Wednesday, September 18, 2013

Tulahan : Merosot undi Melayu, satu jari tunjuk ke PR banyak jari ke badan sendiri


Salam,

image
Kemerosotan undi Melayu kepada PAS pada PRU 13 adalah satu faktor resolusi mengkaji tahaluf siyasi PAS dalam Pakatan Rakyat yang dibentangkan semasa Multaqa Ulama PAS di Kedah. 
Apabila resolusi ini dikeluarkan, memberi makna Dewan Ulama melihat kerjasama PAS dalam PR menjadi punca merosotnya undi Melayu pada Pru 13. Benarkah?

Penulis mengakui bahawa memang undi Melayu kepada PAS merosot, bahkan bukan sahaja PAS tetapi juga parti-parti dalam PR. PKR kehilangan kerusi di banyak kawasan disebabkan faktor ini contohnya Dun Behrang, Dun Kulim ,parlimen Bagan Serai dan Kulim Bandar Baru.

Undi Melayu yang merosot ini berlaku apabila pengundi atas pagar Melayu di luar bandar telah beralih undi kepada BN. Pun begitu tidak boleh dikatakan semua pengundi atas pagar beralih kepada BN kerana pengundi atas pagar Melayu di bandar masih kekal mengundi PR. Faktor inilah yang menjadi punca BN kalah teruk di Selangor.

Kecondongan pengundi atas pagar memberi undi kepada mana-mana parti banyak bergantung kepada isu yang dibawa parti politik dan ketersampaian maklumat kepada mereka. Jelas BN masih menguasai pengundi atas pagar di luar bandar kerana maklumat dan isu yang di canang oleh BN diterima sepenuhnya oleh pengundi luar bandar.

PR masih gagal menangkis semua serangan berterusan BN sehingga menyebabkan pengundi atas pagar percaya dengan proraganda BN ditambah dengan pelbagai pemberian menjelang pilihanraya termasuk BR1M. 

Parti yang paling teruk menerima kesan akibat sokongan kepada BN di luar bandar adalah PAS. PKR kurang kerusi luar bandar berbanding PAS kecuali di Sabah dan Sarawak.

Berbeza dengan pengundi atas pagar di bandar yang mampu membuat perbandingan antara BN dan PR kerana mudah menerima maklumat melalui internet.

Justeru , kemerosotan undi Melayu kepada PAS dan PR bukanlah disebabkan kerana kerjasama dalam PR tetapi gagalnya PAS dan PR menyalurkan maklumat kepada pengundi Melayu di luar bandar.

Jika begitu, kenapa PAS boleh menang kerusi luar bandar di Kelantan, Terengganu dan kerusi-kerusi lain di Semenanjung. Inilah yang penulis minta semua pihak dalam PAS buat kajian dan mengambil contoh dari kawasan yang menang ini. Bagaimana kawasan ini boleh menang sedangkan pengundi Melayunya melebihi 70 % daripada jumlah pengundi?

Perhatikan jentera pilihanraya, MTD dan UPU di kawasan berkenaan. Pastinya jentera pilihanraya kawasan ini mantap dan bergerak aktif sejak selepas PRU 2008. Setiap UPU nya mempunyai petugas yang lengkap kerana setiap UPU ada cawangan di dalamnya.

Kenapa UPU kuat? Kerana PAS kawasan berkenaan sentiasa memastikan cawangannya aktif, sentiasa berusaha menambah cawangan di semua UPU terutama kawasan yang birunya kuat. Apabila cawangan aktif, secara outomatik UPUnya akan aktif kerana ada petugas dari cawangan.

Bagaimana PAS nak menang jika UPU pun sukar nak ditubuhkan kerana tiada cawangan di dalamnya. PAS kawasan tidak berusaha nak tambah cawangan, malah cawangan yang tidak aktif dibiarkan malap dan terus mati.

Bila berlaku pilihanraya barulah , jentera pilihanraya kawasan dan MTD tercari-cari petugas yang boleh gerakkan UPU sehingga akhirnya ada 4 UPU yang digabungkan menjadi  satu UPU. Jika ini yang berlaku, bolehkah kita nak salahkan kerjasama dalam PR punca undi Melayu merosot.

Siasat juga di kawasan yang PAS menang, berapa jumlah pengundi baru yang didaftarkan sejak PRU 2008?  Penulis yakin setiap kawasan yang menang ini jentera pilihanrayanya mendaftar lebih daripada 1000 pengundi baru dikalangan anak dan penyokong PAS.

Bagaimana PAS nak menang jika hanya mendaftarkan kurang daripada 300 pengundi untuk kerusi yang ditandingi. Paling teruk ada yang hanya daftar hanya kurang 50 orang pengundi baru. Jika ini yang berlaku, bolehkah kita nak salahkan kerjasama dalam PR punca undi Melayu merosot.

Semua tahu PAS mempopularkan slogan Negara Berkebajikan, namun berapa banyak Pas kawasan yang menjadikan kebajikan sebagai agenda utamanya mendekati dan membantu rakyat.

Pergilah turun ke kawasan yang PAS menang , tanyalah kawasan berkenaan berapa dana kebajikan yang mereka cari untuk disampaikan kepada golongan memerlukan. Tanya berapa dana Lujnah Kebajikan kawasan berkenaan. 

Bagaimana PAS nak menang jika program kebajikan kepada rakyat kurang berjalan. Usaha mendekati rakyat dan membantu rakyat ikut musim, ikut ada dana. Alasan yang sentiasa diberi tiada dana. Macam mana nak ada dana jika tiada usaha ke arah itu. 

PAS wujud bukan setahun dua, sudah berpuluh tahun. Alasan tiada dana adalah alasan lama yang tidak sepatutnya diberi jika tiada usaha mencari dana kebajikan. Berapa ramai manusia pemurah di luar sana, mohonlah derma daripada mereka. Akan ada yang menyumbang, tidak dapat banyak sikit pun tidak apa , bila dikumpul-kumpul menjadi banyak.

Apabila tiada program mendekati rakyat dan membantu rakyat, janganlah berharap pengundi atas pagar akan mengundi PAS kerana PAS hanya muncul semasa pilihanraya. Jika ini yang berlaku, bolehkah kita nak salahkan kerjasama dalam PR punca undi Melayu merosot.

Banyak PAS kawasan akan memberi alasan, tiada aktivis parti yang komitmen melaksanakan kerja parti sebab itu cawangan tidak aktif, cawangan banyak yang mati, kerja - kerja kebajikan kurang petugas yang mahu gerakkan. 

Benarlah kerja-kerja parti ini tiada petugas tetap , tiada upah. Tapi kita mesti ingat, bahawa PAS adalah jamaah Islam. Ahli PAS akan berkerja mengerakkan parti jika sentiasa mendapat suntikan tarbiyah kecualilah jika tarbiyah tidak aktif di cawangan dan kawasan.

Jika tarbiyah tidak aktif di kawasan dan cawangan , usrah tidak dijalankan di banyak cawangan, ada PAS kawasan yang jarang-jarang sekali mengadakan usrah. Salah siapakah ini? Lujnah apakah yang bertanggungjawab terhadap tarbiyah di kawasan dan cawangan?

Penulis tidak mahu membuat kesimpulan terhadap lemah tarbiyah di kawasan dan cawangan ini disebabkan Lujnah Tarbiyahnya tidak bergerak. Penulis mahu PAS Kawasan lihat dalam kawasan masing-masing . Benar atau tidak bahawa usrah di cawangan kurang, usrah di kawasan jarang-jarang, program tarbiyah yang lain hampir tiada.

Tiada pengerakkah lujnah tarbiyah di kawasan, tiada ustazkah. Ada , namun ada yang mengetuai lujnah tarbiyah di kalangan ustaz-ustaz berumur yang dipilih kerana dihormati tetapi pengurusan kerja lemah. Akibatnya, tarbiyah lemah di kawasan.

Tidakkah ada ustaz-ustaz muda di kawasan?, ada tetapi ramai yang tidak berani ke depan kerana Akujanji dengan kerajaan. Cuba kira berapa ramai ustaz /ustazah yang majoritinya ahli PAS yang mengajar di Sekolah Menengah dan Kebangsaan. 

Satu sekolah paling kurang 2 orang, tak campur ustaz/ustazah J-Qaf . Tak masuk lagi ustaz/ustazah di SABK, di Pejabat Agama, Kafa dan pendakwah bebas. Ramai rupanya ustaz/ustazah dalam kawasan.

Jika ustaz/ustazah ini berani ke depan pastinya bergerak tarbiyah di cawangan, tak adalah masalah cawangan mengadakan usrah kerana sudah ada naqib.
Bukankah ada ulama pelapes? ada, hanya di negeri . Penulis sangat menyokong wujudnya ulama pelapes ini bagi menarik seberapa ramai ustaz-ustaz muda bergerak dalam PAS. Namun, setakat ini tak tahu apa tindakan ulama pelapes untuk menarik usat-ustaz muda di kawasan bergerak di dalam PAS kawasan.

Tak tahu juga berapa orang ulama pelapes setiap negeri. Jika ramai sudah tentu lujnah tarbiyah di kawasan tidak tandus pengeraknya. 
Tak tahu juga apa aktiviti ulama palapes kerana dalam facebook mereka tak kelihatan aktiviti mereka. Yang banyak copy paste aktiviti dan mutiara kata pimpinan tertentu dalam PAS.

Ada yang akan jawab, siapa kata tarbiyah lemah. Tengok bila ada program tarbiyah sama ada ijtima’ tarbawi , liqa’  di negeri dan pusat ramai yang datang. Memang program tarbiyah nampak gah di negeri dan pusat, ramai yang memenuhi dewan. 

Namun , kena tanya kerana apa dewan tu penuh? Kerana arahan kepada Ajk Harian , Ajk Kawasan kena pergi . Penulis ambil contoh program Liqa’ di Perak, negeri lain pun lebih kurang sama sahaja.

Akan ada yang jawab , tarbiyah sudah dijalankan melalui kuliah-kuliah yang bercambah di surau dan masjid. Penulis akui proses mendidik umat Islam memang berlaku di surau dan masjid, namun itu bukan tarbiyah yang berbentuk haraki menjurus kepada tarbiyah kepada pengerak parti.

Ahli-ahli Pas terutamanya pengerak parti perlu mendapat pengisian tarbiyah bagi menjana kekuatan jiwa mereka untuk terus bekerja menegakkan Islam di muka bumi ini. Dewan Ulama dan Lujnah tarbiyah perlu mengambil peranan ini bukan hanya di peringkat pusat dan negeri tetapi juga di kawasan dan cawangan.

Ramai ahli termasuk pengerak belum memahami PAS sebagai sebuah jamaah, sebuah gerakan Islam kerana tarbiyah tidak berjalan. Ramai ahli yang hanya bersemangat dan keluar berkerja semasa tibanya pilihanraya, bila tamat pilihanraya menjadi lemah. Hendak mencari petugas sukarela menjadi payah. Kerana apa? Kerana ahli PAS kurang faham bahawa PAS bukan sekadar parti politik tetapi jamaah Islam. 

Kini banyak keluar label-label tertentu kepada pimpinan dan ahli PAS. Fikrah tak jelaslah, kurang ilmu harakilah, macam-macam . Jika yang dilabel fikrah tak jelas, kurang ilmu haraki. Salah Siapa? Adakah kurangnya kefahaman ahli PAS juga hendak disalahkan kepada  kerjasama dalam PR? 

Penulisan ini sebenarnya mahu mengajak semua pengerak parti sedar akan kelemahan sendiri sebelum menunding jari kepada pihak lain. Satu jari ditunding menyalahkan kerjasama dalam PR sebagai punca sebagai penyebab undi Melayu merosot kepada PAS. 

Tiga jari lagi menunding ke arah tubuh badan PAS termasuk PAS Pusat, Dewan Ulama’ , Dewan Pemuda’ , Dewan Muslimat dan PAS Kawasan. 


Wassalam

2 comments:

Unknown said...

penurunan suara Melayu,lebih disebabkan prestasi yang menurun

Unknown said...

turunnya suara dalam pemilu disebabkan hasil kerja turun, komentar juga ya ke blog saya www.goocap.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...