, mereka mengadakan bantahan di hadapan Pejabat Jemaah Menteri, di Jalan Jemaah Menteri di Qosrul 'Aini, berhampiran dengan dataran Tahrir. 

Maka sebab itu, kejadian ini dinamakan "Peristiwa Jalan Jemaah Menteri" atau "Ahdas Syarie Majlis Wuzarak".

Tegas & Tekun Menyampaikan Ilmu di Masjid al-Azhar as-Syarif

Syeikh Imad juga turut menyertai himpunan tersebut. Menurut isteri beliau yang juga wartawan akhbar Al-Ahram yang diceritakan dari saksi kejadian, ketika Syeikh Imad berada dalam himpunan tersebut, tiba-tiba seorang lelaki yang berada bersebelahan beliau melepaskan tembakan yang menyebabkan Al-Marhum gugur syahid. 


Bedah siasat hospital juga mendapati bahawa tembakan yang dilepaskan adalah dari jarak dekat. Solat jenazah beliau telah disembahyangkan ribuan umat Islam yang bersedih atas pemergian beliau di Masjid Al-Azhar, sehari selepas syahidnya beliau.

Pada 22 Oktober 2011 iaitu kira-kira sebulan sebelum berlangsungnya Pilihanraya Mesir, Al-Marhum As-Syahid Syeikh Imad 'Effat dgn ilmu dan keberanian beliau telah mengeluarkan fatwa bahawa mengundi calon 'Fulul' iaitu bekas parti Mubarak adalah HARAM. Berikut disiarkan kenyataan penuh beliau spt yg disiar oleh web Ikhwan Muslimin:

"Sesungguhnya mengundi bagi (calon) Fulul atau mereka yang ada hubungan dengan anggota parti (pemerintah) yang dibubarkan (iaitu Parti Demokratik Kebangsaan-NDP) pada pilihanraya akan datang adalah HARAM dari segi syarak. Ini kerana memandangkan mereka telah menyumbang kepada kerosakan selain keinginan mereka yang mahu menghancurkan masa depan Mesir dengan berleluasanya rasuah sedangkan telah berlakunya revolusi berdasarkan sebab tersebut (iaitu memerangi rasuah dan kerosakan). Maka sesiapa yang memberikan undinya nescaya dia telah menyampaikan (golongan ini) kepada pentas bagi membuat perundangan."

Boleh rujuk web rasmi Ikhwan Muslimin yang menyiarkan teks dalam Bahasa Arab (klik)

Suasana Pada Hari Pengebumian as-Syahid al-'Alim as-Syeikh 'Imad 'Afat Rahimahullah

Pada pandangan saya, ini juga menjadi faktor beliau menjadi sasaran musuh. Satu fatwa yang amat berani dan atas nama Al-Azhar, tentunya ia memberikan kesan besar kepada masa depan politik musuh revolusi 25 Januari yang terdiri dari kalangan 'FULUL' parti NDP Mubarak dan Amnu Daulah, kedua-duanya telah dibubarkan tetapi masih bertebaran melakukan kerosakan dan memastikan revolusi dan pilihanraya Parlimen menemui kegagalan.

Berdasarkan kepada fatwa tersebut, pada saya secara tidak langsung Al-Azhar telah membuktikan bahawa politik dan pemerintahan merupakan perkara yang ada kaitan dengan agama. Jika tidak, masakan tidak ada hukum HARAM mengundi mereka yang membuat kerosakan dan mengamalkan rasuah?

Sememangnya Islam dan pemerintahan tidak pernah terpisah atau istilahnya 'Islam suku, politik suku'. Ia adalah ajaran dan didikan golongan sekular yang amat bertentangan dengan Islam.

Penulis adalah bekas Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
Sumber: Rujuk di Sini

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...