Monday, February 14, 2011

Tulahan : Tabung buluh -Jangan hanya sekerat jalan

Salam,

Apabila membaca berita PAS akan lancarkan Tabung Buluh sebagai salah satu usaha ahli PAS membantu menambah sumber kewangan parti, penulis teringat usaha Lujnah Kebajikan kawasan penulis buat tabung syiling untuk tambah dana kebajikan.

Pada masa lujnah kebajikan baru nak mula cari dana kebajikan untuk bantu rakyat. Lujnah berikan 5 buah tabung berkenaan setiap cawangan. Lima Ajk cawangan akan ambil tabung itu dan masukkan 10 sen setiap hari.

Selepas 6 bulan tabung itu dibuka, dikira bersama kemudian dibahagikan kepada lujnah dan cawangan. Enam bulan seterusnya, digilirkan ajk cawangan lain pula akan menabung.

Bukan hanya ajk cawangan , ajk kawasan , pemuda dan muslimat semua diberi satu tabung syiling. Pada peringkat awal dapatlah sikit dana lujnah kebajikan untuk memulakan kerja-kerja kebajikan. Selain tu, lujnah juga buat kempen kutip duit satu sen dari ahli di cawangan.

Penulis masih ingat, selepas sahaja dikumpul duit syiling dan satu sen buat pertama kali. Berlaku kebakaran sebuah rumah orang Umno dalam kawasan. Duit syiling itulah yang ditukar dan diserah untuk bantu mangsa kebakaran.


Usaha mengumpulkan dana melalui tabung syiling, nampak macam mudah tapi sebenarnya memerlukan komitmen yang tinggi dari ajk lujnah yang dipertanggungjawabkan. Mengapa tak mudah? kerana tabung syiling dianggap tidak penting sebab tak banyak pun dapat dikutip untuk setiap tabung.

Bukan hanya ajk cawangan ada pemikiran ini, ajk kawasan, pemuda pun sama. Penulis tabik kepada muslimat kerana ada kesungguhan , mungkin orang perempuan ambil berat berbanding orang lelaki.

Pemikiran negatif inilah yang menyebabkan banyak tabung yang dilancarkan oleh PAS hanya berjalan separuh jalan dan akhirnya tabung entah kemana.

Baguslah PAS lancar tabung buluh untuk membolehkan ahli membantu jamaah. Namun, perlaksanaannya itu janganlah hanya sekerat jalan, perlu berterusan.

Penulis syorkan , setiap PAS kawasan lantik beberapa orang ajk kawasan bertindak sebagai 'runner' untuk berhubung dengan cawangan atau UPU. Setiap kali cukup tempoh tabung dikutip, 'runner' ini akan turun ke cawangan untuk kumpul tabung yang ada pada ahli.

PAS kawasan keluarkanlah sikit duit minyak motor beri kepada 'runner' sebab mereka turun ke cawangan bukan berjalan tapi naik kenderaan. 'Runner' pula mesti lantik ajk yang rajin dan tidak mudah lemah semangat.

Jika PAS kawasan hanya harap cawangan kumpul tabung buluh, alamatnya tak bertahan lama lah operasi tabung buluh berkenaan. Bukan tak percaya kepada cawangan, tapi sejarah lama dah banyak membuktikan jadi ambillah pengajaran. Ada la cawangan yang boleh bertahan tapi boleh kira dengan jari.

Penulis juga sokong penggunaan tabung buluh kerana ia merupakan tradisi orang Melayu dahulukala yang kaya dengan kreativiti dan seni hasil dari alam semulajadi. Antara yang paling popular ialah pembuatan tabung buluh.

Tabung ini tak menggunakan banyak kos untuk membuatnya. Cuma cari batang buluh yang tebal dan ruas yang panjang boleh digunakan untuk dijadikan tabung.

Batang buluh dipotong mengikut ukuran yang diingini dan ditebuk menyerupai bentuk lubang. Kemudian, buluh ini digosok dengan daun palas untuk melicinkannya.

Mungkin juga PAS Pusat dah tahu masalah operasi tabung tidak akan lama maka tabung buluh digunakan. Kenapa penulis cakap begitu ?sebabnya, apabila tabung buluh ini penuh, tabung ini akan dipecahkan untuk mengeluarkan duit yang disimpan.

Usaha PAS ini amat baik walaupun banyak cabaran untuk perlaksanaannya. Jika ada yang mempersenda usaha PAS , biarkanlah kerana menabung adalah amalan mulia dan merupakan tradisi orang melayu sejak turun temurun.

Hina tabung ini bukan sahaja hina amalan mulia orang Islam malah hina tradisi bangsa Melayu yang dipertahankan.

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...