Wednesday, September 4, 2013

Tulahan : Perwakilan Cawangan calonkan Presiden PAS , ada siapa yang nak marah?


Salam,


Balik hujung minggu lepas , penulis hadir mesyuarat agung pemuda Pas kawasan penulis. Rasanya dah 4 tahun penulis tak dapat hadir. 2 tahun kerana tak kena tarikh penulis balik kawasan , 2 tahun kerana penulis di luar negara.

Mesyuarat agung pemuda tahun ini ada sikit kelainan dari kebiasaan . Kebiasaannya semua pencalonan pemimpin pemuda negeri dan pusat diserah kepada jawatankuasa pemuda kawasan.  Trend ini dah berlaku setiap tahun bukan sahaja untuk mesyuarat agung di kawasan penulis, malah sebahagian besar kawasan lain di Malaysia.

Pada tahun ini, mesyuarat agung menerima cadangan untuk perwakilan cawangan membuat undian bagi pencalonan Ketua,Timbalan dan Naib Ketua pemuda  Pas negeri dan pusat. Bagi jawatan lain diserahkan kepada jawatankuasa pemuda Pas kawasan.

Tiada bantahan untuk cadangan ini, menunjukkan perwakilan cawangan mahu mengambil bahagian dalam menentukan pencalonan pemimpin tertinggi pemuda negeri dan pusat. Lagi pun bukan nak ambil masa yang lama untuk buat pengundian angkat tangan untuk tiga jawatan itu.

Sebelum ini, perwakilan cawangan sentiasa bersetuju apabila dicadangkan pencalonan jawatan ini diserahkan kepada pemuda Pas kawasan. Kenapa bersetuju? Kerana nak cepat tamatkan mesyuarat agung.


Walaupun ada pemimpin pemuda Pas yang dicalonkan oleh perwakilan pada mesyuarat agung Pemuda Pas kawasan penulis bukan disokong penulis, penulis tidak kisah. 
Apa yang penting bagi penulis , mesyuarat agung pemuda Pas kawasan penulis telah menjadi contoh kepada Pas kawasan lain untuk turut sama memberi ruang kepada perwakilan Pas cawangan mencalonkan pemimpin tertinggi Pas.

Penulis amat bersetuju perwakilan cawangan diberi ruang memilih sendiri calon bagi pemimpin tertinggi bukan sahaja pemuda malah Pas Pusat. Apabila perwakilan cawangan yang menentukan pencalonan Pas Kawasan bagi jawatan pemimpin tertinggi, maka pemimpin yang dicalonkan sebenarnya mendapat sokongan akar umbi parti.

Juru kempen calon pemimpin tertinggi parti tidak lagi mudah-mudah mendapat pencalonan hanya kerana hubungan baik dengan pemimpin Pas kawasan. Tidak akan ada lagi, YDP , SU dan lain-lain Ajk Pas kawasan yang akan dihubungi juru kempen untuk mendapat pencalonan untuk pemimpin yang dikempen.

Tidak mungkin jurukempen ini sanggup hubungi semua Ketua dan Ajk Pas cawangan untuk mendapatkan pencalonan. Bukan satu cawangan malah beribu cawangan Pas yang ada di Malaysia, pastinya tak terdaya mereka nak berkempen.

Tentu ramai yang tak setuju, ramai yang marah terutama kepimpinan Pas Kawasan yang dah berura-ura mencalonkan pemimpin yang mereka sokong melalui mandat yang diberi perwakilan cawangan dalam mesyuarat agung. Jika perwakilan diberi ruang membuat pencalonan , hilanglah peluang mereka mencalonkan pemimpin yang disokong.

Ramai orang luar , ahli Pas termasuk yang jadi perwakilan cawangan membuat tuduhan Pas menutup demokrasi kepada akar umbi untuk membuat pemilihan pemimpin tertinggi. Mereka bandingkan dengan pemilihan Presiden dalam PKR dan Umno yang dipilih di peringkat akar umbi.

Sebenarnya, ruang demokrasi untuk membuat pencalonan pemimpin tertinggi Pas terbuka dalam mesyuarat agung Pas Kawasan.  Perwakilan Pas Cawangan yang mewakili akar umbi Pas boleh membuat pencalonan pemimpin tertinggi Pas. Malah, tidak langsung melanggar perlembagaan parti dan terdapat dalam agenda mesyuarat agung  Pas Kawasan.

Mesyuarat agung Pas kawasan sudah bermula minggu lepas , mesyuarat agung pemuda dan muslimat banyak yang sudah dijalankan. Kini terpulang kepada perwakilan Pas cawangan mahu menggunakan peluang yang menjadi hak mereka atau menyerahkannya kepada jawatankuasa Pas Kawasan.

Melalui mesyuarat agung Pas kawasan, perwakilan Pas cawangan ada hak untuk mencalonkan pemimpin tertinggi Pas yang  mereka yakin layak memimpin Pas termasuk Presiden Pas.  Andai  berlaku, ada perwakilan Pas cawangan mencadangkan selain Ust Hadi sebagai Presiden Pas untuk pencalonan Pas kawasannya. Perwakilan ini tidak patut dipandang serong kerana beliau menggunakan haknya sebagai perwakilan.

Begitu juga andainya ada perwakilan contohnya mencalonkan Ust Tuan Ibrahim dan Ust. Hadi untuk pencalonan Presiden Pas dan Ust. Hadi tewas . Tidak bermakna Pas kawasan ini boleh dipandang serong kerana bukan jawatankuasa Pas kawasan yang membuat pencalonan sebaliknya perwakilan Pas cawangan dalam mesyuarat agung.

Bukanlah bermakna Pas kawasan yang mencalonkan Presiden selain Ust. Hadi dilabel sebagai anti ulama atau label-label lain kerana perwakilan Pas cawangan yang mengundi mencalonkan Presiden parti. Hormatilah kehendak perwakilan yang mencalonkan mana-mana pemimpin PAS sebagai pemimpin tertinggi.  

Wassalam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...