Benarkah Ia Rasul yang terpuji?
Memang,
di dalam masyarakat Dayak terdapat beberapa anak suku, iaitu Kenyah,
Iban, Kayan, Bahau dan sejumlah kelompok kecil yang tersebar hampir di
seluruh Kalimantan, termasuk Sabah dan Serawak di wilayah Malaysia
Timur. Namun akar budaya dan kepercayaan kami hampir tidak berbeza.
Jasa Pendakwah Injil
Tidak
seorang pun pendakwah Islam yang pernah memberi tahu bahawa ada
keringanan-keringanan yang tidak terlalu keras terhadap najis anjing dan
babi, serta tidak terlalu memaksa seseorang yang baru membaca syahadat
agar segera dikhitan. Seakan keringanan itu sengaja disembunyikan.
Berbeza
dengan sikap para pendakwah Kristian baik dari kalangan agama Katolik mahu pun
Protestan. Selepas Perang Dunia berakhir mereka datang berduyun-duyun
membawa hadiah, ilmu dan pengetahuan baru yang dapat mengubah cara hidup
kami tanpa mengharu biru adat istiadat dan upacara ritual nenek moyang.
Sungguh mereka
banyak melakukan banyak perkara untuk suku Dayak, termasuk saya dan seluruh keluarga
saya, yang sebagai pengikut Jesus,, segala keperluan
hidup kami selalu dipenuhi. Oleh kerana itu, untuk menanggung lapan
orang anak dan seorang isteri, saya tidak pernah mengeluh walaupun selama
lima belas tahun saya sepenuhnya hanya mengabdikan diri pada agama
Katolik selaku pendakwah.
Sudah
tidak terhitung banyaknya penduduk yang dapat saya ajak masuk gereja.
Apalagi sejak saya dianugerahi amanat memimpin umat Katolik di kampung
Bangkal oleh gereja Sampit. Makin membara semangat saya untuk
mengibarkan panji-panji juru selamat dan menegakkan palang salib di
berbagai penjuru.
Mimpi yang menakjubkan
Tiga
tahun saya menyebarkan ayat-ayat Injil di mimbar gereja dan di berbagai
persekutuan doa di kampung bangkal dan kampung-kampung lainnya. Kemudian saya
diberi kepercayaan pula untuk membawa misi gereja di Daerah Cempaga
sejak tahun 1978.
Berkat kegigihan saya, hingga hampir
segenap waktu saya terisi oleh kegiatan pelayanan rohani, malah saya
berjaya mengajak umat dan berbagai pihak untuk bersama-sama membina
gereja yang agak besar, lengkap dengan asramanya.
Dua
tahun saya mencurahkan keringat, memeras tenaga dan fikiran demi
kejayaan agama Katolik melalui gereja yang saya dirikan. Sungguh bangga
hati saya, sungguh mantap kaki saya. Namun di sebalik kepuasan batin itu
ada sesuatu yang terngiang-ngiang jauh di dasar sanubari saya.
Entah mengapa dan dari mana datangnya tuntutan itu, tidak pernah terungkap sama sekali. Yakni tanda tanya yang tidak mampu saya jawab meskipun telah saya cari melalui firman-firman suci. Apakah betul yang saya tempuhi berasal dari Tuhan? Tidak kelirukah saya menyerahkan diri bulat-bulat dalam keyakinan itu?
Kebimbangan
tersebut betul-betul sangat menyiksa hidup saya dan sentiasa mengusik
ketenteraman batin saya. Seolah-olah ada sebuah lubang pada diri saya yang
tidak mampu saya tutupi, malah saya rasa makin lama makin dalam dan
lebar.
“Ya Tuhan, kalau Engkau Maha Kuasa dan Maha Penyayang,
tunjukkanlah kebenaran yang sempurna,” demikian ratap saya setiap malam
tatkala suasana sedang lengang dan kesunyian sedang mencekam sambil saya
genggam rosario (kalung salib) erat-erat.
Saya
menggapai-gapai bagaikan hampir tenggelam di tengah-tengah lautan
kehampaan. Saya berteriak nyaring di tengah gurun kesunyian. Saya merasa
ditinggalkan sendirian dalam sebuah lorong gelap dan sempit setelah
seberkas cahaya yang tadinya saya jadikan pedoman kian malapdan hampir
padam.
Saya merindukan sinar terang yang tidak menipu saya dengan kilauan fatamorgana. Saya mendambakan jalan lurus menuju keredhaan
Tuhan yang sejati dan hakiki.
Tiba-tiba, pada suatu malam menjelang akhir Oktober 1980,
ketika kesibukan untuk menyebarkan Injil dan menawarkan kerajaan syurga sedang mencapai puncaknya, saya didatangi mimpi yang sangat aneh.
Seorang lelaki berjanggut rapi mengunjungi saya antara tidur dan jaga. Bahu saya ditepuk dan tangan kanan saya ditariknya. Saya menoleh.
Betapa takjub saya melihat susuk manusia yang begitu tampan dalam usia
sebayanya.
Berpakaian serba putih dengan rambut berombak tertutup selembar
kain halus yang juga berwarna putih, ia nampak sangat agung dan anggun.
Saya merasa tenang oleh sentuhan pandang dan senyumnya.
Dituntunnya
saya menjelajahi hamparan tanah yang tandus menuju sebuah gurun pasir
yang luas dan gersang. Anehnya, meskipun matahari terik membakar, saya terlena oleh kesejukan yang indah dan menawan. Seolah gumpalan
awan besar menaungi kami berdua.
Ketika
tiba di tempat tujuan, entah di mana saya tidak tahu, ia mempersilakan
saya masuk ke suatu kawasan yang asing dan suci. Saya lihat ribuan
manusia berselimut putih bergerak bak alunan ombak mengelilingi
sebuah bangunan hitam berbentuk kubus menjulang ke atas membelah langit
sambil berlari-lari kecil.
Di
antara mereka ada yang sedang bersujud dengan khusyuk, banyak pula yang
berebut-rebut mengecup batu hitam kebiruan yang melekat di dinding kubus
itu. Apabila saya datang, kerumunan manusia tadi mengundurkan diri dan
memberikan kesempatan kepada saya untuk memeluk dan mencium batu
berkilat itu sepuas hati. Amboi, alangkah harumnya, alangkah
tenteramnya.
Setelah
itu ia mengarak saya bersama awan ke tempat lain yang pemandangannya
amat berbeza, tetapi suasananya sama, penuh keagungan. Saya bertanya,
“Bangunan apa yang teduh ini?” Ia menjawab, “Ini yang dinamakan Masjid
Nabawi.”
Sebagai
pendakwah Injil saya pernah mengenal istilah itu, sebab mempelajari
agama-agama lain adalah modal untuk menghujahkan kebenaran kami dan
membongkar kelemahan mereka. Oleh kerana itu saya terkejut. mengapa saya
dibawa ke mari?
“Tompokan
tanah yang di tengah itu untuk apa?” kembali saya bertanya. “Itu makam
Nabi Muhammad,” jawabnya. Mendengar penjelasan itu saya pun makin hairan.
Nabi Muhammad adalah pembawa ajaran Islam. Ada hubungan apa dengan saya
sehingga diajaknya saya berziarah ke sini?
Walaupun beribu kebingungan bermain di hati saya dan berbagai tanda tanya
merimbun di benak saya, tiba-tiba tanpa dimintanya saya
bersimpuh di depan kubur yang sederhana itu. Air mata saya menitis.
Saya terharu walau pun tidak tahu mengapa boleh terharu.
Saya
cuma membayangkan betapa mulianya pemimpin kaum Muslimin itu yang
pengikutnya ratusan juta orang, tetapi makamnya begitu bersahaja, yang
ajarannya ditaati umatnya, namun kematiannya tidak boleh diratapi. Saya
terpaku sangat lama sehingga tatkala saya sedar kembali, lelaki yang
mengantar saya tadi telah menghilang.
Panggilan hati
Saya
ceritakan mimpi saya kepada isteri dan anak-anak saya. Mereka tercengang.
Mata Isteri saya berkaca-kaca; saya tidak mengerti apa sebabnya. Barulah pada
malam harinya, ketika kami cuma berdua, ia berkata,
“Saya yakin itu
bukan sekadar mimpi. Itu panggilan. Dan kita berdosa kepada Tuhan
apabila tidak mahu mendatangi panggilan-Nya.”
“Maksudmu?” saya tidak paham akan maksud isteri saya.
“Kita
tanya kepada orang yang ahli agama Islam. Siapakah lelaki sebaya yang
mengajak abang itu. Dan bagaimana makna mimpi itu. Kalau memang benar
merupakan panggilan Tuhan, bererti kita harus masuk Islam,” jawab isteri
saya tanpa ragu-ragu.
Sayalah
yang sedang dilanda kebimbangan, terombang-ambing dalam iman Kristian
yang makin goyah. Apalagi tiap kali teringat akan salah satu surah
al-Qur’an yang pernah saya pelajari,
“Tuhanmu adalah Allah Yang Maha
Tunggal, Yang Tidak Beranak dan Tidak Diperanakkan,” (QS al-Ikhlash).
Saya
ingin lari menghindari dengungan batin itu. Namun keyakinan saya tidak
cukup kuat untuk menahan deburan ayat-ayat suci al-Qur’an. Untungnya
pada tahun 1983 gereja Sampit memindahkan saya ke Medan, tugas saya ke kampung Resettlement untuk menyebarkan semangat Injil pada masyarakat
setempat.
Saya
terima tugas itu dengan setengah hati sebab semangat Injil saya sendiri
sedang meluntur ke titik paling bahaya. Anehnya, saya merasa bahagia
menerima keadaan itu, lebih-lebih ucapan isteri saya yang tidak pernah
lenyap dari pendengaran saya.
“Kalau mimpi itu merupakan panggilan
Tuhan, kita berdosa jika tidak mendatangi-Nya. Kita harus masuk Islam.”
Akhirnya, pada awal Mac 1990
saya sekeluarga mengunjungi Pejabat Urusan Agama Daerah Mentawa Baru
Ketapang, sesudah terlebih dulu mendapat penjelasan dari seseorang yang
saya percayai memiliki pengetahuan mendalam tentang agama Islam.
Ia
mengatakan bahawa lelaki dalam mimpi saya adalah Nabi Muhammad.
Diterangkannya lebih lanjut bahawa tidak semua orang, termasuk kaum
Muslimin, boleh memperoleh kehormatan bertemu dengan Nabi dalam mimpi.
Dia meyakinkan saya bahawa mimpi itu bukan dusta, bukan mainan tidur.
Sebab, Iblis tidak sanggup menyerupai Nabi walaupun ia boleh menyamar
sebagai Malaikat (walau kelak dikemudian hari aku menyedari bahawa Syaitan
boleh sahaja menjelma menjadi orang lain lalu mengaku sebagai Nabi).
Tetapi
Itulah yang kian memantapkan tekad saya sekeluarga untuk memeluk ajaran
Islam. Maka dengan bimbingan Mahali, BA, kami mengucapkan dua kalimah
syahadat disaksikan oleh para pendahulu kami, Arkenus Rembang dan
Budiman Rahim, dari Pejabat Jabatan Agama Sampit.
Nama saya, Iselyus
Uda, diganti dengan Muhammad Taufik; isteri saya menjadi Siti Khadijah.
Begitu juga lapan anak saya yang memperoleh nama baru yang diambilkan dari
al-Qur’an. Pulang dari upacara persaksian itu dada saya terasa sangat
lapang dan dunia makin benderang.
Tengah malam saya mengangkat kedua
tangan dan berdoa, “Ya Tuhan, terpujilah nama-Mu, telah datang
kerajaan-Mu. Kami bersyukur kepada-Mu, ya Allah, untuk anugerah
kebenaran ini.”
Menebus mimpi
Sejak
hari paling bahagia itu saya mulai berangan-angan, bilakah pemandangan
dalam mimpi saya dulu itu boleh terwujud. Saya merindukan Tanah Suci
tempat kelahiran Nabi saw dan tempat jenazahnya dimakamkan, iaitu Makkah
dan Madinah.
Kecuali dengan kuasa Allah, rasanya mustahil terlaksana
mengingat kemampuan ekonomi saya tidak secerah semasa menjadi pendakwah Injil.
Akan tetapi saya tidak mengeluh. Memang pada segi pendapatan terjadi
penurunan, tetapi dari segi yang lain kehidupan kami bertambah makmur,
sejahtera, dan penuh berkah.
Kekurangan
kami sedikit, kami anggap biasa, itulah ujian iman. Harta benda bukanlah
segala-galanya. Yang penting, anak-anak dapat meneruskan pendidikan
mereka dan keperluan sehari-hari kami mencukupi. Adapun hidup berlebihan
bukan tujuan utama. Buat kami sudah puas dengan kaya di hati dan rezeki
yang halal.
Saya
tidak tahu apakah keikhlasan itu diterima Tuhan, ataukah lantaran sudah
tertulis dalam takdir-Nya bahawa saya sekeluarga harus menjadi Muslim
dan Muslimat yang kuat.
Peristiwa yang terjadi dua minggu setelah kami
masuk Islam membuat saya makin bersyukur kepada Allah, iaitu ketika
Kakandepag Kotawaringin Timur, Drs. H. Wahyudi A. Ghani, mengunjungi ke
rumah saya di kampung Resettlement. Ia tidak hanya bertandang, tetapi
mengantarkan tebusan mimpi.
Ia
mengabarkan bahawa Menteri Agama, H. Munawir Syadzali, MA, bersimpati kepada saya dan berkenan membawa kami suami isteri untuk
menjalani ibadah umrah.
Subhanallah, alangkah akbarnya Engkau, alangkah
luasnya kasih sayang Engkau. Sungguh saya tidak mampu menggoreskan pena
atau menggerakkan lidah bagi menggambarkan kegembiraan dan kebahagiaan
saya.
Tidak ada lain yang menggugah hati Menteri Agama, seorang pemimpin negara di
antara 170 juta lebih bangsa Indonesia, pasti Allah yang Maha Kuasa.
Tanpa kehendak-Nya mana mungkin perhatiannya terlintas kepada seorang
warga kampung terpencil di Kalimantan Tengah ini, padahal kegiatannya
selaku menteri bukan kepalang sibuknya.
Saya
dan isteri terus bersimpuh di hadapan Allah Azza wa Jalla lalu
melakukan sujud syukur. Kami pun tidak mengeluh walau keberangkatan kami
ke Tanah Suci tertunda beberapa bulan. Awalnya kami akan
diberangkatkan pada Julai1990; namun kerana terhalang oleh musibah Mina,
terpaksa ditangguh ke bulan Januari 1991.
Akhirnya,
kami berkesampaian mewujudkan pemandangan dalam mimpi dengan melaksanakan
tawaf mengelilingi Ka’bah, menunaikan sa’i antara bukit Shafa dan
Marwah, serta berziarah ke makam Rasulullah saw.
Agaknya
doa kami di tempat-tempat mustajab di Makkah dan Madinah mulai
dikabulkan-Nya. Buktinya, setiba kembali dari Tanah Suci ada seorang
hartawan yang tidak ingin disebut namanya, mewakafkan sebidang tanah
kepada saya.
Saya
berniat menghabiskan baki umur saya untuk membayar dosa-dosa pada masa
silam tatkala lima belas tahun lamanya saya bekerja keras memurtadkan
umat Islam dan merayu banyak orang agar mengikuti keyakinan saya pada masa
itu. Ihdinash shirathal mustaqim. (Sabili)
No comments:
Post a Comment