Tuesday, December 6, 2011

Tulahan : Bumi OZ bawaku kepada bahang berbilang jamaah

Salam,
http://1.bp.blogspot.com/-XLXb4yWpaFY/TfLQ6ldeEvI/AAAAAAAAA4Q/7p0uR8NrSu0/s320/teamwork.jpg

Setelah kemenangan an-Nahdah di Tunisia , setiap hari penulis cuba dapat perkembangan terkini Ikhwan melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam pilihanraya.  Penulis berdoa Ikhwan akan mendapat kemenangan setelah pilihanraya berlangsung secara adil dan telus.

Menanti pilihanraya di Egypt tiba-tiba berita parti Islam melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) menang di Morocco, syukur kepada Allah. Tak tahu pun penulis, bahawa Morocco juga ada pilihanraya setelah Raja Morocco buat pembaharuan dalam pilihanraya.

Menangnya an-Nahdah di Tunisia, PJD di Morocco dan kini Ikhwan di Egypt membuktikan parti Islam boleh menang jika pilihanraya bersih dan adil. Percayalah jika pilihanraya di Malaysia bersih dan adil dah lama BN dan Umno berkubur.

Bukan hanya Ikhwan sahaja yang menang di Egypt, parti an-Nour dari pergerakan Salafi juga mendapat undi yang besar. Pergerakan Salafi setahu penulis tidak mahu sertai pilihanraya semasa Regim Mubarak, tapi bila Mubarak tumbang pergerakan ini turut mahu sertai pilihanraya.

Memang ada perbezaan antara jamaah Ikhwan dengan pergerakan Salafi yang mirip fahaman dari Arab Saudi . Terdapat satu lagi parti Islam iaitu Parti Wafd yang dapat sokongan dari sebahagian kecil rakyat Egypt. Kewujudan jamaah lain menyaingi jamaah Ikhwan yang sudah 80 tahun bertapak di Egypt bukanlah satu perkara yang baru dalam perjuangan Islam melalui jamaah.

Penulis juga tidak terkecuali merasai bahang berbilang jamaah setelah berada di negara orang putih ini. Persaingan berbilang jamaah yang penulis tempuhi semasa berada di kampus dalam negara bagi penulis telah berakhir bila penulis tinggalkan kampus.

Sejak berjuang di medan sebenar dengan jamaah PAS di kampung-kampung , penulis sudah tidak lalui lagi persaingan mendapatkan mad’u dengan jamaah lain. Orang kampung pun tak tahu jamaah lain, yang mereka tahu jamaah PAS dan sekali sekala mereka tahu jamaah Tabligh bila ada orang Tabligh masuk kampung. Orang kampung tak kenal pun JIM, Ikram, Abim, Ismar dan lain-lain.

Masih ingat di kampus dulu, semasa penulis memimpin PMI, Jawatankuasa PMI terdiri dari berbilang jamaah kerana dipilih melalui syura’ bukan pemilihan biasa secara angkat tangan. Perbezaan pandangan dan persaingan mendapatkan mad’u membuatkan penulis pada masa itu tidak setuju dengan kewujudan jamaah lain.

Kenapa begitu? Kerana jamaah ini berjuang tanpa prinsip yang jelas, kerana pemimpin mereka yang pada masa itu dalam pemimpin No 2 dalam kerajaan.
Bila berhujah tidak lekang di mulut mereka dakwah bil hal wal hikmah, seolah-olah perjuangan jamaah mereka yang berhikmah.Sertai  pilihanraya dikatakan tidak syarie, buat demontrasi dikatakan tidak berhikmah , macam-macam lagi.

Tup-tup bila pemimpin harapan mereka dalam kerajaan ditendang keluar, diperlaku zalim regim kerajaan , mereka pula tak dan-dan nak anjur demontrasi. Hilang dah perkataan tak berhikmah yang dulu bermain di mulut mereka.

Selepas itu, ramai pemimpin mereka yang sertai jamaah PAS sertai pilihanraya yang mereka katakan tak syarie. Itu sebabnya , penulis anggap mereka tidak berprinsip pada masa tu.

Setelah penulis berjuang di medan sebenar, penulis tidak ambil kisah sangat persoalan berbilang jamaah. Malah , penulis sanggup terima saranan sahabat jamaah dalam kawasan untuk terima anak bekas Mursyidul Am yang merupakan ahli jamaah lain jadi calon Parlimen kawasan penulis. Sedangkan , jika nak ikut marah masa di kampus mahu ditolak sahaja kerana penulis pun ada cadangan calon lain.

Sebab itu, bila ada kawan kampus yang bergurau tentang ketegasan penulis di kampus dengan jamaah lain dikatakan berubah bila berjuang di medan sebenar. Penulis bagi tahu, itu keputusan jamaah kawasan penulis bukan keputusan penulis. 

Bagi penulis sesiapa sahaja yang jadi calon atau wakil rakyat hatta asli dari jamaah akan penulis tentang jika  menyeleweng, tidak amanah, tidak mahu ikut arahan jamaah. 

Penulis bukanlah berjuang untuk calon atau wakil rakyat tetapi berjuang untuk jamaah kerana Allah. Jika wakil rakyat parlimen dari jamaah lain ini pun buat masalah , penulis tidak akan pertahankan dia. Pernah penulis ditegur oleh seorang Ajk Kawasan kerana ‘belasah’ ahli parlimen ini teruk dalam mesyuarat jamaah kawasan.

Penulis kata kepada dia, biarlah penulis jadi ‘kambing hitam’ bercakap kerana benar. Bukan tidak berani walaupun tahu dengan jelas kesalahan pemimpin. Tidak mahu bercakap kerana mahu jaga hati pemimpin, tidak mahu bercakap kerana nak tunjuk ‘aku baik ‘ di mata pemimpin. Berapa ramai ada orang macam tu sehingga perkara yang sepatutnya selesai cepat berlarutan lama.

Kewujudan berbagai jamaah ada juga baiknya , hanya dalam keadaan tertentu bila berlaku persaingan yang menyebabkan rasa tidak senang antara jamaah. Semua jamaah mahu membawa mad’unya kepada Islam ke arah kebaikan.  Yang datang ke kampus tidak bertudung masuk jamaah dah pakai tudung, yang berakhlak buruk jadi baik, yang suka bersosial dan bergaul bebas tahu batasan pergaulan.

Lebih baik masuk jamaah di kampus dari ikut program Kelab Umno kalau di luar negara yang banyaknya ke arah maksiat. Anjur tari menari, anjur pertandingan fesyen, pesta hiburan dan bergaul bebas.

Cumanya, bila dah dapat mad’u yang ramai bawalah mereka ke arah keperibadian Islam sebenar. Berjuang untuk Islam bukan untuk bangsa. Jangan jadi satu jamaah yang dah rasa hebat kerana ahli semakin ramai bawa Slogan ‘ Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ semasa program Himpun.

Bila ada jamaah lain tak mau sertai dikatakan jamaah lain tak pertahan aqidah umat Islam. Sedangkan, jamaah lain dah berjuang lama dah sejak peristiwa murtadnya Natrah. Penulis ada menulisnya di sini.

Bila berada di negara orang putih ini, nampaknya penulis tidak boleh lari dari hakikat persaingan berbilang jamaah ini. Pula tu tanggungjawab penulis di sini semakin berat kerana di tempat penulis , jamaah masih belum terorganisasi , mad’u pun baru satu batch yang baru diorganisasi setelah penulis sampai di sini. Sedangkan dua jamaah lain sudah kukuh dan ramai mad’unya setiap batch.

Apabila penulis fikir balik kenapa penulis berada di negara orang putih ini. Inilah sebabnya, kenapa bukan UK , US, Eropah dan bandar-bandar lain dalam negara orang putih ini. Allah Maha Mengetahui, kelebihan sedikit yang penulis ada diperlukan bagi mengasas dan membina jamaah di sini.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada penulis meneruskan perjuangan ini di medan yang berbeza dari medan sebenar.  Tempoh berjuang untuk medan ini tidak lama hanya dua tahun, tapi dua tahun ini perlu dipastikan jamaah teroganisasi dan diurus pula oleh mad’u yang dilatih. Selepas itu, penulis akan kembali semula ke medan sebenar di kawasan penulis.

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...